Salam Palestin,
Jika mereka bertanya saya, apakah yang paling manis sepanjang 8 tahun saya sebagai ahli majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI)? Saya akan menjawab, bersama menikmati usaha-usaha ke arah memantapkan perlaksanaan Islam di perbandaran Kota Bharu bersama para ahli majlis dan pegawai kerajaan di peringkat atasan dan bawahan yang begitu ikhlas, konsisten dan tanpa menghiraukan penat dan lelah.
Jika pula mereka bertanya saya, apakah yang paling pahit dan mengecewakan pula? Saya akan menjawab, ketika bungkam dan hilang kata-kata memerhati kerenah segelintir ahli majlis dan pegawai kerajaan juga, atas dan bawah yang begitu lunak cakapannya, lebat hujahnya dan bersimpang siur liatnya untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar!
Paling manis, bila saya turut menyumbang buah fikir dan turut menyertai perlaksanaan program dan projek yang baik dan berguna untuk warga MPKB dan rakyat Kelantan umumnya. Paling pahit, bila keengganan itu berlaku di depan saya dan saya mendapati diri saya kalah dan akur. Di tahun-tahun terakhir, ia begitu mendorong dan menekan saya untuk melepaskan jawatan lebih awal. Itu pastinya salah, tetapi itulah yang saya alami dan cuba memeranginya.
Akhirnya, tercipta juga satu sebab yang membolehkan saya
mengundur diri secara berhemat dan tanpa ditegur lagi. Saya masih mengharapkan daripadaNya agar tindakan saya itu tepat untuk saya dan agama saya.
Menyeru ke arah perlaksanaan syariat Islam yang syumul adalah perjuangan yang benar dan tiada yang benar selainnya di dunia ini. Melaksanakan tuntutan syariat yang dikandung kalimat mulia ‘amar makruf nahi mungkar’ juga adalah perjuangan yang benar dan kesukarannya sebenarnya bertambah-tambah pula.
Kala itu, yang berjaya adalah yang ikhlas hatinya, betul jalannya dan bersungguh kerjanya. Perjuangan Islam selalu songsang, tak menjadi rentak dan tarinya buat mereka yang terpasung kotak fikirnya daripada akidah yang benar, terpalit hatinya dengan lumpur duniawi dan tersadung kakinya daripada jalan yang lurus. Jika mereka sejahtera di situ, mereka masih tersisih sehinggalah mereka memacu dan memecut bersama para pejuang lain yang sentiasa segar dan istiqamah berlumba-lumba dan pintas-memintas menuju ridha Allah.
Islam adalah al Quran. al Quran adalah petunjuk dan nasihat. Jika ia tiada berkesan dan sememangnya sebahagian manusia keras dan buta hatinya daripada mendengar al Quran, maka al Quran memerlukan kuasa dan tongkat untuk menyuruh dan menghalang manusia. Apa-apa yang gagal dicabut dengan nasihat akan dicabut dengan kuasa.
Semasa baginda al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam di Kota Mekah selama 13 tahun memimpin dakwah dengan al Quran di tangannya, baginda mampu menarik sekitar 300 orang warga Mekah mendengar nasihat dan wasiat al Quran. Kemudian apabila baginda kembali memasuki Mekah 10 tahun kemudiannya, dengan al Quran di tangannya dan pedang juga di tangannya, baginda dengan tempoh yang terlalu segera telah berjaya menarik puluhan ribu rakyat kota Mekah dan sekitarnya untuk mendengar nasihat dan wasiat al Quran.
Pedang itu bukan buat memenggal leher seganasnya dan sejarahnya, tetapi cukuplah ia berisyarat, akulah teman setia al Quran. Demi tuhan, al Quran dan kuasa adalah bersaudara lagaknya. Bukankah kalam suci dan kuasa itu milik dan sifat Allah?
Justeru perjuangan membalut, menyeri dan menabal al Quran dengan tampuk kuasa adalah kerja nabi dan kerja perjuangan suci sepanjang zaman. Selagi Allah kekal hidup menjaga al Quran, selagi itulah al Quran ditawafi para pejuangnya yang kekal berjuang dan terbang syahid!
Janganlah Islam ini dikerjakan oleh mereka yang meletakkan kuasa di parlimen dan menyimpan al Quran di dalam almari, mengasingkannya daripada kehidupan sementara menunggu kehadiran majlis perarakan maulidur rasul.
Justeru ia perjuangan.
Kemudian, sesudah anda memiliki kuasa, maka mengurus kuasa adalah perjuangan juga. Ia fasa selepas fasa.
Zahirnya, kuasa pertama adalah apabila anda memiliki isteri, kemudian anak-anak. Jika mereka lari daripada nasihat al quran, anda masih memiliki kuasa. Dengan kuasa, anda mampu mengembalikan mereka ke jalan Allah. Itulah sesempurna Tindakan dalam mengurus kuasa.
Kemudian kehidupan melebar dan menjadi semakin melebar. Jika anda masih kekal berjuang memburu kuasa di Putra Jaya demi kecintaan mencantumkan al Quran dengan kuasa, maka anda telah pun memiliki selaras kuasa di Kelantan. Kecil tetapi besar. Sempit tetapi luas.
Marilah berdansa bersama kuasa dan al Quran. Kata al Quran, ajaklah rakyat Kelantan mendirikan solat lima waktu dan sembahlah Allah di rumah, di kedai, di kampung dan di bandar. Kemudian, carilah rezeki yang halal, tunaikanlah zakat dan bantulah orang-orang miskin dan lemah. Buatlah kebajikan, serulah kepada kebaikan dan cegahlah kemungkaran dan kemaksiatan.
Caranya? Nasihatlah dengan al Quran dan gunakan kuasa yang Allah kurniakan. Caranya? RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam adalah sebaik-baik ikutan. Hasilnya? Akan bertambah ramailah umat Muhammad terarah dan berada di jalan yang lurus dan diredhai Allah. Hasilnya? Akan kecewalah musuh-musuh tuhan daripada kalangan jin dan manusia. Itulah buah-buah manis tuaian perjuangan.
MPKB-BRI dengan kuasa sebuah kerajaan tempatan di bawah kerajaan negeri Kelantan telah melakukannya. Anda tidak akan mendapati perniagaan dan aktiviti terlarang agama di premis yang berdaftar dan diluluskan. Bahkan, wujud peraturan-peraturan kecil dan garis panduan yang berusaha menyekat sesuatu aktiviti yang secara mudah mendorong kepada keburukan dan haram.
Anda akan melihat kesungguhan MPKB-BRI memasuki medan kemasyarakatan demi menganjurkan kebajikan dan tolong-menolong yang memberi manfaat. Bahkan, agensi-agensi kerajaan negeri yang lain turut berganding bahu melibatkan diri memeriahkan usaha-usaha kebajikan yang dianjurkan ugama.
20 tahun adalah potret masa yang memisahkan Kelantan dan Kota Bharu daripada negeri-negeri lain dan perbandarannya yang begitu jauh ketinggalan. Pencapaian ini, adakah anda mahu menafikannya?
Sebelum anda menunjuki saya pusat-pusat pelacuran dan gambar-gambar bogel pelacur Kelantan, mari saya perkenalkan anda dengan apa yang anda telah ketahui.
Adakah bandar Madinah di zaman al Rasul bebas maksiat? Tidakkan? Bagaimana dunia ini bebas maksiat sedangkan dosa itu sentiasa melekat di badan, apatah di hati. Bukankah keimanan kita adalah bahawa hanya al Rasul sahaja yang maksum dan bebas dosa dengan izin tuhannya?
Bukankah nabi pernah melaksanakan hudud yang membawa erti telah berlaku maksiat zina di Madinah? Bukankah nabi pernah menyebut kepinginnya untuk membakar rumah-rumah yang kaum lelakinya tidak keluar untuk solat berjamaah bersama baginda yang bererti seruannya diingkari juga di Madinah? Bukankah nabi pernah mencela peniaga di pasarnya yang menipu dalam perniagaan?
Jika begitu, terlaksanakah atau berjayakah amar makruf dan nahi mungkar di Kota Madinah? Jangan berkata tidak! Sesungguhnya nabi dan zamannya adalah kemilau kehidupan yang memancar-mancar sebagai panduan sepanjang zaman.
Amar makruf bererti kebebasan melaksanakan kebaikan dan kemanfaatan yang disepakati bersama. Nahi mungkar bererti mencegah kemungkaran yang dilakukan secara terbuka dan dibenarkan. Kemungkaran mestilah dihimpit dan ditolak keluar sehingga ia tidak mengganggu masyarakat dengan kebusukannya.
Jika anda terpaksa menyamar dan bersusah payah menyelongkar, itu tandanya kemaksiatan telah terpinggir dan hidup ketakutan sehingga menyepi di ruang gelap.
Di Kuala Lumpur dan di bandar-bandar lain maksiat adalah halal dan haram. Terang dan cerah. Terbuka dan tertutup. senyap dan bising. Anda boleh memilih. Selera nafsu serakah adalah berbeza. Neraka seleranya berbeza juga.
Di Kota Bharu, tugas mengharamkan sarang dan pusat yang mudah mendorong aktiviti maksiat dan haram berjaya dilaksanakan pada kadar yang hampir sempurna. Lihatlah, betapa sukarnya menyimpulkan samada aktiviti karaoke, biliard, snoker, alatan syisya, tinju siam dan seumpamanya perlu dibuka atau disempitkan laluannya. Semuanya kerana kebimbangan dan wujud bukti penyalah gunaan yang membawa kepada aktiviti haram dan merosakkan.
Jika begitu, lebih-lebih lagilah pembanterasan terhadap aktiviti halal dan terbuka pelacuran, judi, arak dan sebagainya.
Tinggal lagi, bagaimana dengan aktiviti maksiat yang tidak berdaftar dan berlaku secara sembunyi dan haram di sisi undang-undang?
Anda usahlah berbangga kerana berjaya membuktikan Kelantan tidak bebas dan bersih maksiat selepas 20 tahun memerintah dengan nama Islam dengan mendedahkan pusat-pusat maksiat yang yang tak pernah pun diberi lesen itu.
PAS tak pernah pun menafikan kesungguhan kerajaan pusat memburu dadah, arak, judi dan pelacuran haram. Itu nahi mungkar yang disokong.
Apa yang PAS canggah adalah bagaimana kerajaan pusat boleh meluluskan pusat dan aktiviti yang mendorong maksiat dan kejahatan secara terbuka dan halal pula?
Mengapa kuasa dimandulkan? Tidakkah kuasa itu hak dan milik Allah yang dikurniakan kepada manusia untuk membantu al Quran di dalam kekuasaannya ke atas manusia agar mereka selamat dan sejahtera?
Jadi, jika kerajaan pusat yang memiliki kekuatan 100 kali ganda kuasa berbanding kerajaan Kelantan pun tak mampu mengisytiharkan kejayaan membanteras pelbagai aktiviti haram tersebut, maka bayangkanlah kesukaran kerajaan Kelantan juga.
Fahami ini jika anda seorang yang berakal, insaf dan takutkan murka Allah.
Sesudah anda memahami ini, ketahuilah kekuatan dan kuasa sebenar adalah pada diri sendiri. Kita menyebutnya sebagai sumber manusia. Atau modal insan. Dalam menyeru kemakrufan dan mencegah kemungkaran, keberkesanan terlalu bergantung kepada iman di dada dan dorongannya yang kuat untuk melaksanakan tugas dan amanah Allah ke atas hambaNya.
Jika saya dibenar bercakap lantang, saya akan lahirkan rasa bangga dengan rakan-rakan di MPKB yang begitu ikhlas dan bersungguh-sungguh melaksanakan misi kerajaan negeri untuk membangun bersama Islam.
Tetapi demi keadilan dan keinsafan, saya terkadang menjadi kecewa dan muak dengan segelintir warganya, ahli majlis dan pegawai MPKB yang tidak pun membantu kemeriahan berkerja, bahkan mengusutkan dan melambatkan kerja-kerja benar dan disukai Allah.
Paling menyayatkan, mereka berhujah semacam mereka ini pakar di dalam siasah syar’eiyah pula. Semoga Allah menemukan kita dengan penyelesaian.
Kawan saya, seorang doktor pulang dari ibadah haji beberapa bulan lepas. Bukan buah tamar dan kismis, tetapi sebuah buku dalam teks Arab telah dihadiahkan kepada saya tulisan seorang ulama terkenal, Doktor Salman al Audah bertajuk ‘Terima Kasih Wahai Musuhku’.
Isinya tentu menarik. Saya masih belum membacanya kerana dalam telaah beberapa kitab lain.
Terima kasih sahabatku. Terima kasih juga wahai musuhku. Tak kiralah syeikh-syeikh Firaun yang telah tumbang di Mesir itu atau syeh-syeh Quraish yang sedia menanti tumbang diterjang sunnah Allah ke atas penjarah di muka bumi ini.
48 comments
Comments feed for this article
Februari 17, 2011 pada 1:53 am
abu faruq al-iskandari
alhamdulillah, moga enta terus tabah hadapi ujian ini.
Februari 17, 2011 pada 11:44 am
dramin
tahniah pada ustaz atas usaha anda. moga ustaz akan terus cekal dimasa hadapan.
Februari 17, 2011 pada 12:03 pm
sahabatMU
‘berkatalah KEBENARAN walaupun ianya PAHIT,kerana di dalam PAHIT itu terdapat PENAWARNYA,,,,,,,,SETUJU DGN ARTIKEL INI
Februari 17, 2011 pada 2:52 pm
Aku Hamid
Terima kasih kepada Ustaz Nik Abdul kerana memberanikan diri menulis pengalaman beliau menjadi Ahli Majlis MPKB-BRI selama 8 tahun. Saya sempat bersamanya di tempoh-tempoh akhir selaku ahli Majlis. MPKB.
Saya juga sempat bersama-nya di dalam beberapa Jawatankuasa Kecil di peringkat MPKB dan sempat juga menjadi ahli usrah yang beliau pimpin. Walaupun sambutan kurang menggalakkan, tetapi Ustaz Nik Abduh masih berdegil mengadakan usrah setiap bulan.
Selepas beliau mengundurkan diri selaku ahli majlis MPKB, saya sudah tidak berkesempatan menghadiri Usrah yang dikhaskan untuk ahli Majlis dan pegawai atasan itu kerana, usrah dah tak jalan kerana dah tak laku. Terima kasih di atas Kedegilan Nik Abduh, Walaupun usrah tidak ada dalam Perintah Tetap MPKB. Ini bukan salah MPKB, tetapi manusia di MPKB.
Melalui program keilmuan seperti itu mendorong kami bekerja dengan bersungguh-sungguh agar dasar Kerajaan negeri sejak 20 tahun dulu MEMBANGUN BERSAMA ISLAM boleh dan mampu dilaksanakan di semua peringkat.
Kami sedar bahawa perjudian dan pelacuran masih ada di Kota Bharu, sebab selagi masih ramai orang yang jahil dan jahat, selagi itulah maksiat ada. Tetapi harus di ingat oleh sesiapa sahaja yang matang, bahawa Kerajaan Negeri melalui MPKB tidak pernah mengeluarkan lesen premis dan lesen membenarkan menjalankan perniagaan di premis dalam kawasan pentadbiran MPKB kepada syarikat yang nak menjalankan perjudian, tetapi syarikat berkenaan telah mendapat lesen perniagaan judi, kerana kuasa memberi lesen judi terletak pada kuasa Kerajaan Persekutuan. Ini bermakna mana-mana peniaga masih boleh menjual tiket 4D, Sport Toto atau apa-apa judi melalui kaedah tidak mendedah. Kalau peniaga nak jual secara sembunyi-sembunyi itu tidak menjadi kesalahan kepada Kerajaan Persekutuan. Sebab itu Polis tidak boleh bertindak, sebab judi yg diniagakan oleh peniaga itu halal di peringkat Persekutuan dan haram di peringkat Kerajaan Negeri atau PBT di Kelantan.
Semoga kalian boleh memahami, kerana aku tidak mampu menulis dengan bahasa yang baik dan halus seninya serta tidak mampu menyusun kata-kata ego atau irihati.
Februari 18, 2011 pada 12:11 pm
cik lemon
Owh..ic~ skg baru paham nape kt klantan tetap pnjual tiket2 judi tuh.
timekasih atas info.
Februari 17, 2011 pada 6:45 pm
Fadli
Masyaallah.amat bermakna
Februari 17, 2011 pada 9:07 pm
kuehkepit
Walaupon ada maksiat yang berlaku di zaman Rasulullah saw, pelaku2 maksiat datang kepada Rasulullah minta dihukum. Ada pelaku2 maksiat di kota baru datang kepada tok guru minta dihukum?
Bila tidak tahu mentadbir, sampaikan pelacuran pon berlaku disebelah rumah, mula lah buat cerita yang di mekah dulu pon berlaku maksiat. Tolong la jangan kait kan ********** dengan hikmah yang Allah swt jadikan untuk taudalan dan pengajaran kepada manusia di zaman Rasulullah saw dulu.
Februari 17, 2011 pada 10:46 pm
nikabduh
kuehkepit,
1) Mana kamu tahu tiada pelaku maksiat datang kepada tok guru minta pencerahan untuk taubat? Yang confirm, mereka takkan datang jumpa DS Najibkan?
2) Mana kamu tahu semua pelaku maksiat datang jumpa al Rasul untuk taubat dan dihukum? Baca contoh kedua saya.
3) Siapa yang halang hukum hudud terlaksana di Kelantan sehingga akan ada orang yang taubat akan menyerah diri? Bukankah Tun Mahathir?
4) Siapa kata kaitkan Madinah sebagai salah? Jika begitu, elok tiru umno ambil barat?
kuehkepit, saya harap saudara berhemat
Februari 19, 2011 pada 9:33 am
Penyair malam
Antara dalang yang menghalang hukum hudud di Kelantan ialah Zaid Ibrahim. Namun PAS telah memaafkan dan mendokongnya dengan begitu mesra sekali…
Februari 22, 2011 pada 8:01 am
ezmanshah
3) Siapa yang halang hukum hudud terlaksana di Kelantan sehingga akan ada orang yang taubat akan menyerah diri? Bukankah Tun Mahathir?
Betulkan kenyataan tuan yang bijaksana sini ini? Buktikan! Jangan baling batu sembunyi tangan. Siarkan kenyataan Tun Mahathir, surat atau apa sahaja berkaitan kenyataan Tun Mahathir yang menghalang hudud. Jangan sekadar hanya berani membuat tuduhan.
Belajar agama tapi tidak mampu mempertahankan akhlak seorang Islam. Mengapa dari dulu hingga sekarang tidak habis-habis berdendam pada Tun Mahathir? Sirah atau Sunnah Rasulullah S.A.W. yang mana tuan amalkan ini?
Beginikah taqwa dan iman tuan yang akan tuan persembahkan depan Allah S.W.T. nanti?
4) Siapa kata kaitkan Madinah sebagai salah? Jika begitu, elok tiru umno ambil barat?
Salahkan UMNO ambil perkara yang positif dari barat tetapi Islam di tegakkan! Islam ditinggikan! Kalau begitu mengapa kamu menggunakan kereta? Bukankan pencipta kereta dari barat? Telefon bimbit? Televisyen? Komputer? Internet? TV satelit? Semua itu orang Islam seperti kamu yang lebih gemar memusuhi saudara seIslam yang cipta?
Ketua pembangkang kamu merupakan pejuang pluralisme agama yang merendahkan martabat dan ketinggian Islam! Dan kamu bersekongkol dengannya!
Pendidikan agama kamu tidak menjamin kamu bercakap sesuka hati, lebih-lebih lagi menyakiti hati saudara seIslam kamu!
Mengapa di dalam blog kamu tidak menyentuh kezaliman bukan Islam di Malaysia kepada saudara seIslam kamu? Kamu redha dengan kezaliman mereka bukan?
Demi Allah S.W.T. dan Rasulullah sebenarnya perjuangan kamu bukan berlandaskan Islam sebenar. Perjuangan kamu lebih berlandaskan dendam kesumat! Dan perjuangan yang kabilah PAS kamu sahaja yang faham! Dan mungkin juga perjuangan syok sendiri serta perasan lebih Islam dari agama yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.
Dan bagaimana caranya kamu ingin membetulkan aqidah dan syirik yang bukan sedikit dikalangan kamu yang terlalu taksub kepada Tok Guru? “Kalau berani kamu pijak poster Nik Aziz!” “Kau kutuk Nik Aziz, tunggulah bala datang kat kau!” Kononnya malapetaka boleh menimpa si pemijak dan si pengutuk. Dan bukan sedikit contoh lain yang menjerumus perkara syirik dan boleh menggoncang aqidah akibat terlalu taksubkan Tok Guru kamu!
Dari Abdullah bin Umar r.a Rasulullah s.a.w bersabda,:”Orang Islam itu saudara orang Islam, ia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkannya teraniaya. Sesiapa yang menolong keperluan saudaranya, Allah akan menolong keperluannya pula. Siapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari akhirat kelak. Siapa yang menutup rahsia orang Islam, Allah akan menutup rahsianya di hari akhirat kelak” (Bukhari).
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Ahli syurga itu ada tiga golongan iaitu orang yang memerintah yang bersifat adil dan dikurniakan taufiq, orang yang berperasaan kasih sayang serta berhati lembut kepada setiap kaum karabat dan sesama Islam, orang yang tidak suka meminta-minta dan berusaha mengelak daripada meminta-minta sedangkan ia mempunyai keluarga yang ramai” (Riwayat Muslim).
Dari Abi Hurairah r.a katanya : “Telah bersabda Rasulullah SAW : “ Janganlah kamu saling dengki mendengki, janganlah kamu saling tipu menipu, janganlah kamu saling belakang membelakangi dan janganlah kamu menjual di atas jualan setengah daripada kamu dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam yang lain, tidak boleh ia menganiayai dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) serta tidak boleh mendustai dan tidak boleh menghinanya. Taqwa itu di sini (Nabi berkata sambil menunjukkan ke arah dadanya tiga kali) Sudah cukup banyak kejahatan seseorang itu bahawa ia merendahkan saudara seIslamnya. Sekalian orang Islam atas orang Islam yang lain adalah haram darahnya, hartanya dan kehormatannya” (Riwayat Muslim).
Semoga Allah S.W.T. menjauhkan kamu dari perbuatan bongkak, syirik dan takbur. Ilmu manusia itu terlalu sedikit. Yakinlah setiap perbuatan kamu akan kamu pertanggungjawabkan di depan Allah S.W.T. kelak. Kasihkanlah juga saudara seIslam kamu!
Februari 22, 2011 pada 10:13 am
nikabduh
ezmanshah,
Saudara minta bukti Tun Mahathir halang hudud? Aik, tanyalah DS Najib, Anwar, Muhyiden, Sammy Vellu dan seluruh politikius Malaysia. Adakah saudara baru sangat dalam hal politik ni sampai matahari terang pun nakkan bukti. Tak ingatkah amaran gila Tun Mahathir dulu tu?
Jika saudara ditahap ini, jawaban saya nungkin tidak akan memuaskan saudara untuk tempoh yang panjang. Belajarlah politik lebih lama dah jangan datang kepadanya denagn amarah. Ini nasihat yang baik
antipas,
jawaban blog yg saudara minta rujuk itu agak kebudakan. Saudara lebih tahu dengan taraf seorang pensyarah. Kita kena akui samada di pihak bn atau pr, sesetengah bloggers agak malang isinya.
Februari 27, 2011 pada 12:11 pm
balkis
saudara ezmanshah..
janganlah bersikap begini kpd ust Nik Abduh,
cuba saudara bagitahu saya, bagaimanakah caranya saudara menegakkan ketinggian syariat dan perlaksanaan Islam dalam kehidupan saudara dan juga masyarakat serta rakyat negara ini?
pernahkah saudara terfikir betapa penatnya pihak PAS dan juga betapa peritnya perjuangan mereka dalam benar2 mempertahankan kedaulatan Tuhan yang satu serta hukum-hakamNYA?
pernahkah saudara fikir betapa selama ini para pejuang serta pimpinan PAS lah yg selalu dihina,difitnah dan disakiti?dan betapa merekalah yang paling mengasihi semua orang islam dan rakyat dalm negara ini dengan sentiasa tabah untuk membawa mereka semua ke arah jalan yang diredhai Allah Ta’la dan semakin mendekatkan diri kepadaNYA
pernahkah saudara EZMANSHAH memahami dan mengerti ini?
semoa ALLAH TA’LA masih lagi akan memberi saudara petunjuk dan hakikat perjuangan Islam yg sebenarnya…bukan sekadar perasaan semata-mata
Februari 17, 2011 pada 11:40 pm
mobydick
Mengajar manusia berbuat baik tak semudah yang disangka,kejahilan,kejahatan memang sudah terpahat di hati sanubari tak payah untuk dituruti….
Februari 18, 2011 pada 7:23 am
gentarasa
Salam yang dihormati ustaz,
Ana doakan ustaz tabah dengan mehnah ini dan terus istiqamah di jalan taqwa. Amin.
Februari 18, 2011 pada 10:49 am
peribadirasulullah
Saya memahami jiwa anda, anda ada usaha untuk berubah dan memilih Jalan Allah SWT sebagai Jalan Hidup. Mereka yang banyak memberi pandangan tetapi tidak sanggup berkorban untuk melaksanakan pendapat tersebut sebenarnya adalah mereka yang tidak Ikhlas dalam memperjuangkan Amar Maarud dan Nahi Mungkar.
Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam mengurus kehidupan kita. Suasana dan Budaya sekarang tidak membantu membentuk Peribadi Rasulullah SAW kepada umat Islam, malah segala-gala membentuk budaya syirik dan menolak Hukum Allah SWT. Oleh yang demikian Islam mesti dibentuk dalam setiap peribadi yang mengucap 2 kalimah Syahadah.
Islam pasti berjaya dan akan menerangi dunia.Allah SWT hanya menunggu tindakan permulaan Umat Islam. Jika titik permulaan telah diasaskan pasti Kejayaan akan menyusuli. Itulah Janji Allah SWT. ” Sesungguh Pertolongan Allah SWT terlalu hampir kepada kita “.
Amin Ya Rabbal Alamin.
Februari 19, 2011 pada 9:30 am
Penyair malam
Saya rasa lenggok bahasa saudara dalam entri ini agak kurang matang dan lemah. Mungkin entri ini ditulis bebaur api ammarah. Sebagai anak kepada orang yang amat dihormati, jagalah bahasa walaupun dengan mereka yang tidak sehaluan. Kebanyakan entri saudara mengukuhkan lagi andaian bahawa saudara masih mentah dalam urusan da’wah dan politik. Janganlah dipolitikkan isu peribadi dalam MPKB. Kalau perkara tersebut bersifat peribadi, tanganilah secara peribadi. Janganlah diguna kelebihan anak Tuan Guru, untuk melempiaskan kemarahan dan rasa tidak puas hati. Bersikaplah secara professional…
Februari 19, 2011 pada 9:59 pm
antipas
hampir sempurna? saudara tak tgk konsert wali band tempoh hari? Itu kah contoh keasempurnaan Pas? jagan buat lawak geng.Saya pensyarah salah sebuah IPT di Kota Bharu ni akan berterusan menerangkan kepada siswa/siswi saya ttg byknya kelemahan Pas dalam mentadbir negeri Kelantan ini
Februari 20, 2011 pada 7:11 pm
nikabduh
antipas,
konsert waliband? MPKB telah mensyaratkan peraturannya yang jelas agar hiburan menepati ‘harus’ dalam ugama antara penghibur dan yang dihibur. Kebanyakan majlis berjaya, sebahagian gagal kerana penganjur gagal, lalu didenda dan di’blacklist’kan. Ada yang kurang sempurna seperti konsert di atas, lalu diberi perhatian dan ingatan. soalan saya, mana silap kerajaan negeri dan mpkb di situ? Kemudian, bandingkanlah dengan kerajaan umno pula. Penghibur homoseks pun dibenarkan?
Atau anda telah buang syariat dalam brrhujah? Nak syarah pada mahasiswa? Oh, silakanlah. Saya bagi anda 24jam untuk itu! no more ISA under PAS. Ingat dua perkara; akhirat dan bahaa mahasiswa itu cerdik, akn menilai kedunguan pensyarahnya..
Februari 21, 2011 pada 11:55 am
antipas
saya faham secerdik mana manusia itu kalau diberi ajaran yg salah, dia akan menjadi org yg tak faham mana yg betul, mana yg salah. Tak perlu jadi ‘rocket scientist’ utk faham bahawa Allah itu mencarut adalah ajaran yang salah. tak perlu nak mempunyai IQ setinggi Einstein untuk mengetahui bahawa menerima rasuah adalah haram tak kira lah rasuah itu ‘terselindung’ dgn tajaan haji atau umrah
Februari 21, 2011 pada 7:18 pm
nikabduh
antipas,
Yang menentukan hukum mengatakan Allah mencarut itu adalah para ulama. Jangan berhukum sendiri. Hukum adalah medan milik ahli ugama. Sehingga kini ulama kita khilaf mengenainya. Ayahanda kekal dengan hujah yang gagal dijawab ulama yang menemuinya. Antipas, kamu guna otak tu ketika berbicara hal hukum. Mana boleh? Orang kata jahil kamu marah.. Kemudian, bicara pasal rasuah bagus. Tetapi menuduh tuan guru rasuah dengan mengangkat pemimpin umno adalah memalukan. Jika kamu umno, usahlah bercakap pasal rasuah. Memalukan siswa siswi kamu saja…
Februari 23, 2011 pada 1:48 pm
Gelembong Merah
Antipas : Tok Guru ke Mekah bukan duit tajaan. Sebab tu SPR tak dakwah kerana, Tok Guru ada sebut ada anak murid dia nak taja ke MEKAH, taoi tak pegi. Itu kena faham lah.. malu UMNO… demo gak.
Februari 20, 2011 pada 12:56 am
insan
alhamdulillah utz, ada jugak insan yang balas tulisan tuan kick…., saya dok mencari/menunggu coretan kepada tulisan berkenaan…alhamdulillah…tenang la sikit jiwa
Februari 23, 2011 pada 8:14 pm
antipas
ahamdulillah, berkat serangan bertali arus dari BN kepada Pas buat Pas panas punggung. Dari kes skandal ADUN Selising, ADUN Perupok, kes PMBK dsbnya saya tgk penerimaan golongan muda yg lebih berminat mencari kebenaran adalah lebih mudah.Org muda sekarang celik IT. Cuba kita tgk bertapa popularnya blog Tun Dr. M, the unspinners, kickdefella , rbf, papagomo dan terlalu byk blog yg lain Kalau nak dikatakan semua itu fitnah oleh BN kenapa tak disaman aja. Biar mahkamah menentukan.
Mac 27, 2011 pada 8:06 pm
wahidah
nak buat apa bawak ke mahkamah sivil yang tak adil tu?
bawak ke mahkamah pun, mana yang bagi benefit kat ‘die’, dibicarakanlah.
kalau tak bg benefit kat ‘die’, dibiarkanlah..
bukti:
-altantuya
-teoh beng hock
-lina joy murtad
-blog raja petra
-ayah pin
ambo orang muda, ambo tengok, baca dan analisis kedua-dua belah pihak. kedua2nya ada kelemahan, tapi yg plg jelas dasar perjuangan adalah PAS.
Februari 20, 2011 pada 10:58 pm
mat
Salam1 malaysia 1 ummah.Kerajaan kelantan banyak kelemahan!Kerajaan kelantan banyak kekurangan!Ada wakil rakyat pas yang cakap tak serupa bikin.Ada orang pas yang cakap tak serupa bikin.Namun kerajaan kelantan berpuluh kali ganda jauh lebih baik dari kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri lain.Anda setuju?Alhamdulillah.Anda tak setuju??Takdak masalah.Yang pasti saya tidak berasa rugi sedikit pun bahkan sangat bersyukur berkerajaankan pas dan bermenteri besarkan tok guru.
Februari 21, 2011 pada 12:25 am
pemudapasbagan@yahoo.com
terimakasih !
Februari 21, 2011 pada 12:15 pm
Habib Ahmad
Maulid al rasul bersama Syeikh Fahmi Zam Zam, Baba Aziz dan Habib Ali Zainal Abidin : http://facebook.com/pages/PONDOK-HABIB/295419981998
Februari 21, 2011 pada 10:26 pm
Umar Mukhtar
Semoga Allah menolongmu… Islam tertegak atas hujjah, akal yg sihat dan fitrah yg sejahtera… Sesungguhnya perjuangan Islam itu ialah komitmen dalam process, bukanlah menumpu kepada end-result… ramai lg yg memegang gelaran dr, dato’, pensyarah, cikgu, dan sekalian title yg lain telah ditipu dengan penipu paling licik di Malaysia iaitu BTN…sori to say tp apabila dikaji ternyata kebenaran itu milik Allah selamanya….
Februari 27, 2011 pada 12:29 pm
balkis
say suka ayat saudara umar mukhtar..
“Apabila dikaji,ternyata kebenaran itu milik Allah selamanya…”
Subhanallah…Allahuakbar….daiman,,abadan,,
Februari 22, 2011 pada 4:13 am
Tahar
Artikel yg secara tersiratnya mengatakan, apa salahnya maksiat ada di Kelantan?
Februari 22, 2011 pada 9:25 am
antipas
ada artikel ttg kenyataan saudara. saya berikan link di bawah, harap dapat saudara beri komen
http://darulehsantoday.blogspot.com/
Februari 22, 2011 pada 12:27 pm
Sang Guna
Salam,
Masing2 boleh berhujah dgn akal dan ilmu masing2, TAPI semuanya demi utk menutup kelemahan sendiri.
Apa salahnya berusaha utk memperbaiki kelemahan yg ada tak perlu digembar gemburkan dgn dibuat perbandingan yg cuma akan mengelirukan masyarakat.
Ingat la setiap apa yg kita keluarkan bukan bermakna semua org boleh terima, ada org mengaji syariat pun tak habis, jgn le kita bawa hingga ke makrifat kelak nanti ramai yg keliru.
Aku bukanlah seperti kau atau mana uztaz yg tinggi ilmu, aku cuma org biasa yg selalu bergaul dgn org biasa yg sekarang ini byk yg terkeliru dgn berbagai2 fatwa yg bersimpang siur yg dikeluarkan demi utk apa? kita sendiri pun tak tahu.
Contohnya dlm kes penggunaan Kalimah Allah, ada yg kata boleh, ada yg kata tak boleh, bukan ke mengelirukan bagi org biasa yg kurang berilmu.
Mohon maaf klu ada kata2 yg menyinggung, saya cuma manusia biasa.
Terima Kasih.
Februari 22, 2011 pada 2:10 pm
nikabduh
Sang Guna,
Bagus. Satu yang anda perlu tahu, kekeliruan adalah bentuk ujian Allah ke atas hambaNya. Setiap hamba perlu berusaha seikhlasnya untuk menemukan yang paling tepat dengan syariatNya. Perhatikan betapa kekeliruan bermula secara dahsyat di zaman pertelingkahan para sahabat, tetapi itu tidak menjadikan mereka undur ke belakang di dalam mencari kebenaran dan menurutinya. Ketahuilah, mengenali pas dan umno adlah kewajiban kerana kedua-duannya saling memerintah dan mengurus kuasa. Pilihlah yang benar. Mengenali yang benar bukan sekadar duduk dan pejam. Berjalanlah dan lihatlah dengan berani. Semoga Allah menunjuki hambaNya yang berusaha menujuNya
Februari 22, 2011 pada 5:27 pm
Sang Guna
Salam Nik Abduh,
Bagus!?, Apa yg bagusnya, takde apa yg bagus pada kenyataan aku tu, tapi tak apa terima kasih kerana memberi aku idea untuk terus mencari dan mengaji.
Alangkah baiknya klu aku dapat berbual panjang dgn kau, klu ada jodoh kita jumpa.
Terima Kasih
Februari 22, 2011 pada 8:16 pm
nikabduh
Sang Guna,
Bagus kerana saudara berani berterus terang. Itu akhlak yang mulia. Ya, jika masa itu bisa mendengar, ia menemukan kita dengan izin Allah.
Februari 22, 2011 pada 10:31 pm
antipas
kalau org pentingkan poitik dari ugama inilah akibatnya.hukum Allah berubah ubah ikut selera politik
Februari 27, 2011 pada 12:32 pm
balkis
NTAHPAPENTAH komen antipas nie,,
senyap dah laa…
April 7, 2011 pada 2:05 pm
man
sbb tu org srh ngaji… nak bg ilmu… isu guna kalimah Allah, sapa sapa pun boleh guna… org kafir nak baca Quran pun bacalah….tp haram pegang dan memutar belit tafsirnya…
Februari 22, 2011 pada 6:04 pm
QalamulHaq
Ezmanshah:
Nk bukti Mahathir menghalang Hudud di Kelantan???..Ini linknya..
Februari 24, 2011 pada 1:17 pm
ezmanshah
Jika PAS memang konsisten ‘memperjuangkan’ hudud, mengapakah kini tidak ‘menjerit’, ‘memekik’ dan sebagainya berkaitan hudud? Salah Tun Mahathir jugakah apabila Kedah kini yang di bawah kerajaan PAS belum membentangkan undang-undang ‘Hudud PAS’?
Dalam perjuangan konsisten terhadap hudud, PAS berjaya memberi lebih kefahaman kepada DAP berkaitan Islam?
Berapakah jumlah ahli atau pemimpin DAP yang sudah diIslamkan oleh PAS hasil kerjasama bagi memperjelaskan kefahaman terhadap Islam?
Atau PAS semakin lesu untuk memperjuangkan Islam kerana takut kepada jerkahan DAP?
Berapa ramai pemimpin hebat PAS yang bersuara terhadap kenyataan Karpal Singh, “Langkah mayat saya dahulu!”? Takut?
Janganlah berlagak seperti ‘kabilah’ kamu sahaja yang lebih memahami dan mendalami Islam sehinggakan sanggup melakukan apa sahaja.
Baiklah. Saya meminta jasa baik pemimpin PAS yang kononnya lebih Islam dari semua orang Islam di Seluruh Malaysia (mungkin Seluruh Dunia), melaksanakan beberapa hukum ‘Hudud PAS’ kepada pemimpin PAS terlebih dahulu (yang tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan). Supaya rakyat lebih faham perjuangan konsisiten ‘Hudud PAS’.
Tunjukkan contoh teladan dahulu sebelum kamu mendabik dada menuduh dan memfitnah orang lain.
Firman Allah Taala, maksudnya: ” .. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah? ” (87, An-Nisa’).
Daripada Auf bin Malik r.a bahawa rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “ Imam-imam kamu yang terbaik ialah yang kamu mengasihi mereka dan mereka mengasihi kamu. Mereka berdoa untuk kamu dan kamu berdoa untuk mereka. Dan imam-imam kamu yang paling jahat ialah imam-imam yang kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu, kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk kamu. Rasulullah SAW ditanya : “ Ya Rasulullah! Bolehkah kami memecat dan memerangi mereka dengan pedang? Rasulullah SAW bersabda : “ Tidak, selama mereka mendirikan solat di antara kamu. Dan apabila kamu melihat sesuatu yang kamu tidak menyukainya dari penguasa-penguasa kamu, maka hendaklah kamu membenci amalannya dan janganlah kamu menderhaka.” (Muslim, ad-Darimi dan Ahmad).
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tiga Golongan manusia yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka di hari kiamat, tidak menganggap mereka sebagai orang yang bersih, tidak melihat kepada mereka, dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dengan azab yang sangat pedih. Mereka ialah orang tua yang berzina, raja atau pemimpin yang suka berbohong dan orang miskin yang sombong” (Riwayat Muslim).
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Bukanlah (golongan ini) daripada orang beriman yang sempurna imannya : orang yang suka mengecam, suka melaknat yang suka bercakap kufur dan yang suka mencarut” (Riwayat Ahmad).
Firman Allah Taala, maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah” (2, Al-Anfaal).
Februari 28, 2011 pada 10:10 am
nikabduh
ezmanshah,
Siapa kata pas tak konsisten pasal hudud? Kedah? Kelantan dan Terengganu telah menyiapkan enakmennya, tetapi umno halang. Mengapa kamu cabar Kedah pula? Tidakkah ini hanya kesombongan mereka yang kalah, tapi hanya tahu nak menang saja. Suruh orang pakai kain, kita sendiri telanjang. Bila orang pakai kain, kamu kata kain tu tak boleh pakai.
Berapa ramai DAP masuk Islam dalam PR? Aik, nak terima Islam sebagai sistem kena masuk Islam ke? Begitukah Islam yang kamu faham? Makin nampak cetek kamu. Siapa kata tak ramai masuk Islam selepas berkawan dengan PAS? Ada non muslim yang nak ikut usrah PAS, kami bagi masuk. Selepas beberapa lama, dia datang pakai kopiah isytihar masuk Islam. Ini contoh saja bagaimana Islam begitu dikenali walaupun dalam suasana politik yang begitu kritikal.
Ezman belajarlah cabar orang pada perkara yang umno dah buat. Ni, dah tahu umno gagal dan enggan, kamu cabar orang lain jangan lebih baik dari kamu. Degil juga kamu ni.
Karpal Singh? Ni pun jahil murakkab. Kita lawan cabaran Karpal sejak dulu. Sekarang Karpal dah berubah, dah kendur. Semua tahu. Itu sudah cukup, kerana yang pas mahu ialah semua mesti beri kebebasan untuk pas perkenal Islam. Jangan lawan macam umno. Pekak dan menyuruh mca pekak juga. Kita tak paksa dap cina india terima Islam. Hak kita ialah kebebasan untuk menyaaikan. Ini umno sekat dengan fitnah dan undang2.
Ezman, ayat dan hadis yang kamu baca tu betul. Bagaimana kamu hukumkan ke atas Pas? Ada pas angkat senjata ke? Senjata pas ialah suara rakyat! Suara rakyat yang benar akan menghukum kezaliman.
Kelak Ezman akan sokong perjuangan PAs insya Allah. Doa saya..
Februari 28, 2011 pada 11:35 am
Hasrul
Salam utk semua,
Islam adalah agama yang suci. Terima kasih kpd Ust Nik Abduh atas usaha murni Ustaz mentadbir & mengurus MPKB secara Islam. Di zaman Nabi Muhammad S.A.W, Islam tersebar kerana usaha Nabi dan para sahabatnya yang tidak pernah jemu untuk memperjuangkan Islam daripada Nahi & Mungkar. Saya sebagai pemuda Islam memerlukan pemimpin seperti Ustaz dlm mentabir negara, saya tidak berani kata dlm Pas semuanya Islam dan saya tidak mampu berkata dlm Umno semuanya tidak Islam. Tapi yang penting perjuangan Islam kita samada dlm Umno atau Pas adalah bergantung pemahaman kita sebagai para cendiakawan menafsirkan kebenaran Islam disudut masing2. Amatlah rugi bagi kita belia Islam saling bertelingkah dan saling menuduh mempertahankan hak masing. Ingatah sauadara, era Tun Mahathir & Tok Guru Nik Aziz sudah hampir tamat, yang pentingnya sekarang, kita generasi baru yg akan disoal oleh Allah S.W.T apa yang wajib kita lakukan didalam mentadbir Malaysia sebagai sebuah negara Islam bagi memastikan Islam masih kekal di Malaysia dan rakyatnya adalah Islam samada Melayu, Cina, India dan bansa2 lain. Saudara semua, parti Pas & Umno adalah parti Islam cuma pemahaman Islam yang berbeza, marilah kita sama2 memperjuangkan Islam demi untuk anak2 kita nanti. Insya Allah. Terima kasih Ustaz Abduh krn saya pasti apa yg telah Ustaz lakukan selama ini adalah tanggungjawab Ust sebagai pemimpin Islam. Hidup Islam atas muka bumi Allah ini. Wassalam
Februari 28, 2011 pada 4:23 pm
balkis
ustaz Nik Abduh..
saya betul-betul sukalah dgn karangan ustaz yg satu ni,,
betul2 mantap dan bernas serta bagus++
saya percaya yg tulisan ini juga ditujukan kpd blog kickdefella yg pelik tue,,
dan saya yakin bahawa inilah jawapan yg paling bagus utk dia.
semoga Allah S.W.T sentiasa merahmati dan melindungi ustaz.=)
Mac 4, 2011 pada 3:23 pm
one joe
ezmanshah….
lagi lama ada berkata kata…lagi nampak anda jahil……
karpal singh tu islam ke kafir?….kalu dia tentang hudud selayaknya lah dia yg kafir itu….tapi kamu yg mengaku islam mengapa tidak mahu mengaku bahawa hudud itu Allah yg punya ndan kita sama2 bangun memperjuangkannya….ini bukan kerja PAS shj tapi seluruh umat islam selagi mana kamu mengaku islam….menolak hukum islam samalah menolah Islam…nauzubillah….
Mac 26, 2011 pada 9:56 am
antipas
assalamualaikum,
apa cerita kes video lucah? kenapa tak mintak ditubuhkan suruhanjaya diraja utk siasat kesahihan video itu
Mac 27, 2011 pada 6:19 pm
wahidah
mohon paste di blog ana ye ustaz?
April 11, 2011 pada 1:58 am
pengiran
saya pernah dengar mufti perak berhujah mengenai hudud nni. tapi ni salah satu contoh mengapa hudud kena di tangguhkan sesetengahnya.
ada sesiapa boleh jawab:
hukum mencuri potong tangan jika si A tu mengaku tidak islam bagaimana. walaupun jelas dia di besarkan sebagai islam. kalau dia mengaku murtad. walaupun di bertaqiah sahja?kita kena hukum bunuh si murtad ni?atau untuk mengelak peristiwa ni terjadi kita guna tazir saja penjarakan saja?
2) penyelesaian:
kalau nak laksanakan hukum hudud sepenuhnya mahkamah civil kena di bubarkan
3) ambil contoh arab saudi,taliban afghanistan.
4) ulama kita tidak lagi mendalami islam, iman,ihsan secara syumul. ramai antara kita cuma bercakap secara feqah sahja.tidak lagi secara roh islami yang mementingkan ihsan.
5) gejala sosial berlaku mencerminkan akhlak para ulama. gagal dalam mentarbiyah dan tazkiah nafs orang2 islam untuk menjadi insan kamil.
6)umat islam di malaysia hanya islam sahja tapi imanya belum masuk ini juga mencerminkan tahap keimana ulama atau imam mereka.
7) pejuang-pejuang islam sama ada pas atau umno lupa tanggungjawab dan amanah sebagai khalifah di muka bumi ini.
8) perjuangan utama ialah untuk menegakan kalimah lailahaillah sudahkah anda berdakwah kepelusuk negara? pernahkah anda pergi ke hulu sarawak dan sabah berdakwah?
9) adakah anda tahu bagaimana perjuangan ahli umno di sabah menegakan kalimah lailahaillah muhammadrasulullah?
10) semasa saya kecil masih ingat lagi pengislaman besar besaran berlaku di sabah.
11)mahathir yang kamu kutuk itu sebagai insan yang rasuah,maha zalim,maha firaun,shit, u name it apa lagi. juga berjuang menegakan kalimah laillahaillah.mereka berjaya di sabah tapi di sarawak masih berusaha lagi.
12) kegagalan sebahagian besar ulama dan umat islam melihat pada hakikatnya di dunia ini tiada negara yang merdeka sebenarnya kita masih dijajah dalam bentuk cara baru yang kita tidak sedari.
13) kemungkaran paling besar serta dosa besar sehari-hari kita lakukan adalah dosa memakan riba.
14)riba 36 kali ganda besar dosanya dari berzina.
15) mengikut sheikh imran hussein fiat money adalah riba zaman moden.saudara boleh lihat ceramahnya di youtube.
16) jika kita umat islam sekarang gagal membebaskan diri kita dari system riba ini kita buat apa yang termampu. saudara jangan lupa juga istilah negara islam itu pun adalah istilah yang baru.
17) secularisme adalah ciptaan barat iaitu pemisahan negara dan gereja. saya tak nampak apa releven secular di sini dengan islamist umno.
18) islamist umno pun ada banyak cth saja a)yang melihat atau view lebih kepada tasauf b) yang view lebih kepada aspek feqah tapi aspek feqah ni ramai sama juga mcam org pas.berhujah macam-macam semua nak menang. bukan nak mencari keredhaan. belum masuk lagi puak-puak wahabi kalah kita kalau berhujah sama mereka. mereka dalil cukup ternganga kita
19)teringat kawan dulu berhujah masa SMU dalam alam ni semua makhluk islam pen islam,bumi islam,kertas islam,jam islam,kalander islam.
sekarang tambah lagi economi islam, sains islam,bangsa islam, negara islam,buku islam,sekolah islam,bank islam. semua pun islam kerana mereka tunduk patuh dengan sunahtullah. lepas tu aku menyampuk kenapa tiada tauhid islam,feqah islam,tasauf islam.kawan menjawab oo itu tak perlu kan semuanya sudah islam di alam ini kecuali jin dan manusia sekjap kafir sekejap beriman pandai berubah-berubah. kerana nafs yang kotor walaupun tahu tapi masih kufur dari mengingati allah serta sombong,ego,bongkak,tinggi diri hinggakan ketahap mengaku tuhan seperti firaun seburuk-buruk makhluk allah mengalahkan syaitan.
Mei 3, 2011 pada 3:24 pm
Jack
Tuan nik..
Saya beberapa kali pernah pergi ke Kota Baru kerana anak sekolah disana.
yang hairan yang tak terdapat di Negeri lain di Pasar malam apa namanya dekat pasar tu lah…ada budak boleh jual CD luchah…mana nak kata bandar Islamik. Perempuannya pulak dedah aurat tak payah kira lah. Cuba cari kat bandar kota baru tu..berapa kerat wanita yg. pakai tudung ikut islam.?..