Salam Kamunting,

PAS menyertai pilihan raya dan aktif bergerak dalam sistem demokrasi barat acuan Malaysia hari ini dengan dua matlamat besar. Pertama adalah dengan matlamat islah atau memperbaiki kehidupan rakyat melalui islah politik dan pemerintahan terutamanya. Kedua adalah dengan matlamat menukar pemerintahan sedia ada dengan kerajaan baru yang lebih baik.

Matlamat yang kedua pula akan terhenti secara langsung jika matlamat pertama tercapai. Matlamat pertama dikira tercapai apabila pemerintahan sedia ada, seperti BN hari, telah secara jelas menunjukkan kesediaan dan keazaman untuk melakukan keadilan yang dituntut dan membuktikannya melalui gerakan islah ke arah itu.

Oleh kerana PAS memperjuangkan ketuanan Islam ( HakimiyyatuLlah ) secara mutlak dan murni, maka maksud keadilan itu hendak ditafsirkan secara Islam sebagaimana pengajaran junjungan besar Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Keadilan dalam Islam hanya berlaku dengan mengembalikan hak kekuasaan dan pemerintahan duniawi ini kepada Allah, tuhan pemilik semesta alam.

Justeru kerajaan BN hari ini dikira absah apabila ia bersedia menerima Islam sebagai cara hidup untuk negara Malaysia. Saat itu, tiada hujjah lagi untuk PAS dan semua umat Islam untuk meruntuhkan dan menukarkannya dengan kerajaan yang baru walaupun dengan alasan membentuk kerajaan ‘Islam’ alternatif yang lebih baik.

Dalam Islam, ketaatan kepada pemerintahan Islam adalah sesuatu yang besar. Ia di tempat ketiga selepas ketaatan kepada Allah dan al Rasul. Sebarang usaha menumbangkannya adalah jenayah besar yang dicela, bahkan berhak mendapat hukuman berat.

Jika matlamat pertama itu gagal dicapai iaitu apabila berlaku keingkaran berterusan daripada pemerintah sedia ada untuk berubah, bahkan berterusan melakukan kezaliman ke atas rakyat dan memuncak dengan penolakan terhadap sistem Islam sebagai cara hidup, maka matlamat kedua mestilah diteruskan. Kerajaan sedia ada tiada keabsahan untuk kekal memerintah umat Islam yang dimestikan untuk tunduk kepada kekuasaan sistem Islam yang diredhai Allah.

Ia adalah jihad dan perjuangan yang sah dan fardhu walaupun terpaksa menempuh kesukaran dan halangan serta menuntut pengorbanan ke atas nyawa, harta dan segenap kepunyaan. Perjuangan adalah tuntutan agama manakala ujian adalah sunnah Allah ke atasnya.

Di atas landasan inilah PAS bergerak. Ia jatuh bangun sebagai sebuah parti politik dan berjuang di medan politik yang luas capaiannya dalam sistem demokrasi negara. PAS tidak memilih untuk menjadi sebuah pertubuhan NGO yang agak sempit laluan dan capaiannya.

PAS melalui muqabalah dan muzakarah dengan pemerintah BN hari ini konsisten menawarkan penyelesaian yang lebih mudah. BN mesti bergerak ke arah islah diri yang dituntut agama. PAS pasti menghulur tangan. Tiada cela. Apa yang ada hanyalah pujian daripada syara’.

Tetapi BN yang diterajui UMNO hari ini, walau dalam cedera dan parah tetap konsisten di dalam memelihara kezaliman dan menternak dan memugarinya. Usah kata Islam, nak jaga demokrasi tajaan sendiri pun tak mampu ( meminjam kata ayahanda ). Muqabalah walaupun tiada hujungnya, tetapi ia telah berjaya menjulang Islam di dalam menegakkan hujahnya di hadapan kezaliman dan pemukanya.

Allah menyeru kepada muqabalah di antara Musa alaihissalam dengan Firaun laknatuLlah. Hasilnya adalah penentangan Firaun yang bertambah – tambah. Hasil yang diredhaiNya adalah tertegaknya hujah Musa di hadapan Firaun sebelum kehancurannya.

Justeru PAS mengekalkan arah perjuangannya menuju kedua – dua matlamat tersebut. Ia samada BN yang diterajui UMNO menerima dakwah Islam dan PAS, lalu PAS menghulur tangan ‘baiah’nya dan membangun bersama, atau BN diruntuhkan pemerintahannya dan dicabut kekuasaannya melalui sistem demokrasi negara yang menerima pemindahan kuasa secara aman dan saksama.   

Lebih 50 tahun PAS berjuang, adakah PAS telah memperolehi kemenangan? Adakah kekuasaan sementara dan terhad di Terengganu dan terbaru di Perak adalah kemenangan yang dimaksudkan? Atau ianya satu kekalahan yang menandakan kesalahan PAS di dalam berjuang? Atau adakah itu hukuman Allah kerana bersekongkol dengan DAP yang bukan Islam ideologinya? Kemudian adakah PAS sanggup menggadai prinsip agama demi kekuasaan?

Jika anda membaca dan mendengar perbahasan semasa, anda akan dipukul atau terpukul dengan persoalan – persoalan yang bersifat ‘tasykik‘ yang mencetuskan keraguan di medan perjuangan. Lebih pilu dan menyayatkan apabila ianya ditimbulkan oleh mereka yang turut menggelarkan diri sebagai pejuang Islam atau pengamat perjuangan Islam.