Ketika saya sedang menulis catatan ini, saya baru menerima sms tersebarnya video sundal yang dikaitkan dengan seorang pemimpin besar politik tanah air di dalam internet. Kemudian sms demi sms menghujani saya terutama daripada kawan-kawan yang meminta pandangan dan ‘fatwa’ segera demi menghilangkan keluh kesah dan kekeliruan.
Saya komen ringkas, orang mukmin jangan sebar jika pun rasa percaya. Jika palsu, kita selamat daripada dosa menyebarkan fitnah. Jika benar, kita selamat daripada menyelak maksiat tertutup. Kemudian saya menambah, jika Allah murka, Dia buka aib dan dosa tersembunyi kita pula. Apa rasa jika kita pula diaibkan secara terbuka?
Politik negara kita semakin hari semakin kotor. Ahli politik seperti enggan berubah kepada politik yang lebih baik dan lebih bertamadun. Mereka seperti tidak kisah bahawa politik kotor akan menghumban negara kepada bala dan kerosakan yang lebih besar. Di antara politik kotor yang dilihat secara nyata ialah usaha membunuh karier politik lawan dengan fitnah yang memalukan dan menjatuhkan maruah. Fitnah adalah menyebarkan yang tidak benar atau belum disahkan kebenarannya.
Lebih menyayatkan, ia sehingga menyentuh soal-soal yang jawabannya telah dinyatakan secara jelas oleh al Quran. Pun begitu, sebahagian mereka enggan menerima. Apabila diberi nasihat dan teguran, mereka berusaha menghasilkan deretan hujah yang menggambarkan seolah-olah merekalah penyelamat negara daripada kerosakan. Tentunya mereka sedang dilamun cinta iblis kerana sedang menghujah kekuasaan al Quran dan merasakan mereka lebih benar dan lebih tahu hukum Allah daripada Allah sendiri.
Ketahuilah bahawa dosa dan pahala adalah milik Allah. Dia yang menulis dan Dialah yang membalasnya nanti. Kita tidak pun pernah dan akan tahu berapakah jumlah dosa dan pahala kita sekarang. Sebabnya, ia melibatkan syarat keikhlasan yang duduknya di dalam hati. Seribu tahun kita bersolat tidak bererti semuanya berpahala, bahkan ia diikat keikhlasan diri. Walaupun seribu kali kita mengaku ikhlas, seribu kalilah dakwaan kita itu tidak terpakai. Hak menentukan keikhlasan adalah milik Allah semutlaknya.
Kerana itu Allah tidak pernah menuntut agar kita menulis pahala dan menganugerahi seseorang kerana pahala yang dilakukannya. Begitulah kita juga tidak dituntut menulis dosa dan menghukum seseorang kerana dosanya. Bagaimanakah kita layak dan berhak menganugerahi atau membalas jahat seseorang yang berpahala atau berdosa sedangkan kita sendiri gagal mengesan dan melihat keikhlasan, pahala dan dosa diri sendiri? Maka dosa dan pahala adalah milik Allah semutlaknya. Nanti, Dialah tuhan yang akan membalasnya dengan nikmat atau azabNya di akhirat nanti.
Apa yang kita ada di hadapan ialah kebaikan dan kejahatan yang dilihat. Atau keadilan dan kezaliman yang berlaku di dunia ini. Di sinilah penganugerahan baik dan pembalasan buruk dituntut oleh Allah daripada manusia. Kita dituntut untuk menganugerahi kebaikan dan keadilan yang dilakukan manusia setimpalnya. Begitulah kita juga dituntut membalas keburukan dan kezaliman yang dilakukan manusia setimpalnya. Kebaikan, keadilan, keburukan dan kezaliman adalah suatu yang zahir dan dilihat oleh manusia. Ia tidak memerlukan syarat keikhlasan untuk membalasnya, baik atau buruk.
Adakah seorang pekerja dipotong gajinya kerana mengajar tidak ikhlas? Tidak bukan? Mereka digaji kerana kebaikan mereka menuruti perintah yang diarahkan. Juga, mereka dihukum kerana perlanggaran terhadap amanah yang diberikan. Itulah yang kita harus fahami daripada asas syariat bahawa pembalasan sesama manusia hendaklah diukur pada zahirnya, bukan batinnya. Manusia apabila memasuki ruang batin, mereka akan mendakwa dan menghukum di dalam kekeliruan, kesamaran dan kepalsuan.
Maksiat peribadi yang tersembunyi adalah perbuatan yang melibatkan dosa, bukan kezaliman sesama manusia. Maka ia adalah hak Allah dan kita sama sekali dilarang menghukumnya. Zina, minum arak, tidak solat dan sepertinya adalah dosa peribadi yang tidak menzalimi orang lain. Maka Allahlah yang akan mengadilinya. Tetapi jika zina bertukar kepada rogol, atau mabuk arak sehingga mengganggu ketenteraman awam, atau tidak solat secara terbuka yang memalukan, melukakan dan menyebarkan kefasikan di dalam masyarakat Islam, maka ia telah bertukar bukan hanya sekadar maksiat peribadi, bahkan ia telah mencetuskan kezaliman di dalam masyarakat. Saat itulah, Allah menuntut kita bertindak memadamkan kezaliman dan fitnah tersebut.
Begitulah kesalahan lain yang lebih jelas kezalimannya terhadap sesama manusia samada ianya ikhlas atau tidak, tertutup atau terbuka seperti menipu, mencuri, merompak, merasuah, membunuh dan memfitnah. Bayangkan pula jika ianya melibatkan jutaan manusia seperti merompak wang rakyat, merasuah jutaan ringgit dan memfitnah pemimpin rakyat yang membawa kesan buruk yang lebih besar.
Mereka bertanya, jika begitu bagaimana kita mampu menyekat budaya zina yang kian menular di dalam masyarakat? Tidakkah zina biasanya tersembunyi? Ya, selagi ianya tertutup, ia kekal jangan dibuka bongkar. Budaya zina hari ini pula telah melewati batasan keperibadian dan kesembunyian. Ia telah merebak ke ruang terbuka melalui kejelekan muqaddimahnya dan akibat buruknya. Pergaulan bebas begitu ketara, berpacaran dan berpelukan di khalayak ramai begitu terbuka dan akhirnya jenuhlah anak luar nikah, pembunuhan terhadap bayi dan pengguguran kandungan luar nikah.
Membasmi budaya ini bukanlah dengan cara menyerbu dan mengintai orang berzina, tetapi dengan nasihat dan dakwah, juga dengan menutup, menghalang dan mengawasi lokasi-lokasi yang menjadi punca berleluasanya aktiviti terkutuk itu. Jika zina tertutup itu telah diketahui di luar kerana ada yang melaporkannya, atau tempat itu telah terkenal dengan aktiviti tidak bermoral, maka adalah hak bagi pihak berkuasa untuk bertindak memadamkannya samada menangkap, mengawasi atau menutupnya terus. Zina tersebut telah melangkaui sempadan kesembunyian kepada kezaliman terhadap masyarakat. Sebuah masyarakat Islam yang bersih akan terganggu dengan mengetahui dan mendengar maksiat yang berlaku di sekitarnya tanpa tindakan menutupnya.
Mereka bertanya lagi, bagaimana jika ia melibatkan pemimpin yang kejahatannya walaupun bersifat peribadi adalah penipuan dan pengkhianatan terhadap rakyat? Saya menjawab, ya, ia kekal peribadi. Semua kita adalah pemimpin terhadap anak buah masing-masing. Jika maksiat peribadi pemimpin harus dibezakan, maka izinkanlah anak-anak kita sendiri mengintai maksiat kita kerana kita telah mengkhianati mereka. Mahukah?
Mereka enggan berhenti daripada bertanya, video telah tersebar dan ditontonkan secara terbuka. Tidakkah itu telah menjadi maksiat terbuka yang mesti dihukum? Saya menjawab, orang yang sedang melakukan maksiat terbuka itu adalah penontonnya, apatah penyebarnya. Adapun pelaku didalamnya, ia kekal maksiat tertutup yang telah pun berlalu penulisan dosanya oleh Allah. Mungkin juga dia telah pun bertaubat semasa anda menonton video tersebut. Anda menghukumnya sedang Allah telah memaafkannya. Alangkah tuhannya anda!
Kemudian, orang mukmin sudah cukup dirinya sendiri menjadi saksi. Orang mukmin itu amanah sifatnya selama mana tiada kecalaran di dalam rekod zahirnya. Tetapi, pada peringkat tuduhan zina, Allah menuntut empat saksi untuk membenarkannya. Tidakkah anda melihat betapa di antara hikmah yang nyata adalah kerana Allah sendiri enggan maksiat hambanya yang bersembunyi itu disebarkan oleh sesiapapun, apatah dengan tujuan menjatuhkan maruahnya. Adakah saat kita menuduh orang berdosa, kita tidak pernah pun berbuat dosa?
Ah, jikalah tidak kerana kelebihan Allah dan rahmat kasih sayangNya ke atas kita, maka tiadalah siapa pun di antara kita mampu menjadi bersih dan dilihat bersih selama-lamanya. Tetapi Allahlah yang membersih kita dengan menjauhkan kita daripada dosa dan menutupi dosa yang telah kita lakukan.
Apabila anda memahami fiqh dan kehikmatan ini, maka anda akan dapat melihat sejalur hikmah mengapa mengumpat, mengadu domba dan menjaga tepi kain orang adalah diharamkan dan dosa kesalahannya adalah besar di sisi Allah. Mengumpat dan seumpamanya, walaupun jika benar sekalipun adalah terlarang kerana ia banyak melintasi garis peribadi yang tak pun menjejaskan awam.
Itu jika benar, apatah jika ianya adalah satu fitnah! Rakaman video hanyalah fitnah! Seratus kamera yang merakam sekali pun, ia bukan galang ganti seorang mukmin apatah empat orang mukmin yang dituntut oleh Allah. Tidakkah satu kepastian yang nyata bahawa orang mukmin yang amanah tidak akan melakukan perbuatan merakam video perbuatan maksiat tertutup tersebut?! Jadi, bagaimana dibenarkan penghukuman zina oleh saksi fasik dengan bahan bukti tertolak?
Mereka terus tidak berpuas hati kerana fitnah sedang melanda negara, lalu ia memakan dan memamah apa saja yang mampu dimakannya samada kayu atau besi. Mereka bertanya lagi, bagaimana jika video itu benar sebenar-benarnya dan asli seasli-aslinya? Tidakkah dengan tidak mempercayai atau tidak bertindak ke atasnya maka terdedahlah kita dengan penipuan dan pengkhianatan yang menanti jika pemimpin itu naik? Saya menarik nafas kewaspadaan dan kesabaran. Saya berkata, mari saya ajarkan kamu satu sunnah Allah di muka bumi bagaimana Allah menjatuhkan dan menaikkan seseorang hambaNya.
Apabila Allah ingin menjatuhkan seorang yang zalim, maka dihantarnya orang mukmin atau orang jahat untuk memeranginya. Jika Allah menghantar orang jahat, maka ia akan memeranginya dengan cara yang jahat juga. Maka itulah seburuk-buruk kesudahan. Tidakkah anda melihat Saddam yang zalim itu dibunuh oleh Amerika yang lebih jahat daripadanya. Maka alangkah buruknya kesudahan ke atas rakyatnya!
Jika Allah menghantar orang yang baik, maka ia tidak akan memeranginya kecuali secara yang diizinkan syarak. Maka itulah sebaik-baik akibat. Tidakkah Mekah yang paling zalim ahlinya itu dibebaskan oleh hamba Allah yang paling baik, lalu alangkah baik akibatnya juga. Lihat juga Mesir, pemimpin yang baik-baik memimpin rakyat melakukan perubahan, lalu semakin baiklah Mesir dan rakyatnya.
Maka ketahuilah, di negara kita, jika kita menginginkan kelebihan dan kebaikan yang lebih baik untuk masa depan negara, bergeraklah sebagai orang baik dan hendaklah terpimpin oleh orang yang baik-baik. Ulama adalah orang yang terpercaya di sisi Allah. Mereka telah menasihati agar jangan mempercayai fitnah. Rakaman video yang begitu terdedah kepada pengaburan dan pemalsuan hanyalah akan mengundang fitnah lebih besar jika diterima. Maka jangan menghukum pemimpin dengan fitnah yang terlarang oleh syarak.
Maka, orang mukmin tidak boleh menyebarkan sekali pun rasa percaya. Jika ianya nyata palsu, kita selamat daripada dosa menyebarkan fitnah. Jika ianya benar pula, kita selamat daripada menyelak maksiat tertutup. Jika Allah murka, Dia buka aib dan dosa tersembunyi kita pula. Apa rasa jika kita pula diaibkan secara terbuka? Justeru jauhilah politik kotor yang mengundang bala tuhan.
(Artikel adalah untuk kolum ‘Agama Dan Kehidupan’ akhbar Siasah)
15 comments
Comments feed for this article
April 7, 2011 pada 10:50 am
matdant
alangkah indahnya jika semua kita mengamalkan apa yg diperkatakan oleh tuan.. malangnya kebanyakan kita memilih untuk bersikap terpilih.. sebab kena kat puak kita kata la macam ni…
dulu apa yg orang sebelah sini tak kata kat Tun Mahathir.. apa keaiban beliau yg cuba kita kat sini sembunyikan.. apa yg kita tidak carutkan kepada breliau.. malahan kita la yg kuat menghukum akan “kefasikan” beliau.. apakah waktu itu kita sedang berada dalam kesesatan? tidakkah kita yg membawa budaya yg mengaibkan ini?
April 7, 2011 pada 11:32 am
antiT
Tuan matdant, Fahami artikel tu baik-baik. Bila pulak Tun Mahathir dibongkar maksiat peribadinya apatah kesundalannya. Kezaliman adalah milik Tun menganiayai Kelantan dan Melayu seluruhnya bla bla. Tidakkah ugama membenarkan kezaliman dibongkar seperti maksud ustaz? Jadi, kecuali segolongan kecil yang melampau, Pas dan orang mukmin menentang Tun dengan sebab yang betul.
April 7, 2011 pada 12:22 pm
ridhuan
“bagaimana dibenarkan penghukuman zina oleh saksi fasik dengan bahan bukti tertolak?”
Saya berminat dgn kenyataan ini. Rata-rata masyarakat di negara ini (kecuali media arus perdana) berpendapat wujudnya konspirasi dalam video ni.
Sekadar nak tolong menyejukkan suasana:
1. Pada zaman ICT dan GTP + NKRA ni masih ade video sundal hitam putih.
2. Pelaku dlm video seperti mana yg diceritakan oleh penonton-penonton termasuk saya( sbb dh msuk ‘Buletin Pertama’ TVthree) adalah yg b’pgkt PJK (perut jln ke depan). huhu…
3. Datuk trio itu sendiri pernah disabitkan makhkamah dengan kes2 yg memual,memalu dan menghinakan.
byk lg kalau nk bongkar. tp yg paling mcm ustaz ckp tu la. Orang beriman, bile dpt berita terutama drp org fasik kna selidik la dulu. utamakan utk bersangka baik. Lain lah org yg difitnah tu mmg sebelum2 ni dah t’bukti byk buat kefasikan lain.
p/s: kesal dgn lambakan porno di laman web. Last2 kerajaan pusat di bwh ‘mereka’ sendiri yg m’benarkan video seperti itu ditayangkan dlm berita. Mau jd mcm Belanda ke ape.
April 7, 2011 pada 2:20 pm
ms
Tuan, sudah kah tuan menonton video clip sepanjang 1.40minit tersebut. jika tuan belum menonton, untuk pengetahuan tuan, tiada lansong kelucahan didalam nya. Apa yang ada ialah wajah “seakan-akan sama” dengan wajah pemimpin yang kita agong2kan. Persoalan disini ialah, jika benar dia, ADAKAH DIA LAYAK UNTUK MENJADI PERDANA MENTERI KITA.
Bagi saya, lebih baik kita tonjolkan Tuan Guru Haji Hadi sebagai pemimpin kita
April 8, 2011 pada 9:26 am
shinji
tuan ms..
tgk screenshot kt malaysiakini,ada yg nampak aurat kan?
hadamlah apa yg ustaz dok huraikan tu
April 8, 2011 pada 2:09 pm
nanomango
saya bersetuju..tiada pun aksi-aksi melampau dlm video 1:40 minit tersebut…cuma di akhirnya sangat sedih…memleuk wanita bukan muhrim…tak kira siapapun dia…tak terdetikkah bahawa Allah menyaksikan perlakuan anda? Di mana Allah anda letakkan wahai Saudara X atau Y atau sesiapa pun..
Dengan melakukan maksiat sebegini, anda seolah-olah mencabar Allah…maka Allah yang Maha Penyabar ini akhirnya membuka keaiban anda dengan harapan anda kembali kepadaNYa…itu sahaja selagi nyawa belum sampai ke kerongkongan…taubat anda pasti diterima
Ampun maaf Ya Allah..sesungguhnya kami melakukan kezaliman kepada diri kami sendiri. Ampun kan si pelaku ini dan seluruh rakyat Malaysia yang mahukan pemimpin yang cinta padaMu melebihi isi langit dan bumi…
April 9, 2011 pada 8:30 am
mobydick
Salam ziarah,begitulah bila kemungkaran dah jadi sebahagian hidup kita hendak dibendung jauh sama sekali…
April 10, 2011 pada 4:55 am
Mariam
Tuan Nik Abduh,
Saya petik dari surah al-Imran, ayat 104;
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
April 10, 2011 pada 9:41 pm
zam
salam semua, kenapelah timbul keinginan untuk tonton? Adakah kita tak berasa bersalah pada Allah tuhan kita, walaupun tiada aksi terlampau. Tak usahlah kita salahkan orang lain atau nampak aib orang lain, sekarang ni dah jelas aib kita sendiir yang nampak sejelas-jelasnya. Tidak mengapa, Allah maha pemurah maha penyayang, dia menerima taubat hambanya yang bertaubat. Marilah kita sama-sama bertaubat dan berikrar untuk terus taat akan segala titah perintahnya. Tentang orang lain yang susah sangat nak taat perintah Allah, usah digusarkan. Serahkan mereka pada pencipta yang maha mengetahui.
April 10, 2011 pada 11:37 pm
pengiran
bagi saya ini lah balasan yang di turunkan allah kepada anwar yang turut kuat memfitnah orang. fitnah najib altantuya kalau saudara masih ingat.
doa org yang teraniya umi hafilda anwar menggunakan saksi murtad.
mencarut mahathir eg:shit,maha firaun,maha zalim,munafiq,fasiq,thagut. di cop halal pula oleh ulamanya mashallah nothing else to say. inilah bukti kebesaran allah telah menunjukan keaiban anwar kepada rakyat malaysia supaya berfikir. akan tetapi kalau dah buta hati tu bulan terbelah dua pun mereka tidak akan mempercayainya. tengok saja macamana lakonan mereka ala-ala 1998 sekali lagi.
April 11, 2011 pada 10:51 pm
sot
Yang sedihnya ramai antara kita menjadi ejen penyebar fitnah ini, samada secara sedar atau tidak. Hentikanlah. Taubatlah pada Allah. Usah di ikut rentak manusia2 jahil. Fitnah itu lebih teruk dari membunuh. DSAI mesti di fitnah supaya nampak kotor. DSAI tidak boleh dibiar dengan imej bersih. Tokoh ini amat ditakuti, itulah kesimpulannya. Media di kontrol untuk memberi ‘reverse saikologi’ kepada masyarakat. Dengan imej DSAI yg di cemari, PRU12 menyaksikan 5 negeri tumbang. Dengan imej bersih harus 14 negeri tumbang di PRU13. Justru DSAI mesti dikotori. WAJIB di kotori, bring him down !! Kita tidak boleh hilang kuasa. Kuasa adalah segala2nya….he he. Harapnya PRU Sarawak membuat kejutan for a start, baru padan muka.
April 13, 2011 pada 1:06 pm
matnih
allahuakbar…sesungguhnya keindahan Islam kita lupa tapi keindahan wang ringgit lebih teruja maka hasilnya apasaja senjata atau alat yang memungkinkan kitaterus berkuasa akan diguna.Apakah kita lupa yang anak-anak kita sentiasa memberi tanggapan baik kepada ibubapanya dan bersandarkan ini adakah anak-anak suka ibubapanya diaibkan dengan pelbagai cara.?Wahai insan bergelar Islam..walaupun anda menyimpan rahsia seseorang itu sekian lama maka simpanlah moga Allah membalasnya kelak..
April 14, 2011 pada 5:44 pm
payeq
tuan…
“Politik negara kita semakin hari semakin kotor. Ahli politik seperti enggan berubah kepada politik yang lebih baik dan lebih bertamadun. Mereka seperti tidak kisah bahawa politik kotor akan menghumban negara kepada bala dan kerosakan yang lebih besar. Di antara politik kotor yang dilihat secara nyata ialah usaha membunuh karier politik lawan dengan fitnah yang memalukan dan menjatuhkan maruah. Fitnah adalah menyebarkan yang tidak benar atau belum disahkan kebenarannya.”
apakah yang dimaksudkan dengan komen tuan ini… adakah tuan beranggapan bahawa “politik negara” tu merujuk kepada BN semata-mata atau secara keseluruhan parti politik di Malaysia?
jika ia merujuk kepada BN semata-mata maka saya rasa tuan bersikap angkuh, bongkak dan juga munafiq tetapi jika tuan merujuk kepada semua pengamal politik di Malaysia maka tuan juga sebenarnya merujuk kepada diri tuan dan parti yang tuan anuti sekarang ini…
jadi apakah yang sebenarnya nilai dan maksud kebenaran yang tuan perjuangkan selama ini…
April 21, 2011 pada 10:55 pm
pengiran
kalau nak tegur tegur semua jangan sebelah pihak sahaja itu tak adil.
itulah ciri-ciri mumin yang sejati bercakap pada yang haq.katakan lah yang benar walaupun ia pahit. tapi bagi aku lah aku akur dengan kehendak Allah yang menunjukan sikap sebenar anwar. ambil kata dr imran hussein di malaysia ada pemimpin yang bercakap petah tentang islam dan boleh duduk semeja dengan zionis NWO.paul wolfiz,al gore soros n so on.
dan kita tak nafikan juga dalam umno memang ramai penyangak tapi kita usahakan berdakwah pada mereka setakat ini dakwah dan tarbiyah selama puluhan tahun dari ulama ada menampakan hasil tapi kita jangan putus asa. pas pula bantulah mereka menegakan islam pergi ke seluruh pelusuk tanah air hatta ke pedalaman sarawak menyebar kalimah laillahaillah. jangan asyik bercakap berbuih mulut tapi gerakan tiada. dalam islam kuasa bukan segala galanya sejarah membuktikan bagaimana mongol menerima islam di kala di atas mahligai. jika dadakwah tak berhasil bermuhasabah lah apa kekurangan diri sendiri. bersihkan lah nafs dahulu jangan bercakap mengikut hawa nafsu lidah bercabang dua.
salam
Mei 3, 2011 pada 10:59 am
Jack
Aku tak pernah nampak pemimpin UMNO DS Najib/TS mahyuddin yg. menolak untuk majukan Islam…kalu betul mereka ini menolak islam wajib ulamak pas pergi jumpa dan tarbiah…tetapi apa yang kita lehat pemimpin PAS berdolak dalaik…kadang mengambil sejarah 50 60 tahun dahulu…dulu lain sekarang lain…Tetapi apabila jumpa DS najib susuh buat hudud mestilah dia pun susah nak jawab ….Kenapa tak ada seorang MP PAS pun yang mengusulkan pelaksanaan hukum Islam di malaysia??..tak pernah dengar diParleman.
Negeri yg. di perintah PAS sekarang juga tak ada pulak nak laksanakan hudud ….. dengan kata belum bersedia dan DS Nizar sendiri yang mengatakan di dalam perlambagaan PAS tak ada menyatakan untuk menjalankan hukum hudud…kalu dilihat hudud dan Islam tak lebih hanya untuk permainan politik…jadi apa kesalahan yang telah dilakukan oleh DS najib??..
Kalau kita lihat orang Melayu (99%) Islam semakin hari semakin berpecah belah…sedangkan Islam itu menyeruh bersatu…kita mestilah resional memang bukan setiap orang itu boleh berada ditahap ulamak…tetapi kalau dilihat pemimpin UMNO tak kurang juga ada didikan Agama…
jadi siapa yang mempermainkan agama PAS ke UMNO??….sepatutnya jangan tuding menuding jalankan tanggungjawab menyatukan Umat Melayu Islam ini…baru Islam nampak kuat dan ada suara..sekarang kapir harbi lebih kuat suara…PAS cuma kuat nak lawan pada saudara seagama je..