Salam Kamunting,

Saya bukanlah mahir untuk mengulas perihal kenaikan harga minyak dan keadaan gawat ekonomi negara yang seperti sudah di luar cengkaman dan telunjuk Pak Lah sendiri. Lagi pun jika diulas, mungkin saya akan terbawa – bawa dengan rentak panas baran dan hilang pertimbangan seperti kebanyakan pengulas dan penulis yang lain.

Keadaan ekonomi negara bagi saya sama saja bacaan dan firasatnya dengan keadaan politik negara. Bukanlah kenaikan harga minyak sesuatu yang tak terjangkakan. Sedikit ilmu dan maklumat terdahulu sudah cukup untuk kita mengandaikan apa yang akan berlaku pada wang di saku kita yang semakin mudah hangus dijilat kenaikan suhu barang – barang keperluan di kedai.

Ekonomi negara kita rapuh sangat. Entah apa sahaja yang Yahudi lakukan di sektor ekonomi dan kewangan dunia yang hanya hidup terumbang – ambing di atas tapak dan oksigen spekulasi, negara kita berkocak – kocak dan jadi terhoyong – hayang. 50 tahun merdeka, kita masih kempunan memperolehi kekuatan sendiri.

Pemimpin politik negara macam budak – budak bola sepak hari ini. Makin hari makin tak menjadi. Makin diharap makin tak boleh diharap. Bahkan bagi saya, bola sepak negara tak maju bukan kerana budak – budak bola sangat. Semuanya kerana bodoh dan bangang ahli – ahli politik negara. Kadang – kadang saya yakin, saya lebih tahu untuk memajukan bola sepak negara berbanding Dato Seri Anuar Musa dan kelompok politik bengal bingalnya itu. Tak percaya?

Saya hanya fikir pasal kemiskinan yang terus dan bakal terus melanda kehidupan rakyat jelata di bawah. Sukarnya kehidupan yang mereka terpaksa lalui ekoran kenaikan harga minyak dan kos sara hidup yang tak menentu.

Pak Lah tersenyum lebar lepas umumkan kenaikan harga minyak. Saya tak faham apa yang dia fikirkan dan jangkakan untuk rakyatnya. Jika beginilah Pak Lah, saya fikir apa bezanya pemimpin negara yang lain yang rekodnya lebih buruk daripada beliau.

Dalam ilmu yang saya pelajari, tiada yang paling berhantu selain kuasa. Kuasa memunahkan manusia. Kerana itu Nabi kita sallaLlahu alaihi wasallam melarang memberi dan menerima kuasa kecuali kepada mereka yang layak dan ahli. Jika tidak, kuasa menghantui dan anda pun jadi hantu. Hantu itu jin. Sebahagian jin adalah iblis. 

Sebahagian pemimpin kita dah jadi macam jin dan sesetengahnya lagi betul – betul dah jadi iblis. Dalam rakyat menangis, mereka masih berhilai ketawa.

Semuanya kerana kuasa yang mereka miliki.

UMNO dah lama berkuasa sehingga mereka perasan memilikinya sebagai satu anugerah, kesempatan dan hak. Ia bukan lagi suatu amanah yang dijaga dan bukan lagi satu kekuatan yang diharapkan.

Kita semua telah yakin bahawa politik dan ekonomi negara betul – betul tak terkawal. Negara digoncang – goncang oleh ‘pemain’ luar yang mengambil dan mengintai kesempatan.

Tetapi, kerana lena dalam kuasa, pemimpin negara tak rasa apa – apa pun.

Biarkanlah mereka. Mereka jenis hantu iblis yang bengal bingal. Jika anda memang tak ada kerja lain, bolehlah saja anda mencurah nasihat dan teguran di daun keladi.

Saya hanya fikir pasal kesempitan rakyat. Saya hanya fikir bagaimana membebaskan mereka daripada hidup ditindas dan ditipu.

Saya hanya fikirkan bagaimana memahamkan mereka bahawa mereka mampu berubah dan mesti berubah. Bahawa berubah adalah sebahagian kehidupan dan kehidupan adalah dengan berubah. Kaku adalah mati dan berkulat.

Pemimpin ke neraka dan rakyat juga ke neraka. Pemimpin ke neraka kerana kezaliman mereka. Rakyat ke neraka pun kerana kezaliman sendiri, bukan kerana kezaliman pemimpin yang menzalimi mereka.

Rakyat patut masuk syurga kerana dizalimi. Tetapi bagaimana masuk syurga jika mereka pun menzalimi diri sendiri? Dengan sebab kezaliman dan penindasan pemerintah, Allah mahu mereka berubah dan kembali. Mereka tak pun berubah dan tak pun kembali. Mereka menzalimi diri sendiri.

Saya hanya fikirkan bagaimana untuk kita berubah bersama – sama. Tanpa rakyat, kita tak mampu mengubah negara kita, walaupun kita mampu melawan dan melawan.

Begitulah dakwah. Begitulah nabi sallaLlahu alaihi wasallam diutuskan ke dunia. Betullah, dakwah itu sukar sekali. Kita hanya menumpang nabi kita di medan ini.