Salam Kamunting,
Keusahawanan bukanlah bidang yang saya pelajari semasa belajar dulu. Dari kecil sehinggalah habis pengajian saya di Mesir, saya hanya menumpu pada bidang ilmu – ilmu agama, khususnya bidang al Hadis. Makanya, saya mudah didorong untuk berpolitik kerana agama memaksa kita berpolitik.
Apapun, dari dulu saya minat melihat dan mendengar cerita perniagaan dan keusahawanan. Siapa tak suka dengar cerita duit dan kekayaan?
Semasa di India, saya pernah berlaba besar hasil daripada jualan barangan, terutama kain sari dari sana semasa pulang bercuti. Jadi, boleh acaplah saya pulang bercuti ke tanah air. Tetapi akhirnya, saya ditipu besar pula oleh masyarakat orang bukit atau orang asli dari pergunungan utara India yang datang ke ibu kota New Delhi kononnya membawa hasil kasturi. Ia cerita lucu paling lucu dalam sejarah saya dan kawan – kawan yang belajar di sana. Sampai sekarang, ia menjadi cerita pecah perut di kalangan kami.
Oleh itu, apabila saya pulang daripada belajar, minat saya itu rupanya telah mempercepatkan sahutan saya untuk menceburi bidang perniagaan. Ini sementelahan saya mula didekati rakan – rakan niaga daripada pelbagai cabang perniagaan. Sesetengahnya sudah pun berjaya dan kaya. Kebanyakannya masih dalam proses mencuba, rebah dan bangun.
10 tahun lepas, masihlah saya ingat bagaimana saya mula mengeluarkan modal yang agak besar juga daripada simpanan saya untuk memulakan perniagaan. Malangnya, dalam dua kelip mata saja, modal saya hangus berlabakan arang! Dalam tersandar saya mula menyedari betapa perniagaan adalah bidang persaingan hebat yang memerlukan ilmu dan pengetahuan.
Saya mula membaca buku mengenai perniagaan dan asyik sekali mengikuti penerangan, taklimat dan bertanya pasal perniagaan. Ia menyeronokkan.
Kemudian saya keluarkan lagi modal untuk memulakan penerokaan dalam pelbagai aktiviti keusahawanan. Sekali lagi saya terpaku dan terhenti apabila melihat sesetengah perniagaan itu dihiasi kecantikan yang didalamnya adalah penipuan, riba dan transaksi yang dilarang ugama.
Justeru saya mula berhati – hati dan membelek kembali kitab hukum kontemporari yang membuka lembaran jawaban yang baik sekali untuk melihat kepada kesempurnaan perniagaan dalam Islam.
Saya terus mendaki. Saya mula mengecapi keuntungan dan keseronokan. Oleh kerana semuanya nampak manis, saya berniaga dalam pelbagai sektor walaupun pada skala yang kecil. Tetapi malang sekali, keuntungan dan keseronokan yang dikecapi itu kadang – kadang dengan mudahnya direntap dan disentak daripada kita.
Sifat khianat adalah musuh yang sukar diramal. Khianat sering berlaku dalam lingkungan kawan – kawan sendiri. Khianat lawannya amanah. Amanah tidak diberikan kecuali kepada orang terpercaya. Apabila dia mungkir, berlakulah pengkhianatan yang sukar ditelan. Tetapi anda terpaksa menelannya. Sebabnya ia sebahagian daripada dunia perniagaan. Bahkan dunia kehidupan.
Dunia perniagaan sepertilah dunia politik walaupun ia tidaklah seteruk politik dan ahli politik. Ia bukan kembar, tetapi adik – beradik yang banyak kesamaan. Ia penuh rintangan, kepalsuan dan keganasan.
Ramai yang enggan berpolitik, malah sesetengahnya langsung malas ambil pusing tentang politik. Alasannya politik itu kotor dan dipenuhi pengotor, bahkan mengotorkan persekitaran kehidupan yang bersih dan aman. Tetapi anda tahu, ia adalah sama seperti sikap seorang yang enggan menangkap pencuri dirumah jirannya kerana takut rumahnya dicuri pula.
Ramai, terutama orang Melayu yang enggan berniaga, malah sinis sekali dengan dunia perniagaan. Kerjanya mentertawakan kawan – kawannya yang jatuh dalam perniagaan dan berkata, “Itulah kamu, tak dengar cakap aku.” Lalu dia merasakan dia telah beruntung kerana tidak berniaga. Tetapi anda tahu, memiliki sekumpulan pemangsa seperti inilah yang akan melambatkan kemajuan bangsa dan umat.
Jika anda ingin berkuasa dan adil, anda terpaksa terjun politik. Jika tidak, andalah sebab al Aqsa terus dijajah Yahudi. Jika anda ingin kaya dan pemurah, anda terpaksa terjun ke dunia perniagaan. Jika tidak, andalah sebab umat mustadh’afin dan faqir di dunia Islam sanggup menukar ugama mereka demi sesuap nasi! Tidak anda menjadi jari jemari yang mematahkan ego penguasa, tidak pula anda menjadi jari jemari yang menyuapi umat yang kelaparan. Yang ada hanyalah angan – angan bahawa anda telah ada iman yang hebat di dada!
Justeru berpolitik dan berniaga adalah kemuliaan. Ia tidak pun kurang sedikit berbanding dunia pendidikan, islah, ibadah dan lain-lain. Bahkan, dunia politik menentang kemungkaran dan kezaliman pemerintah adalah kemuncak jihad di dunia Islam hari ini.
Tiada yang malang apabila anda dikhianati dalam perniagaan. Yang malang adalah mereka yang mengkhianati anda. Mereka menunda kekayaan mereka ke belakang sedang anda hanyalah menarik hela nafas panjang untuk membolot kekayaan yang lebih besar.
Di sebalik kepahitan terpaksa menelan sifat khianat sesama sendiri, anda akan dikurniai rasa agung dalam diri kerana telah dikurniai Allah dengan sifat amanah. Amanah anda teruji dalam perniagaan. Setiap ujian memberikan kepuasan dan keyakinan pada diri sendiri yang tiada tolak bandingnya.
Paling bagus, anda mengenali kawan – kawan yang amanah dan mula belajar mengecami wajah – wajah yang amanah. Apabila anda memiliki persekitaran amanah yang menyokong anda, sesungguhnya itulah kekayaan yang mendatangi anda daripada jalan yang tidak anda sangkakan. Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, pasti Allah membukanya jalan keluar dan mengurniainya dengan rezeki yang tak terjangkakan. Ia seribu dinar dari bawah bantal amanah dan taqwa.
Sepertilah dalam politik, saya tidak patah untuk mendepani setiap kemungkaran daripada dalam dan luar. Saya berusaha untuk sentiasa dalam memburu sifat benar dan amanah. Kerana ia matlamat saya, sesungguhnya saya telah terdidik untuk menjadi berani dan bersedia. Apabila saya lemah dan letih, saya segera membuangnya daripada terus membebani diri.
Orang khianat biasanya membawa bersama sifat buruk yang lain. Bohong bila bercakap. Degil bila dinasihati. Memfitnah bila menjawab. Yang pasti, mungkir pada janji.
Mula – mula ia mungkir janji dengan anda. Kemudian dia tidak pun merasa bersalah untuk memungkiri janji mereka dengan Allah. Apabila ditanya, mereka menuduh, berdusta dan mendusta.
Saat mereka miskin dan terdesak, mereka berdoa, jika mereka dikurniai Allah dengan rezeki melimpah ruah, pasti mereka akan bersedekah sebanyak – banyaknya dan menjadi daripada kalangan hambaNya yang bersyukur. Tetapi apabila Allah mengurniai mereka apa yang mereka pinta, lalu mereka menjadi kaya dan kembung, tiba – tiba mereka menjadi bakhil dan kedekut (Maksud ayat al Quran). Dengan manusia mereka kedekut sampai hutang pun tak nak bayar, lantas dengan Allah pun mereka boleh kedekut dan mungkir.
Hujah mereka, ini semua usaha mereka. Titik peluh mereka. Cerdik mereka. Itulah aku, Akulah tu, sebab aku. Seribu ini aku yang usahakan. Seratus ribu ini pun aku. 700 ribu ini pun aku. Sejuta inipun aku. Anda bayangkan betapa jijiknya mereka diresapi sifat – sifat buruk dalam kehidupan.
Semalam saya membaca tulisan Dr Juanda Jaya, mufti negeri Perlis Indera Kayangan dalam sebuah akhbar harian. Beliau menyelar perniagaan yang menggunakan nama agama atau institusi keagamaan demi membuncitkan perut sendiri dan meninggalkan amanah dan janji. Saya membacanya dua kali. Saya terpana, sedih dan kecewa.
Saya menyokong tulisan beliau. Kerana itu, saya menulis untuk menyokongnya.
Kemudian saya mendapati sedih dan kecewa saya bukanlah untuk saya. Ia adalah untuk orang lain yang gagal menginsafi diri mereka dalam dunia perniagaan. Adapun saya, saya akan sentiasa bangkit dalam perjuangan. Anda pun tahu, saya hidup untuk memburu sifat amanah dan benar.
32 comments
Comments feed for this article
Oktober 14, 2009 pada 9:23 pm
aladin
Semoga ustaz benar dan amanah. Ustaz ada menulis pasal benar. Menarik. Kami yakin ustaz benar dan teraniaya. Teruskan berniaga apa pun dan bangkit. Kami penyokong yang benar. Cuma, jika ada jus baru, biar lebih sedap dan lebih baik. Susah anak saya nak tukar selera nanti. Kalau kopi sehebat kopitiam amacam??
Oktober 20, 2009 pada 10:31 pm
nasir
Saya baru bercitacita nak jual prodok Tok Guru,Harap ustaz bagi pandangan yg benar..
Oktober 15, 2009 pada 12:48 am
mahadi perlis
kita tengok sampai bila ust fauzi tv3 tahan jd duta…sama2 kita tengok..baru tau
Oktober 15, 2009 pada 12:55 am
soul survivor
ust. ana sekadar tumpang komen sekadar sebagai ‘food for thoughts’.bagi ana hidup itu agama.belajar itu agama.bermain itu agama.bernafas itu agama….100%,setiap detik,setiap kelipan mata,setiap hirupan udara,setiap denyutan jantung,setiap hayunan badan,setiap penulisan,setiap gerakan solat,setiap bisikan hati,setiap pusingan tasbih,setiap fikiran blogs,setiap ceramah dan ucapan politik,setiap kerja urus tadbir jamaah dan negeri……dan juga tiap gerak tari perniagaan itu jua agama!semua akan dipersoal oleh ALLAH AZZAWAJALLA di akhirat kelak.ana terbaca satu riwayat bagaimana seorang murshid semasa mudanya sewaktu hendak bermain bola,dinasihatkan oleh gurunya….’kalau nak main bola tu,ingat kerana ALLAH”!…dan ana terjumpa satu hadis yang lebih kurang maksudnya (sanatnya mohon ustaz pastikan)…..satu perbualan antara iblis dan Rasulullah SAW…ada 15 kumpulan manusia yang sukar untuk aku goda mengikut ‘ranking’..yakni pertama Rasulullah SAW sendiri,ranking kedua pemimpin yang adil,ranking ketiga orang kaya yang pemurah,ranking keempat PENIAGA yang jujur…!we must be positif dalam berbincang perkara perniagaan kerana ianya sendiri adalah tuntutan besar dalam agama.khianat ada dimana-mana kerana itu adalah kehidupan dunia yang penuh dengan tipu-daya.
Oktober 15, 2009 pada 12:59 am
Afyan
Semoga ustaz sukses dalam perniagaan ustaz akan datang.
Saya ingin cadangkan ustaz membaca tip-tip keusahawanan daripada seorang usahawan iaitu http://www.puanainonmohd.blogspot.com
Bagus isinya untuk tatapan usahawan seperti kita.
Apabila bercakap tentang bisnes, maka tidak dapat lari daripada risiko. Kedua-duanya saling berkait rapat.
Moga sukses!
Oktober 15, 2009 pada 1:00 am
PemudaGombak
Semoga ustaz terus cemerlang di dunia dan akhirat!
Mohon linkkan weblg kami di blog ustaz.
http://www.PemudaGombak.com
Dewan Pemuda PAS Gombak
Terima kasih
Oktober 15, 2009 pada 1:18 am
Luth
Salam wrt, sangat sinis kedengaran tulisan saudara ustaz dan semoga ada yang terkesan lalu membetulkan tindak tanduk yang tersilap, amin.
Juga, Semoga kita semua dilindungi Allah dari onar yang dicipta mereka yang gemar membuat onar.
Oktober 15, 2009 pada 9:43 am
Affuan
Ambo x terasa sebab ambo dok kayo. Hehe.
Oktober 15, 2009 pada 11:15 am
zye oklahoma
ana rasa fauzi yg sama belajar dgn ana dulu di mesir akan berubah.semoga dia di beri taufik dan hidayah..ana kenal sgt dia.mungkin dia diperdaya oleh org kuat dibelakangnya.ustaz taukah siapa org kuat dibelakangnya?mesti rakan2 kongsi nya yg bermasalah.akan tetapi jika yg menghasut di belakangnya itu kawan2 boleh dia pulak fikir utk mufarakah,asal jgn jgn adik beradik apatah lg jika yg menghasut itu isteri…kacau….tak dapek org putih nak nolong do….
Oktober 15, 2009 pada 11:30 am
antivirus
Assalaamualaikum ustaz,
Ustaz Salah seorang Ahli Majlis MPKB,Minta ustaz tolong siasat proses penjualan Pasar MPKB Kepada Sensa Timur,bagaimana Sensa Timur boleh dapat begitu banyak projek mega di bandar Kota Bharu?eg: Wakaf Che Yeh,kompleks depan Masjid dan yang terkini Sensa Timur dikatakan telah mengambilalih pengurusan Pasar MPKB dan dikatakan para peniaga di pasar MPKB dikehendaki mengosongkan bangunan tersebut,.Saya hairan bagaimana MPKB boleh mangambil keputusan menjual bangunan tersebut yang mengakibatkan lebih 250 peniaga dibangunan tersebut hilang mata pencarian, atau ada sesiapa yang mendapat komisyen daripada proses penjualan bangunan tersebut? MINTA PENJELASAN….
Oktober 15, 2009 pada 5:26 pm
staff Jabatan mufti negeri Perlis
tulisan Dr Juanda Jaya, mufti negeri Perlis
dalam sebuah akhbar harian.
kami mendapat tahu , tulisan ini semacam BERKAITAN DENGAN SIM PRODUK JENAMA TOK GURU
Beliau menyelar perniagaan yang menggunakan nama agama atau institusi keagamaan & seseorang ULAMA’ demi membuncitkan perut sendiri dan meninggalkan amanah dan janji.
apakah tindakan kita ??
Oktober 16, 2009 pada 1:23 am
pisangemas kunasaki gun,oita,japan.
jgn bg muka dgn syarikat mcm ni.. ana berdiri teguh belakang ustaz utk menyokong produk baru ustaz dan sma2 kita didik mereka dgn ilmu bisnez yg menafaat..jika dia tak makan didik kami akan titik!!
saya mempunyai rangkaian seluruh negara melalui rakan biznes utk sama2 kita sebarkan ke setiap masjid2 masa solat jumaat kita tabur pamplet memberitahu apa yg dah lakukan pada ustaz,nama tok guru rosak,madrasah dan pelajar2 maahad nikmatillah terainaiya…
Oktober 16, 2009 pada 2:42 am
misslolypop
slm buat us sekeluarga,
semoga terus bangkit dn sukses dlm perjuangan politik dn bisnes.
didoakan smga dilorongkan Allah swt seluas luasnya keuntungan bg produk baru nanti.
Oktober 17, 2009 pada 12:42 am
OneMuslim
semoga menjadi pendindin dan dorongan untuk terus berniaga,jadikan semua ini asam garam dalam dunia perniagaan ustaz,….mereka yg berjaya bukanya datang bergolek……..
Oktober 18, 2009 pada 7:17 am
tg4u2C4_ kebooM
saya berurus niaga dgn sim hampir setahun dan kami serik utk terus berurusan dgn syarikat ini.semoga produk baru nanti dapat menganti produk tokguru.pada mula berurusan kami di tatang bagai minyak yg penuh,tetapi pabila lama kelamaan kami dianggap bagai perosak bg mereka.
hanya kerana kami juga menjual produk-produk dari syarikat lain yg mempunyai produk yg seakan produk mereka.kami di pulau walau order kami memerlukan produk yg byk.kami sungguh teramat kecewa! sebab itu lah saya menamakan diri saya tg4u2C4_kebooM,
kerana itulah perkataan yg layak mewakili syarikat yg berlatar belakangkan isteri nya sebagai perdana menteri merangkap menteri dlm negeri dan yg mana suami nya hanyalah sebagai menteri penerangan.
Oktober 19, 2009 pada 12:36 am
nofal
penghayatan daripada hadis rasulullah s.a.w. yang menyatakan 9 daripada 10 kekayaan adalah daripada bidang perniagaan >
kekayaan itu merangkumi bukan sahaja dalam bentuk ringgit dan sen malah pelbagai lagi aspek kehidupan.
islam amat menggalakkan umatnya menceburi perniagaan.
bukan mudah nak laksana dalam kehidupan kehendak Allah dan rasulnya berbanding semasa belajar teorinya.
cadangan saya:
– 90% ahli pas kena ceburi perniagaan
– 90% muslim kena ceburi perniagaan
semoga lepas ni persepsi ustaz pas sebagai ustaz ceramah sahaja akan hilang. 🙂
Oktober 19, 2009 pada 10:51 am
aladin
betul ke cerita di http://duniakhianat.blogspot.com tu ustaz? sepertinya jenama tok guru ustaz yang punya. Sedih juga jika benar..
Oktober 19, 2009 pada 1:53 pm
BOIKOT
untuk pengetahuan tuan2 ..saya salah seorang org dalam SIM ..cerita dalam duniakhianat.blogspot.com memang benar…cuma cerita hamizah yg ditelah dikhianati oleh syrt musoffa itu tak betul….bahkan dia yg khianat syarikat itu…malah bukti nya lagi ??? sekarang siapa yang khianat siapa ???? sanggup dia khianat dana sekolah agama ust abduh yg telah dijanjikan ??? fikir lah saudara…
Oktober 19, 2009 pada 2:17 pm
anti SIM ust zul.taiping,PERAK
ana sokong ust abduh & YAB TG
Oktober 19, 2009 pada 6:11 pm
tan tin tun
petikan komen saudara kazrat dari laman web detik daily.
http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&p=225392#225392
perkataan “tok guru” tu juga bukan sim yg cadangkan pada mulanya,ia nya dicadangkan oleh salah sorang yg telah keluar dari awal lg.dan dengar kata sampai la ni dia tak pernah halalkan penggunaaan perkataan tu utk tujuan pemasaran kerana dlm mesyuarat berenam 3 tahun lepas nama itu telah dicadangkan supaya menjadi produk kopi.iaitu kopi tok guru.
tiba2 laki bini ini secara diam2 keluarkan kopi jenama tok guru dan memasarkan dan menafikan hak mereka yg lain dlm jemaah..padahal mereka tahu yg m,ereka tak dibenarkan keluarkan apa2 produk sebaliknya hanya memasarkan sahaja.
oleh kerana sikap tamak laki bini ini mereka keluarkan juga produk2 lain dan terus menerus menafikan hak jemaah yg lain seperti juz.madu dan kismis.puan miza lah yg ada sifat hantu dlm biznez ini berbanding laki nya..
Oktober 20, 2009 pada 11:11 am
MamatP.Melaka
Lama dah kawe bulu mata dgn produk hak puak demo buat, adakah demo sediri yakinair hak kamu buat tubik tu boleh ubat semua penyakit, bah ke buatan ore pun siya. Kita ni nak juwe Isle biar lah lojik, Isle ugama ilmu. Setiap kelure atas nama isle mestilah atas dasar ilmu. Jange jual lebel juar bare itulah nega cara isle.
Oktober 20, 2009 pada 12:26 pm
s.amri
teruskan usaha murni ustaz semoga ahli jemaah yg baru ini satu hati dan semuga tiada lg yg terkecil hati.bolehkah saya tahu siapa ahli lembaga pengarah nya?selain ustaz?terimakasih.
Oktober 20, 2009 pada 2:24 pm
staf bangunan mara,kl
kerana nila rosak susu sebelanga,kerana org perangai mcm sim ni rosak semua nama org islam yg berniaga mcm ni.saya susah nak jual produk juz di off kerana banyak suara-suara protes dari rakan-rakan sepejabat.
Oktober 20, 2009 pada 7:23 pm
alambuana_pepijat
biarkan sim terjun dgn labu2nya…sampai mana dia nak pergi pasti nanti jatuh merana seumur hidup.
Oktober 21, 2009 pada 2:04 am
abg rosly masjid kg baru,kl.
semua penjual disekitar masjid ni ana telah maklum supaya jgn jual produk SIM ni lg..wajib boikot.sakit mata ana masa ternampak toke SIM dtg melawat kedai yg menjual produk SIM ni di masjid ni.terserlah sombong dia..membebel 24jam depan pelanggan,katanya ustaz nik khianati mereka..ana lantas bancuh!!
Oktober 21, 2009 pada 9:49 pm
wan 3 line kedah
ustaz nak suruh kami pi jumpa mrk ka???rasa elok kita tarbiah dia sikit.kami pantang dgr org khianat ni.
Oktober 23, 2009 pada 7:48 pm
ceriterahamba
salam. moga ustaz terus diberi kekuatan… terus berjaya dalam dakwah, politik juga perniagaan! InshaAllah… kami semua ada dibelakang Ustaz!
Oktober 26, 2009 pada 10:45 am
usahawan muda taiping
salam,ust ana sudah menceburkan diri dalam perniagaan lebih 10 tahun dan apa yang ana lihat pada hari ini golongan agama ,ulamak2 dan sekolah-sekolah agama dipergunakan untuk melariskan produk .Apa yang membimbangkan ana kesan buruknya amat banyak ,teguran mufti perlis itu dalam penulisannya amat wajar dan semua pihak terutama golongan2 yang dikenali sebagai ulamak pada pandangan ana perlu berhati2 sekolah2 agama jangan dibiarkan diperguna sewenang-wenangnya kerana seni perniagaan yang cukup halus & jika orang yang menguruskan perniagaan itu tidak mampu mengawal diri daripada hawa nafsu sebagaimana kehendak islam maka akan berlakulah berbagai-bagai musibah yang tidak diingini,bersamalah kita memuhasabah diri ,ana sokong usaha murni ustaz
Oktober 27, 2009 pada 7:03 pm
Hj.Mat Pasir Pekan
as”lakum Ana sudah tilik ,renung dan fikir ;itu adalah natijahnya,mengikut adat alam sekiranya kita berbuat baik balasannya tentunya baik ,munkin USTAZ ada buat tak baik kot maka natijahnya saperti terjadi hari ini.
Oktober 29, 2009 pada 1:18 am
antivirus
Assalamualaikum ustaz,ana nak tanya satu soalan,harap ustaz jawab,jangan tak jawab,berdosa,sebagai orang alim dan mungkin juga warak. Ustaz sebagai salah seorang ahli majlis MPKB,ANA NAK TAHU MENGENAI PENJUALAN BANGUNAN PASAR MPKB DI JALAN TEMNGGONG,betulkah pada mulanya ada tawaran diterima daripada seorang ahli perniagaan untuk membelinya dengan harga 5 juta tapi ditolak oleh MPKB,SEBALIKNYA BANGUNAN TERSEBUT DJUAL KEPADA SENSA TIMUR DENGAN HARGA HANYA 3.5 JUTA ?Apakah rasionalnya proses penjualan ini?atau ianya hanya khabar angin?atau adakah orang tertentu mendapat komisyen daripada penjualan ini.Ustaz sebagai ahli majlis MPKB MESTI MENGETAHUI MENGENAI HAL INI, kalau benar apa yang dikatakan maka ini menjadi satu penKHIANATan DALAM PERNIAGAAN DAN MUNGKIN USTAZ JUGA TERLIBAT DALM PENGKHIANATAN INI,minta ustaz menjawabnya untuk membersihkan nama daripada sebarang fitnah.
Oktober 30, 2009 pada 11:01 pm
Wan Ramli
ASKM.. ustaz… tulisan yg menarik dan kekadang terkena batang hidung kita sendiri.. Juga menjelaskan tentang sikap manusia yang tabah menghadapi ujian kesusahan tetapi lemah dalam menghadapi ujian kaya lalu berubah sikap… Namun inilah sebenarnya sebahagian dari realiti yang berlaku dan patut dielak oleh pejuang2 Islam…Jauhilah khianat.
Saya pohon untuk buat salinan dan sudah pun dipublishkan tulisan ini ke dalam blog saya.Semuga dibenarkan… terima kasih…
November 23, 2009 pada 8:17 pm
Nikjoe
salah satu sebab mengapa sikap khianat terjadi adalah kerana amalan busuk hati yang ada dalam jiwa individu terbabit. Sikap dengki yang pada mula2nya sedikit tapi lama kelamaan semakin membenci dan menonggak tinggi lantas menjadikan jiwanya busuk hati dan bertindak melakukan sesuatu di luar batasan agama.
saya langsung katakan bahwa saya tidak berminat berniaga tetapi saya cukup terpesona dengan orang2 yang terlibat di dalam perniagaan, kerana hasil usaha dan daya tahan mereka yang jatuh bangkit di dalam bidang itu. Tetapi,, saya hairan dengan orang kita yang masih dilanda perangai seumpama itu, mungkin benar kerana mereka terlalu cepat untuk memiliki harta dan keuntungan dalam masa singkat dan bila hajat itu tercapai lama kelamaan akan bersikap tamak haloba pula.
awaslah… ujian orang berniaga ini terlalu mencabar untuk ditempuhi.