You are currently browsing the daily archive for Mei 23, 2008.

Salam Kamunting,

Jarum jam dinding di depan saya menunjukkan waktu pukul 2.10 pagi. Saya ambil keputusan menulis di blog ini selepas mata saya semacam terkena penangan kopi radix HPA yang sungguh terkenal itu. Walau saya diulik isteri sekalipun, saya fikir tidak mudah terulik dan lena. Mata saya nyata lebih segar daripada tubuh sendiri.

Kopi ‘radix’, selepas kopi ‘tok guru’ adalah minuman kegemaran saya sebelah petang. Minuman kegemaran saya sejak kecil adalah tea ‘o’ panas. Sebelah pagi mesti milo panas. Isteri saya kata, dia terpaksa berlatih dan try an error bertahun – tahun untuk mahir membuat tea ‘o’ dan milo panas, kena dengan selera lidah dan mulut saya. Bila kopi segera ( 2 dalam 1 sampai 10 dalam 1) diperkenalkan, dia hanya perlukan sehari sahaja untuk mahir selera saya. Apa taknya, pastikan air panas secawan cukup, selera saya segera datang.

Masa kecil, walaupun kopi itu sedap, tetapi rumah ( ayah ) saya tak buat kopi. Saya lekat kegemaran ayahanda saya, tea ‘o’. Bila selera tiada, tea ‘o’ akan membukanya. Tea ‘o’ nampak mudah, tapi payah untuk ummp dengan selera saya. Akhirnya, tiada yang menjiwai selera saya selain isteri tersayang.

Isteriku, walau ku miliki empat isteri, kaulah di tempat pertama di hatiku..    ( Jawab isteriku, itulah bahasa standard  lelaki sejak beribu tahun.. he he )

Apapun saya kini berusaha untuk banyak minum air mineral. Saya terpaksa percaya, air mineral adalah terbaik untuk kesihatan diri.

Tadi saya balik lewat, jam 1 pagi lebih. Saya baru habis menghadiri mesyuarat agung Dewan Pemuda PAS kawasan Pengkalan Chepa kali ke 30 yang bermula selepas solat maghrib tadi. Saya tak tahu ada PAS kawasan lain bermesyuarat agung pada sebelah malam kecuali DPPPC sahaja. Itu amalan kami semenjak beberapa tahun lepas. Kami bertuah sebab dewan tempat kami bermesyuarat agak selesa, bahkan mungkin paling selesa bagi para pendukung PAS di Malaysia.

PUTIK ( Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan ) terletak di Pengkalan Chepa, betul – betul di depan padang Lapangan terbang Sultan Ismail Petra. Orang kata, Datuk Seri Anuar Musa dan anak buahnya akan segera berpaling ke kiri atau ke kanan setiap kali kapal terbang MAS dan Air Asia mendarat demi mengelak pantulan cahala bulan yang memancar cantik dari dinding bangunan PUTIK yang ditekatkan dengan lakaran bulatan hijau putih yang besar dan dicahayai lampu di tengah malam.

Bulan besar itu adalah ucapan salam dan selamat datang rakyat Kelantan ke negeri bertuah Serambi Mekah ini kepada seluruh pelancong luar yang memasuki Kelantan melalui jalan udara ini. Hanya yang berotak biru sahaja yang berat hati menyambut salam PUTIK. Mat saleh bertopi biru nampak senyum saja.

Lokasi PUTIK tampak agak kena untuk tujuan promosi ( termasuk membunuh ego UMNO ). Tetapi ia agak jauh ke utara Kelantan dan ke hujung pesisir pantai Sabak ( tempat tentera Jepun mula mendarat di Tanah Melayu era penaklukannya dulu ). Justeru dewan besar PUTIK yang merupakan dewan besar tercantik dan tercanggih yang pernah dibina oleh PAS jarang digunakan.

Yang acap menggunakannya kamilah. PUTIK seperti jadi milik kami pemuda PAS Pengkalan Chepa. Dewan besarnya kami gunakan untuk program – program besar kami sperti mesyuarat agung, seminar peperiksaan, motivasi dan lain – lain. Masjidnya biasa kami gunakan untuk mengadakan usrah pemuda kawasan dan perjumpaan dengan pemuda – pemuda PAS cawangan. Padang hijaunya yang tak berapa besar itulah tempat riadhah saya dan rakan – rakan di sebelah petang. Kadang – kadang kami membarbeku di sini juga.

Jadi, kami selesa menggunakannya samada di sebelah malam atau siang. Jadilah mesyuarat agung Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa yang saya adalah ketuanya diadakan di sebelah malam tanpa apa – apa yang tidak selesa. Kami boleh menamatkannya lebih awal atau memanjangkanya hingga ke larut malam. Permit Pak Lah tidak kami perlukan kerana ini rumah kediaman kami.

Dua yang tak patut Pak Lah kacau; Kediaman dan blog. Dua yang patut Pak Lah kacau; Khairi dan Najib. Kacau, jangan tidur.

Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa adalah kecintaan saya. Saya mengetuainya selepas 4 tahun saya pulang daripada pengajian di luar negara. Umur saya waktu itu 31 tahun. Sekarang sudah 7 tahun berlalu. Di medan inilah saya belajar mengenal kehidupan dan perjuangannya. Kawan – kawan saya ramai sekali di sini. Saya menikmati sokongan padu mereka. Ketika senang kami saling menikmatinya dan ketika susah merekalah pembantu saya.

Pernah seorang sahabat baik luar kawasan mengingatkan saya dengan kerenah politiking dalaman parti yang mungkin memangsakan saya. Saya spontan menjawab, jika saya jatuh di sana, saya tidak akan jatuh di sini. Itulah tahap keyakinan saya dengan apa yang telah saya semai di tanah yang saya adalah tuannya.

Saya usahakan sedaya upaya apa yang saya pelajari mengenai dakwah dan fiqhnya di sini. Dakwah adalah cinta, kata murabbi saya, Ustaz Yahya Othman yang mengulangi apa yang telah disebut oleh para ulama dan murabbi di medan dakwah. Ukhuwwah atau persaudaraan Islam adalah kekuatan yang meyakinkan. Anda tidak akan tumbang selagi anda bersandar kepadanya.

Pedang adalah kekuatan. Tetapi pedang akan longlai dan terlucut kecuali di tangan pemilik akidah yang sahih dan ukhuwwah yang hangat.

Saya lakukan di DPPPC apa yang bagi saya boleh mengikat dan memperteguhkan ikatan persaudaraan sesama kami. Kami berkenalan, berborak, berjamu, berbelanja, berlarut malam, beriadhah bersama, berbaik dan bertengkar bersama – sama. Kami cari duit dan kami membelanjakannya beramai – ramai. Kami berusrah dan berqiamul lail bersama – sama.

Kemudian, di sinilah saya praktikkan amalan syura. Setiap kami tiada yang malu memberi pandangan walaupun mereka malu untuk berucap. kami pernah berbalah hampr sejam memilih kuih terbaik untuk jamuan program besar kami. Hasilnya, kuih pilihan kami dipuji habis sedapnya!

Saya memilih untuk tidak memilih hak sebagai ketua kecuali sedikit. Setiap Dewan ada jawatan kuasa hariannya yang lebih kecil dan ekslusif. Di DPPPC, saya menidurkannya ( ganti mematikannya ). Setiap urusan saya akan selesaikannya dengan memanggil mesyuarat penuh. Kami bukan berjauhan pun. Dari hujung ke hujung kawasan adalah sekitar setengah jam perjalanan kereta. Dekat dan mudah sahaja untuk bertemu.

Hasilnya lumayan. Kami saling rindu untuk sentiasa bertemu , berbincang dan berprogram. Hasilnya hebat, duit tabungan kami semakin hari semakin meningkat. Saya lantik daripada yang tidak terpilih dalam mesyuarat agung sahabat yang pandai cari duit, wang dan harta apa – apa saja.

Jika anda mahu sesuatu, mahirinya atau berkawan saja dengan yang memahirinya. Anda pasti dapat.

Jadi, DPPPC penuh dengan kemahiran yang saya tiada memilikinya tetapi saya memliki hasilnya. Daripada yang pandai ‘membakar’ sehinggalah yang pandai ‘menggoreng’ dan ‘menyira’. Kalau dah tak boleh jadi nasi, bisa sahaja kami tukarkannya kepada bubur yang sedap sekali.

DPPPC ada kaki ceramah, kaki lawan, kaki kritik, kaki bola, kaki masak, kaki PASTI dan kaki projek.

Saya tidak fikir DPPPC ada loyar buruk atau lidah bercabang atau batu api atau kaki pukul.

Inilah DPPPC yang saya ketuainya sejak 7 tahun lepas. Saya mencintainya kerana saya tenang bersahabat dan berjuang di sini. Saya mencintainya kerana kami saling mencintai sesama kami dan perjuangan ini. Semuanya kami mengharapkan keredhaanNya bahawa kami telah melakukan yang termampu untuk menjadikan PAS betul – betul bagus dan baik untuk menjadi sebuah gerakan Islam yang unggul untuk masa depan umat Islam di Malaysia.

Mesyuarat Agung DPPPC kali ke 30 yang disempurnakan perasmiannya oleh Yang Berhormat Che Abdullah bin Mat Nawi, exco kerajaan Negeri Kelantan dan ADUN Wakaf Baharu tadi telah berlalu dengan suasana yang agak tenang dan penuh ceria. Kami baru lepas berpenat lelah berjuang di dalam pilihan raya umum ke 12 baru – baru ini yang menyaksikan kemenangan besar gerakan Islam dan pembangkang.

Kami menikmati sokongan padu anak – anak muda yang telah mengundi dan melakar majoriti besar untuk Islam di Pengkalan Chepa khususnya. Purata undi saluran muda di seluruh UPU Parlimen Pengkalan Chepa adalah 69.7%. UPU Semut Api di DUN Kijang mengungguli carta dengan 82% anak muda telah mengundi PAS.

Ketika BN berslogan ‘cukuplah 18 tahun pemerintahan PAS’, mereka menterjemahkannya dengan hanya 18 orang undi muda untuk UMNO daripada setiap 100 orang.

Syabas, tahniah dan terima kasih anak muda Pengkalan Chepa! Anda melakar majoriti besar untuk Islam.

Terima kasih juga buat sahabat – sahabat AJK, unit amal dan semua yang telah berpenat lelah menjayakan mesyuarat agung DPPPC kali ini. Semoga Allah melengkapkan keseronokan ini dengan petunjukNya yang terang benderang menerangi kegelapan duniawi. 

Sentiasalah jenguk – jenguk ke blog DPPPC.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Mei 2008
I S R K J S A
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa