Dewan Pemuda PAS Malaysia, sebagaimana telah dipertegaskan oleh ketuanya, Ustaz Haji Nasrudin bin Hasan Tantawi, menyatakan sokongan terhadap usaha beberapa NGO muslim untuk menggerakkan dan mengadakan perhimpunan sejuta umat pada 22 Oktober 2011 ini dengan tujuan menunjukkan keperihatinan bersama terhadap usaha menyelamatkan dan memperkasakan akidah umat Islam daripada diganggu gugat oleh musuh-musuh Islam yang berusaha merosakkan akidah umat.
Dengan sokongan ini, walaupun tidak akan terlibat secara langsung demi menghormati saranan sekretariat HIMPUN untuk mengekalkan kedudukan mereka sebagai ‘garis tengah’, Dewan Pemuda PAS berharap seluruh umat Islam yang menghadiri perhimpunan solidariti umat yang telah pun mendapat liputan meluas di media tanah air tersebut dapat mencapai kata putus bersama di dalam menyediakan penyelesaian menyeluruh yang dapat membantu umat Islam di dalam mempertahankan dan memperkasakan akidah mereka.
Akidah Islam adalah tanah air umat Islam. Ia adalah matlamat, ruh dan maruah kehidupan di dunia. Ia suci dan tidak boleh langsung dikotori oleh unsur-unsur syirik dan kufur yang menjadikannya rosak dan terputus hubungan dengan rahmat Allah yang luas. Justeru usaha menyubur, memugar dan mempertahankannya daripada dirosakkan oleh anasir-anasir jahat adalah satu kewajiban yang tidak dipertikaikan lagi, bahkan ia mestilah menjadi tali kukuh yang menyatukan seluruh umat Islam di seluruh dunia.
Ada dua mara bahaya dan kerosakan yang sedang melanda umat Islam di seluruh dunia hari ini dan ianya dirasai secara nyata oleh kebanyakan umat Islam yang perihatin.
Pertama, usaha musuh-musuh Islam untuk memurtadkan umat Islam dan mengeluarkan mereka daripada cahaya syahadah kepada kegelapan syirik dengan menukar ugama Islam yang dianuti kepada ugama selainnya. Gerakan Kristianisasi antarabangsa dengan persekongkolan musuh sepanjang zaman umat Islam iaitu Zionis Yahudi adalah gerakan paling tersusun dan paling giat melaksanakan agenda kotor tersebut.
Kedua, usaha musuh-musuh Islam untuk merosakkan akidah umat Islam tanpa disedari dan tanpa mengeluarkan mereka daripada kalimah syahadah. Gerakan ini telah dipelopori oleh pendukung pemikiran sekularisme yang awalnya bertapak di negara-negara barat dan kemudiannya disebar luaskan ke negara-negara umat Islam di era penjajahan. Pemikiran yang menyempitkan peranan ugama di laman peribadi dan memisahkannya daripada pentas politik dan kehidupan selain menobatkan undang-undang ciptaan manusia tersebut telah disepakati oleh para ulama Islam sebagai syirik dan merosakkan akidah umat Islam yang menganutinya. Islam adalah manhaj kehidupan yang lengkap dan sempurna yang tidak boleh dipisah-pisahkan.
Kedua-kedua kerosakan yang dirancang oleh musuh Islam itu walau bagaimanapun mempunyai tahap kejayaan yang berbeza. Gerakan sekularisme mencapai kejayaan paling besar dalam sejarahnya apabila berjaya meruntuhkan kekuatan umat Islam dari umbinya melalui keruntuhan khilafah Islamiyah terakhir di negara Turki. Gerakan jahat yang akhirnya berjaya menobatkan fahaman sekular di bawah kepimpinan Mustafa Kamal Ataturk yang dianggap sebagai bapa sekularisme tersebut pada hakikatnya telah melangsaikan segala impian sekian lama musuh Islam untuk menjahanamkan akidah umat yang begitu kukuh dan kental bertahan sejak ribuan tahun selepas kebangkitan nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam.
Runtuhnya kerajaan khilafah Uthmaniyah telah mencipta bah besar yang melanda negara-negara umat Islam yang membawa bersama penyakit umat yang paling digeruni iaitu sekularisme. Hari ini, fahaman sesat tersebut terus hidup dengan kekuatan bala tenteranya yang membarah di dalam tubuh umat Islam sendiri.
Adapun gerakan Kristianisasi, walaupun telah ribuan juta ringgit dihabiskan oleh musuh, tetapi ia gagal memperolehi kejayaan besar sebagaimana gerakan sekularisme. Umat Islam gagal dimurtadkan dan gerakan tersebut hanya mampu menyelinap masuk ke tubuh individu dan kelompok umat Islam yang lemah dek kejahilan dan kemelaratan hidup. Dalam erti, mereka gagal mencabut kalimah suci syahadah daripada dada umat Islam seluruhnya kecuali ke atas segelintir umat Islam melalui umpanan-umpanan kebendaan dan projek-projek kebajikan dengan mengambil peluang daripada penyakit kejahilan dan kemiskinan yang menimpa umat Islam hari ini.
Berbanding gerakan sekularisme yang melumpuhkan kekuatan tubuh umat daripada dalam dan tanpa disedari, bahaya kristianisasi atau kemurtadan pastinya lebih jelas dan cepat kerana ianya adalah perisytiharan perang langsung ke atas umat Islam apabila ianya terus memutuskan pertalian persaudaraan paling kukuh di anatara umat Islam iaitu kalimah syahadah. Justeru gejala murtad adalah dilihat perlu ditangani secara tegas dan ianya mudah difahami apabila Allah memasukkan hukumannya ke dalam hukum hudud yang tetap di dalam syariahNya.
PAS paling ke depan menangani isu murtad semenjak awal lagi dan sumbangannya di dalam kebangkitan umat Islam dalam isu Natrah dulu tidak boleh dinafikan lagi. Ia memuncak apabila ahli parlimen PAS beberapa kali membawa usul di parlimen agar meluluskan akta murtad. UMNO adalah penghalang dan pembangkang tegar akta murtad daripada diluluskan pada masa itu. Hakikat yang perlu difahami adalah bahawa mara bahaya besar yang melanda umat Islam itu jelas bukan keutamaan UMNO dan langsung bukan keperihatinan mereka.
Apabila hari ini, para pemimpin Islam di dalam seluruh pertubuhan Islam mula bercakap mengenai bahayanya cubaan memurtadkan umat Islam yang berlangsung secara senyap atau terbuka, maka ianya adalah hasil sumbangan pemahaman yang telah dimulakan oleh PAS. Justeru PAS memandang tinggi usaha seluruh umat Islam untuk berhimpun memahamkan umat dan mendesak kerajaan agar segera melakukan sesuatu yang lebih tegas melalui undang-undang yang diaktakan demi mencegah pencabulan ke atas maruah dan ruh umat Islam. Ianya samada mengenakan hukuman ke atas individu muslim yang murtad atau pun hukuman ke atas pihak luar yang secara langsung melakukan usaha ke arah memurtadkan umat Islam.
Melalui usaha bersama ini, maka akidah umat akan lebih selamat dan menjadi perkasa dengan kesedaran bersama yang tinggi. Dengan sokongan tanpa belah bagi, PAS yang menjadi parti Islam dan harapan umat di negara ini mengharapkan himpunan sejuta umat anjuran sekumpulan besar NGO muslim di bawah sekretariat HIMPUN yang dipengerusikan oleh Cikgu Azmi daripada TERAS dan Dr Yusri daripada Pembela akan menjadi medan yang baik untuk menyatukan umat Islam agar berdiri teguh di atas akidah Islam yang suci.
Bagi Dewan Pemuda PAS Malaysia, apa-apa yang boleh menyatukan umat Islam di atas landasan yang benar, maka ia mestilah dipugar dan jangan sesekali ditinggalkan. Kesatuan umat Islam adalah kewajiban dan amanah yang mesti dilaksanakan dengan sesungguh hati.
Adalah amat membanggakan apabila UMNO semakin lunak dan mula celik mata untuk turut masuk padang walaupun dengan kaki bangkunya. Beberapa pemimpinnya seolah-olah meleleh liur mereka untuk menjadi pemain utama walaupun tanpa signal daripada ‘coach’. Walaupun ia satu petanda yang baik bahawa tekanan yang telah diberikan oleh seluruh umat Islam telah menyentuh benak dan hati pedal UMNO, Dewan Pemuda PAS berharap agar sekretariat HIMPUN tidak diganggu dengan anasir-anasir politik murahan yang cuba mengaut keuntungan politik secara yang tidak bermaruah dan cemar.
UMNO penyakitnya adalah barah sekularisme. Ia menyebarkannya dari awal penubuhannya dan pemerintahannya yang panjang tidak menjanjikan apa-apa selain penyuburan faham syirik tersebut dan menambahkan lagi kerosakan kepada orang-orang Melayu Islam dengan pelbagai gejala buruk, selain merosakkan kefahaman orang-orang bukan Islam terhadap ugama Islam. Jika tidak kerana gerakan dakwah oleh para pejuang Islam, sudah pastilah umat Islam akan hanyut dan tenggelam dengan peluru ciptaan musuh Islam dari barat yang begitu ampuh itu.
Justeru Dewan Pemuda PAS sentiasa konsisten mengingatkan seluruh umat Islam agar melihat kepada bahaya sekularisme sebagaimana mereka telah menunjukkan keperihatinan yang tinggi kepaa gejala murtad dan kehancuran akidah yang melanda umat Islam hari ini. UMNO, jika mahu benar-benar sihat hendaklah mengubati dirinya sendiri sebelum beriya-iya menjadi doktor untuk umat Islam. Dengan itu, selagi UMNO enggan berubah dan enggan meninggalkan daki-daki jahiliyah penjajah, Dewan Pemuda PAS sekali lagi memberi ingatan murni kepada seluruh umat Islam agar berhati-hati dengan pakej politik murahan yang akan mencemarkan niat dan usaha murni sekretariat HIMPUN untuk mencapai matlamat ugama yang besar.
Selamat berhimpun dan selamat maju jaya untuk Cikgu Azmi dan rakan-rakannya yang telah melakukan kerja besar demi ugama, bangsa dan tanah air.
19 comments
Comments feed for this article
Oktober 19, 2011 pada 10:48 pm
abu naufal
assalamualaikum wmt wbkth
Ustaz yang dihormati
Jzkk atas penjelasan. Semoga Allah memberkati tuan dan perjuangan tuan.
Oktober 19, 2011 pada 11:11 pm
nadim25
Saya sangat mengharapkan kepimpinan Pemuda PAS yang diketuai oleh Ustaz Nasruddin terus berani berpegang kepada prinsip tanpa terikut dengan dilema politik kepartian. Insyaallah perjuangan sebegini akan bertahan lama dan akan mendapat sokongan. PAS sekarang lain daripada masa ianya dipimpin oleh Allahyarham Ustaz Fadzil. Diharapkan barisan Pemuda PAS terus istiqamah walaupun mendapat tekanan daripada pihak dalaman. Jangan sesekali tunduk kepada desakan sekiranya anda benar berpegang pada prinsip kerana sesaat anda menggadaikan prinsip, disaat itulah anda mula menggali lubang kubur anda sendiri.
Oktober 20, 2011 pada 12:43 am
nurul
sokong 100 peratus.Saya mohon copy ayat saudara.Jzkk
Oktober 20, 2011 pada 9:17 am
ashabus syifa'
mohon share
Oktober 20, 2011 pada 12:09 am
naikazrat
Terbaik….
Oktober 20, 2011 pada 12:26 am
Zainulfaqar Yaacob
Assalamualaikum dan salam ukhwah.
Boleh ustaz jelaskan secara fiqh al-Islami mengenai kewajaran tindakan Ustaz berbanding tindakan Tok Guru Presiden PAS?
Zainulfaqar Yaacob
0194241583
Oktober 20, 2011 pada 12:44 am
nikabduh
waalaikumussalam,
Sila baca kenyataan akhbar presiden. Tiada perbezaan. Olahan saya adalah pelunakan ke arah menyatukan harapan umat Islam. PAS tidak bermaksud melarang penyertaan ahlinya, cuma tiada mobilisasi untuk itu. Ahli PAS yang aktif dalam pelbagai NGO tiada masalah untuk menjayakan himpunan tersebut. Saya terlibat langsung merumuskan bersama keputusan parti malam semalam.
Oktober 20, 2011 pada 2:58 am
MelayuSelangor
Asslamualaikum.
Saya ada 2 soalan:
1. PAS Pusat tak terlimat HIMPUN. Tetapi Pemuda PAS join. Ada dikalangan Ahli PAS sendiri menuduh Ketua Pemuda PAS bodoh politik, telah masuk dalam jerat UMNO.
2. Selain barah sekular dalam UMNO, bagaimana Anasir Syiah yang makin berleluasa dalam PAS?
Allahualam.
Oktober 20, 2011 pada 3:09 am
Tarmizi
Salam ustaz…Jazakallah atas tulisan,pandangan dan ilmu yg sangat mulia ini…semoga kita terus diberi taufiq,hidayah dan kekuatan oleh Allah swt untuk laksanakan tugas-tugas menjunjung Aqidah yg berat ini..
Ana mohon nasihat ustaz untuk mengubat hati ini yg bersangatan sedih,dukacita dan terkilan dlm isu HIMPUN ini..khusunya apabila sahabat2 dlm jamaah kita mengeluakan kenyataan yg sangat berat untuk difahami maksud mereka..antaranya kenyataan PAS selangor yg akan ambil tindakan disiplin kepada ahli PAS yg hadir HIMPUN dan kenyataan dr mujahid yusof rawa yg ber suuq zhon dg HIMPUN secara melampau..sudah tersebar fitnah kpd di media-media baru slps kenyataan2 ini yg tak sanggup kita baca diganyang oleh blogers2 UMNO yg sangat jahat kepada ummat…
Tarmizi,Sg Petani
Oktober 20, 2011 pada 7:37 am
noorikhwan
Salam. jzkk atas statement yg baik dari ustaz utk menyokong agenda himpun spt dlm objektifnya. Sebagai salah seorang ahli ngo yg terlibat dgn himpun saya menyokong penuh bhw gejala yg merosak aqidah umat islam dtg dr sekularisme dan kristianisasi. Pada masa yg sama fahaman liberalisme dan pluralisme dlm agama juga sangat mengancam krn ia menghakis izzah umat islam dan merosakkan aqidah. Oleh itu.sangat wajar.agar umat islam bersatu dlm hal membenteras gejala yg merosak ini baik dari kalangan ahli politik dlm umno mahupun pas juga masyarakat umat islam. Allahu a’lam.
Oktober 20, 2011 pada 9:47 am
wan_jtk
Salam ust Nik Abduh,
Terima kasih atas pencerahan.
Alhamdulillah pemuda sebagai amilin tidak tersekat oleh sebab kita berparti sedangkan peranan kita jauh lebih universal.
Oktober 20, 2011 pada 10:03 am
mohamed ali bakri
Assalamualaikum,Kalau dah diputuskan dlm msyrat supaya ahli2 Pas jngn trlibat dalam perhimpunan tersebut knpa saudara buat kenyataan untuk menyokong HIMPUN dan meluar2kan supaya hadir sama dalam majlis tersebut,apakah saudara buta mainan politik umno dan media arus perdana.
Oktober 20, 2011 pada 11:01 am
madihah rushaidhi
Allahu Akbar!
Semoga Allah merahmati perjuangan yg benar & ikhlas!
Oktober 20, 2011 pada 11:28 am
wan_jtk
Hebat sungguh, yang tak datang mesyuarat boleh tahu lebih dari yang hadir mesyuarat
Oktober 20, 2011 pada 3:00 pm
cintarosa
As salam.
Diharap semua parti diMalaysia dapat hadirkan diri di Himpunan Sejuta Ummah bersama-sama. Buanglah sikap tuduh menuduh diantara Ummo dan Pas, kerana ini bukanlah masanya utk menyalahkan sesiapa. Tumpukan pada niat utk mengembalikan kesucian Islam yg telah ternoda. Sokong Himpunan Sejuta Ummah tanpa was-was, semoga Himpunan ini diberkati ALLAH. Apa yg rakyat mahu ialah utk melihat Islam kembali bersinar dan kami dapat hidup dlm aman sejahtera.
Oktober 20, 2011 pada 4:06 pm
Pas youth chief supports Himpun | MALAYSIAN INSIDER - MALAYSIAKINI
[…] his central Facebook page final night, Nasruddin posted a couple of an essay entitled “mengapa Pas menyokong Himpun” (why Pas supports […]
Oktober 20, 2011 pada 8:40 pm
Eqwan Roslan
Daripada sudut positif, HIMPUN adalah titik tolak untuk gerakan dakwah di Malaysia. Mungkin ada NGO-NGO sebelum ini yang tidak pernah memikirkan soal akidah dan dakwah terbuka hati untuk bermula dengan usaha dakwah.
Oktober 20, 2011 pada 9:09 pm
ahli PAS jugak
lemahnya org melayu islam ni, marahkan puak mubaliq kristian kerana mahu kembangkan agama mereka,yg gagal kita bukan mereka.
kenapa lebih ramai di barat yg memeluk islam berbanding dengan negara kita? sebab pendakwah islam lebih bijak dari pendakwah melayu islam.
bila golongan munafik di sini hendak meghancurkan islam, kita tidak bertegas.apabila zul nordin membuat tuduhan yg berat terhadap jemaah kita, ustaz2 spt tuan dan nasruddin sedang duduk dgn kelompok sendiri.
keluar dari kepompong ustaz, tengok dunia dan pelajari
Mei 10, 2012 pada 12:01 am
Abun Amni
pepatah Cina
ikan nak tahu BUSUK ke X
kena tengok kepala dulu
kalau kepala dah BUSUK maknanya sampai ke ekor pun BUSUKnya
kata Bijak Sana dan Bijak Sini
seGelas y ada NAJIS di tuang air
Air dari Gelas tersebut tetap KOTOR & HARAM
BERSIH + Amiga + bla bla bla = ? ? ? ?
luuu fiqir lah sendiri