Salam Palestin,
Saat saya menggerakkan anak-anak jari untuk memulakan penulisan ini, saya tahu saya sedang berkongsi dengan seluruh dunia untuk melihat satu hukum karma yang maha pasti itu berlaku di bumi Mesir. Hukum karma pemiliknya adalah Allah. Kerana itu setiap muslim tidak betah menyebutnya, bahkan menamakannya sebagai sunnah Allah di muka bumi. Sunnah Allah bererti ketentuan dan hukum yang tetap daripadaNya.
Antara sunnah Allah yang mudah difahami dan dilihat ialah hukum pergantian atau silih berganti di antara dua yang berlawanan. Baik berganti buruk dan sebaliknya. Zalim berganti adil dan sebaliknya. Mulia berganti hina dan sebaliknya. Pergantian ini tidak berganti sendiri atau semudahnya. Ia mesti memuncak dan klimaks. Tali apabila sudah memuncak tegangannya, ia pun putus. Maka berlakulah pergantian, kental berganti kendur. Gagah berganti lembik.
Tiada malam yang kelam kecuali kemuncaknya adalah fajar nan menyinsing. Tiada panas yang memuncakkan teriknya kecuali bumi berpusing pantas ke sebelah timur meninggalkan matahari menggelongsor ke hujung barat. Begitu Allah memudahkan kita memahami sifir-Nya itu.
Presiden Husni Mubarak sedang cuba berhelah dengan sunnah ini. Sunnah Allah adalah keruntuhan dan kehinaan ke atas setiap penzalim dan thaghut di bumi-Nya. Firaun telah terhumban lemas di Laut Merah. Bani Israel kembali ke tangan keadilan nabi Musa alaihissalam. Semalam, Husni Mubarak, ketika rakyatnya menyerunya keluar dari Mesir di awal perhimpunan, dia melawan dan berusaha untuk tidak terbang melintasi Laut Merah ke Jeddah atau Dubai. Nah, hari ini rakyatnya meminta lebih daripada itu. Husni Mubarak untuk diadili, bukan untuk dihalau lagi. Kini, patungnya telah diangkat di Medan Tahrir ke tali gantung. Maut untuk penzalim dan thaghut!
Kata seorang penyair agung Tunisia, ‘Satu hari, apabila rakyat mahukan kehidupan (perubahan), maka pasti sekali al qadar (ketentuan tuhan) akan menjawab!’ Maka selepas puluhan tahun, al qadar menjelmakan dirinya, menyambut rakyat Tunisia yang bangkit menuntut kehidupan daripada hangus nyawa putus asa seorang anak mudanya yang dibakar kezaliman Ben Ali yang menjarah di bumi tuhan.
Fajar apabila ia bangkit, ia tidak hanya bangkit di Tunisia. Ia kini bergerak ke Mesir. Kemudian, malam yang kelam sedang menuju pula di Israel, negara haram di bumi Arab. Malam akan memuncak. Apabila fajar membunyikan locengnya, ia enggan kecuali menunggu azan yang akan berkumandang gagah di bumi al Quds.
Kata al imam al Qaradhawi,’Wahai Husni Mubarak, jika pemerintahan itu bagai ghanimah untukmu, maka 30 tahun itu sudah cukup. Jika pemerintahan itu adalah bebanan ke atasmu, maka 30 tahun itu juga sudah cukup. Turunlah kamu!’ Siapakah Husni Mubarak untuk menolak kalam karamah ini?
Kala para mustadhafin di seluruh jemari saraf bumi sedang menanti – nanti keajaiban sunnah Allah ini, kala itulah Allah membeliakkan mata seluruh para penjarah darah dan air mata di bumi-Nya mengarah ke bumi Mesir yang sedang mengumandangkan kalimah ‘La ilaha ilaLlah’ buat membakar sekutu syaitan dan Israel laknatuLlah itu.
Kezaliman memuncak. Kesabaran juga memuncak. Ia kini di medan pertembungan. Adakah anda menyangka kesabaran hujungnya adalah kehancuran? Tidak dan tidak!
Apa pun kesudahan di Mesir itu, Husni Mubarak sudah pun di gerbang neraka ciptaan rakyatnya sendiri. Oh, segala sanjungan berdekad dalam sekelip mata bertukar menjadi rentungan mendekap.
Malaysia apa khabar? Negara yang pernah bandar rayanya dilimpahi puluhan ribu rakyatnya yang berbaju kuning bertulis ‘BERSIH’ menuntut keadilan di dalam perlaksanaan pilihan raya yang dipenuhi penipuan dan penyelewengan. Dan mereka bagaikan anjing kurap sering kali dihalau dengan simbahan air asid daripada melawan kezaliman dan penipuan.
Malaysia apa khabar? Negara yang tak pernah diam dan tenang daripada pembongkaran rasuah kolar putih besar-besaran tetapi bilislah yang ditangkap secara kecil-kecilan pula. Kemudian mereka yang bersih dan mulia dituduh pula dengan rasuah dan kejahatan.
Malaysia apa khabar? Negara yang kadar jenayahnya, gejala sosialnya dan kemiskinan rakyatnya terus mewarnai kehidupan yang semakin menghimpit sedang kekayaan dari hasil mahsul buminya pula hanyalah berlegar di kayangan orang-orang kaya yang bertawaf di sekeliling serambi kuasa kezaliman pemerintahnya.
Sampaikan khabar buat Malaysia bahawa ajal sentiasa mendekat buat kezaliman dan penentang agama Allah. Sampaikanlah salam pula buat Malaysia bahawa ajal kezaliman akan berganti kehidupan penuh mulia buat rakyat dan pencinta keadilan dan keharmonian.
Malaysia bukanlah seiring Mesir yang begitu buruk politik pemerintahnya. Tetapi Husni Mubarak tidaklah perlu menunggu untuk menjadi seperti Firaun untuk segera rebah dipijak rakyatnya sendiri. Kezaliman adalah hantu kehidupan. Hantu itu bukan hanya hantu raya saja, bukan pula sundal di tengah malam saja.
Malaysia hanya ada dua pilihan; Samada pemerintahnya hari ini terus degil dengan keangkuhan menindas pembangkang dan rakyatnya yang menolak gaya hidup menindas dan menipu atau pemerintahnya segera membaiki kelemahan dan kesalahan dengan politik baru yang lebih adil.
Jika mereka memilih yang pertama, tunggulah keruntuhan dan kekalahan. Bukan Amerika, Israel, Singapura atau Indonesia yang akan datang. Bahkan rakyat seluruhnya akan datang sendiri merombak sistem dan gaya hidup melanun pemerintahnya. Jika mereka berdegil, hukum karma Allah setia menunggu panggilan rakyat yang tertindas.
Jika mereka memilih yang kedua, mereka perlu pula memilih di antara dua; Samada mereka memilih Islam sebagai cara hidup yang diredhai Allah atau mereka hanya memilih untuk kekal menolak Islam yang syumul, tetapi memperbaiki nilai demokrasi yang dianuti. Jika mereka memilih yang pertama, maka berbahagialah rakyat Malaysia dari atas sampailah ke bawah. Jika pula mereka memilih yang kedua, maka nyawa mereka akan lebih panjang dan ketentuan Allah akan bertangguh. Allah sentiasa menunggu untuk masa dan hari-Nya yang pasti.
Mengapa? Kerana pembaikian dan islah adalah jalan ugama. Jika pemerintah menyedari kesalahan dan kesilapan, lalu mereka membaikinya dengan menyempurnakan hak kemanusiaan dan rakyatnya, maka Islam menyambutnya dengan baik dan mereka dengan mudah memikat kembali hati rakyat. Semakin pemerintah membina sistem demokrasi yang menepati kehendak keadilan dan kesaksamaan, semakinlah mereka mendekati tuntutan ugama Islam.
Oleh kerana Islam bersifat tawaran terbuka dan bukan paksaan ke atas manusia di atas premis ujian Allah ke atas anak Adam di muka bumi ini, maka Islam akan subur di bumi yang adil dan tidak mengongkong. Jadi, kedua-dua pemerintah dan rakyat akan terlorong kepada Islam secara semulajadi yang harmoni dan menghiburkan.
Tetapi hak Allah di muka bumi adalah kekal. Tanggung jawab seorang muslim terhadap agamanya adalah kekal. Setiap umat Islam wajib mengangkat agama Allah untuk menjadi hakimnya di dunia ini. Itulah kewajiban khilafah di muka bumi.
Malaysia adalah negara umat Islam. Majoriti rakyatnya yang beragama Islam secara praktikalnya telah menepati lunas sistem demokrasi bahawa yang menguasai majoriti itulah yang berhak memerintah dan menentukan cara pemerintahannya. Justeru seruan ke arah pemerintahan Islam atau membina sebuah negara Islam adalah satu tuntutan yang dibenarkan oleh sistem yang mengagungkan hak majoriti.
Islam adalah pilihan untuk umat manusia tetapi adalah tanggung jawab ke atas umatnya. Setiap muslim, samada daripada PAS, UMNO, PKR atau apa pun, kewajiban menegakkan negara Islam adalah pasti secara fardhu ain ke atas mereka.
Berusaha ke arah itu melalui jalan yang syar’ie akan menyelamatkan mereka daripada murka dan azab Allah di akhirat nanti.
17 comments
Comments feed for this article
Februari 2, 2011 pada 7:11 pm
Orang tua saya punya lima adek beradek 3 laki laki dan dua perempuan. Bagaimana untuk mencari mereka.? | Indonesia Search Engine
[…] mesir: bagaimana malaysia? « masanya memilih jalan yang lurus […]
Februari 2, 2011 pada 9:35 pm
norina
Assalamualaikum ustaz…syukran jaziilan atas artikel ustaz ” akal dan taklif Ilahi…isinya cukup padat dgn ilmu dan saya menjumpai ape yang saya cari selama ini..saya cukup teruja…Syukur Alhamdulillah… teruskan ustaz mencurah ilmu dan budi…krn saya yakin setiap tulisan ustaz lahir mutiara ilmu yg akan menyinari jiwa2 yang mencari Allah Tuhan pemilik sekalian alam…syukran wa jazakumuLLAH khairal jazaa’.
Februari 2, 2011 pada 10:57 pm
zikri
ya ustaz, ana setuju dgn apa yg nta tulis, cuma apa yg ana nampak, rakyat malaysia amnya, masih berada dalam zon selesa, mereka kurng merasai keperitan spt di mesir, tunisia, atau yemen, maka, apabila duit dan wang ditabur dgn lbh banyak lagi, merke terus lupa diri.
hanya kerana satu kain plikat, undi berubah menjadi biru.
Februari 4, 2011 pada 1:12 am
nur syawana
Assalamualaikum Ustaz,
Mohon share artikel ustaz, iAllah saya letakkan sekali link nya.
Semoga yg membaca sedar dari tidurnya dan bangkit menegakkan keadilan.
TAKBIR!
Februari 4, 2011 pada 12:29 pm
joecharlie
KRISIS MESIR : MISI SELAMATKAN PELAJAR OLEH UMNO !
macamni la bro. tak payah nak hipokrit.
pelajar malaysia di mesir ni kebanyakannya penyokong pas. disinilah pengkaderan pas bermula.
hari ini mesir bermasalah. jadi yang bertanggungjawap untuk selamatkan mereka adalah kerajaan umno.
artikel aku mudah. aku minta bloger-bloger tak payah malu dan segan untuk sebut dalam setiap artikel bahawa yang menyelamatkan tengkok dorang ni adalah umno. sebut je.
bukan angkuh. adakala kena tunjal jugak kepala melayu berotak sempit ni.
MISI SELAMATKAN TENGOK PENYOKONG PAS INI ADALAH IHSAN DARI KERAJAAN UMNO. KLIK SINI
Posted by GAP KEMBALI at 3:09 AM
Februari 18, 2011 pada 6:17 pm
sayangislam
salam..maaf cuma terpanggil untuk memberi komen.
moga ALLAH meredhai.
saudara/encik joecharlie..
sejujurnya sebagai seorang rakyat berterima kasih dengan apa yg kerajaan buat.
sebagai kerajaan yg memerintah dah memang tanggunjawab UMNO nak ambil para pelajar pulang..rasanya tak berkait dengan ihsan pun..dah memang TANGGUNGJAWAB DAN AMANAH SEBAGAI PEMERINTAH..tak buat berdosa..nanti rakyat lagi lah tak puas hati.
dan lagi satu ayat “yg menyelamatkan tengkok mereka ialah UMNO” tu tak berapa betul tu.
UMNO tu sebagai perantara je,yang menyelamatkan ialah ALLAH..hati2 dengan perkataan yg diucap atau ditulis..takut lari dari islam..
macam ayat dalam kempen UMNO kat dun tenang baru2 ne..seap tulis siapa yg tak berterima kasih dengan UMNO atas segala gaji yg diberi dengan tidak mengundi atau menyokong UMNO adalah KUFUR NIKMAT TERHADAP UMNO.
mengucap panjang saya tengok poster tu.
sangat2 melampau dan amat2 tak patut.
sama2 pikir kan lah,,selama ni adakah UMNO atau kerajaan pusat BERSYUKUR DENGAN NIKMAT YANG ALLAH BAGI??
sangat2 tak patut ayat2 tu..boleh terkeluar i’tikad..
terfikir jugak,mungkin tu salah satu sebab johor banjir besar baru2 ne..sebab ramai yg TAK PANDAI BERSYUKUR DENGAN NIKMAT YANG BAGI..MENENTANG HUKUM2 ALLAH..MENENTANG MEREKA2 YANG BERJUANG MENEGAKKAN HUKUM2 ALLAH..
wallahu’alam.
moga ALLAH memberi hidayah kepada kita semua..aminn 🙂
Februari 7, 2011 pada 8:45 am
abu razeen
‘Setiap muslim, samada daripada PAS, UMNO, PKR atau apa pun, kewajiban menegakkan negara Islam adalah pasti secara fardhu ain ke atas mereka.’
Pas sebagai parti pasti jelas taklif tegakkan negara Islam ini.
bagaimana ahli Pas yg baru?
dan ahli2 PKR?
dan ahli2 umno?
Pas wajib ada kajian terperinci samada pemahaman terhadap taklif ini tlh sampai kpd semua mad’u Pas.
Pas wajib waspada muslihat musuh yg mahu Pas melawan mereka ikut rentak mereka.
sebab apakah selepas 50tahun, orang yg mengaku Islam , termasuk ahli Felda Tenang tak mahu memangkah Pas yg mahu tegakkan negara Islam?
Februari 7, 2011 pada 12:25 pm
Habib Ahmad
MALAM INI KULIYAH MAGHRIB: Oleh Syeikh Nuruddin di Surau al-Falah, SS 6, Kota Damansara.
POSTER KLIK :
http://melayucyber.blogspot.com/2011/01/kuliah-maghrib-oleh-syeikh-nuruddin-di.html
Februari 7, 2011 pada 4:22 pm
ezmanshah
Salam tuan.
Semoga tuan dapat menegur Tok Guru tuan bagaimana cara mentadbir sebuah ‘Negeri Terkotor’. Bagaimana melaksanakan Hudud jika perkara asas iaitu kebersihan tidak mampu dilaksana?
Dan apakah pemerintahan selama 20 tahun itu sudah sepenuhnya mencapai sasaran sebagai sebuah ‘Negeri Islam’? Tuan merupakan anak Tok Guru yang paling hampir untuk menegurnya. Allah S.W.T. bukan Tuhan tuan seorang sahaja, janganlah tuan turut serta memperdagangkan ‘FirmanNya’ hanya untuk kepentingan peribadi atau parti tuan.
Februari 9, 2011 pada 12:37 am
nikabduh
ezman, kebersihan sebagai asas adalah kebersihan dalaman bermula dari akidah. Kelantan terbukti lebih bersih dalamannya apabila menerima Islam sebagai jalan hidup. Kerajaan Malaysia adalah sebaliknya. Anda mahu nafikankah? Jadi, sebelum menegur Kelantan pada tahap bersih zahirnya, tegurlah dulu kekotoran batin umno. Itu lebih diredhai Allah..
Februari 7, 2011 pada 6:09 pm
pak pandir
masalah di mesir berpunca daripada kadar pengangguran yang tinggi, mengakibatkan rakyat hidup tidak selesa dan sentiasa kelaparan. masalah yg sama berlaku di negeri tok guru. maka rakyat negeri tok guru sewajarnya memberontak menentang pemenrintahan tok guru yang gagal menyediakan peluang pekerjaan, sebaliknya hanya tahu maki hamun orang lain siang dan malam.
Februari 9, 2011 pada 12:39 am
nikabduh
pak pandir, betul ke ni? bimbang mak mandir marah. kan parah
Februari 12, 2011 pada 7:06 pm
balkisyusoff
betul ! saya tak setuju dgn pak pandir!
saya tengok kehidupan rakyat ‘negeri tok guru’ lebih tenang dan tenteram.
tak macam kebanyakan negeri yang kononnya maju dan byk peluang pekerjaan ‘ek??’,,rakyat dia ‘semacam’ .maju luar hati kosong.
saya pun duduk KL lah…tapi rasa macam nak tentang pemerintahan pusat je,pak pandir..terlebih-lebih plak rase bersyukur ‘tok guru and the gang’ ada kt malaysia nie,, tak ke gitu?wahai orang2 yang dpt memahami dan menggunakan akal dgn baik ..
Februari 10, 2011 pada 8:49 am
pak pandir
nik abduh
sepatutnya apabila batin bersih, ianya akan menzahirkan persekitaran fizikal yang bersih. jika persekitaran fizikal kotor, itu tanda batin yang kotor. tidakkah begitu?
Februari 16, 2011 pada 6:58 pm
nikabduh
Pak Pandir,
Ya, batin yang bersih mendorong kepada zahir yang bersih. Mari kita lihat;
1) Apabila ayahanda saya mengakui rakyat negeri Kelantan masih pengotor, adakah bermakna dia menyuruh kepada kekotoran? Tidakkan!? Kerana tidak mungkin penggalak kekotoran akan memenangi pilihanraya. Pas mahupun Umno mahupun Amerika mahupun komunis mahukan bersih. Hanya kerbau sukakan lumpur!
2) Adakah Kata2 itu menggambarkan ayahanda saya menconteng dirinya sendiri? Tidakkan?! Kerana Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sendiri pernah menegur sahabatnya sebagai masih melekat dengan ‘jahiliyah’!! Tak pernah jumpakah? Ia adalah ‘ayat teguran keras’ untuk mendidik anak buah.
3) Adakah rakyat Kelantan marah dengan teguran itu? Tidak jugakan?! Kerana pemimpin umno kelantan sendiri pun tak kata mereka rasa terhina sebab mereka faham maksud ayahanda yang berani menegur rakyatnya sendiri tanpa takut apa pun. Juga, kerana rakyat Kelantan sentiasa diajar untuk mendengar nasihat ugama walau keras.
4) Adakah Kelantan kotornya pada tahap sama? Ini lagilah tidak?! Berbanding 10 tahun lepas, apatah 20 tahun lalu, Kelantan terbukti lebih bersih. Anda boleh tanya siapa saja yang sentiasa pergi balik ke Kelantan. Jadi, pengakuan itu
adalah tanda tidak berpuas hati pencapaian sedia ada. Sesiapa berjiwa begitu adalah cemerlang!!
5) Ketika saya menjadi ahli majlis perbandaran, faktor kewangan adalah besar memastikan bandar bersih. Serawak berbelanja 10x ganda berbanding KB. Itu baru Serawak, belum lagi KL!!! Dengam sumber kewangan Kelantan yang terhad, bercampur kedekut, zalimdan belot kerajaan pusat terhadap kelantan di dalam menyalur wang persekutuan, adakah anda mengharapkan sesuatu yang lebih dari KL??
6) Simpulnya, jika kb lebih kotor dari kl, maka kl lebih kotor dari Sydney!! Makanya Sydney lebih Islam dari KL??? Begitulah anda berhujah, Pak Pandir??
Hujah anda masih rapuh. Pak Pandir, anda masih anak-anakkan??
Februari 20, 2011 pada 10:14 am
qa
pak pandir dan ezman: sebelum mula nak mengeluarkan isi2 utk berdebat ttg hal2 agama,sila lah baca lebih banyak buku2 agama utk memahami dgn lebih mendalam ttg agama itu sendiri..jika tidak, bakal menampakkan kekurangan dari sudut ilmu tuan2 hamba sekalian… anak2 juga memahami apa yg ingin disampaikan oleh ust..buka lah minda,jgn biarkan ia terkepuk dek jahiliyyah di malaysia yg kian mencengkam
joecharlie: anda lebih lagi..xperlu la menegakkan benang yg sudah sedia basah.. kalau niat dari awal dah x betul (mungkin?!), sepanjang kata dan perjalanan anda dah menunjukkan ketempangannya… cuba fikir,sepatutnya awak tunjal otak org Islam yg berfikiran sempit dan x mahu kan perubahan,kerana mereka inilah yg merosakkan dan cuba nak menjatuhkan Islam..nauzubillahiminzalik..
April 11, 2011 pada 12:10 am
pengiran
bagi saya islam tu mudah baca ja hadis jibril jgn nak di susahkan. apa yang kurang di sini ialah para ulama sibuk dgn khilaf2 bab politik dan feqah kadang khilaf soal aqedah pun ada. islam tanpa rohnya(ihsan,tasauf,mysticme,makrifatullah, what ever u call it la) adalah pincang. memetik dari sheikh hamza yusuf semua ni kerana gerakan pembaharuan yang di laksanakan dahulu di al-azhar. di mana para ulama pembaharuan merasa malu dengan akidah mystic orang islam iaitu bab-bab wali-wali,koramah dan lain2.
semua ni jelas silibus pengajian islam(tasauf dan yang sebahagian darinya) sekarang tidak ada di ajar di sekolah hatta di sekolah menengah arab di malaysia.paling2 kita di ajar sifat dua puluh tanpa penerangan yang lengkap.samada dari ustaz umno atau ustaz pas.
bagi sayalah malaysia kekurangan guru yang mursyid yang boleh membimbing kearah pemurnian jiwa.tanpa penyucian jiwa dan makrifatullah serta sekadar tahu hukum dan berhujah samalah kita seperti para yahudi dan oreantalis.
solat tapi tak khusyu fikiran melayang entah kemana memikirkan hal dunia.
sudah tiba masanya pemuda pas dan pemuda umno bergabung tenaga membetulkan keadaan ini.
kembali kepada quraan dan sunnah seperti para pendakwah islam menyebarkan islam di nusantara dulu. para wali-wali dahulu menyebar agama dengan mudah walhal raja-raja masa tu adalah hindu. ini kerana kemurnian jiwa ulama terdahulu.
fikir-fikirkan