Tiada siapa pun mampu menolak agama daripada kehidupannya. Agama telah terbina di dalam diri manusia semenjak ia lahir ke dunia. Ia adalah faktor utama yang telah membentuk diri dan kehidupannya. 

Mengapa? Kerana agama bermaksud kepercayaan yang terbentuk di dalam dirinya mengenai kehidupan. Selagi manusia hidup selagi itulah dia memiliki kepercayaan, atau kepercayaan memiliki dirinya! Wujudkah manusia dengan anggota tubuh, akal, nafsu dan perasaan, tiba – tiba dia berjalan di bumi tanpa kepercayaan apa – apa yang terbina di dalam dirinya?

Katakan, jika dia menolak Allah, tuhan yang satu, maka dia akan percaya kepada tuhan – tuhan lain yang tidak esa dan satu. Jika dia juga menolak segala tuhan dan menjadi seorang atheis, maka itulah pula ugamanya. Dialah tuhan kerana dia tidak percaya kecuali pada kebolehan dan kekuasaan diri, nafsu dan akalnya sendiri. Jika dia tunduk dan sujud kepada seseorang, maka dia telah mempercayai manusia lain sebagai tuhan pula. Bukankah Firaun dianggap tuhan oleh kaumnya?

Begitu agama terbentuk. Bila anda lapar, anda akan berfikir tentang nasi yang mengeyangkan. Jika anda sakit, anda akan mencari ubat yang menyembuhkan. Jika anda buntu, anda akan berputar mencari penyelesaian.

Begitulah agama. Ia hasil kelaparan, kesakitan dan kebuntuan di dalam diri. Ahli hikmah berkata, agama adalah jawaban untuk kekusutan yang melanda di dalam diri terhadap persoalan; Dari mana kita? Kenapa kita di sini? Dan ke mana kita selepas ini? Tiga soal yang menjadikan diri manusia kelaparan, kesakitan dan buntu jika tiada ubat yang menenangkannya. Justeru bermulalah pelayaran akal manusia mencari kepastian dan jawaban kepada kehidupan ini.

Maka manusia, kehidupan dan ugama tak mungkin terpisah. Jika ada yang mengira agama sebagai candu masyarakat, maka dialah pembawa candu itu. Kepercayaannya itu adalah candu baru yang dijajanya di dalam masyarakat. Bahkan, kepercayaan bahawa tiada tuhan yang mencipta adalah seburuk – buruk candu yang ditawarkan untuk manusia.

Bagi mereka, semuanya adalah semulajadi dengan maksud semuanya berlaku sendiri tanpa tuhan yang menentukan. Terjadi sendiri, tersusun sendiri, terarah sendiri, terjawab sendiri, terindah sendiri dan semuanya berlaku sendiri dan secara semulajadi tanpa sentuhan apa – apa kuasa!

Ini setelah mereka sendiri percaya bahawa mereka tidak akan wujud tanpa ibu yang mengandung. Simpang siur kenderaan di jalan raya tak mungkin terurus baik kecuali oleh undang – undang jalan raya yang dikawal rapi. Anak – anak tidak akan berjaya kecuali melalui petunjuk guru. Sebuah istana tidak mungkin indah dan tersergam kecuali dengan sentuhan puluhan pakar yang mengilhamkan nilai dan estetika.

Nah, semuanya bersebab dan mereka telah begitu beriman dengan faktor sebab musabab bahawa sesuatu yang berlaku tanpa arahan, petunjuk dan undang – undang, maka ia akan menyebabkan kucar – kacir dan kerosakan yang besar.

Tiba – tiba, apabila mereka mendongak dan melihat ke langit dan bumi serta isinya yang begitu tersusun dan begitu indah dan hebat, mereka lantas berkata, semua ini berlaku secara sendiri tanpa pencipta, tanpa penyusun, tanpa kehendak dan tanpa sebab! Bukankah mereka sendiri dan apa yang mereka imani itu juga adalah sebahagian daripada alam raya ini? Bukankah inilah pembunuhan kepada akal? Tidakkah merekalah  sebenarnya candu yang telah membunuh sebahagian manusia yang dirasuk kefahaman ini? Mereka menolak agama semata – mata untuk beriman pula dengan seburuk – buruk kepercayaan dan seburuk – buruk agama.

Justeru kemuncak pemikiran manusia adalah ketika mereka berfikir mengenai alam dan kehidupan raya yang begitu agung dan misteri ini. Mereka bermatian mengilham dan mencipta, tetapi di hadapan mereka adalah satu kehendak dan ciptaan alam raya yang begitu mengkagumkan. Mereka bermatian merancang dan menyusun, tetapi di hadapan mereka adalah satu hasil perancangan dan penyusunan kehidupan raya yang maha halus dan seni. Mereka terdesak untuk bertanya, siapakah empunya zat pencipta dan penyusun yang maha agung ini?

Para ahli hikmah berkata, kemuncak adalah apabila kita mengenal akidah dan kepercayaan agama sesuatu kaum terhadap tuhan mereka. Sesiapa mengenal akidah sesuatu kaum terhadap tuhan mereka, maka dia telah mengenal sebahagian besar isi agama mereka. Daripada pengenalan mereka terhadap tuhan mereka itulah, maka berjalanlah hukum dalam kehidupan mereka dalam membina neraca kebaikan dan keburukan, juga mengenal manfaat dan mudarat.

Ada dua golongan yang menjadi tuan dan raja di dalam memperkenalkan ugama. Pertama, ahli falsafah pemikiran dan kedua, ahli hikmah agama. Beza antara keduanya adalah golongan falsafah pemikiran akan bergerak meneroka melalui akalnya dalam mengenal tuhan tanpa ikatan ugama dan kewajiban ibadah dan muamalah yang terpaksa dipegang oleh ahli hikmah ugama.

Hasilnya adalah kemalangan bagi golongan falsafah yang terpaksa memerah otak untuk bercakap perihal tuhan Allah yang terhijab itu tanpa bantuan apa – apa. Maka lahirlah ketuhanan dengan gambaran dan hasil khayalan yang tak terjangkau oleh otak para pengikut mereka. Bagaimana digambarkan apa yang dicapai oleh Plato misalnya, bahawa Allah tidak boleh disifatkan sebagai ada kerana sifat ada menarik sifat tiada yang perlu dibersihkan daripada Allah. Maka Allah tidak boleh dikatakan ada kerana dia tak boleh tiada!

Aliran Aristotle pula berkata, Allah itu ada secara azali, abadi dan sempurna sekali tetapi tiada awal dan akhir, tiada perbuatan dan tiada kehendak kerana semua itu adalah kekurangan yang mesti dibersihkan daripada Allah. Tuhan hanya layak untuk mengecapi  kebahagiaan kerana kesempurnaan dan kekekalannya tanpa kehancuran.

Begitulah pemikiran seagung – agung otak yang dipuja manusia. Malang, sehinggakan sebahagian mereka sendiri meyakini bahawa Plato sendiri gagal untuk menggambarkan apa yang dia gambarkan mengenai sifat tuhan Allah yang dikenalinya itu!

Kita tinggalkan mereka kerana sentuhan ketuhanan dalam aliran falsafah di sini adalah sekadar untuk menggambarkan bagaimana penat dan tumpulnya manusia untuk berfikir mengenal Allah tanpa bantuan apa – apa daripada empunya zatnya sendiri iaitu Allah yang maha esa.

Adapun golongan kedua iaitu ahli hikmah agama atau golongan agamawan yang berbicara mengenai ketuhanan, maka mereka lebih berdisiplin dalam penggunaan akal kerana bergantung dan berpetunjuk melalui ajaran ugama yang dibawa oleh para rasul yang meninggalkan juga kitab – kitab daripada langit kepada umatnya. Walau bagaimanapun oleh kerana agama – agama langit dan juga yang memiliki kitab suci itu banyak, maka pengenalan terhadap Allah juga berbeza bergantung kepada keaslian ajaran agama itu dan kepalsuannya.

Kita akan melihat bagaimana Allah memperkenalkan diriNya dan kembali kepada asal perbincangan mengenai hak agama untuk menjadi idaman manusia di dalam membina kehidupan terbaik mereka terutama di zaman moden kini yang sedang dilanda ombak ganas kebendaan yang menghanyutkan.

(Artikel ini adalah untuk kolum akhbar Siasah/2)