Salam Ramadhan,
Semasa saya mengunjungi ayahanda di hospital untuk memberitakan pemergian saya ke Mesir sebelum bulan Ramadhan baru – baru ini, saya sempat juga menyertai perbualan ayahanda dengan beberapa orang pelawat yang lain. Sangat biasa saya hanya menjadi pendengar yang tekun sahaja dan jarang mencelah kecuali apabila perlu, saat ayahanda berpaling ke arah saya seperti meminta pandangan daripada saya.
Apabila saya memberi pandangan di hadapannya, saya agak terlalu merendahkan suara sehingga saya sendiri rasa terkilan, bimbang ayahanda gagal memahami maksud saya. Ia mungkin suatu yang negatif dan dilihat tidak memberi manfaat apa – apa. Tetapi, sepanjang dididik sedari kecil di bawah tarbiyah Islamiyah, samada di rumah atau di sekolah, saya mendapatinya sebagai suatu terjemahan kepada adab – adab Islamiyah yang tinggi.
Ia bagi saya adalah penghayatan kepada sebuah kehidupan yang penuh sopan dan teladan yang dianjurkan Islam. Adab dan akhlak mulia adalah isi penting pengajaran dan kehidupan Islamiyah.
Pertama, saya kena memuliakannya sebagai seorang bapa. Ibu dan bapa adalah syarat memasuki ridha dan syurga tuhan. Ia menyentap nikmat perjuangan dan kehidupan jika dialpakan dan dipinggiri kepentingannya. Ayah dan ibu bukan untuk dipohon ampun dan dipeluk cium hanya di pagi raya, bahkan setiap pagi adalah hari raya untuk mereka daripada kita anak – anak. Kita perlu membahagiakan mereka di hadapan dan di belakang mereka. Biar kita menjadi syurga mereka di dunia ini sebelum mereka menjadi syurga kita.
Ibu bapa mana tidak gembira melihat kita tergagap – gagap rentak kita di hadapannya semata – mata kerana ingin menghormati, beradab dan menjaga tata santun kita di depannya. Biar mereka menikmati kita hari ini sebagaimana mereka menikmati kita semasa mereka mendidik kita semasa kecil dahulu. Perhatilah, merekakan terhibur melihat gelagat dan ngomelan cucu – cucu mereka, anak – anak kita itu. Biar sifat keanakan itu masih menjadi pakaian rasmi kita di hadapan mereka, biar besar mana nama kita di sisi masyarakat di luar sana.
Kedua, saya kena memuliakannya sebagai seorang ulama. Ayahanda adalah tok guru di sisi masyarakat. Ia terus memuncak sehingga masyarakat menobatkannya sebagai seorang Menteri Besar sebuah kerajaan negeri Islam. Kesultanan pula memuliakan penghormatan rakyat ke atasnya dengan menganugerahkannya pula gelaran kebesaran istana. Panjangnya nama ayahanda, Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin ( Tuan Guru ) Haji Nik Mat ( Alim ).
Jika semua masyarakat berebut – rebut untuk memuliakannya, maka mestilah saya kena merebutinya di tempat yang pertama. Dia ayah saya sebelum dia adalah tok guru saya dan semua. Saya mesti memenangi perlumbaan ini di tempat yang pertama.
Ulama besar sungguh di sisi Islam. Ia menjadi besar kerana tiada lagi nabi hari ini. Tiada lagi utusan langsung dari langit atas sebagaimana zaman dahulu kala sebelum kedatangan rasul akhir zaman sallaLlahu alaihi wasallam. Zaman mana ada nabi, tiadalah ulama menjadi besar sebagaimana hari ini yang tiada lagi nabi.
Ulama itu pewaris para nabi. Nabi mewarisi ilmu langit. Kadar mana ilmu itu diwarisi ulama, kadar itulah darjat ulama menjadi tinggi. Oleh kerana nabi kita begitu diangkat ketinggiannya, maka para ulama pewaris pun turut mewarisi dan menerima tempias ketinggian itu. Ulama dijulang kerana nabi dijulang. Ulama dipalang pun kerana nabi dipalang jua.
Ulama mewarisi ilmu dan perjuangan para nabi. Bebanan ulama tak sama dengan bebanan kita orang biasa. Mereka mesti menjaga ugama. Mereka mesti menjaga dakwah. Mereka kena menarik kemaslahatan kepada ummah dan menolak kemudharatan daripada mereka.
Begitu ugama ini dijaga daripada kebatilan dan kerosakan. Ia mesti kekal sebagai ugama suci untuk dianuti jiwa yang mahukan kesucian di dunia ini.
Allahlah yang menjaga ugama ini. Ia mengarahkan malaikat Jibril memeliharanya sehingga terus diwahyukan dan diperolehi al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Kemudian baton penjagaan itu dipegang oleh Nabi Muhammad sehinggalah kewafatannya. Kemudian ia diserahkan kepada para sahabat sebagai ulama dan pewaris pertama ugama ini. Mereka adalah para tuan guru pertama umat Muhammad sebelum kita.
Di sini berlaku lompang yang memisahkan antara dua rasul tuhan ( Jibril dan Muhammad ) dengan para sahabat ( ulama pertama ). Yang pertama disucikan daripada dosa dan kesalahan, sedang yang kedua kekal berhadapan dosa dan kesalahan.
Bagaimana agama ini dijaga oleh para pewaris yang tidak mewarisi kesucian dan ismah ( maksum )? Tidakkah ini mengakibatkan ugama juga akan terdedah kepada pemalsuan dan pemunahan?
Ia adalah persoalan yang besar dan pasti mencetus fitnah. Tetapi Allah yang maha bijaksana lebih mendahului persoalan itu dengan jawaban yang telah pun siap siaga disediakan.
Nabi Muhammad diarah untuk meladeni para sahabat yang akan mewarisi ugama ini daripadanya dengan menjadikan mereka ahli mesyuaratnya. Siapalah para sahabat yang penuh kekurangan untuk diambil timbang pandangan mereka di hadapan ar Rasul yang penuh maksum? Tidakkah cukup sudah segala jawaban jika ianya datang walaupun hanya dari seorang seperti ar Rasul? Apalah gunanya lagi pandangan para sahabat?
Namun begitulah Allah mempersiapkan jawaban buat mengisi kelompangan besar antara kedua – duanya. Betul, al Rasul cukup dengan wahyu dan Allah di sisinya untuk menjaga ugama tanpa pandangan dan jawaban para sahabat, tetapi begitulah amalan syura dihidupkan seawal zaman nabi masih di persada kehidupan buat memahamkan kita bahawa syura ulama adalah pewaris ugama ini.
Seorang nabi tidak diwarisi oleh seorang ulama. Seorang Muhammad yang menjaga ugama itu diwarisi ilmu ugama dan perjuangannya oleh sejumlah ulama yang membentuk syura yang muktabar.
Jumlah yang ramai itulah yang menjadi penyelamat sepanjang zaman kepada perjalananan ugama suci ini untuk terus kekal suci sampai kiamat.
Syura mesti daripada ulama yang mewarisi ilmu al Quran. Ia mesti dipilih oleh para ulama daripada kalangan mereka atau dengan keputusan mereka. Demikian ugama ini menjadi kebal untuk dibolosi anasir – anasir yang akan mencacatkan dan mengotorkan agama suci ini.
Agama bukan milik Ibnu Taimiyah atau Hasan al Banna atau Yusuf al Qaradhawi atau individu mana pun. Juga, ia bukan milik Abdul Aziz, atau Abdul Hadi atau Harun Din atau individu mana pun. Ia milik syura yang dikebalkan Allah dengan kekebalanNya. Himpunan ulama mencipta Ijma’ ulama. Ijma’ ulama adalah sumber ugama selepas Al Quran dan al Hadis. Begitu kita mesti memahamkan diri.
Betul, setiap ulama adalah bintang yang bercahaya. Anda menikmatinya saat langit malam itu cerah, aman dan sejahtera. Namun, apabila awan mula menggulung – gulung dan petir memanah – manah, anda kehilangan petunjuk bintang itu.
Begitulah, anda kehilangan individu ulama itu saat fitnah menyerang umat. Anda memerlukan petunjuk yang lebih jelas dan tepat. Itulah syura ulama yang pasti menunjuki.
Semasa saya menyertai perbualan ayahanda dengan beberapa pelawat lain di wad Hospital Pakar Perdana itu, seorang exco negeri memberitahu ayahanda bahawa semacam ada usaha untuk menukarkan kepimpinan ulama di dalam PAS dengan kepimpinan Islam. Ia merujuk kepada beberapa isu dalaman yang melanda PAS saat itu. Juga hari ini?
Ayahanda dengan wajah cerianya mencelah, ” Bagaimana mereka boleh memisahkan antara kepimpinan Islam dengan kepimpinan ulama?”
Anda tak rasa hebatkah dengan jawaban ayahanda ini? Jika begitu, anda betul – betul anak murid yang nakal! Atau beballah..
Saya terbawa – bawa hikmah ini sehingga mensyarahkannya kepada adik – adik seperjuangan di bumi Mesir. Dan sehingga sekarang saya akan menghidupkan hikmah ini.
Jika anda seorang doktor, anda diamanahkan menjaga kesihatan tubuh. Jika anda seorang arkitek dan engineer, anda diamanahkan menjaga kesihatan bangunan. Jika anda seorang ekonomis, jagalah kesihatan kocek.
Jika anda bukan seorang ulama, janganlah anda melangkah ulama untuk menjaga ugama dan dakwah ini. Kelak anda marah jika anda digelar anak tak beradab atau murid yang nakal.
Kita dalam PAS jangan jadi budak – budak nakal. Malu kita..
23 comments
Comments feed for this article
September 26, 2008 pada 8:54 am
abu razeen
“Agama bukan milik Ibnu Taimiyah atau Hasan al Banna atau Yusuf al Qaradhawi atau individu mana pun. Juga, ia bukan milik Abdul Aziz, atau Abdul Hadi atau Harun Din atau individu mana pun. Ia milik syura yang dikebalkan Allah dengan kekebalanNya. Himpunan ulama mencipta Ijma’ ulama. Ijma’ ulama adalah sumber ugama selepas Al Quran dan al Hadis. Begitu kita mesti memahamkan diri.”
Cantik sungguh anta susun turutan nama2 ulama salaf diatas, ya ustaz!
Bagaimana kumpulan khawarij, mu’tazilah dan munafiq cuba memfitnah, memperlekeh dan mengkritik ( tanpa alasan syar’ie ) terhadap semua ulama besar diatas hanya mendedahkan kedangkalan ilmu dan cemarnya jiwa mereka.
Nah! Betapa besarnya pengiktirafan anta terhadap mereka tetap tertakluk kpd Al Qur’an dan assunnah.
Inilah kejayaan Ibnu Taimiyyah dalam mendidik dan mentarbiyyah pengikut beliau seperti ibnu Qayyim dan ibnu Kathir. Dan inilah kejayaan TGNA keatas ilmuan spt anta.
Kenyataan Prof Abdul Bari dlm harakah terbaru mengesahkan bahawa sokongan TGNA keatas usaha DSAI supaya Pakatan ambilalih pemerintahan drp BN bukanlah atas fanatik semata2 (seperti yg cuba dibayangkan oleh setengah pihak) tapi atas pertimbangan ilmiah dan pengalaman luas TGNA dlm menilai sesuatu perkara.
September 26, 2008 pada 10:53 am
abuamirah
Assalamualaikum wrt wbt
Sejuk rasa hati membaca tulisan ustaz tentang peripentingnya syura Ulama’. Mungkin agenda tarbiyah perlu di isi dengan pengisian “bagaimana menyentuh hati” agar isu yang panas dapat ditangani dengan lembut dan menusuk hati.. bukan keras dan semakin menjauhkan.
Alhamdulillah…
September 26, 2008 pada 12:41 pm
abudarwis
Salam ust
Allah.. kelu saya lps mmbacanya.. Hmpir meleleh air mata.. Sayang TG Nik Aziz , sayang ulama, sayang pecinta Islam!
Arap saya budak PAS yg sopan dan bkn lurus bndul 🙂
salam syawal jgk buat Ust sekeluarga..
September 26, 2008 pada 3:18 pm
dhuat79
Uhibbukafillah 🙂 kepada Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato Haji Nik abdul Aziz bin ( Tuan Guru ) Haji Nik Mat ( Alim ) dan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz sekeluarga.
September 26, 2008 pada 10:30 pm
alkaha
Salam ustaz,
Ahhh….beginilah pemikiran dan pandangan orang berilmu. Tuan sememangnya bukan anak murid yang nakal.
Harap lebih ramai pemimpin dapat mencontohi cara tuan memberikan pandangan. Lembut, padat tapi menikam.
salam syawal untuk tuan sekeluarga.
September 26, 2008 pada 10:57 pm
aiman
Salam.
Tulisan yang baik sangat2. Cumanya ustaz, saya berpandangan ada yang salah faham akan kepimpinan ulama’ ni. Tak faham syura ulama’ PAS dan JK eksekutif.
Ada kawan2 PAS yang tak boleh terima orang seperti Husam Musa, Md Sabu, malah Ustaz Nasarudin Mat Isa untuk jd presiden. Katanya mereka ini tidak ulama’ spt TG Haji Hadi dan TG Fadzil Noor.
Mereka ni faham bila kepimpinan ulama’, maka presiden perlu seorang yang berlevel Tok Guru, berserban sentiasa, berkopiah dan sebagainya. Jika jawatan Mursyidul Am yang akan mempengerusikan Syura Ulama’ tu, kita faham lah.
Ini pndgn sy je ustaz. Kot ustaz boleh komen…
September 27, 2008 pada 7:36 am
كمال الماليزى
السلام عليكم ورحمة الله… كل عام و انتم بألف خير…جزاك الله على هذه المقالة الفيّمة…هل فعلا أن هناك توجد المحاولة لاقصاء وتهميش دور العلماء في الحزب الإسلامي…من هم؟ و لماذا؟ الم يعلم بأن العلمآء ورثة الأنبياء؟ وبعلمهم نهتدي و بنورهم نستنير…ألم يعلم بأن قوة ومتانة الحزب الإسلامي يتمثّل فيهم؟…اللهم إنّا نسألك الخير لهذه الأمة!!!!يا ربّ
September 28, 2008 pada 10:19 am
globalmalau
Terlalu hiba tuan…ibu dan bapa adalah segalanya…
September 28, 2008 pada 12:08 pm
monoja68
Tuan guru Nik Muhammad Abduh,
Setiap kali ana baca tulisan anta terasa ilmu si ayah mengalir ke pembuluh darah di setiap sendi tubuhmu. Atau ‘Fiqhul ‘Asr’ Syeikh Mohamad Abduh merebak ke gelombang fikiranmu. Atau cinta AlBanna menerjah ke kepalan jantungmu. Ah, semua itulah yang mungkinnya anta miliki. Ana cemburu, tidak menjejaki pandangan anta sedari awal dalam memahami situasi.
Apa pun, sentiasalah membuka laluan kepada sahabat lain memahami ‘qadiyyah’ dalam liqa’ yang dianjurkan. Bergerak dalam kumpulan itu lebih ringan bebannya, lebih seronok hasilnya.
Semoga diberkati Allah sepanjang Ramadhan… dan Id Fitri.
September 28, 2008 pada 11:07 pm
hilmi_unitamal
Alhamdulillah…Tak tergamak ana nak mengkritik kedua2 TG kita…Allahuakbar… Ana harap isu ini bleh selesai…Pas segera dibersihkan dari golongan yang mahu menukar kepimpinan ulama…Ana masih mahu kepimpinan ulama…ana akan mempertahankan kepimpinan ulama sehingga mati….Allahuakbar!!! Sekiranya puak2 nih nak singkirkan ulama2 semuanya,…ana akan ikut ulama…kerana mereka pewaris RasulSAW…
September 28, 2008 pada 11:30 pm
masdarwahid.blogspot.com
salam adilfitri jugak buat ustaz. dah lama ana kunjungi blog ustaz, cuma baru kini terasa kuat untuk memberi komen di ruangan ini. terasa kerdil diri ini berbanding blog ustaz yg dipenuhi pelbagai nasihat dan teguran bersemangat buat pengunjung. suatu ketika dulu, ustaz ada menulis tentang anak sabah di sekitar kawasan kota belud kalau tak silap ana. harap ustaz, jika ada kelapangan, menulis apa jua artikel tentang sabah menurut pandangan usraz sendiri.
buta pengetahuan ustaz, ssehingga kini, hanya negeri sabah sahaja tiada kelab penyokong pas, sedangakan sabah pada hakikatnya adalah bumi subur dgn gerka kerja islam khususnya anak muda yg dididik dari ipt disemenanjung.
ini terbukti apabilla tuan guru nik aziz sewaktu melawat sabah suatu ketika dahulu, terpegun dgn ramainya anak muda sabah menyambut kedatangan beliau berbanding pas sarawak.
ana tidak bertujuan membanding pas negeri, tetapi agak janggal jika dun sabah yg memiliki lebih 30 kerusi dun bumiputra islam pasa hanya bertanding dua kerusi dalam pru 8 mac.
bg ana, jika kalah pun, sekurang2nya dgn penyertaan pas dalam bnyk pilihanraya dan betrtanding bnyk dun, pas itu dikenali dan memudahkan pas itu disebarluaskan.
untuk rekod, kawasan kota kinabalu adalah yg tertinggi pengunjung kpd harakah daily.net
dan pas sabah juga berjaya dari segi persefahaman dgn dap khususnya bahgian tawau sana berbanding pkr.
buat pengetahuan ustaz, dikawasan tawau, tiada masalah untuk pas di ishtiharkan krn umum masyarakat mengetahui berbanding kwsn kota kinabalu dan sandakan yg memerlukan islam dahulu difahami berbanding pas itu sendiri.
harap dpt respon dari ustaz.
masdarwahid.blogspot.com
September 30, 2008 pada 12:27 pm
Budak MB
Salam Eidul Fitri.
Proses menukarkan kepimpinan ulamak mula membuak dalam PAS apabila menang PRU12. Suatu kemenangan yang besar berbanding sebelum ini. Usaha ini sedang dilobi oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dalam kumpulan erdogan dalam PAS.
Hasratnya apabila bertukar perdana menteri malaysia, mereka akan ditempatkan dalam kabinet. Dengan Jawatan Menteri memudahkan mendapat jawatan dalam Parti apabila ada pertandingan pada tahun 2009.
Kelantan juga tidak kurang menerima tempias ini. Jika TGNA bersara ‘aku’ lah yang akan menjadi MB gantinya.
Lu fikirlah sendiri
September 30, 2008 pada 4:00 pm
pemudaislam
salam eidul fitri
telah 3 penggal saya ikut dalam proses pengundian, 2 untk PAS dan sekali cb2 utk UMNO, mmg perbezaannya mcm langit dan bumi, tmpt solat xdisediakan dan org2 nya pn xpenah saya jumpa g solat,(yg solat kat belakang tu xtau la.)
tapi benarla tok2 guru cakap, nak ajak orang kearah kebaikan dan meletakkan Islam itu pada tahap yang tertinggi adalah sangat susah, kita hanya nampak usaha sahaja tapi sebenarnya 1% usaha 99% tawakkal (macam yg pernah ustaz tulis dulu).dan kat situ pn dah boleh tahu betapa kerdilnya kita disisi Allah
semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah kepada kita semua dan semoga kawan2, sahabat handai dan musuh2 kita juga mendapat petunjuk dan hidayah Allah
wassalam
September 30, 2008 pada 5:19 pm
che'pirate
salam lebaran……
Jgnlah kita dok mengata la di hari baik bulan baik ni………tak baik tau!!!!!
Tapi aku kata ,lebih baik kita kata, dari tak kata apa-apa yang sehinggakan kita tak dapat kata apa-apa!!!!!
Memang tepat apa ang budak “MB KATA” Jng lah ianya jadi kenyataan hancus Islam OOOoooiii………
Puak ni di bukan nak sangat Islam,cuma TOPENG saja,Sekular jgk la……
Ayuh kita tentang habis-habisan puak Erdogang……..
Mei 1, 2009 pada 5:27 pm
men
ulama…..khalifah umar abdul aziz tu ulama ke???khalifah harun ar rasyid tu ulama ke???
setahu aku mereka ni adalah ulul amri yg mentadbir mengikut acuan islam dan bimbingan dari ulama..
so, nak memimpin sebuah negara sememangnya perlu kan ulama,,tapi kalau takde ulama yg boleh memimpin, prestasi tak baik dsb, maka berilah ruang kpd org yg boleh memimpin asalkan berada di dalam landasan majlis syura..
Mei 2, 2009 pada 7:38 am
Sulaiman
Siapa kata Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz bukan Ulama’? Mulut jangan sembarangan, saudara! Sekadar nak beri sedikit pengenalan, Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz juga diiktiraf Khulafa Ar-Rasyidin kelima. Baca dulu sejarah Islam sebelum tulis komen dangkal macam ni.
Lagi satu ingatan, Ustaz Nik Abduh juga tidak menganggap dirinya di kalangan Ulama’, maka saudara mesti faham, untuk benchmark ulama di zaman ini pun sebegitu tinggi ukurannya, justeru Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz tidak tergapai taraf ilmunya oleh walau mana Tuan Guru pun di zaman ini.
Manakala saudara yang ilmu agamanya saya jangkakan teramat cetek atau langsung tiada ini (berdasarkan komen dangkal saudara), jangan bermimpi untuk menilai siapa ulama’ dan siapa tidak. Biar mereka yang di kalangan ulama’ mengiktiraf siapa sebenarnya ulama’.
Bagi kita yang bertaraf umat biasa ini, taklid dengan ulama’ yang telah diiktiraf muktabar adalah lebih baik daripada memandai semberono seperti saudara ini..!
Mei 18, 2009 pada 1:37 pm
dseed
Abg men, kepimpinan ulama secara bahasanya, ulama yang memimpin. Saya tak pasti samada harun al rasyid tu ulama ke tak, sebab jumpa cerita mengatakan dia tu ulama. Tapi yang pasti, harun al rasyid dan umar abdul aziz ni adalah pecinta ilmu dan sangat menghormati ulama. Umarak mesti bergantung kepada ulama tetapi ulama tak semestinya bergantung kepada umarak. Saya bersetuju dgn cadangan untuk bukan ulama memimpin TETAPI mereka ini mestilah dari golongan cerdik pandai Islam (bukan bertaraf ulama), warak serta mempunyai kepatuhan kepada keputusan Majlis Syura Ulama. Dengan kata lain, Majlis Syura adalah on top of him. DAN, ADA KE TAK GOLONGAN NI DALAM PAS?
Mei 2, 2009 pada 6:20 pm
almusyammir
“Jika anda seorang doktor, anda diamanahkan menjaga kesihatan tubuh. Jika anda seorang arkitek dan engineer, anda diamanahkan menjaga kesihatan bangunan. Jika anda seorang ekonomis, jagalah kesihatan kocek.
Jika anda bukan seorang ulama, janganlah anda melangkah ulama untuk menjaga ugama dan dakwah ini. Kelak anda marah jika anda digelar anak tak beradab atau murid yang nakal.
Kita dalam PAS jangan jadi budak – budak nakal. Malu kita.. ”
Semua KATA2 kat atas ni ditujukan khas wat ahli KOMEN…
nak jadi budak nakal ke budak baik…
1 lg…hati2 bila menilai ‘fakta’ atau ‘auta’ (area komentar)
Ingat setiap hati2,jari jemari,akal fikiran yg berniat untuk
lawan ISLAM akan dibalas diakhirat kelak…(khusus kwn komen)
Mei 7, 2009 pada 3:19 am
Hazli
Salam,
Saya adalah orang luar PAS yang yang tidak berparti tetapi, meminati perjuangan PAS, kebelakangan ini saya minat saya terhadap PAS tercedera kerana sikap pemimpin2 kecil dan juga pengikut pas yang tidak cerdik, terlalu memandang rendah orang lain, dan menganggap orang lain tidak setaraf pemahaman agama dengan mereka. Orang itu dangkal, orang ini mi celup. Buruk perangai anda dimata orang luar terutama orang orang bukan Islam yang mahu menaruh harapan dengan PAS sebagai sebuah parti yang mewakili ketertiban Islam.
Anda semua selalu mempertikaikan orang itu lebih ilmu, orang itu kurang ilmu tetapi perkara asas anda tidak selesaikan. Ahli agama tidak layak menjadi jurutera roket. Biar lah jurutera roket yang mencipta roket. Ahli agama menasihati jurutera supaya membuat roket bukan untuk mencari Tuhan di luar angkasa.
Kedua, sifat dan perilakuan anda tidak universal, anda membina tembok disekeliling anda dengan memberi informasi kabur, bahasa yang tidak mudah difahami untuk semua golongan. Syok sendiri dengan bahasa arab. Ingat lah, kita semua berkongsi udara, tanah, air dan cahaya dengan semua manusia dan juga makhluk. Apa salahnya saudara saudara berkongsi falasafah dengan bahasa rakyat yang mudah difahami. Baru lah rakyat terbanyak dapat memahami falasafah perjuangan saudara saudara. Kalau orang lain bercakap Melayu separuh English anda tau pula meluat.
Ketiga, anda telalu memuja susuk tubuh seakan akan mahu menyembah nya dalam minda anda. Pada pandangan saya susuk tubuh itu tidak penting tetapi ilmu, kefahaman, falasafah, perjuangan dan perbuatan mereka yang terdahulu itu lah yang penting dan juga menaikkan taraf susuk tubuh itu. Ingat lah iman bapa tidak diwarisi oleh seorang anak. Ilmu mungkin. Si anak perlu melalui pengalaman yang panjang dan ilmu untuk menyamai kepandaian seorang ayah.
Keempat, anda tidak menilai persekitaran anda yang konon nya anda tidak beriman kepada arus. Tidak ada keperluan kita kepada beriman kepada arus, tetapi arus itu lah yang tetap menghayutkan anda. Misalnya zaman IT ini anda tidak melengkapkan diri dengan pengetahuan IT, anda akan ketinggalan.
Kelima, tidak mahu menerima pembaharuan yang sesuai dengan Islam, ada sedikit perubahan dalam anda lebelkan dengan bermacam gelaran seperti erdogan, ularmak dsbgnya. Hakikatnya, lambat laun pembaharuan tetap kan berlaku, pada zaman nya penunggang keldai tetap akan menunggang motorsikal di zaman ini. Jadi biarkan ianya berevolusi secara netural asalkan ianya dalam lingkungan Islam.
Sekadar ujian minda berfikiran diluar kotak, Sekiranya seluruh ilmu, ibadah, iman, ketakwaan dan jiwa yang ada pada TG Nik Aziz ditukarkan kedalam susuk Lim Kit Siang, dan begitu juga sebaliknya, siapakah diantara anda yang akan menyokong TG Nik Aziz?
Maaf jika tersinggung, saya cuba berbahasa sopan sebaik mungkin dan se ringkas yang mungkin. Ianya sekadar pandangan orang luar dari lingkungan anda.
Adil lah pada diri sendiri dan orang lain dengan melihat dari mata keadilan Islam.
Mei 25, 2009 pada 4:49 pm
Hamzah
Assalamualaikum wr.. wb..
Falsafah yang cukup dalam untuk difahami, dan perlu ditafsir dengan hati yang celik. Untuk mengkritik, sangat tidak susah. Dale Carnegie menyebut, kalau untuk mengkritik, semua orang boleh mengkritik. Orang kat tepi jalan pun boleh kritik. But it takes a very big people to swallow a very big vision.
Mel mendakwa, tulisan Nik Abduh berfahaman sekular, benarkah begitu? Maaf Mel, mungkin anda tersilap.
Apa yang disebutkan oleh Nik Abduh ialah, meletakkan semua orang di tempatnya yang sesuai dan tepat. Sesuaikah agaknya sekiranya seorang jurutera awam dilantik sebagai ulama yang tugasnya menentukan hukum hakam? Sekular lain maknanya, please look up in the dictionary.
Untuk Hazli, saya rasa anda mempunyai beberapa komen yang amat berguna untuk orang agama yang semacam anda sebutkan. Bolehkah saya sebut, janganlah menilai PAS berdasarkan orang-orang yang anda sebut itu? PAS ini dianggotai oleh ramai orang, dan ada bermacam-macam perangainya. Yang fanatik salafi ada, yang fanatik asya’irah ada, yang profesional ada, yang balik dari timur tengah ada. Adilkah rasanya untuk menilai Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dengan orang-orang Islam seperti Mike Tyson dan Michael Jakcson? Salah Islamkah? Salah Rasulullahkah? Namun, benar sekali apa yang anda sebut, orang-orang agama yang syok sendiri dalam PAS amat perlu berubah. Ingatan untuk saya juga.
Persoalan ketiga yang dibangkitkan oleh Hazli ialah, susuk tubuh atau penampilan luaran. Anda sebut, penampilan luaran tidak penting berbanding dengan kefahaman yang dalam. Saya rasa, kalau orang itu benar-benar memahami Islam, dia akan menitik-beratkan penampilan luarannya dengan pakaian yang sesuai. Kerana, itulah yang Rasulullah s.a.w buat. Nak tahu? Tanya ustaz anda. Sebab itulah ustaz ni penting, terutama dalam soal macam ni. Saya pasti, ada doktor yang boleh jawab soalan macam ni, tapi samakah kefahamannya dengan orang yang belajar Islam secara serius selama empat lima tahun di universiti dengan orang yang membaca buku-buku agama bila masa terlapang? Apa gunanya belajar algebra? Tiada yang lebih faham daripada seorang jurutera yang setiap hari menggunakannya dalam aplikasi harian.
Keempat, apa maksud Nik Abduh tidak beriman dengan arus? Maaf, tapi saya rasa Hazli agak kasar dan rasanya tidak keterlaluan untuk saya kata tidak perlu? If you always go with the current, then you have no stand. I’m sure that’s what Nik Abduh trying to say. Please, don’t go through his words blindly, because that’s why you are taught with Balaghah in your speech, so you understand better. Beriman dengan arus bermaksud hidup dengan arus, ke mana arus pergi, ke situ kita dibawa. Itu tentu sekali bukan sifat orang beriman. Mungkin Hazli tahu hadis ini, Islam itu dagangnya dagang, dan akan kembali dagang. Berbahagialah orang yang dagang. Tanyalah ustaz anda untuk memahami hadis ini. Namun, untuk melawan arus, kita perlu memahami arus. Jangan lawan bodoh. Kalau arus itu boleh digunakan untuk kita, rather than against us all the time, why not manipulate it? That’s what engineers do in their job. IT is tools, not current. Current is something like human’s perception, from my opinion.
Adakah semua pembaharuan perlu dialu-alukan? Kita perlu kenal apa pembaharuan itu dan apa yang akan dibawa serta akibatnya. Mahathir banyak membawa pembaharuan, adakah semuanya bagus? Atas bahu siapakah hendak kita letakkan nasib anak-anak muda yang tidak kenal al-Quran sekarang ini? Kalau saya kata atas bahu orang yang menghapuskan pelajaran jawi di sekolah ada betulkah rasanya? Sebab itu bukan semua pembaharuan itu cantik.
Ada persoalan yang lebih besar di sini. PAS membawa satu politik baru dalam negara, berasaskan Islam. Adakah puak-puak ini yang dimaksudkan oleh Nik Abduh mengamalkan politik yang diajar oleh Rasulullah atau tenggelam dengan tipu muslihat politik yang diamalkan oleh parti lain? Masing-masing ada agenda tersendiri, beginikah yang diajar oleh Islam? Mungkin jurutera lebih faham siyasah syar’iyyah daripada ulama, siapa tahu? Anda rasa?
Sedikit jawapan untuk soalan di luar kotak itu, kalau Lim Kit Siang faham sebagaimana Nik Aziz faham, nescaya Lim Kit Siang pun akan pakai macam Nik Aziz pakai. Kenapa? Pakaian itu melambangkan pakaian sunnah dari sudut simboliknya, dan itu yang difahaminya hasil pengajian dan kajiannya terhadap Rasulullah s.a.w. Kalau Lim Kit Siang faham seperti Nik Aziz, kenapa tidak? Adakah Hazli pernah membaca kitab Syamail Muhammadiah? Bacalah, mungkin anda akan jadi seperti Abdullah bin Umar sekiranya anda faham seperti beliau faham. Semua nama yang saya sebut ada maknanya, rujuklah ustaz berdekatan.
Mei 7, 2009 pada 9:26 pm
sebelum anda dimamah fitnah-Nik Abduh « Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
[…] Kedua, ada masa, baca artikel saya yang saya tulis 8 bulan yang lepas. Rasanya ini adalah artikel paling berkait untuk memahami sebahagian hasrat saya di sini. Klik di sini. […]
Mei 11, 2009 pada 3:09 pm
mel
salam,
Maap. saya rasakan pandangan anda sekular. Memisahkan agama dengan kehidupan. Allah mengangkat manusia dari kalangan orang yang bertaqwa. Orang agama, khusus utk agama sahaja. Manakala profesional, untuk profesional sahaja. SEKULAR.
Jun 4, 2009 pada 1:15 pm
matmpp
salam ,
Buat keluarga TGNA Sekeluarga . setiap kali ana menjengok coretan ustat , tersentuh di hati ini macam mana nak diambilalih rtm dan sistem tv dimalaysia baru lah kita dapat membuat perancangan dengan baik, untuk membentuk pemahaman yang jelas tentang kehidupan Islam yang sebenar , Berpunca darimedia eletronik ini lah banyak jenerasi dimalaysia hilang arah yang sebenar , apa yang dipk oleh menteri bn pun tak tahulah asik nak cari duit sja ……… tak nak pk pasal kemana nak prgi lepas di tanam kat kubur, dan stu lg ust pasal filem ,kalau bulih dibuat satu dana untuk pas seperti finas untuk terapkan cerita rasul dan sebagainya, dan jualkan kepada tv mana2 pun ok tak . ini hanya lah pendapat ana sja
matmpp , anak kl kok lanas