Salam Palestin,

Kerajaan BN yang hari ini boleh dikira sebagai kerajaan UMNO sahaja, sedang berusaha meluluskan rang undang-undang Perhimpunan Aman yang dianggap oleh pihak pemerintah sebagai satu perubahan dan pembaikan dalam sistem demokrasi negara sebagaimana yang dijanjikan oleh mereka sebelum ini menjelang pilihan raya umum akan datang. 

Ia bertujuan membenarkan komitmen kerajaan UMNO yang semakin lemah di hadapan kemaraan rakyat yang semakin menghayati hak mereka untuk lebih bebas sebelum ini, untuk melakukan pemulihan terhadap sistem demokrasi negara yang dianggap paling lemah di rantau ini. Ia juga tanpa sembunyi lagi diharap menjadi umpan yang lumayan untuk memperolehi semula sokongan rakyat terhadap mereka dalam pilihan raya umum akan datang yang tarikhnya masih kekal terkurung dalam jeriji demokrasi purba ala UMNO itu.

Malangnya, sebaik dibacakan di parlimen dan dibentangkan, rang undang-undang tersebut terus dikecam hebat oleh pihak pembangkang yang menjadi penuntut utama demokrasi negara yang lebih bebas dan telus. Malah, lebih menarik untuk diperhatikan, terbaru pihak pembangkang telah menempelak pihak kerajaan memerintah dengan menganggap RUU Perhimpunan Aman itu jauh di belakang undang-undang yang sama yang diluluskan oleh kerajaan tentera Myanmar yang masih mencari-cari rentak baru memulihkan demokrasi negara mereka yang telah lama hilang.

Walaupun Perdana Menteri cuba menafikan kecaman pembangkang dan bertegas bahawa ia adalah satu penambahbaikan dengan mempromosikan hak berhimpun secara aman tanpa permit polis dan hanya mengenakan hukuman denda tanpa penjara jika disabit kesalahan, ia tetap ditolak kerana syarat-syarat lain yang ketat dan sememangnya bermaksud menghalang perhimpunan rakyat daripada menjadi satu kebebasan yang diimpikan.

Antara yang jelas ialah keperluan notis 30 hari yang langsung dilihat tidak perlu selain cuba memayahkan dan seperti memberi masa kepada pemerintah untuk bertindak mengurangkan impak dan tekanan perhimpunan tersebut ke atas mereka. Dalam dunia moden yang begitu cepat dan sempurna maklumatnya, tempoh 3 hari sebenarnya sudah cukup kerana kedua-dua pihak -pemprotes dan pihak yang diprotes- boleh melakukan persiapan sewajarnya menghadapi perhimpunan tersebut. Ia hanyalah perhimpunan aman, bukan cerita rusuhan dan revolusi rakyat.

Antaranya juga adalah denda yang mencecah puluhan ribu ringgit dan larangan untuk penyertaan kanak-kanak dalam perhimpunan. Ia seperti mencabut hak mereka sebagai rakyat yang berhak untuk turut bersuara jika hak mereka dicabuli. Adakah hak manusia bermula daripada usia dewasa dan akil baligh? Dengan erti, jika sekolah mereka diroboh tanpa alasan yang benar, mereka tiada hak membantah dan mesti menerima hakikat bahawa mereka hanyalah hamba yang belum diberi kunci kebebasan?

Paling menarik untuk diketengahkan, RUU Perhimpunan Aman tersebut menutup terus pintu untuk perarakan aman di jalan-jalan raya. Ertinya dalam konteks semasa, tiada lagi perhimpunan BERSIH 3 dan seterusnya. Pihak pembangkang selepas ini jika mahu berhimpun secara besar-besaran, tiada lagi peluang untuk memasuki Kuala Lumpur kerana ia dipenuhi ‘buffer zone’ 50 meter di serata tempat. Dua perhimpunan BERSIH sebelum ini, telah dianggap begitu bersejarah di dalam mempromosikan hak rakyat untuk bebas, hak parti pembangkang untuk melalui pilihanraya yang adil dan telus, selain mendedahkan kerajaan BN sebagai kerajaan yang pincang, bebal, lemah dan ketinggalan di dalam menghidupkan demokrasi dan kebebasan untuk rakyat.

PAS sebagai sebuah parti Islam dan komponen penting di dalam Pakatan Rakyat seawalnya membantah RUU baru ini yang dilihat tidak lebih sekadar menukar pakaian lama yang buruk dengan pakaian baru yang lebih cantik dan mampu menutup kerosakan sebenar yang menimpakan sistem demokrasi purba negara yang cuba dipertahankan oleh kerajaan BN demi menyelamatkan mereka daripada kalah dan dijatuhkan oleh rakyat yang mara dengan impian baru bagi mewujudkan kerajaan baru yang lebih adil dan saksama.

PAS mempertegaskan hak rakyat untuk bebas menentukan masa depan mereka tanpa dipaksa oleh pemerintah dengan ugutan dan ketakutan. Islam dan negara Islam mempertegaskan bahawa kekuasaan adalah milik rakyat dan mereka mesti diberi segala hak dan kebebasan untuk menentukan hala tuju negara. Tanpa kebebasan, segala hak kemanusian anugerah Allah yang mencipta manusia akan terbantut dan hilang. Justeru seruan kepada kebebasan hakikatnya adalah seruan kepada keadilan Islam dan inti penting sebuah negara Islam. 

Penentangan PAS terhadap RUU baru ini dan segala undang-undang yang tidak adil dan mengongkong rakyat adalah satu komitmen yang jelas untuk membawa negara kepada cara hidup baru yang lebih adil dan terbuka untuk seluruh rakyat. Ia juga menolak dakwaan PAS sebagai parti yang bersifat asabiah dan perkauman Melayu yang sempit, bahkan PAS semakin berjaya menghapuskan mitos kelayakan UMNO untuk terus memimpin bangsa Melayu. 

Hari ini dan akan datang sedang menyaksikan orang-orang Melayu semakin bersatu untuk menolak UMNO ke tepi. Kerajaan UMNO hari ini hakikatnya adalah sebuah kerajaan Melayu terpinggir dan keseorangan. UMNO telah tua dan ajalnya tidak perlu dihitung lagi. Jika anda masih ada rasa belas, bercakaplah dengan mereka pasal taubat dan kubur. Untuk urusan dunia yang lebih gemilang, mari bersama rakyat yang berjiwa merdeka, muslim dan bukan muslim.