Salam Palestin,

Saya tidak fikir isu video sundal yang mengaitkan pemimpin besar politik tanah air yang disahkan sendiri oleh penyebarnya sebagai berniat menjatuhkan pemimpin tersebut akan merosakkan jalinan ikatan di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Menjadikan isu ini sebagai sebab pergolakan akan memyebabkan kita terhumban ke dalam politik fitnah dan kotor golongan yang sukakan kekotoran di dalam hidup. Seperti ajaran agama Islam yang secara jelas mensyaratkan pembuktian dengan sejumlah saksi yang ramai dan terpercaya, kita umat Islam sepatutnya melihat kepada kejelasan ugama di dalam mensabitkan gejala fitnah sebagai seburuk-buruk wabak yang melanda di dalam masyarakat

Jesteru Pakatan Rakyat mestilah bersama melancarkan usaha menjirus dan memadamkan api fitnah yang salah dan batil ini. Kerana itu jangan sesekali terpedaya dengan helah utama musuh iaitu melaga-lagakan di antara Pakatan Rakyat.

Apa yang merisaukan hanyalah keupayaan kita melindungi rakyat daripada permainan kotor ini. Jika gagal, maka Pakatan Rakyat akan menjadi mangsa fitnah itu, lalu kita diheret bermain di atas padang yang dipenuhi duri dan najis. Kita terpaksa menunggu lama pula untuk membaiki masyarakat yang tanpa sedar telah dihumban ke dalam politik cara kotor yang menjelekkan.

Siasatan polis, kepakaran teknologi luar negara, penubuhan suruhan jaya diraja untuk penyiasatan dan pelbagai lagi sebenarnya hanya akan memanjangkan kejahatan ini. Maka Pakaran Rakyat mestilah berusaha menuupnya.

Tipu daya musuh sungguh besar. Mereka memiliki segala kekuatan dan jentera. Rakyat pula mestilah mulia kehidupan mereka. Jika tidak, ketahanan dalam diri rakyat lemah akan menjadi punca kekalahan mereka. Persepsi buruk dan salam akan melanda Pakatan Rakyat.

Saya mencadangkan agar seluruh pemuda PAS tidak meyentuh isu yang begitu samar ini dan jika tidak dapat tidak, hangatkan isu bahayanya budaya politik kotor yang akan memakan sesiapa saja.