You are currently browsing the daily archive for April 23, 2011.

Salam Palestin,

Mungkin menarik untuk difahami, adakah PAS perlu berubah, daripada sebuah parti yang kelihatan eksklusif dan terbatas sifatnya kepada sebuah parti yang inklusif, terbuka dan lebih luas rangkumannya? Ramai daripada kalangan pemerhati, penganalisis dan pemain politik tanah air beranggapan ya, PAS perlu berubah ke arah itu. Terbaru, Prof Dr Abdul Aziz Bari mengulanginya sekali lagi dalam siri-siri kritikan pedasnya terhadap presiden PAS pasca pilihan raya umum 2008.

Saya tiada ingin untuk menjawabnya dengan mengkritiknya pula. Walau pun beliau terlalu mengaitkan TGHH sebagai punca PAS kekal bersifat eksklusif dan terpagar yang melambatkan, menyusahkan, menjauhkan dan melarikan rakyat Malaysia daripada PAS, saya tidak rasa perlu ‘berlawan’ dengannya di atas premis ini. Saya antara yang bersetuju PAS perlu inklusif, lebih merangkumi dan lebih bermudahan pula.

Apapun, mungkin saya boleh mulakan dengan menyentuh apa yang berlaku di dalam PKR, sebuah parti yang sejati inklusifnya. Sebuah parti dengan idealisme baru Melayu canangan Dato Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya di dalam PKR. Mengapa pada saat pemilihan baru-baru ini, kritikan dalaman terhadapnya begitu tinggi hatta daripada pemimpin muda yang berusaha menjiwai perjuangannya, juga sehingga membawa kepada keluarnya Dato Zaid Ibrahim yang diberi harapan tinggi oleh pendukung PKR sebelum tempoh itu? 

Walaupun DSAI cuba menafikan penglibatannya di dalam ‘mengeksklusifkan’ PKR agar ia tidak dibawa lari oleh orang-orang ‘asing di dalam’, udara politik masih terus mencium satu hakikat bahawa keterbukaan sebagaimana ianya satu harapan baik, ia juga mungkin bertukar kepada satu igauan buruk. Walaupun beliau menafikan, perginya Dato Zaid Ibrahim adalah tetap baik untuk PKR hari ini dan semua yang meyakini penglibatan DSAI dalam kemelut tersebut seharusnya menerima hakikat perlunya kawalan eksklusif untuk sebuah parti yang berwibawa dan ulung.

PAS perlu meluaskan rangkumannya. Ia perlu dilihat sentiasa terbuka kerana itu adalah ciri sebuah ugama pilihan Allah untuk manusia di hujung zaman. Manusia kini tidak mampu lagi untuk berkampung di satu tempat dan menutup persekitarannya daripada luar. Ia akan ketinggalan dan ketinggalan adalah ketewasan dan kehancuran. Hari ini Melayu mungkin saja telah bertukar tak semena-mena menjadi mat saleh dan mungkin juga sebaliknya. Tiada kampung Melayu selain ia telah bertukar menjadi kampung manusia.

Semuanya kerana dunia yang luas ini telah mula mengecil dan mendekat menjadi sebuah kampung kecil yang mesti dikongsi kehidupan secara bersama. Jika tidak, manusia akan bertempur berebut hak dan saling berbunuhan. Kerana tidak memahami ini, dunia semakin menyaksikan perbalahan dan pertelingkahan di mana-mana. Di hujung hidup dunia, seperti kata al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam, ilmu hakiki semakin mengurang dan terangkat ke langit, jahil semakin meluas dan turun mengasak di bumi bagai taufan dan semakin banyak kejadian bunuh-membunuh (al haraj).

Justeru manusia di mana pun mesti difahamkan hakikat ini. Jika tidak, pertempuran dan peperangan akan gagal dihentikan dan perdamaian sukar diperolehi. 

Islam memahami ini sebenar-benarnya. Ia dimiliki Allah yang mencetuskan suasana dan hakikat kehidupan akhir zaman. Islam adalah untuk semua kerana semua manusia perlu disatukan dan dibiarkan hidup harmoni dan saling menerima, lalu saling memberi. Kerana itu, Allah memansuhkan semua ugama samawi hatta agama Kristian yang dianuti majoriti umat manusia dulu sampai kini. Ini kerana ugama itu tidak inklusif sifatnya. Ia eksklusif untuk suatu tempat, satu umat dan satu masa tertentu. Ia tiada kekuatan untuk memanjang dan merangkumi semua dan sehingga hujung zaman.

Adapun ugama Yahudi, maka ketempangannya begitu jelas. Penganutnya hari ini dilihat seburuk-buruk manusia dalam segala segi. Mereka adalah pencetus segala kesusahan dan perpecahan. Semuanya adalah manifestasi sebuah ugama yang tandus isi dan termansuh secara tabie.

PAS memahami hakikat ini. Ia mesti bergerak ke depan memperkenalkan diri sebagaimana ia memperkenalkan Islam. Dari dalam dan luar, PAS hendaklah dilihat bermanfaat untuk semua dan boleh ditumpang jasanya, bahkan didiami juga rumahnya. PAS menolak keistimewaan yang menyusahkan orang lain, sebaliknya menyenangkan orang lain dengan keistimewaan dan hak masing- masing yang dijaga dan dihormati. Keistimewaan adalah hak pemilikan dan semua manusia berhak memiliki.

Apabila PAS dilihat ramai agak eksklusif, maka ia mesti mengeluarkan dirinya daripada tanggapan itu. Ia tanggapan yang tidak baik walaupun sifat eksklusif itu nilai privasinya tinggi dan tidak mudah dilepaskan. Apa erti nilai itu jika menyukarkan? PAS memerlukan dukungan semua untuk memastikan Islam diterima sebagai sistem hidup yang terpilih untuk rakyat Malaysia yang majmuk dan jamak ugama, budaya, pendidikan dan segalanya. 

justeru PAS mesti bergerak maju ke arah itu tetapi bukan laju. Maju sentiasa membuahkan kejayaan sedangkan laju sering ditakuti hujungnya dengan peristiwa rebah, kemalangan dan kegagalan. Kes 16 September misalnya, faktor kegagalannya adalah gopoh, laju dan tanpa ketelitian. Bagaimana dibayangkan sebuah pakatan yang baru dibentuk beberapa bulan boleh melepasi tahap pertikaian pada perkara-perkara besar sehingga mampu bersatu dalam mencipta satu kejutan yang boleh mencipta sejarah dunia moden!? Majlis lompat beramai-ramai? Apapun kita telah setuju bahawa daripadanya kita terus berusaha membina diri bersama. Sekarang, Pakatan Rakyat secara rasminya diterima di Sarawak. Apabila PAS bertapak kukuh, tanpa merujuk kira analisis akademik stail Prof Dr Abdul Aziz Bari, maka ia pasti menguntungkan DAP dan PKR juga. 

Soalnya sekarang, adakah PAS hari ini belum bertindak apa-apa ke arah tuntutan itu demi mempertingkatkan kredibiliti dan wibawanya di sisi rakyat majoriti? 

Pasti ada yang membenarkan dan menafikan. Beberapa tindakan berani PAS selepas era PRU12 memperbaiki, bahkan menukar strategi dan gaya persembahannya telah menunjukkan satu kesungguhan PAS untuk menerima dan menyahut desakan dan tuntutan itu. Tetapi, ia ukuran terlalu subjektif pada menentukan tahap kejayaan. Ia antara laju dan lembab. Puas hati dan belum berpuas hati. 

Justeru kita melihat perselisihan adalah dalam menentukan markah dan kejayaannya. Agak malang pada pendapat saya, apabila Prof Dr Abdul Aziz Bari berjalan di jalan lain. Beliau memberi markah tidak lulus dan gagal. Baginya, permainan telah kalah. Menukar pengurus atau jurulatih adalah pilihan terbaik walaupun berisiko tinggi. Beliau lupa, itu bukan pilihan di Manchester United dan Arsenal, walaupun ia pilihan di Liverpool dan NewCastle United (Maaf, saya peminat kedua-dua ini). Beliau gagal meletakkan satu neraca akademik walaupun beliau seorang ahli akademik. Beliau memilih cara ahli politik dalam merumus dan menghukum sedangkan itu boleh menjejaskan wibawanya kerana bermain bola di gelanggang squash. Jika saya atau YB Khalid Samad, itu bidang kami. Tiada cela jika kami berhukum demikian. Orang politik boleh mengkritik dan sesekali mengamuk. DSAI dan TGNA pun pernah ‘mengamuk’. Antara doktor dan farmasis pun berbeza seni berhukumnya, apatah antara doktor bedah dan kaunselor. 

Justeru saya melihat kepanasan ahli PAS terhadap Prof Aziz Bari bukan pada keengganan menerima kritikannya yang pedas, tetapi tahap keceluparan akademiknya itu. Orang menendang bola ke gawang, dia menendang ke dinding squash. Dia mengharapkan gol sedang bola kembali menerkam kearahnya. Mengapa murkakan dinding?

Mari saya tunjukkan anda dua laras bedil. Dengannya anda boleh menembak sesiapa pun. Syaratnya, anda sudah biasa membidik sebelumnya. Jika tidak, anda hanya boleh beli tiket untuk menonton. Menjadi penonton pun satu kepuasan juga daripada asyik mendengar keputuan saja.

Pertama, adakah anda melihat beberapa keputusan besar parti yang telah dilaksanakan dengan jayanya tidak pernah mencerminkan bahawa parti PAS sedang bergerak untuk menginklusifkan dirinya?

Bermula dengan kesepakatan untuk kekal bersama dalam Pakatan Rakyat yang memaksa PAS mengendurkan  tali ‘keegoannya’ sebagai sebuah gerakan Islam yang terlalu tebal keyakinannya pada diri sendiri, kemudian kesepakatan untuk membuka keahlian bersekutu kepada masyarakat bukan Islam untuk bersama-sama berjuang melalui penubuhan DHPP demi menjadikan kewujudan dan peranan mereka lebih rasmi dan diterima di dalam parti, kemudian pemudanya pula terus konsisten terjun ke dunia anak muda yang begitu rencam jalur budaya dan gaya hidupnya itu sebagai duta kasih sayang yang akhirnya mendorong ramai insan seni -selepas rakan-rakan dunia sukan- tanah air untuk menyertai PAS atau menyokong perjuangan PAS, diikuti jentera muslimahnya yang terus menerus merancakkan program kewanitaan, terutama melalui Nisa’nya sehinggalah kesediaan untuk menerima muqabalah dan perbincangan yang berterusan dengan musuh politiknya demi kebaikan negara dan ugama, apakah itu semua bukan suatu tindakan untuk memajukan PAS dan bergerak seiring ke arah PAS yang lebih inklusif?

Anda harus faham, sesetengah tindakan tersebut memerlukan ijtihad para ulama PAS yang tekun dan berani kerana ia tidak begitu dilumatkan di dalam perbincangan ulama luar Malaysia. Ia mungkin saja disebabkan tuntutan di luar sana tidak begitu mendesak sebagaimana di teat kita atau faktor-faktor lain yang perlu untuk dikaji. Adakah semata-mata anda atau rakyat melihat sesuatu itu positif dan betul, maka ijtihad akan terlorong ke arah itu juga? Di antara musuh perjuangan adalah gopoh dan terlalu laju. Islam ugama realistik (waqie) dan mesti bebas daripada sebarang ikatan selain kepatuhan kepada ilmu, disiplin dan petunjuk al Quran dan al Hadis melalui kefahaman dan fiqh yang di kurniakan kepada para ulama yang ditugaskan menjaganya selama-lamanya.

Kedua, PAS mesti kekal sebagai sebuah harakah atau gerakan Islam. Gerakan Islam sebelum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia melalui penubuhan sebuah parti politik, ia telah pun diluluskan dan diluncurkan oleh Allah untuk menjaga umatnya yang beriman. Ia di dalam sebuah masyarakat muslim, kewujudannya adalah mesti, fardhu ain dan tidak dapat tidak.

Justeru sebelum ia diikat oleh syarat-syarat pertubuhan, ia telah terikat dengan syarat-syarat ketat al Quran. Di sini kita mesti menerima hakikat bahawa kelayakan untuk memimpin dan menerajui PAS, seterusnya melorongkan PAS bergerak seiring kehendak dakwah dan jihad Islami memerlukan kawalan yang ketat dan penuh tenaga.

Saya yakin PAS telah mengajar ahlinya untuk memahami ini sedari awal. Kerana itu lahir satu kesepakatan umum untuk memastikan kepimpinan PAS mestilah daripada yang terbaik di dalam ugama, apatah apabila ianya melibatkan kepimpinan di peringkat yang paling tinggi atau kemuncaknya. 

Adakah anda fikir PAS layak dipimpin sesiapa sahaja asalkan dia hebat strategi politiknya dan kuat pengaruhnya di dalam masyarakat? Ya, untuk sebuah parti politik tetapi bukan untuk sebuah parti Islam yang terikat dengan syarat-syarat Quraniyah dan nabawiyah. PAS memerlukan lebih daripada kepakaran itu. 

Di dunia ini anda boleh mencari seratus orang pakar strategi dan anda akan berbalahan menentukan siapakah yang terbaik. Tetapi untuk seorang yang dijulang Allah untuk memimpin ‘bahtera penyelamatnya’, anda akan sukar menemuinya selain tercetusnya satu gerakan daripada hati orang-orang yang beriman untuk memperakuinya.

Di negara kita contohnya, ustaz adalah ramai. Bolehkah apabila anda menamakan seseorang yang anda sayangi sebagai seorang tuan guru, maka ia diterima semudahnya? Tidak, walaupun dia telah memiliki lima gulung PHD dalam pengajiannya. Kemudian, adakah dengan bergelar tuan guru, maka secara semula jadi ia diterima sebagai pemimpin sebuah gerakan Islam? Tidak juga bukan? Sesetengah tuan guru kelayakannya hanyalah memimpin masjid, pondok atau institusi fatwa dan hukum. 

Gelaran-gelaran yang saya sebut tadi hanyalah memudahkan kita memahaminya dalam konteks negara kita. Ia tidak sesekali menjadi penghalang untuk kita melebarkan maksud kepimpinan dalam Islam yang lebih komprehensif sifatnya. 

Apa yang saya ingin perjelaskan, adakah konvensyen kepimpinan ulama yang diterima di dalam PAS adalah satu langkah ke belakang? Atau satu yang telah luput tarikhnya? Atau ia telah sampai masanya untuk dibuang kerana ia telah menjadi satu bala untuk sebuah parti Islam haraki?

Adakah bicara PAS eksklusif dan inklusif begitu menumpu kepada keperluan membebaskan PAS daripada konvensyen yang telah lahir daripada pengajaran kepimpinan sebuah hizbuLlah sebagai tuntutan al Quran? 

Akhirnya, bagaimana dibayangkan jika PAS dipimpin oleh strategis yang kejelasan akidahnya dipersoalkan? Atau bacaan al Qurannya ditakuti suaranya semasa menjadi imam? Atau tindakan dan muamalatnya dipertikaikan di dalam akhlak ugama? Atau ilmu ugamanya agak cetek yang akan memberi kesan buruk kepada tahap kepercayaan golongan ugama terhadap parti? Adakah anda bermaksud menarik sokongan baru dengan melepaskan sokongan lama yang lebih istiqamah dan pasti. Adakah anda fikir itu bukan soal! Yang penting adalah menang dan menang! Jika kalah, itu tanda tidak layak.

Sesudah lebih sepuluh tahun berjuang, RasuluLlah sallaLlHu alaihi wasallam tersadai di hadapan tuhannya menyembah diri mengakui lemah dan tewasnya baginda di hadapan musuh dan strategi mereka, adakah Allah mencelanya atau menuntutnya meletak jawatan sebagai al Rasul? 

Kita sentiasa gopoh. Dalam kegopohanlah kita memburu kemenangan. Sedang Allah menghendaki sebaliknya. Kerana itu di sisi perjuangan, kekalahan di Beting Maro adalah lebih logik pada kefahaman sifir dan sunnah Ilahi. Mengapa hujah ditukar menjadi sebaliknya?

(Tulisan ini adalah lontaran sepintas dan segera. Insya Allah saya akan cuba melumatkannya secara lebih teliti untuk manfaat bersama)

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

April 2011
I S R K J S A
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa