You are currently browsing the daily archive for November 11, 2010.

Salam Palestin,

Jikalah musim haji itu hanya menjadi milik jutaan para bakal haji, milik para hujjaj yang kini sedang mara menuju kaabah, baituLlah al haram untuk menyempurnakan manasik al haj beberapa hari lagi itu, maka apa perlu kita menyambut hari raya haji?

Apa erti hari raya haji atau eid al adhha kalau tidak kerana musim haji juga adalah milik kita, milik bilionan umat Islam di seluruh dunia jua? 

Haji milik mereka, khususnya pemilik haji yang mabrur. Adapun musim haji, ia adalah milik semua. Allah jadikannya untuk semua hamba – hambaNya yang mencariNya di dunia yang gelap dan kelam ini.

Musim haji bukan sekadar saat cahaya yang memancar – mancar dari kaabah, atau suara memanggil – manggil dari tanah al haram, bahkan ia bagai lorong terhampar permaidani daripada jaluran warna – warna pelangi yang bersinar buat perjalanan indah seluruh umat Islam menuju Allah yang esa.

Rasainya sekarang, kerana ia telah pun bermula semenjak 1 Zulhijjah lagi, dan ia akan terus bersinar sehinggalah 10 Zulhijjah. 10 hari yang sempurna. Itulah sebaik – baik hari dalam setahun. Itulah gandingan 10 malam terakhir di bulan Ramadhan, sebaik – baik malam dalam setahun. Kecapilah kesyahduannya hari ini sebagaimana anda sering rasainya di malam – malam hujung Ramdhan al mubarak.

Maksud hadis sahih riwayat asy syaikhan daripada Ibni Abbas,sabda RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam; “Tiada satu hari pun yang segala amalan soleh di dalamnya lebih disukai Allah lebih daripada amalan soleh yang dikerjakan di dalam hari – hari 10 ini ( iaitu 10 hari pertama Zulhijjah ). Lalu baginda ditanya; Sehinggakan berjihad wahai RasulaLlah? Baginda mejawab; Ya, walaupun berjihad, kecualilah seorang lelaki yang keluar dari rumahnya dengan diri dan hartanya ke medan, lalu beliau tidak lagi pulang ( mati syahid ).”

Allah menghadiahkan kita dengan perayaan kedua iaitu eid al adhha atau hari raya korban bersempena dengan peristiwa agung pengorbanan besar yang ditunjukkan datuk kita nabi Ibrahim demi menggapai semi cinta Allah yang murni. Peristiwa ini adalah antara manasik haji akhir para hujjaj di kota Makkah yang dilaksanakan sebagai mengingati apa yang telah dilakukan oleh datuk kita itu. Allah lalu memperkenankannya untuk diingati oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia agar cerita pengorbanan demi menagih cinta tuhan itu terus hidup di dalam sanubari umat Islam.

Pipi si anak tersayang disembam ke bumi lalu pisau diangkat sambil leher dilurut demi melaksanakan upacara penyembelihan agung! Lalu Allah berseru, “Wahai Ibrahim, sungguh engkau telah membenarkan mimpimu itu..”   Allah menerima cinta Ibrahim, lalu “Dan kami menebusnya dengan sembelihan (kibasy) yang agung.” – Ash shaaffaat; 22-27

Mengingati cerita agung ini tidak akan sempurna sehinggalah kita membongkar kisah datuk kita nabi Ibrahim alaihissalam yang memulakan sejarah kota Makkah. Jika anda melihat dan memerhati manasik al haj, anda tidak mungkin mampu menghayatinya sehinggalah anda memahami sejarah perjuangan datuk kita itu.

Datuk kita, sepertilah nabi kita, Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam adalah ikutan yang sempurna;

Maksud firman Allah; Sesungguhnya untuk kamu pada Ibrahim dan mereka yang bersamanya adalah menjadi ikutan yang baik..” – al Mumtahanah;4

Demikian ringkasan yang harus kita hayati daripada pensyariatan ibadah haji. Janganlah kita menduga bahawa perihal haji itu hanya milik para bakal haji sahaja. Bahkan Allah tidak pernah mengabaikan keindahannya buat seluruh hambanya yang beriman untuk mengecapi kemanisannya.

Bersama menyelongkar hikmat haji, bersama menghidup 10 hari di bulan Zulhijjah dengan amalan – amalan solehah dan Selamat Hari Raya Haji al mubarak.

 

Salam Palestin,

Sesekali, kita sayugia membenarkan apa yang kita keluhkan pada saat – saat tertentu bahawa memimpin kepada Islam yamg syumul atau negara Islam yang sifatnya tunduk kepada pengajaran al Quran dan qudwah al Rasul adalah cukup sukar dan meletihkan. Perjalanan menuju Allah memang sukar, sesukar yang digambarkan oleh nabi kita Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam.

Benar, kita ada janji agung dari tuhan kita bahawa kesudahan adalah untuk Islam, agama yang diredhaiNya. Janji Allah adalah janji Allah, pemilik segala – galanya. Ia janji benar yang pasti datang dan terjadi. Tetapi janji itu diselarikan dengan sunnah Allah ke atas manusia dan ragam kehidupan duniawi yang penuh sesak dan berbaur di antara kebenaran dan kebatilan. Menagih janji Allah adalah bererti menyempurnakan apa yang Allah tagihkan pula daripada hamba – hambaNya yang beriman kepadaNya.

Janji Allah hanya menjadi milik pelaksana tuntutanNya sahaja. Jika kita telah sedia beriman dengan janjiNya maka kita mestilah juga telah bersedia untuk memenuhi tuntutanNya ke atas kita.  

Di hadapan kita adalah umat yang tenggelam angkara bahtera yang pecah. Umat ini mesti diselamatkan dan dikembalikan ke bahtera baru yang didatangkan dari pangkalan Islam yang gagah perkasa dan dibina secanggih dan sesempurnanya. Dengan demikian, umat akan kembali berlayar menuju destinasi ilahi dengan selamat.

Kita sedang berhadapan dengan pelbagai gelombang yang membadai yang sentiasa mahu menenggelamkan dan meranapkan harapan umat yang telah begitu rapuh kerana keletihan. Mari kita perhatikan beberapa gelombang besar tersebut dan lihatlah betapa besarnya pengaruh mereka di dalam melambatkan dan meletihkan usaha penyelamatan ini;

1) Pengaruh sekularisme yang telah sebati dengan kehidupan umat. Umat Islam hari ini telah begitu sebati dengan ajaran Islam acuan sekular sehingga mereka tidak lagi merasakan kesalahan apa – apa untuk terus hidup dengan apa yang telah mereka dan ayah mereka anuti. Sebaliknya, ajakan kepada Islam yang benar sering pula dilihat sebagai salah dan menyeleweng di dalam beragama.

2) Sokongan musuh Islam terhadap Islam sekular. Barat seperti telah berpada dengan pencapaian mereka mensekularkan negara – negara Islam setelah mereka putus asa untuk menukar agama umat Islam kepada ugama mereka. Walaupun gerakan kristianisasi terus berlaku, tumpuan yang lebih utama ialah memastikan gerakan sekularisme terus berlangsung hidup di negara – negara Islam dengan bermacam – macam cara.

3) Golongan munafikin ugama yang terus menguasai persada politik umat Islam. Golongan ini begitu bebas merencanakan dan melaksanakan agenda mereka di dalam membentuk jalur pemikiran dan kehidupan umat mengikut acuan yang mereka ingini dan semestinya, ia begitu sekata dengan kehendak ketua – ketua mereka daripada pemuka – pemuka kuffar.

4) Penyakit putus asa yang melanda umat Islam yang menyukarkan usaha para pejuang Islam untuk menarik mereka kepada Islam yang benar dan syumul. Mereka tidak meyakini kekuatan diri mereka sendiri untuk kembali kepada Islam dan mereka tidak pula memberikan  keyakinan kepada para pejuang Islam untuk menarik mereka keluar daripada kegelapan yang melingkungi. Penyakit putus asa terhadap agama sendiri sebenarnya menjadi duru dalam daging yang begitu menyukarkan usaha penyelamatan ini.

5) Kumpulan pejuang Islam yang masih lemah berhadapan jentera musuh ( golongan kuffar dan munafikin ) yang begitu gagah dan menguasai medan. Inilah punca paling utama yang perlu diberi perhatian oleh para pejuang Islam dan mereka yang bertanggung jawab membina dan menyusun jentera perjuangan.

Kelima – lima faktor di atas adalah umpama gelombang yang sentiasa menghalang usaha penyelamatan umat, lalu menjadikannya seolah – olah penantian yang takkan kunjung tiba.

Bagaimana menyedarkan umat yang tidur nyenyak yang tidak pun merasakan apa – apa kesalahan bermimpi di tilam sekularisme? Apakah tindak balas umat yang dibuai mimpi ini terhadap rancangan terbaru kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan liar dan bebas yang terunggul di rantau ini, sedangkan ia adalah musibah besar bagai Gunung Merapi yang akan meletus bila – bila masa sahaja?

Lihatlah pula, betapa bersungguhnya barat yang menjadi bapa sekularisme datang memuji negara – negara Islam yang dikuasai para munafikin ugama bahawa merekalah yang akan menjadi penyelamt umat Islam daripada kemunduran dan kelemahan. Lihat yang terbaru, kedatangan Hilary Clinton dan Barack Obama ke Malaysia dan Indonesia untuk memuji dan memastikan sekularisme dikekalkan sebagai dasar pemerintahan negara. Sokongan ini begitu bermakna untuk memastikan keberlangsungan sekularisme di negara umat Islam yang sering melihat barat dengan ketakutan dan ketundukan.

Kemudian, anda lihatlah betapa pemuka – pemuka negara begitu bersungguh – sungguh dengan pelbagai cara untuk memastikan umat Islam berpaling daripada melihat kepada Islam yang benar. Mereka mentohmah para ulama, melaga – lagakan di antara aliran ugama, menjauhkan rakyat daripada ulama dan tanpa segan dan takut terus menafsirkan ugama denganpakaian sekular yang menyesatkan.

Apatah lagi anda lihat betapa umat yang diselubungi penyakit putus asa dan ragu – ragu terhadap ugama sering termakan dengan dakyah yang meremeh – remehkan dan mempermainkan segala usaha para pejuang Islam untuk meyakinkan mereka dengan projek Islam yang sempurna. Usaha – usaha kerajaan Kelantan misalnya, walaupun begitu baik dan membawa kebaikan yang jelas akan mudah tertolak oleh permainan dan tohmahan bahawa Kelantan adalah negeri yang kotor, miskin, ganas dan kenegerian sifatnya.

Sudah tentu, jika tidak kerana umat yang sudah putas asa dengan ugama, tohmahan seperti di atas tidak akan mudah menutup keupayaan Kelantan selama 20 tahun membangunkan negerinya dengan Islam dengan penuh jaya di saat negeri – negeri lain yang terlalu bergantung kepada pertolongan pusat untuk hidup dan maju. Tetapi bagaimana diharapkan daripada orang putus asa sehinggalah penyakit itu dibuang dan digantikan sifat yakin dan optimis terhadap diri dan ugama.

Bagaimana pula dengan kumpulan pejuang sendiri?

Ya, harapan umat adalah terbeban di atas pundak mereka. Islam akan kembali apabila umat yang tenggelam di lautan dalam sekularisme itu diselamatkan dan dipindahkan ke bahtera baru umat yang kuat adan gagah. Adakah pejuang Islam telah bersedia dengan bahtera itu?

Bersambung.. insya Allah.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

November 2010
I S R K J S A
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa