Salam Palestin,

Saya baru siap merumikan kata pengantar oleh ayahanda Tuan Guru kepada kitab tafsir surah al Hujuraat karangan Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang. Kini ia dalam proses untuk diulang cetak dengan kata pengantar tersebut yang saya kira akan menambahkan lagi kekuatan kitab tafsir tersebut.

Ayahanda  menulisnya dalam tulisan Jawi. Sememangnya saya tak pernah melihat tulisannya dalam bahasa Rumi. Samada Jawi atau bahasa Arabiah. Saya pula jarang menulis tangan kecuali dalam tulisan Rumi. Anda tahukan, semuanya kerana sistem pendidikan yang saya ( anda juga ) dan ayahanda telah lalui adalah berbeza. Masa saya mula bertatih menulis, tulisan Jawi telah dijahanamkan kehadirannya dalam sistem pendidikan kebangsaan oleh UMNO.

Ia dihidupkan untuk dimatikan saja. Diarsenikkan. Tetapi, ia tidak mati kerana ramai pencintanya yang telah dan akan terus mempertahankannya. Tulisan jawi adalah jiwa bangsa Muslim. Oleh kerana UMNO tiada mempertaruhkan diri untuk Islam, maka dalam pemerintahan UMNO, tulisan Jawi terus dipinggirkan dan jika ia mati, dibakar api dengan dikerat – kerat tulangnya adalah lebih baik daripada dikebumikan.

Saya yakin tulisan Jawi akan kembali unggul menyuburkan dan menyejukkan iklim negara yang panas dan berjerebu. Kerajaan Negeri Kelantan telah berusaha menghidupkan penggunaan tulisan Jawi di dalam penguat kuasaan majlis perbandaran dan acara rasmi. Diawalnya, ia kelihatan sukar, tetapi selepas beberapa lama, syarikat – syarikat besar seperti perbankan dan komunikasi mula akur dan mula seronok untuk bersama kerajaan negeri memperkasakan tulisan Jawi.  

Anda boleh melihatnya sebaik berkunjung ke bandar Kota Bharu. Saya juga yakin, dengan anugerah Allah melalui pertabalan Tuanku Sultan yang baru yang berjiwa agama, muda dan perkasa kepada negeri Kelantan dan rakyatnya, tulisan Jawi akan terus memacu menuju martabatnya. Memacu ke depan bersama Islam meninggalkan UMNO yang semakin lemah, tanpa arah dan keseorangan.  

Ayahanda agak jarang menulis panjang. Dia pernah menulis dan tulisannya dicetak dan dibukukan. Artikelnya acap diterbitkan lewat majalah – majalah ugama. Tetapi itu dulu, di alam mudanya selepas pulang menuntut ilmu di luar negara. Tetapi, mungkin kesibukannya memenuh masa dengan program kuliah ugama, ceramah dan pidato selepas itu telah menjarakkannya daripada dunia penulisan.

Pun begitu, ayahanda kekal sebagai ulat buku. Saya tidak tahu jika ada sehebat ayahanda yang telah mencecah umur 80an yang begitu ketagih membaca. Mungkin ada, tapi saya tidak tahu. Hari ini, jika saya khatam satu buku, mungkin ayahanda telah habiskan 5 buah buku. Sungguh menakjubkan.

Lebih menarik, bingkisan pengajaran yang menarik dan penuh isi oleh ayahanda telah meruntun beberapa orang muridnya yang mahir menulis untuk mula memindahkan ucapannya kepada tulisan yang dibaca. Sekitar 20 tahun lepas, beberapa buku dilancarkan hasil kerja keras anak – anak muridnya yang telah memindahkan koleksi ucapannya daripada kaset – kaset ceramah.

Buku – buku tersebut telah mendapat sambutan hangat daripada segenap lapisan masyarakat.

Kini, Allah terus membekalkan ayahanada dengan pembantu – pembantunya yang hebat. Bukan hanya pemindahan ucapan dan pidatonya, bahkan ayahanda mula ada sesi khas bersama pembantunya melontarkan idea – ideanya yang luas, lalu disalin dan dikarang menjadi artikel yang bagai tulisannya sendiri. Anda mungkin kerap membacanya di dalam akhbar Harakah dan portal maya.

Saya kira ia bermula semasa saudara Haji Anual Bakri Haron menjadi setiausaha politik ayahanda. Selain beliau adalah Ustaz Mohd saiba Yaacob, Hj Wan Nik Yosof dan Ustaz Haji Ahmad Fadhli Shaari. Kesemua adalah pembantu ayahanda di pejabat Menteri Besar.    

Dalam era media baru terkini, ‘facebook’ ayahanda telah mendapat sambutan yang cukup hangat terutama di kalangan belia remaja pencinta perjuangan Islam dan keadilan.

Kerana itu, apabila saya ajukan permohonan Dewan Pemuda PAS agar ayahanda menulis sedikit aluan sebagai kata pengantar kepada tafsir surah al Hujuraat karangan Tuan Guru dato Seri Haji Abdul Hadi Awang untuk dipersembahkan di ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS peringkat Kebangsaan di Rusila pada 1 hingga 3 Oktober 2010 nanti, beliau sanggup tetapi kelihatan agak gusar untuk menyiapkannya.

Saya memintanya menulis sendiri walau sedikit. Selepas beberapa kali bertanya, akhirnya ayahanda menghulurkan saya 4 helai kertas yang sarat tulisannya dalam Jawi. Saya pastinya teruja dengan kesediaannya meluang masa untuk menulis agak panjang. Ketika menyerahkannya, dia berkata, “Baca sendirilah”, seolah – olah meminta saya meneliti dan membaiki kekurangan.

Sambil menulis kembali dalam tulisan Rumi untuk cetakan, saya meneliti isi yang dituangkan ayahanda. Ah, sungguh klasik tulisannya, begitu ‘stylo’ isinya. Saya membiarkan tulisan itu kekal 99% dan anda akan menikmatinya sebagaimana saya, jikapun anda tidak dapat menikmati keindahan khat jawi ayahanda.

Anda mungkin terhenti seketika untuk memahami, tetapi anda pasti telahpun mengecapi kepuasan ketika berusaha memahaminya. Keasyikan itu sungguh menghentikan nafas, bahkan matahari pun terpaku menikmati mukjizat nabawiyyah. 

Ayahanda cuba melakarkan kehidupan ini sebagai anugerah Yang Maha Esa yang sungguh agung yang mesti dibalas sebagai ‘mengenang budi’. Rasa budi itulah menghasilkan akhlak dalam kehidupan manusia. Surah al Hujuraat sarat dengan pengajaran Allah agar manusia hidup berbudi dan berakhlak.

Tulisnya, “Supaya tidak terus meraba – raba, Allah dengan limpah kurniaNya mengutus para anbiya’ alaihimus salam sejak zaman – berzaman. Dan terakhir ialah nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Di antara tajuk utama yang ditekan oleh para anbiya’ ialah akhlak; Berbudi kepada pihak yang berbudi. Disebut dalam bahasa ugama; Syukur nikmat.”

Kemudian ayahanda merumuskan, “Mengenang budi atau berakhlak mulia adalah sesuatu yang terlalu sukar dilaksana manusia. Mengenang budi bermakna terpaksa korbankan kepentingan diri untuk kebahagiaan orang lain. Sedangkan naluri tamak, mementing diri adalah watak semula jadi manusia sejak alam kebudak – budakan lagi. Abang biasalah bertegang dengan adik – beradik. Kawan sebelah rumah biasa lihat ibu bapa bertegang sesama jiran. Bahkan kerajaan selalu berperang sesama kerajaan. Rakyat menjadi mangsa dan budi akhlak yang kena pijak.”

Ayahanda tidak lupa memperkenalkan pengarang Tafsir al Hujuraat. Tulisnya, ” Al fadhil Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah di antara ulama turun padang. Beliau berguru di universiti – universiti tanah haram dan di timur tengah.”

Kemudian ayahanda memuji kesungguhan pengarang yang telah berusaha mengubati penyakit yang menimpa umat Islam. Katanya, ” Beliau mengkaji punca rohani manusia berpenyakit syirik. Mengapa orang Islam sendiri ketepikan surat kiriman Allah kepada manusia ( al Quran al Karim ) lalu terpedaya dengan pemikiran manusia. Manusia adalah manusia. Ilmu manusia macam orang kampung mahu baiki komputer rosak. Makin rosak dan jahanam!”

Saya menikmati pujian ulama ke atas ulama yang seperjuangan di dalam jihad menegakkan ugama Islam yang syumul di Malaysia. Ia nikmat yang menjadikan saya membenci sesiapa yang cuba mengeruhkan hubungan sesama ulama demi cita – cita politik dan peribadi yang tohor dan gelojoh.

Semoga Allah menjirus kita dengan limpah rahmat bernaung di bawah kepimpinan ulama dan ahli al Quran.

Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang akan bersama pemuda PAS selama 3 hari dalam program Ijtima nanti. Bersamalah kita menadah dan khatam kitab tafsir karangan beliau nanti.

Anda boleh mula mendapatkan buku cetakan terbaru tafsir tersebut dalam program ijtima perdana di kampung Rusila nanti, insya Allah.