Salam Palestin,

Itu soalannya yang segera terpacul dari mulutnya sebaik saya menghubunginya kembali selepas beberapa kali saya missed call panggilannya semalam. Saya kaget sekejap kerana pada telahan saya dia pasti akan terus bertanya pasal sumbangan yang saya janjikan beberapa minggu lepas untuk misi ke Gaza awal Ogos nanti.

Saya hanya bersedia dengan jawaban untuk itu, bagaimana nak bermadah dan berhelah, saya belumpun buka mulut untuk cari derma dan sumbangan untuk misi jihad itu, sedang hari untuk kumpulan pejuang Palestin Malaysia di bawah kelolaan Cikgu Abdul Hamid Teras Melayu bertolak itu sudah semakin dekat. Tapi lain pula yang Ustaz Norazli Musa Taliban Qandahari terjahkan ke lubang telinga saya. Dia tanpa lapik berlapik bertanya, “Anta sokong perpaduan dengan UMNOkah?”

Saya sengaja melambat – lambatkan permainan, mengacah – ngacah mencari peluang untuk tidak menjawab dalam kaget dan terkejut. “Sapa kata?”, saya buat – buat tak tahu. “Itu ada masuk akhbar, ada orang bagitahu.” Jawabnya. Lagi saya putar, menggelicik, “Anta dah di Gaza ko?”  Ko adalah ke  dalam bahasa Melayu bersurat. Saya memang payah sebut ke. Bila acu cuba tra sebut ke, terasa macam berlakon drama tv pulak. Keras dan terasa letar di lidah bila sebut kalimah semudah itu. Huh, memang sah penangan budu, kata ore Kelate yang tak jemu – jemu mempromosi kehebatan budu, nama dan rasanya sekali yang sungguh menjelirakan.

Dua hari lepas seorang kawan saya bagitahu bahawa ada Mat Saleh hubungi rakannya nak import budu ke Eropah dengan syarat ia dikilangkan di kilang bertaraf HACCP! Budu Kelantan lebih sedap dari budu bilis Jepun, katanya. Saya lalu dengan segera terfikir, mungkinkah budu ‘dikuarantin’ HACCP nanti akan mengubah ko kepada ke?

“Belum lagi. Dah dekat dah. Hah, Macam mana, dapat tak sumbangan? Hah, betulkah anta sokong perpaduan?” Hah, tengok, tengok. Dia dah keliru dengan acahan saya. Masanya saya merembat ke arah gol!

“Percayalah akhbar tu..” Goolll!

Saya lihat tiga akhbar yang ada di hadapan saya yang menyiarkan pandangan dan jawaban saya terhadap soalan para wartawan yang menyerbu saya sebaik selesai menyerbu ayah saya sebaik selesai upacara perasmian restoran makanan segera Radix Fried Chicken ( RFC ) cawangan Kubang Kerian baru – baru ini. Seorang kawan menelifon saya sebaik membaca liputan. “Mereka siar hok demo, tapi berita RFC tak masuk pulak. Katanya mereka marahkan RFC sebab tak jamu mereka ayam goreng masa tu. Hanya bagi air! Mereka boikot RFC!” Leter kawan saya. Huh, dulu KFC. Sekarang RFC pun nak kena boikot juga ko ( ke )?

Saya lihat Utusan. Baik saja. Lihat Sinar, panjang juga ulasannya. Baik saja. Tengok Berita. Hah, ‘Anak Nik Aziz Sokong Perpaduan UMNO PAS’! Saya baca isinya. Lebih kurang Utusan dan Sinar. Hanya tajuk yang betul – betul karut.

Seperti biasa, saya bermula dengan enggan. Tanya saja ayah. Diakan ada, jawaban dia lebih bagus. Jawaban dia jawaban saya. Itulah bahasa saya dengan rakan wartawan. Tetapi makin dienggan, makinlah mereka mengasak. Akhirnya kenalah saya jawab juga. Begitulah kehidupan, memberi dan menerima.  

Saya pernah bertanya ayah saya, bolehkah saya bertemu Najib, atau Pak Lah, atau Tun Mahathir atau siapa saja yang besar – besar? Dia jawab, kenapa tidak boleh? Saya kata, nanti orang marah? Dia kata, kenapa takut orang? Saya kata, mereka lihat itu sensitif? Dia kata, maklumkan dulu pada ketua. Saya kata, pada ayah? Dia kata, tak perlu. Cukup maklum pada ketua pemuda.

Maksudnya, elakkan kekeliruan. Adapun berjumpa, bermuqabalah, bermesra, bertegang leher atau berbincang, cacat dan tohorlah pemikiran politik jika asyik menahan dan menegah diri dari bertemu sesiapapun.

Itulah inti yang saya tipkan untuk rakan wartawan. Itulah tip dari sumber segar al Quran.

Cuma, yang menghalang saya bertemu mereka ialah; Satu, saya tiada apa – apa. Siapalah saya dibanding mereka. Dua, saya bukan ahli Parlimen. Jikalah saya ahli Parlimen, akan saya terkam bilik Najib!