Salam Palestin,

Saya harap suara Karpal Singh adalah suara Karpal Singh, bukan satu suara arus bawah dalam DAP. Jika ia adalah sebaliknya, maka saya pastinya bimbang.

Suara Karpal itu melanggar etika persahabatan di dalam Pakatan Rakyat. Tiada siapa tidak tahu bahawa DAP masih tidak menerima cita – cita PAS untuk menegakkan negara Islam. Samalah semua tahu bahawa PAS juga tidak menerima konsep negara demokrasi liberal DAP. Persahabatan atau ikatan di dalam Pakatan Rakyat mengikat kita untuk tidak saling mengkritik sesuatu yang belum dipersetujui bersama secara terbuka, lalu ia membawa kepada polemik yang tidak menguntungkan.

Berikan masa untuk PAS mengenali DAP pada isu – isu yang belum dijernihkan. Begitulah sebaliknya, berikan DAP masa untuk mengenali PAS. Inilah roh persahabatan yang memberi kebaikan di kemudian hari.

Justeru Karpal Singh janganlah lantang dan mengulang -ngulangkannya.  Ia akan mencetus tindak balas yang menjauhkan. Tentunya PAS bertindak balas menjawab kerana ia adalah kewajiban demi mengelak kekeliruan dan menegakkan hujah mempertahankan matlamat penubuhan PAS. Ia akhirya tidak baik untuk Pakatan Rakyat yang punya agenda menegakkan keadilan yang disepakati bersama, juga meruntukan kezaliman yang dirasai bersama.

Apapun, Karpal Singh, siapa boleh menyekatnya?

Maka hendaklah dan hendaknya suara Karpal Singh itu adalah suaranya sahaja, bukan suara arus bawah di dalam DAP. Jika tidak, saya bimbang. Sebabnya walaupun tiada pemimpin DAP yang menyokongnya, tiada juga yang menyangkalnya.