Salam Kemunting,

Dalam tulisan saya yang lepas mengenai jihad di bumi Palestin, saya telah mengaitkannya dengan jihad pilihan raya kecil di bumi Malaysia yang sedang berlangsung di Parlimen Kuala Terengganu selepas selesai proses penamaan calon 2 hari lepas.

Walaupun ada yang agak pesimis dan kurang senang, saya sebenarnya sengaja dan agak ‘berbelanja besar’ untuk menonjolkannya dan menempatkannya bersama pembacaan dan keprihatinan kita terhadap isu Palestin yang lebih bersifat sejagat dan qat’ie.

Sememangnya kedua – duanya adalah berbeza. Semua melihat perbezaannya dengan jelas sehingga gagal mencari persamaan di antara kedua – duanya. Justeru saya memilih untuk mengaitkan dan menghubungkannya demi menonjolkan kesamaannya yang kurang jelas di sisi kebanyakan.

Kewajiban jihad di bumi Palestin adalah jelas dalil dan tuntutannya. Ia sarat dengan nas, hujah dan keterangan yang membantu menguatkannya. Hanya yang sentiasa keliru adalah umat Islam sendiri yang di atas pundak merekalah pelaksanaan kewajiban itu. Komentar terbaru daripada ‘amir’ contohnya adalah gambaran tragis bagaimana sukarnya kewajiban jihad ini difahami pelaksanaannya di bumi suci tersebut. 

[ Jika kita yakin Allah itu hidup tak mati dan sentiasa bersama hambanya yang bertakwa, mengapa perlu menunggu Imam Mahadi yang belum pun hidup dan datang lagi untuk berjihad? Sejak bila pula Allah tidak akan mematikan hamba yang disayangiNya? Tidakkah mati itu hadiah yang dikejar oleh para mujahid? Mengapa disamakan kumpulan yang menghidupkan jihad dengan penuh rasa taqwa dengan kumpulan nasionalis spesis UMNO Palestin yang solat mereka pun belum sempurna, apatah untuk berani berjihad?

Tidakkah Amir melihat betapa kumpulan nasionalis Fatahlah yang sentiasa menjadi talibarut Israel untuk menghapuskan pemimpin HAMAS dan mewujudkan fitnah sesama sendiri? Taqwa jenis mana lagi yang dituntut melebihi taqwa yang dihiasi cinta menemui tuhan melalui sebaik – baik kematian?

Palestin bukan soal hidup atau mati umat Islam. Ia soal hidup mati ugama Islam. Sesiapa yang mati kerana menghidupkan agama, jahillah mereka yang menganggapnya mati! Sungguh dia tidak membaca al Quran. Tiada yang paling bergembira hari ini selain asy syahid Dr Nizar Rayyan yang menjengah syurga tuhannya bersama keluarga besarnya serentak.. Keraslah hati mereka yang tiada menitis air mata ‘kegembiraan’ saat mendengar berita agung kesyahidannya.  ]

Adapun pilihan raya, ia tidak sejelas cerita jihad di Palestin. Tiada nas yang qat’ie untuk memutuskan ia adalah jihad yang pasti. Justeru ia adalah medan pertikaian. Tidak semua sepakat menerimanya sebagai satu cabang jihad menegakkan ugama, walaupun ia hampir diterima kebanyakan golongan ‘al murabithun’ yang berada di medan perjuangan menegakkan ugama samada di medan siasah atau jihad bersenjata termasuk di Palestin.

HAMAS memasuki pilihan raya untuk berlawan dengan nasionalis UMNO Palestin. HAMAS mengangkat senjata untuk memelihara bumi Palestin daripada penaklukan Israel. Dengan pilihan raya ia menguasai Genting Gaza dan dengan senjata ia mempertahan Genting Gaza.

PAS menerima pilihanraya sebagai satu cabang jihad di bumi Malaysia. PAS menolak jihad bersenjata di bumi Malaysia. Asasnya adalah Malaysia dikuasai dan diperintah oleh umat Islam. Adalah jelas bahawa agama mengharamkan mengangkat senjata sesama muslimin walaupun terhadap penguasa yang zalim dan munafik. Justeru seruan jihad, amar makruf nahi mungkar, dakwah dan nasihat hendaklah secara aman yang tidak menumpahkan darah sesama muslimin.

Jihad dan dakwah terhadap penguasa yang zalim hendaklah dengan dua tujuan. Pertama, dengan tujuan agar mereka berubah dan bertukar menjadi kerajaan yang adil. Kedua, dengan tujuan mereka dijatuhkan dan ditukar dengan penguasa dan kerajaan baru yang adil. Ini jika mereka enggan dan menolak yang pertama.

Kedua – dua tujuan tersebut mestilah dengan cara, wasilah dan jalan yang aman tanpa senjata dan pertumpahan darah. Samada ianya secara lembut atau keras ( ghilzah ), ia adalah betul dan dalam makna hikmah. Keras tidak semakna dengan senjata secara mutlak. Lihat surah at Taubah:73, juga at Tahrim:9.

Pilihan raya adalah aman. Itu konsep dan tuntutan demokrasi. Kerajaan terbentuk dan terbubar mengikut perlembagaan yang dirangka sistem demokrasi negara. Oleh kerana ianya tidak bertentangan dengan Islam bahawa setiap kita berhak memilih pemimpin yag kita mahu, maka PAS menerima sistem pililhan raya sebagai wasilah dakwah secara aman di dalam menegakkan keadilan dan menentang kemungkaran.

Apabila keadilan paling utama adalah tauhid dan memenangkan ugama dan kezaliman paling utama adalah syirik dan menolak ketuanan ugama, manakala kerajaan BN pula sedang bergerak sebaliknya, lantas ia tidak menjalankan tugas khilafah yang dituntut, maka tugas PAS adalah menyeru kepada keinsafan agar pemerintah kembali kepada Islam atau jika enggan, mereka hendaklah ditukar dan diganti dengan pemerintahan baru yang menerima agama dan khilafah yang menjamin keadilan Islam.

Apabila PAS memasuki pilihan raya, ia tidak bererti PAS semata – mata mahu kerajaan BN tumbang. Pilihan raya sama ada memberi tekanan agar BN berubah menerima keadilan cara Islam atau BN runtuh kerana kebenaran dan keadilan mengasaknya ke tepi untuk diganti dengan pemerintahan yang adil mengikut konsep Islam.

Itulah PAS. Tidakkah anda dalam tahu bahawa Tuan Guru ayahanda selalu berkata, jika UMNO terima Islam dan keadilannya, PAS bubar dengan sendirinya.

Saya meringkaskan hujahan bagaimana asas penerimaan sistem pilihan raya sebagai cara pelaksanaan jihad menegakkan ugama oleh ulama berlaku. Jika anda mengikuti penghujahan mereka secara lebih detail, anda akan melihat bagaimana kaedah -kaedah fiqhiah dan pengistidlalan telah diguna pakai secara harmoni dan kemas sekali.

Anda mungkin boleh merujuk kepada tulisan saya sebelum ini yang lebih detail walaupun ianya juga adalah sebuah khulasah yang tidak sedetailnya. Sila klik di sini, sini, sini dan di sini. Nak panjang lagi, baca buku..

Jihad di Palestin adalah untuk menegakkan ketuanan ugama Islam dan membebaskan al Masjidil Aqsa daripada cengkaman Yahudi yang kufur. Jihad di Malaysia adalah untuk menegakkan ketuanan Islam dan membebaskan umat daripada kongkongan fahaman nasionalisme dan sekularisme BN yang syirik.

Jihad bersenjata di bumi Palestin adalah syar’ie dn qat’ie dalilnya. Penentangan RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam terhadap Yahudi adalah ibarat matahari yang menyinari perjalanan umat Islam menuju al Aqsa. Jihad pilihan raya secara aman di Malaysia adalah ijtihad yang disepakati hampir keseluruhan ulama ‘al murabithun’ yang berjuang di medan siasah dan juga medan bersenjata. Ia jalan aman paling mendekati kuasa untuk Islam.

Ia dua padang yang berbeza dengan permainan yang berbeza tetapi dengan tujuan yang sama. Darah bersimbah di bumi Palestin sebagaimana ianya telah lama bersimbah dan mengalir semenjak jihad RasuluLlah menentang Yahudi di Madinah dan diluarnya. Kita aman di Malaysia sebagaimana RasuluLlah aman berhadapan munafikin Madinah yang sentiasa melakukan makar dan tipudaya memerangi baginda dan Islam. Jika darah mengalir di Malaysia, ia adalah di bumi Memali. Memali bukan angkara kita dan kita tidak pernah bertindak balas selain sabar dan bertahan. Memali adalah angkara pemerintah yang zalim.

Begitulah sunnah sepanjang zaman berjuang menentang kezaliman pemerintahan umat Islam yang zalim.

Adapun bukti – bukti kezaliman pemerintahan BN selepas najis sekularisme, anda bolehlah berlayar dan hinggap di mana – mana akhbar dan blog politik yang begitu berperanan menjelaskan bukti. Tahniah untuk anda para bloggers politik dan Islam.

Adapun hujahan mereka yang menolak pilihan raya sebagai wasilah jihad dan dakwah, nantilah. Saya akan menulisnya kemudian, insya Allah. 

Selamat berjihad di bumi Malaysia. Selamat ribath di Kuala Terengganu. Allahu akbar wa liLlahil hamd..