You are currently browsing the daily archive for Oktober 18, 2008.

Salam Kamunting,

Kita ada 3 kekuatan. Mari kita mengenalinya:

1) Kekuatan akidah Islamiyah.

Akidah adalah kepercayaan yang tetap di dalam hati. Daripadanya manusia memahami dan membina kehidupan. Benar akidah, luruslah kehidupan dan tindakan manusia. Salah akidah, terpesonglah kehidupan dan tindakan manusia.

Akidah kita adalah akidah Islam. Akidah Islam adalah benar. Ia benar kerana Islam adalah daripada Allah, tuhan yang mencipta kehidupan ini. Allahlah pemilik hujjah yang benar dan hakiki. Justeru Islam adalah diselubungi hujjah yang membenarkan kebenaran.

Oleh kerana hanya Islam diperakui Allah sebagai ugama di sisiNya, maka agama dan kepercayaan selain Islam adalah batil. Ia batil kerana ia bersumber bukan daripada Allah yang maha mengetahui segala – galanya mengenai kehidupan ciptaanNya ini, bahkan ia bersumberkan selainNya yang tiada kekuasaan sedikit pun sepertiNya. Oleh kerana sumber ugama selain Islam adalah lemah, maka ia dengan sendirinya adalah ugama yang batil, lemah dan tanpa hujjah.

Manusia menjadi gembira, mulia dan gagah apabila memiliki kebenaran, hak dan hakikat. Mereka menjadi kuat, mulia dan berani demi mempertahankan sekeping wang kertas hasil titik peluhnya sendiri berbanding si pencuri untuk mempertahankan 1000 keping wang kertas yang dicurinya.

Kita menjadi gagah, mulia dan berani kerana kita memiliki akidah yang benar ini. Orang kafir adalah lemah, takut dan hina kerana akidah mereka adalah lemah dan batil. Keberanian kita adalah betul dan abadi. Keberanian yang lahir daripada orang kafir adalah tipu daya, sia – sia dan sementara. Ini kerana kita mempertahankan hakikat dan kenyataan, sementara mereka hanyalah mempertahankan kebatilan dan bayang – bayang.

Dengan kekuatan inilah RasuluLLah sallaLlahu alaihi wasallam membentuk para sahabatnya radhiaLlahu anhum yang pertama. Mereka dalam sekelip mata berubah menjadi kumpulan paling gagah dan kuat di Kota Mekah walaupun dipenuhi segala kekurangan selain akidah yang benar yang ditanam oleh RasuluLlah di dalam hati mereka. Kekuatan mereka terbukti dengan keengganan mereka tunduk kepada kekuatan jahiliyah yang memaksa mereka menukar kebenaran yang baru dimiliki dengan kebatilan akidah lama yang telah mereka tinggalkan.

Justeru akidah adalah kekuatan utama dan pertama umat Islam sepanjang zaman. Justeru ia mestilah dipelihara keaslian dan ketulenannya. Kerosakan di dalam mewarisi akidah Islam akan mencetuskan fenomena kelemahan dan kehinaan ke atas umat Islam. Apabila akidah Islam bercampur aduk di antara pengajaran Allah dan pengajaran manusia, maka ia menjadi palsu dan tidak lagi tulen. Apabila begitu, maka hilanglah sengat utama dan pertama umat Islam.

Kita mestilah menjaga keaslian akidah kita dengan sentiasa menilai dan menolak campur aduk yang tidak diizinkan. Maka menjadi kewajiban pertama kita untuk mengenali akidah yang benar dan sahih sebagaimana wajib mengenal kerosakan dalam akidah.

PAS yang kita intima’ , wala’  dan dukunginya adalah panji akidah Islam yang benar. Ia membenarkan dan menerima perselisihan yang dibenarkan di dalam akidah yang dianuti Ahlus Sunnah Wal Jamaah sepanjang zaman. PAS menolak apa yang ditolak oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Justeru PAS menolak akidah sekular, kebangsaan, kenegaraan, liberal dan apa – apa ideologi politik yang telah lama atau sedang tumbuh di negara kita. PAS juga menolak akidah sesat yang dipelopori ajaran sesat samada yang lama atau baru, melampau atau terlalu meringankan.

Oleh kerana ajaran Syiah ditolak ajarannya oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah dek pertentangannya dalam perkara – perkara asas akidah, maka PAS menolak mazhab Syiah untuk turut dianuti ahli dan pendukungnya selain menyeru umat Islam menjauhinya.

Dengan akidah yang benar, maka kekuatan kita adalah benar, betul dan abadi. Dengannya kita menjadi mulia dan diredhai Allah.

2) Kekuatan Ukhuwwah Islamiyah

Persaudaraan adalah tali yang mengikat antara manusia. Persaudaraan menyatukan di antara individu dan mengelak perselisihan sesama manusia. Oleh kerana manusia perlu bersatu demi kehidupan yang harmoni dan bahagia, pelbagai ikatan digunakan demi mengukuhkan persaudaraan dan penyatuan.

Ikatan darah, keturunan, bangsa, kabilah, warna, pangkat, negara, geografi malah ideologi manusiawi adalah pilihan manusia untuk hidup bersatu. Tetapi alangkah sempit, sukar dan putusnya penyatuan berdasarkan ikatan – ikatan tersebut. Kulit hitam tidak boleh disatukan dengan kulit putih selamanya kerana warna yang berbeza. Begitulah yang lain. 

Kegagalan menyebabkan manusia berpecah. Perpecahan menyebabkan manusia dan kehidupan menjadi lemah dan kucar – kacir.

Ukhuwwah Islamiyah atau persaudaraan Islam adalah kekuatan kita. Ia adalah ikatan agama. Ia adalah ikatan berteraskan akidah yang benar dan sahih. Manusia muslim disatukan di dalam kepercayaan yang dibekalkan tuhannya sendiri.

Persaudaraan Islam berbeza dengan yang lain daripada dua sudut:

Pertama, ia tidak dibatasi ikatan – ikatan sempit seperti di atas. Islam boleh dianuti semua manusia tanpa kecuali. Islam adalah untuk semua.

Kedua, ia adalah ikatan di atas ugama yang benar. Ugama dan ideologi lain yang menjadi asas ikatan    persaudaraan adalah batil dan sesat. Sesuatu yang dibina di atas kebatilan dan kesesatan adalah lemah, gagal dan tidak kekal.

Persaudaraan Islam lahir daripada pengajaran ugama bahawa manusia adalah hamba kepada tuhan yang satu. Kepercayaan ini menjadikan mereka bersatu tunduk kepada satu arahan, satu harapan dan satu matlamat. Jalan menuju Allah adalah lurus. Kelurusan hala tuju akan mengelak pertembungan.

Kemudian, umat Islam disatukan melalui rujukan yang sama iaitu al Quran dan ar rasul dan juga ibadah yang sama iaitu rukun Islam yang lima. Begitulah pengajaran Islam telah membina landasan yang betul ke arah penyatuan umat Islam.

Umat Islam bersatu kerana mereka diarah untuk bersatu tujuan. Mereka bersatu kerana mereka dilarang berbeza tujuan. Arahan dan larangan bersifat rabbani yang pasti benar ini mendorong umat Islam untuk saling menjaga diri dan saudaranya daripada tersasar.

Justeru lahirlah sifat – sifat mulia yang menjadi medium ke arah kesatuan seperti nasihat, ta’awun, hikmah, lembut, sabar, berani, lapang dada dan lain – lain lagi. Juga hilanglah sifat – sifat buruk yang mendorong perpecahan seperti angkuh, kikir, kasar, keras, keluh kesah, penakut, sempit dada dan lain – lain lagi.

Dengan kekuatan ukhuwwah Islamiyah inilah RasuluLlah telah membentuk barisan sahabatnya yang bersatu sedari awal pembentukan mereka melalui akidah yang benar. Dengan kekuatan ini jugalah baginda menyatukan di antara kaum Muhajirin dan Ansar sebaik penghijrahan baginda ke Madinah. Begitulah talian – talian dan ikatan – ikatan lain menjadi kerdil dan terpinggir di hadapan kekuatan ukhuwwah Islamiyah

Justeru kita menjadi kuat dan gagah. Kesatuan kita adalah diibarat sebuah bangunan yang kukuh, saling menyokong di antara komponennya. Atau seperti jasad yang satu, apabila satu anggota sakit, ia turut ditanggung oleh semua anggota yang lain.

Kita mestilah menjaga dan memperkukuhkan persaudaraan Islam ini. Ia adalah asas yang menjadikan kita gagah dan dihormati semua manusia. Kita mestilah menjauhi perkara – perkara yang memungkinkan kekeruhan, ketegangan dan kepanasan berlaku atas sebab – sebab yang kecil atau tidak benar. Kealpaan dan kelalaian di dalam menjaga kekuatan ini pasti akan menjebakkan kita kepada perpecahan yang dimurkai Allah.

PAS yang kita intima’, wala’ dan dukunginya adalah panji persaudaraan Islam. Ia gagah dan hebat dengan ukhuwwah Islamiyah ahlinya sebagaimana ia gagah seawalnya dengan akidah Islamiyah yang sahih dan benar. PAS menolak kesatuan yang diasaskan di atas unsur – unsur perkauman, kenegerian, kepentingan dan faham – faham sempit yang lain. PAS terus di hadapan menyeru kepada kesatuan manusia yang benar dan sejati untuk rakyat Malaysia seluruhnya.

3) Kekuatan jihad Islami

Jihad Islami adalah kemuncak amal Islami. Tanpanya Islam takkan ke mana di bumi ini. Tanpanya tiada matlamat akan dicapai dan tiada harapan menjadi kenyataan.

Jihad adalah bersungguh – sungguh menuju Allah. Bersungguh – sungguh dengan segala kudrat tubuh dan kepunyaan untuk mencapai apa yang dituntut Allah. Kesungguhan jenis inilah yang mencipta kekuatan yang maha agung yang tak tersaing oleh segala kekuatan selainnya.

Setiap muslim dituntut mencapai dua matlamat:

1) Matlamat duniawi: Menegakkan khilafah Islamiyyah di muka bumi. Ia bererti agama Islam mestilah menang dan menguasai seluruh agama dan ideologi manusiawi di dunia ini.

2) Matlamat ukhrawi: Memperolehi ridha Allah dan syurgaNya. Ia bererti segala urusan muslim di dunia ini hendaklah dengan niat memperolehi ridha Allah semata – mata.

Ia adalah matlamat yang besar yang tidak mungkin dicapai kecuali dengan kesungguhan yang memuncak. Kesungguhan atau al jihad inilah yang mencipta kekuatan kepada umat Islam. Dengan kekuatan inilah lahirnya peribadi – peribadi Islam yang unggul di dalam ilmu dan akhlak. Dengan kekuatan ini jugalah agama Islam akhirnya tersebar ke seluruh dunia.

Oleh kerana Islam adalah ugama yang menyeluruh dan meliputi semua aspek dan sektor kehidupan, maka cabangan jihad adalah luas seluas kehidupan ini. Oleh kerana Islam membina, memajukan dan  memberkati semua urusan kehidupan, maka Islam menganjurkan jihad di semua bidang demi keunggulan Islam dan kehidupan manusia di dunia ini.

Jihad agung menentang tentera kuffar difardhukan selepas RasuluLlah berhijrah ke Madinah. Dengan kefardhuan inilah kekuatan barisan muslimin menjadi semakin nyata dan menggerunkan musuh. Pembukaan Kota Mekah adalah kemenangan yang merongkai segala kekusutan terhadap kekuatan Islam untuk menguasai dunia.

Dengan panji al jihad al islamilah Islam bergerak maju menyebarkan dan menguasai dunia dan peradabannya.

Justeru jihad difardhukan dan berterusan sehinggalah hari kiamat. Tiada umat yang meninggalkannya kecuali akan ditimpa kehinaan. Tiada umat yang memakainya kecuali akan dikurniai kekuatan dan kemenangan.

Kita mestilah menjadi mujahidin menegakkan ugama Allah. Kita mestilah memiliki ciri – ciri pejuang Islam yang gagah berani demi melengkapkan barisan tentera Islam menuju kemenangan.

PAS yang kita intima’, wala’ dan dukunginya adalah panji al jihad al islami. Ia menanam dan melatih pendukungnya untuk berusaha memenuhi tuntutan jihad. PAS menolak unsur – unsur yang merosakkan cita – cita dan wawasan al jihad seperti malas berkerja, tidak istiqamah, bermusim, mengintai dan berebut jawatan dalam parti dan lain – lain yang merencatkan kelangsungannya.   

Hanya dengan al jihad Islam dan PAS akan menang dan berjaya menguasai negara ini.

Inilah 3 kekuatan kita. Inilah sumber kita dan inilah kita.

Sesudah anda memahami ini, anda akan lebih mudah untuk memahami tuntutan – tuntutan yang perlu kita laksanakan sebelum kita boleh senyum dan mendabik dada bahawa kita telah melaksanakan kewajiban di sisi Allah.

Anda tidak dapat tidak selain membina akidah dengan betul. Jika tidak ia adalah kekuatan yang sementara dan sia – sia. Anda mestilah berusaha menyatukan saf pejuang Islam dan jangan menjadi punca atau batu api yang memecahkan kesatuan jamaah dan perjuangan Islam. Jika tidak ia akan melemahkan kekuatan Islam dan menghilangkan kehebatannya di sisi musuh. Anda mestilah pula menjadi mujahid agama ini dalam bidang yang dimudahkan Allah untuk anda. Jika tidak kekuatan Islam akan hancur bercempera serta mudah dilumpuhkan oleh musuh.

Kita sentiasa di ambang kemenangan jika kita sudah bersedia dengan 3 kekuatan ini. Selamat berjuang!

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Oktober 2008
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa