You are currently browsing the daily archive for Oktober 6, 2008.

Salam Kamunting,

Saya merujuk kepada tulisan YB Khalid Abdul Samad di dalam blognya ( sini ) yang menjemput sesiapa yang berminat untuk berhujjah secara ilmiah sepuas – puasnya mengenai ayat 61 dan 62 daripada surah al Anfal yang diselewengkan maksudnya demi mentabrirkan penyatuan PAS-UMNO.

Beliau menamakan beberapa orang bloggers dalam bentuk cabaran untuk respon dan berhujjah dengannya termasuk saudara Roslan SMS dan adindanya. Oleh kerana saya selalu disantuni saudara Roslan dengan gelaran adinda, maka rasanya tak salah kiranya saya merasakan diri saya termasuk dalam maksud YB Khalid Abdul Samad selain sahabat saya Ustaz Nasrudin Tantawi dan Ustaz Yusaini terutamanya.

Saya agak tergamam dengan jemputan itu tatkala melihat kesungguhan beliau memahamkan kita perihal ayat tersebut. Bukan pada salah dan tak bisanya hujjah beliau, tetapi pada ajakan beliau untuk kami menghujahnya balik dengan ayat yang sama dan selainnya demi menegakkan benang yang basah ke arah penyatuan UMNO-PAS! Juga membenarkan pengkhianatan terhadap pakatan bersama PKR dan DAP.  

Saya bertanya diri sendiri, adakah Roslan SMS, Ustaz Nasrudin, Ustaz Yusaini dan saya difahami begitu oleh beliau? Jika itu bukan maksud beliau, saya yakin ramai pembaca akan memahaminya begitu sepertimana saya juga.

Oleh kerana Allah adalah saksi bahawa kami bukan begitu dan tidaklah layak kami disenaraikan sebagai jemputan yang boleh mendatangkan fitnah buruk ke atas kami, saya mencadangkan beberapa perkara kepada YB Khalid Abdul Samad dan menasihatinya dengan beberapa perkara. Ini semoga semua pihak dapat mengambil manfaat bersama, insya Allah. Saya juga berharap ianya disetujui oleh sahabat – sahabat yang ‘terkena penangan’ jemputan itu juga:

1) Demi tidak membatalkan jemputan debat siber tersebut ( permit pun tak perlu ), saya mencadangkan YB Khalid Samad menjemput imam yang berkhutbah tersebut untuk berdebat dengannya. Saya rasa imam tersebut tentu saja bersedia demi menjaga maruah dirinya selain mengeringkan benang basah tersebut.

2) Jika ada tajuk hendak dipaparkan, eloklah dicadangkan debat itu dengan nama ‘ Perang Siber 916: Profesional Haraki vs Imam Hadhari’. Saya fikir ini turut membantu telahan ‘sombong’ sesetengah ulama konservatif yang mendakwa hak eksklusif untuk mentafsirkan ayat – ayat al Quran. Saya yakin sepenuh – penuhnya dan sepuas – puasnya bahawa YB mampu.

Kemudian saya dengan rasa sedikit malu – malu mencuba – cuba untuk menasihati YB Khalid Abdul Samad dengan beberapa nasihat yang memberi guna, bukan guna- guna, insya Allah:

1) Sapulah daripada blog YB tu nama ‘adinda’ tu sebagai jemputan, juga Roslan SMS ( walau YB terpaksa menahan geram ). Sedih saya adalah teramatlah sangat.. ( menahan geram sebenarnya..)

2) Janganlah membina kefahaman diri di atas puingan salah faham ( misalnya yang tadilah ) terhadap sahabat – sahabat di dalam satu jamaah. Saya menjadi takut tulisan – tulisan YB yang lain dibina di atas landasan yang sama. Hujah YB akan jadi rapuhlah. Sekali jentik. Apatah ukhuwwah sesama kita.

3) Jauhilah sama sekali sangkaan seperti itu daripada YB Dato Presiden PAS. Saya berkata begitu kerana saya termasuk penyokong kuat presiden dalam menangani isu semasa tertentu. Bacalah beberapa artikel santai saya sebelum ini jika ianya boleh membantu membenarkan dakwaan saya ini. Kerana saya dah kena ‘penangan’ YB, takutlah juga terkena presiden juga! Kebimbangan saya terhadap kerosakan dalam jamaah mendahului kebimbangan saya terhadap kerosakan YB sendiri.

4) Fahamilah maksud pengkhianatan dalam Islam apabila menggunakan ayat – ayat Allah. Saya berkata begitu kerana kesungguhan YB memindahkan artikel ini ke blog mulia YB. Itu tulisan hampas dalam neraca ugama. Fahamilah.. 

5) Janganlah YB cuba melaga – lagakan di antara ayahanda Tuan Guru dan YB Tuan Guru Presiden. Lebih parah jika YB menjadikannya landasan puaka untuk ahli PAS menerima DSAI. Bukan salah DSAI. Yang salah adalah YB sendiri.

Ketika Allah menjadikan dua insan mulia ini diciumi dan dipeluk tubuh mereka oleh rakyat Malaysia demi cinta Islam dan perjuangannya, juga penyatuan ummah yang sedang bercempera, jangan pula YB mengambil jalan yang akan mencetuskan murka Allah.

Jika ahli PAS terpecah dua, tulisan – tulisan YB mungkin faktornya. Saya enggan mengesahkan. Daripada YB asyik dengan ayat 61 dan 62, lebih jitu saya mengesyorkan YB menyelami maksud ayat 63 dan 64 daripada surah yang sama. Ia lebih bermanfaat saat ini untuk dihayati.

Bertaqwalah sesaat saat YB mengkritik Presiden. Jika itu hak YB untuk mengkritik, bacalah pula hak seorang ketua. Dah lupa ke..?

Adapun saya, sila baca artikel saya, ‘hidangkanku secangkir kopi panas’. Ia begitu angkuh kerana keseronokan menyaksikan para ulama PAS bertaut membina kesatuan.

( Tulisan ini ada unsur – unsur melepas geram. No signature required. Apa yang ada hanyalah bulan Syawal. Mohon maaf dipinta, zahir dan batin. )

Salam Kamunting,

Selamat Hari Raya Eidul Fitri saya ucapkan untuk semua pembaca. Semoga kita dikurniai segala keberkatan dalam kehidupan daripada Allah, tuhan yang menciptakan kita.

Hari raya sungguh menyeronokkan. Allah mahu hambaNya yang beriman bergembira semuanya.

Hakikat yang Allah mahu kita sedar adalah bahawa hanya yang beriman kepadaNya di dunia ini sahaja yang patut hidup bergembira, sementara yang lain sepatutnya menangis bersedih. Sebabnya, hanya yang beriman yang hidup bersuluh di dunia ini, sedang yang lain meraba – raba tanpa suluhan hidayat. Bolehkah mereka yang meraba di dalam kegelapan ketawa bergembira? 

Para ulama menyatakan antara hikmat golongan miskin juga wajib menunaikan zakat fitrah di hari raya eidul fitri adalah demi mewujudkan rasa seronok memberi di dalam hati mereka selepas asyik dan selalu menerima dan meminta – minta. Orang yang memberi, membantu dan menyumbang akan mengecapi kemanisan dan kemuliaan yang tak akan dirasai dan dikecapi oleh orang yang menerima. Pada hari raya, golongan miskin bergembira kerana mereka juga memberi sebagaimana mereka juga menerima. Mereka tidak merasa tersisih untuk turut bergembira di hari raya.

Slogan kegembiraan adalah ‘Allahu akbar’. Bertakbirlah di malam dan pagi raya sekuat – kuatnya dan sebanyak – banyaknya. Mengapa bertakbir? Supaya setiap muslim sentiasa dalam ingatan mereka bahawa tiada kegembiraan hakiki dalam kehidupan kecuali beroleh hidayat Allah.Justeru besarkanlah Allah. Kemudian, biarlah kerja dakwah dan mengajak kepada Allah itu menjadi satu tugas yang menyeronokkan, bukan membebankan.

Tidakkah membesarkan Allah ( bertakbir ) itu menakutkan sekali di sisi sesetengah umat Islam sendiri? Ah, berseronoklah dalam membesarkan nama tuhanmu..  ( UMNO lebih seronok menggunakan slogan ‘hidup Melayu’ dan meremehkan kalimah ‘Allahu akbar’. Merekalah kelompok muslim yang bacul )

Gembira kita bukan kerana kedatangan Syawal. Gembira kita adalah kerana kedatangan Ramadhan. Kerana kejayaan memperolehi taufik dan hidayat yang pelbagai di sepanjang bulan Ramadhan, kita digalakkan bergembira kerananya di bulan Syawal. Tiada indah Syawal tanpa Ramadhan.

Tidakkah kesedihan di pagi Syawal adalah kerana pemergian Ramadhan? Tetapi ketepikanlah kesedihan itu dan gantikanlah ia dengan kegembiraan kerana Ramadhan tidak pergi kecuali dengan meninggalkanmu sejambak hidayat yang sangat berharga.

Marilah kita mengambil ingatan di Syawal yang mulia ini dengan mengingati hidayat Ramadhan:

1) Ramadhan bulan al Quran – hidup tanpanya adalah hampa walau dipenuhi segala nikmat dan kesenangan. Al Quran adalah ubat dan penawar kecelaruan kehidupan.

2) Ramadhan bulan ketaqwaan – Setiap yang beriman mesti mengimpikan untuk semakin mendekati dan mendampingi tuhannya di setiap masa dan langkah. Tiadalah jalan untuk mendekatiNya selain taqwa. Memperolehi taqwa adalah pemburuan setiap hamba yang beriman.

3) Ramadhan bulan al jihad – Jihad adalah berkerja keras dan bersungguh – sungguh. Jihad adalah berkeringat menahan diri daripada godaan duniawi, berpeluhan melonjakkan diri ke alam samawi  yang lebih tinggi dan bersembur darah mempertahankan iman dan agama. Bermula dengan melawan serakah nafsu dan memuncak dengan melawan musuh Islam dengan segenap harta dan kepunyaan. Setiap muslim adalah mujahid semestinya. Hidupnya dipenuhi episod perjuangan.

4) Ramadhan bulan kesabaran – Sabar adalah sifat paling mulia didamba muslim. Ramadhan menemukan kita dengan keindahan memiliki sifat sabar. Ramadhan menjadikan kita teruja dan kepinginan untuk mencontohi mereka yang bersabar ( as saabirin ). Janji Allah adalah menggiurkan sekali untuk mereka.

5) Ramadhan bulan kebaktian – Berbakti adalah pengenalan diri setiap muslim. Hidup berbakti adalah diari setiap muslim. Seawal kebaktian adalah beriman kepada Allah dan mendirikan solat. Ia memanjang dengan menyumbang segala kepunyaan demi kebahagiaan semua insan dan mkhluk ciptaan Allah. Ramadhan mengajar kita untuk hidup penuh pemurah.

6) Ramadhan bulan kemenangan – Ramadhan mengajar kita bahawa setiap kita adalah pemenang di dunia ini. Kekalahan adalah perjalanan, sementara kemenangan adalah destinasi. Dengan Allah, tiada musuh yang tak akan kalah.

7) Ramadhan bulan puasa dan bulan qiamul lail – Puasa adalah tiang rukun agama. Puasa adalah perisai setiap muslim. Justeru di dalam menempuh badai ujian, setiap muslim harus menjadikan ibadah puasa sebagai senjatanya yang tak lekang. Manakala solat dan beribadah di malam hari adalah cahaya. Kegelapan malam adalah menakutkan. Dalam kegelapan itulah setiap yang bangun beribadah membina keberanian. Mereka kekal dalam kecerahan 24 jam. Ibu malam adalah Lailatul Qadr.

Begitulah ingatan hidayat Ramadhan yang mesti disimpul kejap di dalam ingatan setiap kita.

Hari raya memberikan kita satu kekuatan untuk membina keazaman baru dalam meneruskan kehidupan yang lebih mulia dan bermaruah. Justeru bersamalah menjadikan setiap bulan adalah Ramadhan.

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Oktober 2008
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa