Salam Kamunting,

Sudahkah anda membaca buku ‘Dari Beirut ke Jerusalem’, sebuah cerita benar oleh Dr Ang Swee Chai? Jika belum, saya segera menyarankan anda membacanya, samada dalam edisi asalnya, ‘From Beirut to Jerusalem’ atau edisi Bahasa Melayu yag diterbitkan oleh HARAKAH.

Saya menemunya di celah – celah lambakan buku di dalam kereta Toyota Unser Ustaz Riduan Mohd Nor semasa dalam perjalanan bersamanya memberi kuliah ugama di sekitar Lembah Kelang pada awal tahun ini. Ustaz Riduan yang baru sahaja menyiapkan dan menerbitkan buku barunya, ‘Makkal Sakhti’ yang beberapa kali dipunggah masuk ke Pesta Buku Antarabangsa di Kuala Lumpur baru – baru ini dek lakunya adalah rakan seperjuangan saya yang telah banyak meghasilkan buku – buku Islami yang bagus – bagus.

Tak hairanlah semasa menaiki keretanya, saya terpaksa mengalih, membetul dan menyusun buku – buku yang berselerakan di dalam keretanya. Hari itu, pandangan saya hinggap di buku tebal lebih 400 muka surat itu. 

Beliau memuji buku itu selepas saya menyatakan pandangan saya, sebaik membelek – belek helaiannya,  bahawa buku ini mesti bagus isinya. Beliau yang belum habis membaca buku itu terus menyarankan saya membacanya juga. Saya menyeluk saku dan menghulurnya RM20 rasanya. “Anta beli lain. Tak cukup halalkan.” Beliau menjampuk, “Mampus aku!” Kereta meluncur laju dan saya terus menatap buku itu.

Ia sememangnya sebuah buku yang cukup menarik dan bagus untuk dibaca. HARAKAH menerbitkannya sempena 25 tahun tragedi pembunuhan beramai – ramai rakyat Palestin di kem Sabra dan Shatila yang menyayatkan. Ia menjadi parut yang menghantui umat Islam seluruh dunia dan menjadi lambang kekejaman dan kerakusan Yahudi di bumi Palestin yang terjajah.

Saya bercadang segera menulisnya di sini seusai membacanya. Tetapi Pak Lah memalu gendang perang, Islam vs Islam Hadhari. Saya segera memakai baju perang pilihan raya dan terus lupa menulisnya.

Dr Ang Swee Chai adalah seorang penganut Kristian yang lahir di Pulau Pinang sebelum berhijrah bersama suaminya ke England dari Singapura. Sifat perihatinnya kepada isu – isu kemanusiaan telah berkembang subur di dalam fitrah ciptaan Tuhannya, lalu melorongnya ke medan kebajikan dan kemanusiaan sejagat. Beliau dengan pelbagai anugerah keperwiraan adalah seorang wanita contoh untuk kehidupan hari ini yang penuh kezaliman, penganiayaan dan tanpa belas kasih.

Beliau memuji Islam dan penduduk Palestin, terutama pejuangnya yang berjuang mempertahankan bumi Palestin daripada penjajahan Yahudi terlaknat. Apabila beliau memuji, tiada yang dapat memesongkan rasa ikhlas dan tulusnya. Berani adalah sifatnya yang hilang daripada jiwa umat muslim hari ini. Jika ada, ia adalah untuk pejuang Islam di bumi Palestin hari ini.

Saya beberapa kali menitiskan air mata. Semuanya menghibakan. Malu, rasa bodoh, rasa hina dan rasa bersalah menghantui diri. Saat membacanya adalah saat – saat jiwa menjadi hidup dan basah.

Jika ada rasa terkilan, maka ianya adalah untuk Dr Ang Swee Chai sendiri. Saya hanya berkata, jikalah beliau seorang muslim, pasti Allah tidak mensia -siakan kerja besarnya di dunia ini. Setiap kali terhenti membaca, saya memdoakan hidayah untuknya.

Bacalah. Saya akan membeli beberapa naskhah lagi sebagai hadiah buat teman terdekat.