Salam Kamunting,

Saya masih ingat, saya pernah bertanya ayahanda semasa saya di alam menengah persekolahan di hujung 80an dulu perihal ‘raja’. Maksudnya, apa pandangan Islam terhadap institusi beraja dalam pemerintahan Islam? 

Yang mendorong saya nak tahu sangat jawabannya masa itu ialah bacaan saya terhadap buku al Allamah Abul A’la al Maududi mengenai sistem khilafah Islamiyyah yang bertunjangkan pemerintahan khulafa’ rasyidin yang empat itu. Saya rasa sedang membaca buku yang berat dan hebat sekali. Semestinya sistem khilafah jauh lebih hebat berbanding selainnya.

Kemudian, Kelantan pula masa itu ada krisis besar antara istana dan kerajaan yang memerintah yang berakhir dengan jatuhnya kerajaan BN pimpinan Tan Sri Mohamad Yaakob kepada kerajaan PAS pimpinan ayahanda dalam pilihan raya umum 1990.

Hujung jawaban yang saya mahukan ialah mungkinkah sultan atau raja boleh wujud jika PAS memerintah Malaysia? Malah, jika memerintah Kelantan, di mana istana dan sultan?

Itu soalan saya masa itu. Cukup jelas dan fitrah. Alam remaja yang bersih dan semulajadi dengan rasa ingin tahu dengan satu jawaban yang pasti tanpa belit – belit, putar – putar dan kabur yang dibayangi rasa takut dan berhati – hati.

Saya masa itu adalah seorang remaja muslim yang mahukan khilafah Islamiyah bertapak kembali di dunia dan di negara saya juga. Saya masa tu adalah seorang remaja yang menolak sistem pemerintahan demokrasi sekular untuk mengatur hidup umat Islam di Malaysia. Masa itu, saya penuh dengan idealisme seorang muslim yang lurus sekali.

Justeru, sistem raja berpelembagaan di negara saya ini sedikit mengganggu kelincahan aksi pemikiran saya masa itu menuju sistem khilafah yang unik itu. Bila dah kusut, saya jemba ayahanda dan bertanya, adakah raja boleh ada dalam Islam?

Ayahanda relaks menjawab, ” Kenapa tidak boleh? Sayyidina Muawiyah memulakannya di dalam Islam.” 

Mudahnya jawaban. Ia adalah pangkal jawaban yang mula memperkenalkan saya dengan ketuanan para sahabat RasuluLlah radiaLLahu anhum di dalam membina sunnah kehidupan umat Islam sepanjang zaman dalam semua hal. Itulah sahabat di sisi Ahlu as Sunnah wal Jamaah.

Sayyidina Muawiyah, dengan arahannya agar anaknya, Yazid ditabal bagi menggantikannya sebagai khalifah Islam telah menamatkan era sistem khilafah yang dikira terbaik dan menepati pengajaran Islam yang sebenar. Arahannya terpaksa diterima dan diakuri secara terdesak oleh umat Islam termasuk para sahabat yang masih ramai pada masa itu.

Tindakan beliau bukanlah keputusan terbaik, lalu menambahkan nilai sisitem khilafah terdahulu atau menyinarkan sejarah umat Islam selepasnya. Bahkan, ia telah memalapkan sejarah Islam yang unggul di zamannya dan khulafa’ rasyidin sebelumnya. Di zaman pemerintahan anaknya itu, fitnah peperangan sesama umat Islam gagal dikawal kecuali dengan kekerasan yang menumpahkan darah yang haram ditumpahkan.

Tetapi sistem beraja itu diterima pakai oleh umat Islam. Ia berlarutan dan berkembang di dalam sejarah pemerintahan Islam di seluruh dunia. Para ulama menerimanya dan tiada yang memberontak melawannya dengan tujuan membatalkan sistem beraja dan mengembalikannya kepada sistem asal  yang diamalkan oleh zaman sahabat yang pertama.

Raja digelar khalifah dan sistemnya digelar sistem khilafah juga. Umat Islam seluruh dunia disatukan di dalam satu pemerintahan khilafah. Apabila kesultanan Uthmaniyyah Turki jatuh di tangan bapa sekular, Kamal Ataturk yang menjadi sekutu kuat barat di awal abad 20, kita umat Islam  mengisytiharkannya sebagai berakhirnya riwayat panjang ‘khilafah Islamiyah’ dunia Islam.

Sayyidina Muawiyah adalah hujah, tetapi beliau bukanlah satu – satunya hujah. Sejumlah hadis yang banyak daripada Baginda sallaLlahu alaihi wasallam yang menceritakan perihal aspek politik umatnya selepasnya adalah menggambarkan dan menegaskan kewujudan pemerintahan yang tidak berteraskan sistem khilafah rasyidah yang pertama itu. Lahir pemerintah yang adil dan lahir juga pemeritah yang zalim.

Baginda menuntut ketaatan umatnya ke atas pemerintah yang dibai’ah walaupun mereka melakukan kezaliman selagi mereka tidak melakukan bentuk kekufuran yang nyata dan terang. Baginda melarang pemberontakan ke atas pemerintah yang zalim yang boleh mencetuskan pertumpahan darah sesama umat Islam. Adalah sukar digambarkan kezaliman yang berterusan dan disabari di dalam pemerintahan yang dipilih oleh syura.

Ini menegaskan kesahihan kewujudan pemerintahan yang tidak dipilih secara syura sebagai mana ianya menjadi amalan mesti di dalam sebuah sistem khilafah rasyidah.

Allah sendiri menceritakan perihal kerajaan Nabi Sulaiman yang agung yang menaiki takhta pemerintahan yang diwarisi daripada ayahandanya Nabi Daud alaihimas salam. Dia memuji kebesaran kerajaan Balqis yang akhirnya tunduk sujud kepada tuhan Sulaiman. Dia menganugerahkan Nabi Yusuf alaihissalam dengan kedudukan tinggi di dalam kerajaaan Mesir waktu itu.

Asas pemerintahan khilafah Islamiyah ialah adil. Adil bermaksud taat kepada Allah dan al Rasul. Adil bermaksud mengambil al Quran dan al Hadis sebagai pedoman teratas. Selagi ketaatan kepada Allah dan al Rasul berlaku, di situlah keadilan dan di situlah khilafah Islamiyah walaupun dipenuhi kecacatan.

Kemudian, keadilan itu dipelihara dan dijamin sedari awal melalui pemilihan ketua dan khalifah secara syura oleh sekumpulan ulama yang diterima keilmuan dan keadilannya oleh umat Islam. Kemudian, keadilan itu juga dipelihara dan dijamin melalui bai’ah dan ketaatan ke atas khalifah itu oleh seluruh umat Islam. Selagi sistem syura dan nasihat berlaku, disitulah khalifah dipelihara dan terkawal daripada kecacatan dan kezaliman.

Justeru, sistem pemerintahan beraja atau kesultanan bukanlah suatu yang asing di dalam Islam dan sistem khilafah yang dibangunkannya. Ia diterima dengan sedikit kegelisahan terhadap unsur – unsur kegelinciran daripada keadilan yang agak longgar dan mudah berlaku. 

Tetapi ia boleh menjadi teguh dan betul apabila pemerintahan itu menjadikan syura sebagai sistem terpakai di dalam pemerintahannya. Khalifah Umar bin Abdul Aziz adalah pelopor yang membenarkan betapa keadilan Islami boleh tertegak di dalam sistem beraja. Baginda mengamalkan syura sepenuhnya dengan memilih ahlinya yang terbaik. Sejarah kerajaan Islam seluruh dunia juga membuktikan keadilan dan kesaksamaan sebagai mana tuntutan ugama terlaksana denan jayanya.

Ada raja adil dan ada juga raja yang zalim. Yang adil ditaati dan yang zalim dinasihati. Pemberontakan adalah haram selama mana tiada pemberontakan terhadap Allah dan al Rasul.

Di Malaysia ada dua bentuk pemerintahan. Satu sistem raja yang diwarisi daripada sejarah Islam terdahulu dan satu lagi sistem kerajaan rakyat yang ditiru daripada sistem demokrasi sekular barat. Kedua – duanya disatukan melalui sistem raja berpelembagaan dan kerajaan berparlimen yang saling mengikat kekuasaan antara keduanya.

Raja adalah payung ugama. Ia menjaga kedaulatan al Quran dan al Hadis. Kerajaan rakyat pula adalah pelindung perlembagaan sekular negara. Perlembagaan negara pula menaungi kedaulatan al Quran dan al Hadis. Ini menjadikan kedua – duanya tiada kedaulatan yang hakiki, bahkan langsung tiada kedaulatan. Islam itu tertinggi dan tiada yang boleh lebih tinggi daripadanya.

Inilah sistem raja berpelembagaan.

Ustaz – ustaz UMNO sering menuntut ketaatan umat Islam ke atas pemerintahan BN. Menukar kerajaan BN yang diterasi UMNO adalah salah, derhaka, berontak dan batil. Betulkah?

Ada tiga jawaban mudah untuk dakwaan batil mereka itu:

Pertama, Adakah pemerintahan BN adalah khilafah yang ditaati? Jawabannya tidak. Sebab, perlembagaan sekular negara menaungi al Quran dan al Hadis. Ini bererti UMNO menolak ketaatan kepada Allah dan al Rasul. Ia mengenepikan kedua – duanya sedangkan itu adalah syarat utama sebuah khilafah yang ditaati. UMNO adalah payung sekular, bukan ugama.

Kedua, kerajaan rakyat yang dicedok daripada sistem demokrasi barat membenarkan pertukaran pemimpin dan pemerintahan melalui pilihan raya. Diangkat melalui pilihan raya dan diturunkan melalui pilihan raya. Mengapa pula hukum Islam dipakai untuk menjalankan sistem jahiliyah ini? Inikah Islamisasi? Inikah Hadhari?

Ustaz – ustaz UMNO ini, bukan setakat jahil, buat lawak bodoh pula.

Ketiga, adakah mereka menamakan penukaran pemimpin melalui pilihan raya sebagai pemberontakan yang terlarang itu? Jika begitu sebagaimana yang didakwa, ini menambahkan lagi kejahilan di dalam memahami hukum ugama.

Mereka harus faham bahawa pemberontakan bermaksud usaha menukar pemerintahan Islam secara keras menggunakan senjata yang mungkin mencetuskan pertumpahan darah. Sedikit pengenalan terhadap sistem pilihan raya sudah cukup menafikan dakwaan mereka.

Dalam pilihan raya negara kita, bukan kata darah, dakwat pun Tan Sri Rasyid takut nak sentuh…

Jika anda bertanya, jika UMNO menolak al Quran dan al Hadis, mengapa PAS tidak memberontak? Tidakkah UMNO bukan khilafah Islamiyah?

Saya jawab, ya. Pemerintahan UMNO bukan khilafah. Ia menolak al Quran dan al Hadis. Justeru UMNO menzalimi Allah, al Rasul dan seluruh umat Islam. Tetapi pemberontakan di dalam negara Islam hanya sah apabila pemerintah melakukan kekufuran yang nyata dan terang yang mungkin meruntun rakyat kepada kekufuran jua.

UMNO bukan jenis ini. Ia memperakui solat dan syahadah. Selagi ini, selagi itulah nasihat dan kesabaran.

Tidakkah PAS menegur, membantah, menasihat dan merawat? Tidakkah inilah dendangan ulama terdahulu terhadap pemerintah yang zalim?

Tidakkah PAS terus bersabar dengan penindasan, penipuan dan penghinaan? Tidakkah inilah hidangan ulama terdahulu daripada pemerintah yang zalim?

Bagaimana dengan raja kita?

Raja adalah payung ugama. Ia adalah institusi yang menjaga ugama Islam yang sudah diikat – ikat oleh perlembagaan sekular jagaan Pak Lah, Najib, Zaid, Ku Li, Masyitah dan lain – lain pahlawan UMNO.  

Ia institusi pemerintahan yang lebih mulia dan lebih dekat dengan Islam berbanding UMNO. Ia menjadi harapan kekal umat Islam untuk mempertahankan Islam dan keadilan dari dulu sehingga kini.

Kesultanan Melayu Islam adalah paling berjasa kepada umat Melayu sepanjang sejarahnya.

Tidakkah Melayu sebelum Islam adalah Hindu dan tanpa petunjuk? Tidakkah Melayu menjadi Muslim setelah rajanya memeluk Islam? Tidakkah Islam memasuki Tanah Melayu dan jiwa raga Melayu tanpa peperangan? Tidakkah raja Melayulah yang memastikan Islam bertapak di Tanah Melayu tanpa pertumpahan darah?

Inilah jasa kekal kesultanan Melayu. Jika kita ingat, kita pasti mensyukuri kesultanan Melayu. Jika sultan ingat, sultan pasti terus mendaulatkan Islam.   

Tinggalkan UMNO. UMNO tidak ada jasa untuk Islam. Jika ada saham, saham mereka hanya untuk MELAYU.

Kesultanan bukanlah sistem terbaik dan pilihan dalam Islam. Tetapi ia jauh lebih baik daripada sistem sekular yang menolak Islam. Kesultanan terdedah kepada keadilan dan kezaliman. Jika PAS diberi kuasa, sistem beraja pasti hidup dengan jaminan keadilan yang lebih baik.

Di sana Melayu bolehlah lena di Kelantan mahupun di Pulau Pinang. Islam menjaga mereka.

   

  

Advertisements