Salam Kamunting,

AlhamduliLlah, saya selamat tiba ke tanah air dari perjalanan jauh lebih 24 jam yang meletihkan. Saya berlepas dari United Kingdom pada jam 1 tengahari, dua hari lepas ( jam 9 malam waktu Malaysia ) dan selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Kota Bharu  jam 11.30 malam semalam. Perjalanan agak lama kerana transit di Dubai selama 8 jam.

Kerana jadual yang bertembung, saya terpaksa membatalkan tiket dan terlepas peluang bersama YAB ayahanda Dato MB ke negeri Kedah Darul Aman untuk menyertai perhimpunan besar rakyat Kedah meraikan kemenangan gerakan Islam PAS memerintah negeri Kedah dalam pilihan raya umum baru -baru ini. 

Saya hanya mampu mengikuti perhimpunan itu secara live melalui internet bersama sahabat – sahabat di UK walaupun agak terganggu siarannya. Tahniah rakyat Kedah dan semoga Allah memudahkan jalan untuk umat Islam kembali kepada Islam yang menyelamatkan kehidupan manusia di bumi ini. Tiada erti kemenangan jika tiada hidayah dan inayahNya yang bertambah – tambah.

Saya seminggu di United Kingdom, negara yang menjadi impian saya untuk lawati. Pertama, saya belum pernah menjejak kaki di bumi Eropah. Kedua, saya ingin mengenali negara yang pernah menjajah negara saya beratus tahun sehingga berjaya memunahkan dan melahirkan anak Melayu yang  menyanjungi barat sehingga menolak agama sendiri. Mereka kini bertompokan di dalam UMNO.

Saya banyak membaca mengenai barat, tetapi seminggu di sana melumatkan puluhan buku yang saya baca dan menjadikan saya lebih faham. Semestinya dua minggu adalah lebih baik dari seminggu untuk saya lebih memahami dunia barat. Saya harap akan terus memperolehi peluang ke sana lagi. Saya juga mengimpikan untuk sampai ke Amerika, negara boneka Yahudi itu.

Sentiasa kalah dengan kesejukan, saya sentiasa menggigil setiap kali keluar rumah, hotel dan kereta. Saya menumpang di rumah rakan – rakan yang bekerja di sana. AlhamduliLlah, saya mengenali sahabat – sahabat baru yang cukup baik dan mesra sehingga terus mengelopakkan rasa kasih dan sayang yang menghangatkan. Sebahagian mereka seusia saya lebih kurang dan sebahagian lagi jauh lebih muda sehingga saya mula ‘sedar diri’, aku ni dah masuk kategori tua rupa – rupanya.

Semua mereka akan menjadi golongan profesional negara suatu hari nanti. Saya seronok sekali berkenalan setiap hari dan setiap kali menemui mereka. Mereka semua mencintai Islam dan begitu tinggi cita – cita dan perjuangan mereka untuk melihat Islam bangkit kembali di Malaysia. Di bumi Mat Saleh yang telah merosakkan otak orang – orang tua mereka, mereka hidup seperti ikan berenang di laut masin, cekal berpegang teguh dengan Islam yang menyelamatkan kehidupan di bumi.

Dengan berita kemenangan Islam di Malaysia yang masih terlalu segar, sudah pasti perbualan, perbincangan dan borak – borak kami menjadi begitu segar. Daripada yang bekerja dan belajar di Kota London, Manchester, Sheffield dan Dublin di Ireland sehinggalah Aberdeen dan Dundee di Scotland, saya belajar banyak sekali daripada mereka mengenai kebangkitan Islam dan tuntutannya. Mereka menjadi guru saya sebagaimana mereka sudi menamakan saya sebagai guru mereka semasa di sana.

Paling menarik, saya menemui ramai juga yang mengenali saya ( fikrah saya ) melalui blog saya ini. Saya perasan dan perasan itu menyeronokkan.. kan?

Paling menarik, saya sempat berlabuh di Newcastle ( Kota Bharu ). Saya bayar mahal juga untuk masuk dan mengopak habis stadium bola sepak Newcastle tempat Micheal Owen yang saya minati bermain. Kami diberi taklimat hampir dua jam sambil ditunjuki pelbagai bilik dan tempat yang cukup mengkagumkan bagaimana mereka mengurus sukan bola sepak yang kini sudah menjadi ugama baru dunia barat yang kontang.

Mereka seminggu sekali akan masuk stadium menggantikan gereja. Tuhan mereka adalah pemain pujaan mereka, tidak lagi Nabi Isa al Masih.   

Sekejap tadi saya terbaca cadangan oleh pengganti Datuk Khir Toyo yang menerajui negeri termaju di Malaysia untuk menjadikan bola sepak Selangor diurus secara yang begitu profesional. Hah, sampai beginikah Barisan Alternatif? Satu persatu nak kena ajar dan baiki kerosakan di zaman BN.  

Nampaknya kita sudah terlalu lama dibekukan otak oleh BN. Sampailah masa kita berubah dengan berani.

Musafir itu meletihkan, tetapi letih lagi perjuangan ini. Musafir itu menyeronokkan, tetapi seronok lagi perjuangan ini. 

Perjuangan adalah kehidupan seorang musafir di bumi Tuhan.

  

Advertisement