Salam Kamunting,

Biarlah saya jadi seperti anda kalian para pembaca yang budiman, untuk mendengar, membaca dan memerhati, daripada dekat atau jauh, dalam atau luar, bagaimana kawan – kawan seperjuangan, juga musuh – musuh di medan juang memutuskan lalu bertindak dan mengurus segala kekalutan yang sedang berlaku kesan daripada ‘tsunami politik’ yang mengejutkan negara dalam pilihan raya umum ke 12 baru – baru ini.

Setiap hari saya, mungkin seperti anda juga, melompat – lompat dari satu dahan ke satu dahan yang lain mencari – cari berita – berita dan ulasan – ulasan terkini dalam dunia maya internet ini melalui blog – blog yang kini sudah menjadi senjata ampuh untuk memecah tembok tebal yang dibina pemerintah bagi menghalang barisan pembangkang daripada sampai kepada rakyat.

Pertengahan 90an dahulu, sewaktu penggunaan internet mula popular di Malaysia, kami yang tengah belajar di al Azhar, Mesir turut menyertai perbahasan hangat mengenai baik buruk internet yang digambarkan dengan bermacam – macam unsur negatif yang mungkin merosakkan akhlak dan cara hidup rakyat Malaysia. Kebanyakan kami melihatnya sebagai kejayaan proses globalisasi barat yang bertujuan meruntuhkan kebangkitan dunia Islam.    

Oleh kerana waktu itu negara Mesir masih jauh daripada penggunaan teknologi maklumat berbanding negara kita, kedatangan pimpinan PAS yang kerap mengunjungi para penuntut di sana telah banyak membantu meleraikan kekusutan perbahasan.

Internet adalah seperti tv. Ia baik dan ia juga buruk. Jika tidak kerajaan yang mengawalnya, anda boleh mengawalnya sendiri. Jika anda tahu menggunakannya, ia mempunyai sejuta kegunaan yang tiada diperolehi kecuali melaluinya. Begitulah lebih kurang jawaban para pimpinan PAS yang cuba menjelaskan bagaimana sikap dan pendirian parti mengenai kebebasan berinternet di Malaysia.

Saya banyak mendiam diri. Mendengar dan cuba memahami. Susah juga nak faham.

Pertama, saya masa tu baru saja pandai sentuh – sentuh komputer. Masa belajar di India, saya langsung jauh daripadanya. Saya belajar di universiti sistem pondok yang jauh sekali daripada tempias pembaharuan. Selepas reti sikit – sikit, saya dalam ceramah saya kepada mahasiswa dan mahasiswi Azhariyyin acap kali merangsang mereka untuk mahir berkomputer. Jika mahu membina jati diri seorang ustaz/ustazah, belajarlah komputer, kata saya. Akhirnya, ketika tiada lagi Azhariyyin yang buta komputer, saya masih lagi rabun komputer sampai sekarang.

Akulah guru yang membakar diri bagai lilin… he he. ( bolehlah suka – suka ya, sebab menang besarrr. Bodoh aku kalau tak borak besar – besar )

Kedua, dalam kepala saya masa itu, internet bererti wayang gambar kecil yang dibawa masuk ke rumah dengan gambar – gambar dan adegan – adegan lucah dan liar yang bersilang – silang menerjah masuk ke kepala saya. Masa tu saya tak tahu nak bezakan antara internet dan parabola. Kata orang, internet dan parabola tu adik – beradik saja. Kata orang politik sekarang, macam mertua dan menantu. Sama – sama tak boleh diharap! 

Jadi, saya masa itu boleh kata samalah dengan kebanyakan ustaz – ustaz muda lain, dalam hati kata haram! Di luar kelu lidah nak kata haram.. Sebabnya, tak faham dan tak reti peranan internet.

Hari ini, tak ada lagi orang nak tanya hukum berlayar di internet. Tanya atau marah, ertinya jakunlah tu..

Tetapi Khairi Jamaludin pernah kata bloggers adalah monyet. Orang jakun biasalah bertempur dengan monyet di hutan berebut pisang. Orang tak jakun melihat bloggers sebagai pejuang kebebasan yang diimpikan manusia merdeka.

Ayahanda pula kata mana – mana yang lawan Islam dan pejuangnya ( termasuk islamic bloggers ) adalah orang utan!

Hari ini, internet menjadi pangkalan maya gerakan Islam untuk melancarkan dakwah Islamiyyah dan menangkis serangan musuhnya. Dari hari ke hari, medannya semakin luas dan tanpa sempadan.

Pilihan raya umum ke 12 2008 kali ini dilihat cukup berbeza berbanding sebelumnya. Kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dan kegagalan mereka di sepanjang tempoh kempen dilihat berpunca daripada senjata baru yang digunakan pembangkang. Internet dan bloggers adalah antara senjata utama mereka. Ia melumpuhkan peranan besar televisyen dan akhbar yang dikuasai pemerintah untuk memikat dan memukau rakyat.

Rakyat sudah celik. Kerajaan masih buta. Saya rabun komputer saja.