You are currently browsing the daily archive for Januari 29, 2008.

Salam Kamunting,

Mungkin sudah jenuh saudara Slasher dan para pembaca juga menunggu jawaban yang saya janjikan ke atas komennya terhadap saya dan tulisan saya, ‘mengapa mengundi PAS adalah wajib?’  Saya memohon maaf atas kelewatan meluangkan masa untuk menulisnya. Kadang – kadang mood cukup berkuasa mengalih tumpuan dan menentukan masa kita sendiri.

Begitulah saya, hajat di hati mahu menulisnya selepas raya haji dulu, tetapi hanya hari ini saya bersinis dengan mood itu dan berkata, inilah masanya!

Elok sekali anda mengulangi dan membaca balik komen beliau itu. Saya salinkannya di sini:

Saya tersangat hairan melihat tulisan seumpama ini terhasil daripada seorang yang relatifnya muda dan mempunyai pemikiran terbuka. Saya bertambah hairan apaabila dikaitakan Islam kepada perkara-perkara yang tiada kaitan dengan agama.

Kita tentu sangat tahu, sistem politik demokrasi bukan daripada ajaran Rasulullah SAW. Kita semua masih ingat Tuan Guru Hj Hadi mengatakan ’siapa kata politik suku, agama suku’ boleh membatalkan Islam. Sudah tentu perkara yang sedemikian asas dalam Islam akan terdapat cara-cara yang khusus bagi Islam. sudah tentu sudah banyak ulama-ulama silam menulis tentang sistem politik Islam. Dan sudah tentu politik Islam, yang disandarkan kepada wahyu dan sunnah akan berbeza dengan sistem-sistem politik rekaan manusia jahiliyyah semada menggunakan nama demokrasi, kominisme atau lainnya. Sebagai orang yang pernah belajar agama , Nik Abduh tahu siapa yang menganggap demokrasi adalah sistem poltik Islam, dia telah meragui kesempurnaan dan kesucian ajaran Islam. Seakan dalam politik, Islam perlu menumpang sistem jahiliah untuk melaksanakan syariatnya. Seakan Allah memperlonggarkan kaedah kita bersiyasah asalkan kita dapat berkuasa.! Atau orang ini menganggap sistem yang manusia reka itu setanding dengan sistem yang Allah dan rasul-Nya ajarkan . Ini adalah bala’ yang tersangat besar kepada Islam.

Sekiranya kita dapat berpakat, bahawa Islam datang dengan segala kesempurnaan, yakni syariatnya, jalan ke arah melaksanakan syariatnya dan perlaksanaan syariat itu sendiri. Seumpama tidak mungkin kita mampu bermain bola sepak dengan selesa di padang ragbi dan menggunakan bola ragbi!

Sekiranya kita boleh bermuafakat yang penglibatan dalam demokrasi adalah ’strategi’ dan ijtihad kita untuk memperkasakan dakwah Islamiyyah, maka tentu kita tidak begitu berani untuk mengatakan ‘mengundi PAS adalah wajib’ dalam Islam. sudah tentu kita akan melihat kenapa akhir ini Ikhwan, umpamanya. beriya-iya mahu bergiat dalam politiknya di atas pentas ‘civil party’ dan bukan religious party’. Lihatlah kenyataan dalam web-site resmi Ikhwan.

Adalah lebih bermanafaat bagi Nik Abduh memperingatkan kita semua tentang perlunya mereka yang terlibat dalam kegiataan politik untuk tidak mengadaikan agama, menggunakan isu agama untuk memenangi pilihanraya. Kerana memang terdapat ceramah demi ceramah diadakan untuk memenangkan parti sendiri, bukankah itu termasuk menggunakan agama untuk tujuan dunia? Suatu perbuatan yang terkutuk

Selepas menang pilinraya, dengan dakyah ‘mengundi PAS adalah wajib’, wakil-wakil rakyat PAS yang menerima gaji atas nama ‘kewajiban’ itu seakan-akan tidak ada sebarang taklif ke atas rakyat . Apalah bezanya kawasan yang PAS menang dengan kawasan yang PAS kalah dari segi aktiviti agama yang diatur oleh wakil-wakil rakyat PAS?. Apakah tidak haram rakyat yang berpegang ‘mengundi PAS itu wajib’ dibiarkan tanpa perancangan bagaimana ingin memperbaiki kehidupan dunia dan kesedaran agama secara konsisten dan ikhlas (tanpa menumpu kepada musim dekat pilihanraya). Bagaimana pula apabila anak beranak wakil rakyat PAS yang mendapat peluang makan gaji atas dasar ‘kewajiban’ itu juga mendapat habuan, walaupun mereka bukanlah orang yang terbaik untuk jawatan itu.

Nik Abduh juga agaknya perlu membina kekuatan diri sendiri, bukan bersandar kepada ayahanda. Nik Abduh perlu jujur dan sanggup berdepan dengan Allah dengan membuat perumpamaan yang Saiyyidina Zaid dan Saiyyidina Usamah dengan Rasulullah SAW seumapama Pak Jak dan anaknya . Bacalah kenapa Rasulullah SAW begitu sayang kepadsa Zaid, bacalah bagaimana usamah terpilih untuk mengetuai perang melawan tentera Rom. Apakah sumbangan Pak Jak dan anaknya kepada ayahanda Nik Abduh dan Islam?. Apakah boleh disamakan kasih-sayang seorang Rasul yang maksum kepada sahabat-sahabat yang yang setia kepada Islam, yang sanggup berkorban apa saja demi Islam, tidak meminta apa-apa ganjaran yang berbentuk duniawi dengan seorang taukeh balak dan anaknya yang juga ahli perniagaan kepada seorang Menteri Besar, yang berkebetulan boleh meluluskan kawasan balak kepada sesiapa yang diperkenankannya.

Kalaulah ini dikatakan politik, sekadar untuk mendapat kuasa dan mempennya. Islam tiada kena-mengena dengan aktiviti memburuk-burukkan orang lain walaupun berada di dalam separti, Islam tiada mengajar kita untuk lobi-melobi untuk mendapat kedudukan demi kedudukan. Islam tidak mengajar kita untuk bermuka-muka , tanpa sebarang integriti , hanya sekadar mengatakan ‘dengki orang PAS’ pun mendapat pahala! Islam tidak mengajar kita untuk menuduh orang lain walaupun tuduhan kita itu tidak memenuhi piawai syara’. atau tanpa mengambil kira maruah orang lain dan kebenaran tuduhan yang kita lemparkan……

Sekadar ingin berkongsi rasa dengan Nik Abduh yang banyak ‘mewarisi’ perjuangan ayahanda, sebagaimana yang diharapkan oleh Gemuluh Abang din Kubur Maras

Saudara Slasher,

 Anda tahu bahawa saya adalah ahli PAS. Melaluinya saya bersama ahli – ahli yang lain berjuang menegakkan ketuanan Islam di bumi Malaysia ini. Tak kiralah samada anda mengiktiraf PAS atau tidak, saya dengan itu adalah terikat dengan kehendak dan kerelaan sendiri untuk patuh dengan ketetapan yang ditentukan oleh PAS sebagai sebuah parti Islam, dalam bahasa sistem demokrasi negara, atau sebuah gerakan Islam, dalam istilah thaqafah dan politik Islam hari ini, atau sebuah jamaah muslimin dalam bahasa Baginda sallaLlahu alaihi wasallam.

Ini kerana saya beriman, melalui hujah – hujah ugama bahawa kekal berjamaah adalah wajib. Manakala syarat yang wajib ke arah menggapai kemenangan Islam yang dijanji Tuhan adalah melalui pembentukan dan penyempurnaan sebuah jamaah muslimah yag unggul yang akan menggerakkan dan menyatukan kekuatan ummah dengan pengajaran agama yang betul.

Saya dengan itu hendaklah bercakap mengenai PAS dalam bahasa yang dibenarkan oleh parti. Saya samada memperkasakan keputusan dan pendirian parti atau memberi pandangan dan teguran yang membangunkan parti dan menjulangnya.

Kewajiban mengundi PAS adalah keputusan dan pendirian parti. Saya memperkasakannya dengan mengolah dan menyusun hujjah agar lebih mudah difahami.

Andai saya gagah, saya menggagahkan parti dan jamaah. Andai saya lemah, parti dan jamaah pasti menggagahkan saya.

Jangan anda melagakan saya dengan pimpinan parti seperti nukilan anda dengan kenyataan TG Haji Abdul Hadi Awang. Anda hanya mengandai untk berhujjah. Andaian tidak meneguh atau meruntuh kebenaran. Saya jelaskan nanti.

Kemudian, fahami betul – betul, saya dengan mengatakan mengundi PAS adalah wajib, sama sekali tidak bermaksud menjadi ahli PAS adalah wajib! Mengundi PAS tidak sama dengan menyertai PAS sebagai ahli.

Jangan terkeliru di sini sehingga merosakkan makna yang saya maksudkan.

Selepas menjelaskan dahulu kekeliruan anda dalam 4 simpulan yang anda kemukakan, saya akan cuba berkomentar mengikut susun ayat komentar  anda. Semoga ini lebih menjelaskan.

I

Anda menegur balas saya di dalam 4 perkara:

1) Hujah mengundi PAS adalah wajib mengandungi keakuran bahawa demokrasi barat adalah daripada sistem politik Islam. Ini adalah ragu – ragu dengan Islam dan kesempurnaannya.

2) Hujah mengundi PAS adalah wajib adalah tersasar dan salah kerana penyertaan dalam demokrasi hanya bersifat  ijtihad dan strategi untuk memperkasa dakwah Islamiyyah.

3) Menyeru saya di sebalik bersibuk dengan mewajibkan mengundi PAS, agar menumpukan kepada seruan melarang ahli politik daripada menggadai agama dan menggunakan isu agama demi kuasa dan kemenangan dalam pilihan raya.

4) Menyeru saya berteguh pada kekuatan sendiri, bukan bersandar kepada kekuatan ayahanda Tuan Guru.

Dua yang terakhir hanyalah ajakan dan saranan, sedangkan dua yang pertama itulah hujah ke atas tulisan saya. Bagaimanapun saya berhajat menjelaskan kesemuanya juga.

Saudara Slasher,

Ya, sistem demokrasi barat hari ini adalah bukan daripada Islam. Asas kesalahan mereka ialah rakyat menjadi tuhan ke atas rakyat. Melaluinya kuasa dan hukum berlegar sesama manusia. Tiada Allah untuk menentukan dan menguat kuasakan.

Tetapi di dalam Islam ada demokrasi. Demokrasi Islam yang dihidupkan dalam pelaksanaan sistem syura. Syura adalah sistem yang menjulang kekuasaan Tuhan dan kebebasan hambaNya mengurus kehidupan dalam ruang kuasaNya.

Oleh kerana demokrasi barat turut menjadikan syura sebagai sebahagian isi sistemnya, sebahagian ulama kita menegaskan bagaimana sistem demokrasi barat adalah satu sistem jahiliyah dan bukan Islam yang paling mendekati Islam. Dalam dunia jahiliyah hari ini, tiada sistem yang lebih baik dan diterima umum berbanding demokrasi barat itu.

Apapun, kerosakan asas demokrasi barat menyebabkan Islam menolak pelaksanaannya dalam masyarakat Islam. Ia hendaklah sistem syura yang tulen sebagaimana ajaran al Rasul. 

Justeru pengasingan di antara isi yang bertepatan dengan Islam dan bertentangan adalah peduli dan concern  para ulama demi menyelamatkan umat Islam ketika dipaksa untuk hidup dalam dunia yang bukan dunianya hari ini.

Adakah menyertai demokrasi berpilihan raya bererti menumpang sistem jahiliyah untuk menegakkan Islam? Lalu, demi memperoleh kuasa dan politik, kita melonggarkan apa yan disempitkan oleh Allah?

Saya bertanya anda, di mana salahnya? Adakah menumpang, mengguna, meniru, menempel dan mengenderai sistem jahiliyah adalah salah seluruhnya?

Bagaimana komen anda jika sistem jahiliyah itu meniru Islam? Tidakkah barat bangkit dan maju kerana sumbangan pemikiran dan tamadun Islam sebelumnya, lalu sukarlah mereka memisahkan diri secara total daripada menerima tempias kesempurnaan Islam di dalam membina sistem kehidupan?

Adakah anda tersepit ( atau menyempitkan diri ) di dalam keyakinan dan iman bahawa sistem jahiliyah itu adalah haram semuanya? Sebelum anda berkata ya atau tidak, saya mudahkan anda dengan contoh terang berikut dan buatlah kesimpulan.

1) Dalam mempertahan kuasa politik dan survival kerajaan Islam Madinah, sistem pertahanan menggunakan parit telah diterima pakai oleh RasuluLlah ketika berhadapan tentangan sengit Barisan Nasional Arab jahiliyah dalam peperangan Khandak/Ahzab. Sistem pertahanan parit bukanlah daripada Islam sebelumnya dan bukan juga daripada Arab pun. Ia daripada sistem pertahanan kerajaan Majusi  penyembah api dari negara Parsi yang disarankan oleh Salman al Farisi. Tidakkah ini bererti RasuluLlah menumpang, meniru, mengguna, menempel dan mengenderai sistem ciptaan jahiliyah? 

Tidakkah ini bermaksud demi mempertahan dan memperolehi kuasa, RasuluLlah menumpang sistem jahiliyyah?

2) Semasa di Makkah, Baginda telah melarang Abu Zar al Ghifari daripada mengisytiharkan pengislamannya secara terang – terangan di Kota Makkah. Tidakkah ini satu keakuran dan ketundukan kepada sistem tirani jahiliyyah masa itu yang menolak Islam. Tidakkah ini bererti meninggalkan ajaran sendiri yang mendorong ke arah berterangan dengan Islam?

Dua contoh di atas menemukan kita dengan mudah sekali dengan kesimpulan bahawa tiada apapun dengan hal – hal jahiliyah selama mana ianya tidak bertentangan dengan Islam. Apa haramnya menggali dan berlindung dengan kekuatan parit? Apa salahnya menyembunyikan keislaman demi menyelamatkan diri dan ugama daripada belenggu kezaliman dan kejahatan?

Apa salahnya memilih pemimpin sendiri? Apa salahnya mengundi bermai – ramai bersama bukan Islam juga untuk memilih pemimpin yang terbaik untuk memimpin negara? Apa salahnya menyeru supaya dipilih pemimpin yang cintakan Islam? Apa salahnya menyeru agar dinyahkan pemimpin yang jahat – jahat ( macam Chua Soi Lek, Samy Vellu, Nazri Aziz dan Rafidah Aziz selepas Pak Lah ) dengan tidak mengundi mereka?

Inilah isi pilihan raya yang berjalan walaupun penuh ketempangan dan pencabulan. Adakah dengan menerima sistem sebegini bererti kita telah menerima demokrasi barat sepenuhnya, lalu melayakkan kita untuk menerima kutukan kerana akur dengan ketidak sempurnaan Islam?

Adakah dengan semata – mata berurusan dengan bank adalah keakuran dengan sistem ribawi yang menjadi inti keharaman sistem kewangan konvensional hari ini, sedangkan urusan kita itu tidaklah melibatkan riba?

Slasher,

1) Kita hidup dalam sistem jahiliyah secara terpaksa. Maka kita terpaksa bermain dan berurusan dengan sistem ini, bukan menolaknya lalu kita hidup tergantung – gantung dan terumbang – ambing tanpa sumbangan untuk membaiki atau mengubahnya.

RasuluLlah dalam hari – hari awal dakwahnya terpaksa hidup dalam sistem Abu Jahal dan jahiliyahnya. Baginda terpaksa bermain dan berurusan dengan sistem ini demi melayakkan dakwahnya berada di tengah – tengah medan. Kerana begitu liat menyelit dan amat tenang meriak dan mengalir dalam kesukaran itulah, jahiliyah menjadi rimas dan gusar sekali dengan kekuatan Islam.

Anda tidak boleh berterangan dalam politik tanpa parti politik. Ambil saja nasib Al Arqam. Ia damai lama sekali sehinggalah urusan politik dicampuri. Kerajaan bertindak dan Al Arqam tersungkur semudahnya. Bayangkan jika mereka adalah parti politik. Tentunya lebih sukar musuh menjamah.

Berpolitik tanpa parti politik di Malaysia adalah membunuh diri. Berpolitik melalui parti politik adalah serangan yang mampu membunuh.

Kita menyerang dan menang di Kelantan dan mereka pula menyerang dan menang di Terengganu.

Sekali lagi, apabila menggali parit sebagai strategi diputuskan, kewajiban menggali parit adalah pasti, walaupun ia strategi ciptaan tamadun jahiliyah Majusi.

Apa bezanya dengan kewajiban mengundi demi mempertahankan Islam? Tidakkah ia seperti khandak/parit?

Mungkin persekitaran perbalahan perihal keabsahan bergerak dalam sistem demokrasi barat hari ini adalah lebih luas. Saya tidak bermaksud melangsaikannya seluruhnya. Ia sekadar menjawab sebuah komen yang menjengah.

2)  Anda mempertikaikan hukuman wajib mengundi yang saya hujahkan dengan alasan itu adalah ijtihad. Ia bukan lahir daripada nas qat’ie ( begitu?). Kemudian ia adalah sekadar strategi untuk memperkasa dakwah Islam.

Saya mengomel untuk anda, bukan mengaum, daripada ilmu mana lahir bingkasan hujah sebegini?

Adakah dengan sebab ianya satu ijtihad, maka tiadalah hukum wajib dikenakan? Maknanya, setinggi – tinggi ijtihad hukumnya sunat, kemudian harus, kemudian makruh. Selepas itu ijtihad tidak boleh mengenakan hukum haram. Wajib dan haram tiada dalam ijtihad.

Sekali lagi ‘ana bertanya ente’, ilmu mana?!

Saya mudahkan dengan contoh. Jika begitu, salahlah Imam asy Syafi’ie mewajibkan bacaan al Fatihah ke atas semua pendiri solat sebab itu adalah hanya satu ijtihad yang dicanggah sama sekali dalam mazhab Hanafi.

Maksud saya, anda harus belajar apa itu ijtihad, antara keluasan dan kesempitannya. Saya malas mengulas panjang.    

Kemudian, adakah dengan sebab ianya satu strategi, maka ianya tidak boleh menjadi wajib?

Hah, ini lagi ‘anjaib’! Jika begitu tak payahlah pemain bola ikut arahan coach sebab itu hanyalah strategi. Yang wajib hanyalah ikut arahan referi. Ayuh, kita lawan bola jika begitu.

Jika begitu, tak wajiblah gali parit. Itu hanya strategi memperkasa dakwah. Entah, saya pun keliru dengan arah anda. Laluan apa yang anda pilih ini untuk berhujah?

Slasher,

Anda sepatutnya menghujah balas dengan menolak keutuhan hujah – hujah saya itu. Daripada hujah – hujah itulah saya memperoleh hukum wajib. Daripada hujah – hujahlah, bacaan al Fatihah menjadi wajib ke atas makmum. Daripada hujah – hujahlah, bacaan al Fatihah tidak wajib ke atas makmum. Masing – masing berijtihad. Yang memilih wajib, maka wajiblah. Yang memilih sebaliknya, sebaliknyalah.

Adakah apabila PAS berpendirian mengundi PAS adalah wajib, maka wajiblah diterima?

Saya berkata ya, sehinggalah anda mampu mendatangkan dalil dan hujah yang menggoyangkan dan melemahkan hujah saya itu. Ini ijtihad ulama PAS dan mereka memberi hujahnya. Sebahagian besarnya adalah apa yang saya tuliskan.

Yang tiada pada penghujahan saya ialah bagaimana saya membawa dan menggunakan nas – nas dan kaedah – kaedah fiqhiyyah yang menghasilkan hukum. Saya semasa menulis, sekadar berniat untuk meringkaskannya sebagai bacaan umum yang bertujuan memudahkan, bukan mendetailkan. Sementelahan, tulisan saya itu bertujuan menyatakan sebab utama PAS terus hidup di sebalik tumbangnya satu – persatu parti politik Melayu pembangkang. 

Ini hukum ijtihad berdasarkan dalil di hadapan. Ia berhak ditolak, tetapi dengan dalil jua, bukan kerana ianya hanyalah satu ijtihad, seperti yang anda dakwa dan selekehkan penghujahan saya. Andalah yang selekeh dalam berhujah, Slasher.

1) Hujahkan bahawa menyertai pilihan raya di Malaysia adalah tidak wajib. Atau, 

2) Buktikan bahawa selain PAS, ada lagi parti politik yang bercita – cita menegakkan ketuanan Islam. Atau,

3) Buktikan bahawa PAS bukanlah memperjuangkan Islam yang syumul. Atau,

4) Buktikan UMNO yang sekular masih berhak memimpin dan tak wajib ditolak dalam pilihan raya.

5) Buktikan PAS hilang kelayakan memimpin dan menyatukan umat Islam di Malaysia.

6) Buktikan paksaan dan tekanan yang diterima yang memaksa untuk tidak mengundi PAS.

7) Buktikan PAS gagal sekali ( bukan sekadar tidak sempurna ) dan menipu di Kelantan.

Buktikan. Di situ tiada cacat dan tiada celanya anda menolak hujah saya, seterusnya duduklah di rumah dan biarkan rakyat bukan Islam memilih untuk menentukan pemimpin mereka dan pemimpin kita juga. Kita serahkan pada mereka urusan kita!

Berceramahlah. Mengajarlah. Menulislah. Berpesanlah. Keluarlah. Berekonomilah. Berkebajikanlah. Berbuatlah untuk Islam. Kemudian tunggulah pemerintahan Islam menjelma dengan pertolongan Allah.

Jahiliyahkan pilihan raya dan demokrasi. Sucikan akidah dengan kesempurnaan Islam tanpa perlu menumpang al hikmah dari dunia musuh. Kita sudah ada agama yang sempurna.

Hujahkan begitu dan tinggalkan hujah saya. Semoga anda diberkati Allah.

 3)  Saya lihat, apabila anda mengajak saya untuk lebih menumpukan kepada pembersihan dalaman PAS yang anda sifatkan dikotori dengan kempen – kempen politik yang mempergunakan ugama demi kuasa dan politik, maka anda samada begitu membenci dunia politik dan kuasa atau anda begitu pesimis dengan pemimpin – pemimpin PAS yang berdegar – degar suara mereka dengan jeritan Islam dan keadilan pemerintahan. Anda melihat kegagalan dan menafikan keikhlasan mereka.

Anda memohon saya lebih menumpukan dakwah saya ke situ, bukan asyik memaksa orang mengundi PAS dengan hukum WAJIB.

Saya harap itulah telahan saya yang adil terhadap anda.

Slasher,

Jika anda membenci politik dan kuasa dan anda tidak berminat bergelumang dengannya, maka ketahuilah bahawa orang yang paling berminat dengan politik dan kuasa dan bergelumang dengannya di antara kita adalah RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam dan para nabi ulul azmi. Merekalah qudwah teragung PAS.

Untuk anda, carilah qudwah anda. Anda sama sekali tidak menemuinya daripada mereka. Hujahkan kepada saya jika anda menemuinya. Ini jika anda membosani dunia politik yang kotor itu.

Jika pula anda sebaliknya membenci dan pesimis sekali dengan pemimpin – pemimpin PAS yang anda sifatkan gagal dan tidak menunaikan amanah itu, maka ketahuilah bahawa anda menghukum PAS pada tempat yang tersasar, atau anda sebenarnya menzalimi PAS dengan penghakiman itu.

Anda seperti menolak seorang ulama kerana anda melihat dia pernah memarahi muridnya dengan bahasa celupar, atau memarahi isterinya di khalayak, atau melihatnya makan dan minum berdiri, atau melihatnya ketawa berdekah – dekah sehingga nampak pangkal kerongkongnya, atau anda melihatnya tidak khusyu’ dalam  solatnya.

Anda menolaknya sebagai seorang ulama kerana keburukan akhlaknya, di sebalik keluasan ilmunya. Adakah anda untung sekali dengan  hukuman itu?

Begitulah PAS. Ia ibarat satu tubuh. Di sebalik kecacatannya dalam akhlak oleh segelintir ( atau katalah sebahagian ) pendukungnya, ia adalah sebuah jamaah yang sejahtera pada akidahnya, teguh pada iltizamnya, betul pada ibadahnya dan yakin pada janji Tuhannya. 

Anda tidak akan mampu sampai kiamat menyaksikan kesempurnaan diri atau jamaah. Ia adalah peningkatan ilmu, iman dan amal sampai mati. Mati itulah tahap kesempurnaannya.

Kesempurnaan adalah pada ar Rasul. Selepasnya adalah perlumbaan menuju kesempurnaan yang disudahkan dengan kematian.

Selagi akidah adalah betul dan amal adalah berterusan, di situlah kesempurnaan yang dicari. 

Maksud saya, anda tidak boleh menolak PAS atau pesimis dengannya atas sebab – sebab akhlak.

Mengapa anda tidak boleh bergembira dengan pemimpin – pemimpin PAS yang lain yang berakhlak, berilmu dan berjuang dengan penuh istiqamah. Adakah mereka masih gagal menceriakan hati anda?

Sempurnanya cita rasa anda, Slasher. Sukar sekali mendapat markah anda sedang saya dan anda mengharapkan markah yang murah – murah daripada Allah.

4) Adapun seruan anda agar saya berteguh pada kekuatan sendiri dan tidak bersandar pada ayahanda, saya dalam terima kasih sekadar bertanya, bagaimana caranya?

Adakah anda meminta saya keluar daripada jawatan -jawatan saya dalam PAS? Atau Ketua Whip Ahli Majlis MPKB-BRI? Atau pengetua Maahad Tahfiz Nikmatillah? Atau menukilkan kata – kata ayahanda saya semasa berceramah? Atau memperolehi habuan kewangan daripadanya?

Adakah anda melihat saya sedang mencanak di serambi kenamaan kerana ayahanda saya?

Slasher,

Demi tuhan, sayalah yang tidak ceria ayahanda terus memegang jawatan MB. Jika tidak kerana keyakinannya bahawa jawatan itu masih tetap amanah yang terbeban ke atasnya, pasti dia menerima pandangan saya untuk berhenti daripada jadi MB Kelantan.

Demi tuhan, sayalah yang sedang merayu – rayu kepadanya agar tidak mencalonkan saya dalam pilihan raya selepas beliau tampak bersetuju dengan pandangan sebahagian sahabat yang mencadangkan saya bertanding.

Demi tuhan, sayalah yang paling tidak selesa untuk menjadi Ketua Whip MPKB-BRI. Kalaulah tidak salah untuk ditolak, saya pasti menolaknya.

Demi tuhan, sayalah yang paling keliru dan malu untuk menggantikan ayahanda berkuliah perdana di pagi Jumaat di pejabat PAS.

Beritahu saya bagaimana caranya lagi? Jika ianya bermanfaat untuk menjernihkan hati anda dan hati – hati mereka yang keliru dengan saya.

Sebenarnya, dengan permintaan anda itu, saya jadi membenci diri saya sendiri. 

II

1) Anda kata, saya hairan dikaitkan Islam dengan hal – hal yang tiada kaitan dengan ugama. Saya tanya, apakah hal – hal yang tiada kaitan dengan ugama? Setahu saya semuanya berkaitan dengan ugama. Babi, anjing, tahi, Firaun, Namrud, nyamuk, saya, anda, ayahanda, Pak Lah dan semuanya ada kaitan dengan ugama.

2) Ya, kita terpaksa bermain bola sepak di padang ragbi dan dengan bola ragbi. Itu saja pilihan. Jika tidak, kita kalah percuma kerana tak main atau langsung tak layak kerana menolak sistem bahlol itu. Pilihan anda? Tunggu mereka tukar ke padang bola?

3) Terima kasih kerana membawa Ikhwan Muslimin dalam berhujah. Sejuk hati saya. Begini, anda tahu ijtihad dan fatwa berubah mengikut masa, tempat, uruf, tambahan ilmu dan lagi? Jika begitu, tidakkah anda tahu keadaan politik di sana? Ia tak samakan? Ringkasnya, anda kena tahu bahawa ijtihad Ikhwan dalam berpilihan raya adalah boleh berbeza dengan ijtihad ulama PAS. Inilah ijtihad!

4) Anda berkata, apa beza aktiviti agama kawasan wakil rakyat yang dimenangi PAS berbanding UMNO? Saya kata sama saja. Apa perlu kita membezakan sebab kita telah menang di Kelantan, bukan kawasan – kawasan tertentu. Yang anda lihat itulah yang PAS buat. Jika anda tak puas hati, itu hak anda. Jika anda kata, tiada beza di antara aktiviti PAS dan UMNO, saya kata anda buta! Sekali lagi, anda buta dan semoga Allah mencelikkan anda.

5) Pasal anak pemimpin PAS dapat makan gaji dalam kerajaan sedangkan mereka bukanlah yang terbaik, saya kata, adakah salah dan haram anak pemimpin PAS/wakil rakyat makan gaji kerajaan? Dari mana anda dapat hukum ini? Semasa pemerintahan Sayyidina ‘Uthman radiaLlahu anhu, tidakkah jelas bagaimana beliau memanfaatkan ketulusan ahli keluarganya berkhidmat untuk beliau. Kalau salah, ah, salahlah sunnah khulafa’ rasyidin tersebut. Kemudian, andaian bahawa mereka bukanlah yang terbaik, itu terlalu relatifkan? Adakah penjawat awam hari ini terbaik pada tempat masing – masing? Tidakkan?

Saya tidak membela semberono. Berbahaslah dengan hukum yang jelas, bukan andaian yang menggadai ugama dan maruah diri. Jangan menzalimi mereka dengan kemarahan sebegitu. Tiada pahalanya berbuat begitu.

Tanya ayahanda jika anda mahu, mengapa ayahanda terus cekal bertahan menempatkan menantunya di kerusi panas di Perbadanan Menteri Besar? Adakah dia berkeras kerana sayangkan menantu tanpa pedulikan hukum hakam? 

6) Anda murka sekali apabila saya mengumpamakan kasih sayang ayahanda kepada Roshaimi, anak Abang Jak ( Razak Abas ) seumpama sayangnya RasuluLlah pada Usamah, anak Zaid radiaLlahu anhuma sehingga meminta saya bersedia menjawab di hadapan Allah kerana menyamakan cinta nabi terhadap dua beranak itu dengan cinta ayahanda terhadap ‘tauke’ balak anak beranak itu. Anda mempertikai jasa mereka untuk Islam. Anda meminta saya membaca buku sirah. ( Untuk pengetahuan bersama, saudara Slasher merujuk kepada tulisan saya dalam blog ‘kelate’ lain untuk mengkritik kredibiliti tulisan saya di sini )

Slasher,

Ya, RasuluLlah menyayangi Usamah sekurang – kurangnya kerana dua perkara. Pertama, kehebatan Usamah sendiri. Kedua, Usamah itu anak Zaid, maula kesayangannya juga. Anda membaca ini, Slasher?

Anda tahu bagaimana sayangnya RasuluLlah kepada sahabat handai Siti Khatijah radiaLlahu anha? Kerana sayangnya baginda pada Khadijahkan? Anda tahu bagaimana sayangnya Baginda pada Aisyah radiaLlahu anhakan? Kerana dia anak sahabat agungnyakan, selain dia adalah isterinya?

Anda belajarkah bab ‘attasybih’? Bahawa sudah cukup tasybih itu berlaku jika musyabbah itu memiliki satu sifat musyabbah bihi, tak perlu semuanya? Kemudian, bila pula ada larangan kita membuat tasybih dengan ar Rasul? Tidakkah kita mendoakan cintaNya kepada kita sebagaimana cintaNya kepada Baginda?

Saya kira anda tak belajar, lalu anda menyondol macam babi hutan yang menerkam saya tanpa ilmu, mempersoal jasa orang pada Islam, mempersoal halal haram rezeki orang dan mempersoal keikhlasan orang. Anda rasa seronok sangatkah berbuat begitu?  

Dari awal sehingga akhir, komen anda didominasi kejahilan dalam berhujah. Apalah nak saya kata selain meminta anda terus belajar. Saya bersama anda belajar dan belajar.

      

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Januari 2008
I S R K J S A
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa