You are currently browsing the daily archive for Januari 21, 2008.

Salam Kamunting,

Baginda adalah al Rasul, Muhammad sallaLlahu alaihi wa sallam, utusan Allah sebagai rahmat ke atas sekelian alam.

Mari bersama saya, saya tuliskan untuk anda perihal peribadi seorang insan yang telah pun kita pilih seawal kita menyemat simpulan akidah di benak sanubari sebagai tempah tumpah segala rasa cinta dan sayang, rasa kagum dan hebat, serta rasa mulia dan megah daripada kita ke atasnya.

Mari bersama saya, kita hangatkan rasa maksyuk kita itu pada menjejak sirahnya yang agung yang berkilauan bagai satu jalur lurus yang putih bercahaya di malam yang serba kelam dan gelita.

Ia adalah jalan lurus yang dilengkapi batu – batu tanda yang meransang kekuatan dan menyemat keyakinan setiap musafir di perjalanan. Berhentilah di situ buat membina kekuatan dan memahat keyakinan.

Adakah anda ingin bertanya, mengapa jalan baginda sehebat itu? Ketahuilah, kerana ia adalah jalan turapan Allah. Dialah Sang Pencipta langit dan bumi yang menyudahkan kesempurnaan ciptaanNya itu dengan turapan istimewa jalan yang menjadi jejak bertapak sirah utusanNya yang dipilihNya itu.

Adakah anda yakin untuk menemui jejak perjalanan seorang insan, atau sejumlah insan di bumi ini yang sempurna dan hebat sesempurna dan sehebat jejak perjalanan insan pilihan Allah ini? Tiada bukan!?

Ketahuilah, sirah yang terhidang ini adalah untuk kita. Apabila kita berjalan dan kalanya kita singgah untuk berehat dan berteduh di batu – batu tanda di sepanjang jalannya, kita pasti sampai ke destinasi. Perjalanan kita di dunia ini menjadi penuh bermakna. Di situ kita menemui makna kehidupan sebenar.

Hijratur Rasul adalah batu tanda terbesar. Ia berada di tengah – tengah. Ia berada di puncak sebuah perjalanan hidup, lalu ia menyinari dan mengukur seluruh perjalanan yang telah dan bakal ditempuh yang akhirnya menukar segala persepsi dan tanggapan menjadi sebuah keyakinan dan harapan yang memuncak.

Hijrah adalah bagai pencahayaan sebuah fajar pagi yang memecah kelam perjalanan awal malam yang keras dan menakutkan. Hijrah adalah kemenangan sebelum kemenangan. Tiadalah sejenak di fajar selain sekadar menanti kehadiran sinar mentari kemenangan.

Hijrah membelah al Quran. Allah membelahnya kepada Makkiyyah dan Madaniyyah. Hijrah membelah para sahabat. Allah membelahnya kepada Muhajirin dan Ansar. Hijrah membelah keadaan. Allah membelahnya di antara kesempitan dan keluasan. Hijrah membelah dakwah. Allah membelahnya antara  arahan bersenjatakan kesabaran di medan mujahadah sebelumnya dan bersenjatakan pedang di medan jihad selepasnya.

Hijrah itu membina masjid. Ia membina persaudaraan. Ia membina kesatuan. Ia membina pangkalan dakwah. Ia membina kekuatan dan keberanian. Ia membina kebebasan. Ia membina kekuasaan dan pemerintahan. Ia membina sistem kehidupan. Ia membina sebuah negara Islam.  

Perhatikan bagaimana hijrah bertindak menyempurnakan Islam yang bagai tertangguh di kota Makkah berbelas tahun. Walaupun ia tertangguh melalui hikmatNya yang Maha Bijaksana, ia perlu berakhir dengan kesempurnaan. Hijrah itulah pintu ke arah penyempurnaan sebuah agama keridhaanNya.

Islam boleh sempurna di Mekah. Allah berkuasa. Tetapi Dia memilih menyempurnakannya selepas gerbang hijrah dilintasi oleh al Rasul dan seluruh sahabatnya yang setia.

Tidakkah belahan antara surah – surah Makkiyyah dan Madaniyyah itu telah menyemarakkan kejelasan para ulama di dalam memahami isi al Quran dan aplikasinya di dalam hukum dan petunjuk? Tidakkah belahan antara Muhajirin dan Ansar telah membongkar kelebihan dan keistimewaan para sahabat yang sentiasa berjuang mengejar kesempurnaan akhlak dan ilmu?                                  

Tidakkah dengan bertambahnya kekuatan muslimin selepas hijrah dengan sisipan senjata kesabaran di tangan kiri dan hunusan senjata pedang di tangan kanan telah menjadikan Islam mula digeruni dan Islam mula mengacah dan mencabar? 

Sesudah terbinanya masjid, pangkalan dakwah, persaudaraan dan kesatuan Islami yang melangkau bangsa dan negara, keberanian, kekuatan, kekuasaan dan kerajaan selepas penghijrahan itu, maka sempurnalah Islam untuk dilihat secara praktikal sebagai sebuah sistem kehidupan manusiawi. Jika ianya sekadar Makkah dan tanpa hijrah, bagaimana Islam mampu dilihat sebagai sebuah sistem kehidupan?

Hijrah mesti difahami tuntutannya secara tepat. Janganlah ia dicacatkan dengan ketakutan dan keasyikan untuk terus hidup di ruang  keselesaan.

Hijrah adalah perjuangan. Dalam dunia perjuangan, barulah ia mudah difahami dan dilayani.    

Sayyidina Umar radhiaLlahu anhu adalah sahabat yang tajam sekali kefahamannya tentang hijrah. Lihatlah, keberaniaan bagaimana beliau mengambil tarikh dan peristiwa hijratur Rasul sebagai sepak mula kalendar Islami. Tahun Islam bermula pada tahun nabi berhijrah. Sebelumnya adalah tanpa kalendar Islami. Beliau bagai menyapu dan membuang 13 tahun dakwah kenabian di Makkah, bahkan lebih 50 tahun hayat baginda yang penuh suci.

Tidakkah ini keberanian yang di luar biasa? Atau tidakkah ini lahir daripada kefahaman yang hebat? Ya, beliau mahukan umat Islam memahami bahawa:

1) Hijrah adalah terlalu agung hikmahnya untuk dihayati dan diteladani.

2) Islam adalah kemenangan dan kekuatan. Begitulah hendaknya Islam di dunia ini. Selagi ia kalah, ia bukanlah Islam untuk diredhai. Ia mesti ditukar kepada kemenangan. Islam yang kalah adalah Islam yang tidak diiktiraf.

3) Hijrah adalah amalan yang berterusan. Setiap hari di sisi Umar adalah hijriyyah. Setiap hari adalah ajakan untuk beranjak. Meninggalkan maksiat dan murka tuhan dan terus menangga kepada kelebihan dan kemuliaan.

Hari ini, dunia Islam menyambut awal Muharram dengan menghayati peristiwa hijrah. Mereka memuji Sayydina Umar tetapi mereka tidak memahami Sayyidina Umar. Mereka memuji RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam dan memujanya, tetapi mereka tidak memahami RasuluLlah.

Umat Islam sedar mereka kalah dan dalam kehinaan hari ini. Tetapi mereka meredhai kekalahan dengan meredhai kehidupan dalam kekalahan tanpa rasa tanggung jawab untuk berubah dan berhijrah. Apabila mereka mengingati hijrah, mereka sekadar mengingati sejarah, bukan meneladani hijrah.

Itulah umat Islam hari ini.

Jika kita ingin mereka berubah, kitalah yang harus menjadi umat hijrah. Kita memulakan. Setiap hari adalah hijriyyah. Setiap hari adalah hijrah. Itulah pesan Umar al Faruq.

   

email saya

nikabduh@pas.org.my

taqwim hijri

Januari 2008
I S R K J S A
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Top Clicks

  • Tiada
nuffnang_bid = "c431ebbac3805eca201f54b84f1026e1";

pengunjung semasa