Salam Kamunting,

Tanggal 1 Muharram 1429 Hijriah bersamaan 10 Januari 2008 adalah hari yang akan kekal memahat sejarah yang menjadi kebanggaan kepada umat Islam di Kelantan, khususnya ahli – ahli PAS Kawasan Pengkalan Chepa.

Tarikh keramat awal Muharram yang dimuliakan Allah itu telah menjadi saksi kepada sempurnanya usaha lebih 10 tahun PAS Pengkalan Chepa untuk memiliki bangunan sendiri sebagai pusat operasinya yang pastinya akan memacu usaha  dakwah mengajak umat Islam kembali hidup bernaung di bawah pemerintahan Islam yang berdaulat di muka bumi.  

Paling menarik dan membanggakan, bangunan 4 tingkat Kompleks Purnama milik PAS Pengkalan Chepa itu telah dengan jayanya disempurnakan perasmiannya oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

Kesudian Baginda YTM mencemar duli untuk merasmikan kompleks yang akan menempatkan lot – lot kedai dan pusat khidmat rakyat di tingkat bawahnya, serta rumah tetamu, dewan serba guna dan pejabat pentadbiran di bahagian atas itu pastinya telah menambahkan inspirasi dan semangat yang tinggi para pendakwah di jalan Allah untuk meningkatkan usaha menyebarkan kefahaman Islam yang benar dan melaksanakan program – program kebajikan kepada masyarakat setempat.

Ia adalah pengiktirafan paling hebat terhadap usaha dakwah yang ditunggu – tunggu, diimpi – impikankan dan diharapkan tuahnya oleh seluruh umat Islam Kelantan daripada istana pemerintahan yang menjadi payung agama Islam  dan kebanggaan rakyat.

Daulat Tuanku.

Ilham pembinaan bangunan Kompleks Purnama ini sebenarnya telah mula dicetuskan oleh al Marhum YB Hj Abdullah bin Hj Arsyad ( ayahanda kepada YB Ustaz Hj Mohd Amar, YDP PAS Pengkalan Chepa ) pada awal 90an yang saat itu beliau adalah YDP PAS Kawasan Pengkalan Chepa. Ia bermula selepas itu dengan pelancaran skim jualan lot – lot tanah waqaf oleh YAB ayahanda Tuan Guru Dato Menteri Besar Kelantan melalui pembelian sebidang tanah milik PKINK di Jalan Pengkalan Chepa ( berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ) yang bernilai RM 70 ribu.  

Selepas bertahun – tahun sumbangan derma diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat daripada kalangan umat Islam dan bukan Islam juga , akhirnya pembinaan bangunan dimulakan dengan mengadakan majlis pecah tanah yang juga telah disempurnakan oleh YAB ayahanda Tuan Guru Dato Menteri Besar Kelantan pada tahun 2001. Pembinaan hanya bermula pada tahun 2005 selepas tertangguh agak lama kerana memberi laluan kepada pembinaan bangunan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan ( PUTIK ) yang juga terletak di Kawasan Pengkalan Chepa.

Semoga Allah memberkati segala usaha murni umat Islam yang telah berusaha bersungguh – sungguh dengan menyumbang segala yang terdaya untuk menyiapkan bangunan Kompleks Purnama yang merupakan yang tercantik daripada kalangannya.

Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa kini memiliki ruang pejabatnya sendiri. Lebih luas, lebih ceria, cantik dan bergaya sekali. Ah, seronoknya!

Terima kasih umat Islam. 

Ayuh, membangun bersama Islam! Allahu Akbar wa liLlahil hamd.

( Untuk gambar – gambar sempena perasmian, sila klik di sini. )