Salam Kamunting,

Saya telah selesai melakukan intisari terhadap bab pertama daripada buku asy Syaikh Doktor Yusuf al Qaradhawi, Agama dan Politik ( ad din wa as siasah ) yang saya bahagikan kepada 7 siri. Saya melakukannya berdikit – dikit hasil pembacaan dan ruang masa lapang saya itu selama 5 bulan juga lamanya.

Walaupun kadang – kadang agak sukar juga untuk memilih isi – isi yang terpenting daripada buku yang penuh berisi itu, ianya tetap memberikan keseronokan tersendiri kepada saya. Ia menjadi kejap di ingatan saya dan semakin padu kefahaman saya mengenai politik. 

Bab pertama daripada 5 bab itu adalah berkisar pengenalan terhadap makna agama dan politik di sisi ulama dan cendekiawan, muslim dan bukan muslim. Penyelongkaran terhadap penggunaan istilah ugama, juga politik khususnya oleh ulama terdahulu telah mencetus rasa kesegaran tersendiri di dalam usaha penggiat politik untuk memahami dengan tekun apa yang termakna di dalam medan siasah cara Islam yang diistilahkan sebagai as siasah asy syar’ieyyah ( politik syara’/Islam ). 

Inilah permulaan yang diperlukan oleh setiap kita sebagai muslim yang dibebankan dengan tugas khilafah oleh Sang Pencipta yang mahukan kita mentadbir dunia ini mengikut kehendakNya dan melarang kita membiarkan musuhNya yang menderhaka untuk terus bermaharaja lela merosakkan dunia ini dengan hukum – hakam thaghut dan jahiliyah.

Apa yang menarik adalah kejelasan maksud politik di sisi ulama lampau yang memperjelaskan maksud sebenar daripada sejarah RasuluLLah dan para khulafa’ selepasnya. Politik adalah usaha dan tindakan yang dengannya manusia menjadi dekat kepada kebaikan dan jauh daripada kejahatan. Manusia sentiasa berselisih sesama sendiri demi merebut kebaikan. Perselisihan mencetus penghakiman. Penghakiman yang memberi kebaikan adalah Islam walaupun daripada mana datangnya. Penghakiman yang baik itu pula sukar sekali diperolehi kerana kekurangan semula jadi manusia untuk mengenal kebaikan yang menyeluruh kecuali apabila ia merujuk kepada tuhannya.

Di sinilah datang politik Islam memurnikan medan politik yang penuh kekacauan. Politik adalah ruang dan medan yang tak pernah kosong. Ia sentiasa penuh bahkan bersesakan dengan para pendekarnya. Semuanya karut kecuali pendekar Islam yang bersumberkan politik cara Islam.

Ertinya, hendaklah setiap kita memahami politik dan menjadi penekunnya, bukan sekadar pemerhati dan penonton. Politik membekalkan sejuta kebaikan dan keadilan kepada kehidupan manusia seluruhnya. Islam adalah ugama kebaikan dan keadilan.

Anda juga, melalui nukilan hadis al Rasul, athar dan kata – kata para sahabat, juga tulisan ulama lampau yang dipilih oleh Dr Yusuf al Qaradhawi akan mendapati betapa dekatnya perihal politik dan kehidupan dalam kotak pemikiran dan medan kerja mereka. Anda tak akan merasa terasing dan sendirian lagi di medan politik. Susah senang di medan penuh fitnah ini adalah juga susah senang yang telah lama mereka lalui dengan jayanya. Kita hanyalah penjejak jejak salaf.

Saya menyarankan pembaca yang budiman untuk tidak ketinggalan mengikuti siri – siri seterusnya. Sampai masanya asy Syaikh Doktor Yusuf akan menyapa kewujudan parti – parti politik Islam di seluruh dunia Islam hari ini, termasuk sebutannya mengenai kewujudan parti Islam di tanah air kita, Malaysia. Ia adalah satu hak umat Islam, katanya.

Seperti harapan yang saya sebut di awal usaha ini dulu, siri – siri ini adalah menjadi nilai tambah untuk blog saya ini. Saya harap kekurangan saya dibaiki dan disejukkan dengan isi – isi bernas yang dipetik daripada buku asy Syaikh tersebut.

Untuk bermula dari awal, sila klik kategori ‘buku’. Selamat membaca. Tiada rugi pada mengulangnya.