Bahagian keempat 

5 ) Pas menerima sokongan terbesar umat Islam untuk memimpin dan menyatukan umat Islam yang berpecah belah.

Setelah Umno dipinggirkan secara hukum dan praktikal daripada menjadi harapan kepada cita – cita umat Islam untuk kembali kepada Islam, maka tiada lagi harapan dan pergantungan yang didambakan untuk kepimpinan, penyatuan dan kemenangan Islam selain parti Pas.

Pas telah memperolehi mandat yang ketara dengan sokongan dan dukungan, samada secara terang – terang atau sembunyi daripada umat Islam seluruh negara. Anda boleh membayangkan kenyataan ini dengan mengandaikan penyertaan semua gerakan Islam dan pertubuhan Islam sedia ada hari ini dalam pilihan raya, apakah sokongan yang mereka terima dari seluruh negara akan mengalahkan sokongan umat Islam terhadap Pas? Secara teori dan logiknya, tidak.

Ini tidak bermaksud menafikan peranan seluruh gerakan Islam lain dalam mendaulatkan Islam di dalam negara melalui medan masing – masing, tetapi ia membayangkan betapa rugi dan salahnya meminggirkan Pas sebagai gerakan utama yang berhak untuk mendapat sokongan seluruh gerakan dan umat Islam semua untuk memimpin ke arah penyatuan dan kemenangan Islam secara bersama.

Bergerak dalam gerakan Islam lain tidak bererti tidak boleh mengundi Pas atau menafikan hak mereka dalam amal Islami. Dengan persetujuan bersama bahawa penyatuan tidak mungkin berlaku tanpa kepimpinan yang kuat dan bersedia, maka tiada sebab untuk masih lagi menafikan peranan besar yang telah dimainkan oleh Pas dalam memimpin dan menyatukan umat Islam di Malaysia.

Justeru mengundi Pas yang telah membuktikan kekuatan dan wibawanya di persada umat adalah kewajiban ugama demi memudahkan proses penyatuan umat Islam. Jika tidak, jalan kea rah kesatuan akan bertambah buntu dengan percakaran sesama sendiri merebut ketuanan. Ia adalah salah dan tercela sekali.

6 )  Tiada tekanan dan paksaan untuk tidak mengundi Pas.

Menyeru kepada perkara makruf dan melarang daripada perkara yang mungkar adalah fardhu ain ke atas setiap umat Islam. Setiap muslim diarah untuk membina dan menjaga diri sendiri, ahli keluarga dan orang lain dengan pengajaran ugama. Itu adalah perkara besar yang difahami mudah dalam ugama Islam. Berani adalah iman manakala lemah dan takut adalah selemah – lemah iman.

Setiap kita di arah menggunakan tangan dan kekuatan diri untuk mencegah mungkar. Jika tidak mampu, gunakan lidah untuk mencegah dan menasihat. Jika tidak mampu dan ketakutan atau halangan tak terpikul, cegahlah dengan hati sendiri dengan kebencian dan tidak ridha. Itulah selemah – lemah iman. Walaupun sekadar bicara hati yang bisu, Allah masih menerima amalan orang Islam yang diselubungi ketakutan dan kelemahan kerana itu sifat semula jadi yang tidak mungkin dihilangkan sepenuhnya.

Wujudkah tekanan, paksaan dan ugutan dalam memberi undi?  Secara dasar dan teorinya tidak. Pilihan raya dan mengundi adalah tunjang sistem demokrasi. Kerajaan menyeru dan menggalakkan rakyatnya keluar mengundi dalam setiap pilihan raya. Peratusan keluar yang tinggi adalah lambang kejayaan sesebuah negara demokrasi. 

Undi adalah sulit. Sesiapa yang mengundi, hanya dia dan malaikat yang mengetahuinya selepas Allah. Segala kesusahan dan ketakutan dileraikan semasa di meja memangkah undi. Tiada pengawal yang memerhati, tiada kamera yang disuakan dan tiada tanda – tanda yang meragukan.

Justeru memilih dan mengundi perkara yang telah jelas wajibnya adalah wajib. Apatah lawannya adalah perkara mungkar. Pas wajib diundi manakala Umno wajib ditolak atas hujah – hujah yang telah disebutkan di atas.

Oleh kerana tiada lagi unsur paksaan dan ugutan yang mengundang ketakutan dan kelemahan, maka tiada sebab untuk meletakkan hukum tidak mengundi pada tahap selemah – lemah iman, bahkan tidak mengundi adalah tiada iman atau sememangnya ridha dengan kemungkaran yang ada. Itulah seburuk – buruk perbuatan.     

Oleh kerana tahap demokrasi dan pilihan raya di negara kita masih tempang dan penuh jenayah, hukum mungkin berubah jika wujud ketakutan dan paksaan seperti kes pengundian pos yang masih diamalkan sehingga kini.

7 )  Pas terbukti benar di dalam melaksanakan janji dan cita – citanya di Kelantan.  

Ini hujjah praktikal. Iman adalah perakuan di hati dan dibenarkan oleh amal anggota tubuh. Negara Islam adalah negara yang memperaku Islam sebagai perlembagaan negara dan dilaksanakan pengajarannya dalam kehidupan.  Inilah iman dan inilah pembezanya daripada nifaq dan munafikin.

Umno, walaupun kadang – kadang terpacul di mulut untuk melaksanakan Islam, bahkan turut mendakwa Malaysia sebagai sebuah negara Islam, tetapi sedikit keinsafan dan secalit taqwa sudah cukup untuk menolak dakwaan tersebut dengan sebab kerosakan, kezaliman dan pembohongan yang nyata dan terbuka yang dilakukan oleh para penguasa negara yang Umnolah penerajunya. Bahkan menerima cara hidup penuh celaru dalam negara hari ini sebagai Islami adalah penghinaan terhadap ajaran nabi Muhammad sallaLahu alaihi wasallam.

Pas adalah parti pembangkang. Ia selalu dihujjah ke tepi sebagai hanya beromongan dan pandai cakap sahaja. Cakap senang, suruh buat tahulah susahnya!! Itu hujah Umno yang sungguh laku suatu masa dulu.

Allah menginginkan kebaikan berterusan untuk Pas. Kini Pas memerintah negeri Kelantan dalam ruang kuasa terhad sebuah negeri dalam komponen persekutuan Malaysia. Pas juga pernah menguasai negeri Terengganu. Jika benar hujjah Umno di atas, maka inilah tali gantung buat Pas! Umno berhak membuktikan Pas hanya pandai beromongan dan cakap kosong.

Tetapi mampukah Umno membuktikan? Atau senjata dah makan tuan? Atau ludahan jatuh ke muka sendiri?

Tanpa pengenalan, apatah kupasan, jika anda masih ragu – ragu betapa Pas sudah membenarkan perakuan imannya dengan praktikal pelaksanaan Islam di Kelantan, cukuplah warga bukan Islam di Kelantan, bahkan di luar juga yang dibimbangi sangat ketakutan mereka jika Islam dilaksanakan di negara bermasyarakat  majmuk ini menjadi saksi buat anda atas apa yang Pas laksanakan di Kelantan.

Ribuan masyarakat Cina dan India bersedia menjadi saksi bahawa mereka mengenal keadilan Islam melalui kerajaan Pas yang memerintah Kelantan dan mereka cukup sedia untuk menerima Islam sebagai sistem politik yang menyusun kehidupan bersama.

Jika begitu, bayangkan pula penerimaan masyarakat Islam sendiri. Hari ini, Umno cukup bimbang untuk dibandingkan mereka dengan Pas dalam kesungguhan dan kesediaan melaksanakan Islam. Pas terus menangga dari satu tahap ke tahap yang seterusnya ke arah kesempurnaan. 

Anda telah melihat seberkas hujjah yang menjadikan Pas sebagai sebuah parti Islam yang wajib secara syar’ie disokong, didukung dan dipilih melalui undi dalam pilihan raya negara. Pas adalah untuk kedaulatan Islam dalam arena pemerintahan Negara. Ia bersendirian di medan politik untuk kemudahan seluruh umat Islam membuat pilihan. Ia melepasi kancah perselisihan antara jamaah – jamaah Islam dalam perjuangannya di medan politik.

Saya telah membentangkan satu kesimpulan yang ampuh bagaimana Pas terus boleh hidup di tengah – tengah tekanan kuat parti pemerintah yang terus menindas parti – parti pembangkang sehingga berkubur satu persatu tanpa batu nesan yang dikesan. Ia adalah pendoktrinan satu hukum yang mewajibkan umat Islam memilih Islam sebagai cara hidup bernegara, seterusnya mewajibkan mereka memilih Pas sebagai wadah yang  mampu dan matang untuk memimpin umat Islam di negara ini.

Kewajiban terpikul ini telah melahirkan pendukung dan pejuang Islam dalam Pas yang hidup matinya adalah bersama Pas demi cita – cita suci ini. Kehadiran mereka adalah sumber utama ketahanan parti Pas di medan perjuangan. Undilah Pas untuk kedaulatan Islam.