Salam Kamunting,

Saya tidak fikir ada bloggers dan peminatnya yang asyik berlayar di internet hari ini boleh tidak tahu mengenai gerakan massa ke perhimpunan 100 ribu rakyat bagi menuntut hak mereka yang tertangguh sejak 50 tahun lepas. Hampir semua bloggers politik dan sosial telah menulis dan memberi isyarat mengenainya. Saya juga tidak fikir rakyat di luar yang perihatin politik  dan keadilan masih alpa dan tidak sedar mengenai ajakan ke perhimpunan tersebut.

Apa yang saya fikir hari ini ialah apakah yang bermain di kepala setiap kita? Nak menyertai atau tidak? Perlukah perhimpunan itu atau tidak? Berhikmahkah perhimpunan itu atau tidak? Siapa untung? Pas atau Bersih atau siapa? Wajibkah atau sunat atau makruh atau habis masa? Ada kesankah atau sia – sia sahaja? Di Kelantan, seperti biasa, demontrasi masih dalam perdebatan, sesuai atau tidak? Di luar Kelantan pula, saya tidak fikir perbezaannya daripada Kelantan.

Saya tidak mahu memanjang untuk menjawab persoalan – persoalan tersebut. Saya hanya ingin mengambil dari masa dan hari – hari yang masih berbaki sebelum 10 November nanti untuk turut menyeru, atau dalam bahasa lebih gagah, mendakwah rakyat Malaysia seluruhnya menyertai perhimpunan tersebut. Ia adalah perhimpunan yang memerlukan jumlah kehadiran yang ramai dan penuh kesungguhan.

Biar sejarah memahat nama kita sebagai rakyat yang turut hadir dalam perhimpunan besar bersejarah yang menuntut keadilan dan kebebasan untuk semua rakyat di Malaysia. Rakyat pembangkang masih terjajah oleh pemerintah yang hanya memerdekakan penyokongnya sahaja. 50 tahun kita merdeka daripada penjajah, 50 tahun itu jugalah kita dijajah untuk kali kedua. Daripada  kegelapan menuju kegelapan juga. Apa erti kita boleh berpada atau berseronok?

Bayangkan, jika pilihanraya benar – benar bersih, tiada rakyat yang akan kecewa dengan kerajaan kerana itulah apa yang mereka pilih. Ahli syurga puas hati di tingkat mana mereka mendiami dan ahli neraka puas hati di lembah mana mereka disumbat. Itulah yang mereka pilih.

Isi demokrasi ialah hak rakyat. Kita menuntut hak itu dalam batas demokrasi dan kita telah bersedia lama dengan batas kebebasan dalam Islam. Umno tak payah ajar dan tak payah tunjuk. Kerana hak inilah kita menerima demokrasi dengan sebaiknya dalam hidup kita menuju kesempurnaan menuntut kehidupan di bawah panji hukum Ilahi.

Rakyat Terengganu adalah gambaran yang penuh emosi dengan ketidak puasan. Hak, suara dan kemenangan mereka dirampas semudahnya oleh pilihan raya bohong dan memalukan. Pemimpinnya hidup dalam hipokrit dan berdendam terhadap rakyat.

Inilah namanya penjara dan gari yang mendekam rakyat dalam kesempitan dan penindasan. Usaha rakyat untuk maju dan bebas dalam kehidupan mereka mudah saja dinodai dan diragut oleh sistem asas demokrasi yang pincang dan cacat.

Mari kita sama – sama untuk tidak menguzur diri daripada menyertai perhimpunan ini. Bahkan mari kita sama – sama untuk tidak menguzur diri daripada turut mendakwah keluarga, sahabat dan taulan untuk turut serta. Saya mahu anak – anak saya yang masih kecil itu tahu dan berbangga untuk mengingati kehadiran ayahandanya dalam perhimpunan yang bakal memahat sejarah negara itu. Sejarah kemerdekaan kedua dan sebenar selepas kemerdekaan 50 tahun lepas.  

Allah memberkati usaha besar ini demi kebebasan penuh yang dikurniakanNya.