Salam Kamunting,

Selamat hari raya ‘Iidil Fitri. Maaf zahir dan batin. Jika boleh, untuk 2 bulan akan datang saya nak terus ucapkan selamat hari raya ‘Iidil Adha pula dan maaf zahir dan batin juga.

Banyak sangat yang menarik tentang hari raya yang kita rayakan di negara kita ini, bercampur aduk antara ugama dan adat, suruhan dan larangan serta baik dan buruk. Saya fikir eloklah untuk saya yang sudah kekenyangan dengan macam – macam makanan dan kueh raya yang dah disumbat buang dalam perut ni memulakan hidup pasca raya ni dengan dua tiga perkara sebagai iktibar buat tatapan dan renungan bersama.

Anda mungkin tengah mencongak bila nak raya puasa enam pula. Saya pula tengah fikir bila pula nak mula qadha puasa Ramadhan yang ditinggalkan dek keuzuran baru – baru ni. Rasa macam ambil resmi orang perempuan pula. Lepas raya, qadha. Anda pula lepas raya, raya lagi. Orang KL dengar khabar, rayanya sampai lebih sebulan! Banyak sungguh duit orang KL. Bersungguhnya nak mohon maaf zahir dan batin, sampai seminggu cuti pun tak genap.

Teruk sangat ke orang kat sana bertengkar, berebut kaut rezeki  sampai tak sempat nak solat sampai sebulan bermaafan? He he.. Suka hatilah. ‘Iidul Fitri ini raya ugama, bukan raya mak bapak kita buat macam sambut merdeka tu. Kena kita buat, Allah terima. Tak kena, nah, lantak kamulah nak raya jenis dan pesen manapun..

‘Iid ertinya kembali dan ulang. Fitri ertinya fitrahlah. Semulajadi. Adha pula maknanya korban. Korban lembu?! Allah memaksudkan setiap tahun kita raikan sambutan ulang tahun yang kembali. Ramadhan dan Syawwal berulang – ulang datang dan pergi. Begitulah Zulhijjah dan musim haji di Mekah.

Sambut apa sebenarnya? Sambut kembalinya diri kepada fitrah. Fitrah yang mengenal Allah dan bersyukur kepadanya. Sambut kembalinya ingatan kepada sejarah pengorbanan hamba demi cinta tuhannya sehingga sanggup menyembelih anaknya ( Nabi Ibrahim dan Ismail ) demi cinta tuhan. Fitrah cinta tuhan kembali dengan puasa 30 hari sepanjang Ramadhan. Hebatnya isi Ramadhan! Kemudian kembali lagi ingatan buat perjalanan di dunia yang mendesak dengan hidup berkorban demi sebuah cinta abadi di dunia dan akhirat.

Nampakkah erti raya jenis ugama yang Allah mahukan? Nampak tak bezanya dengan raya jenis yang kita hidupkan di tempat kita? Sesetengah kita.

Bacalah Al Quran, ayat – ayat kefardhuan puasa dalam surah Al Baqarah. Selepas sempurna bilangan Ramadhan, Allah menyuruh kita bertakbir. “Dan hendaklah kamu semua membesarkan Allah ( bertakbir ) atas sebab hidayat yang diberikanNya kepada kamu dan semoga jadi orang yang bersyukur.”

Mana rayanya? Raya itu pada takbir itulah. Allah tidak menyebut, ‘berayalah kamu,’ sebaliknya, ‘bertakbirlah kamu!’ RasuluLlah menamakannya sebagai raya, sedang Allah mengisytiharkan raya dalam Islam itu dengan menyebut isi dan maksud tertinggi sebuah perayaan dalam Islam.

Rayakan kedua – dua ‘iid itu dengan membesarkan Allah melalui laungan dan ulangan zikir takbir pada malam dan siang hari raya. Rasakan kebesaran Allah yang menunjuki dan menjadikan kita insan yang mengenang jasa dan budi dalam kehidupan yang penuh keliru ini. Isi utama raya ialah takbir Allahu Akbar!! Bukanlah isi raya sebenar hanya pada kueh muih dan ketupat rendang, atau mercun dan bunga api, atau hiburan dan riang ria, atau rumah terbuka dan ziarah keluarga dan taulan, atau balik kampung dan salam maaf zahir dan batin.

Perhatikan di sudut mana kita letakkan takbir raya dan Allah pada hari raya. Kemudian bandingkan betapa kita mendahulukan apa yang saya sebut tadi dalam raya kita. Takbir hanya sekadar di masjid sementara jam 9 pagi saf penuh, lalu kita solat dan mendengar khutbah. Habis langkah sembah itu, caulah kita salam, salam, salam… maaf, maaf, maaf makan, makan, makan…dan sumbat, sumbat,sumbat! Paling haru, make up tebal – tebal untuk ziarah kubur. Ziarah mak bapa, tapi jangan sampai teringatkan mati! Susah nak beraya sakan.

‘Allahu Akbar’ hilang sehilang – hilangnya. Pada azan lima waktu ada takbir, tapi apa erti selain panggilan masuk waktu solat, bukan panggilan untuk mendirikan solat dan kembali pada Allah.  

Jika anda perhatikan pada budaya yang kita hidupkan dalam sambutan raya kita ini, ia lebih mendekati bidaah yang ditambah – tambah berbanding sunnah dan kehendak ugama. Kita mungkin tidak mudah menolaknya sebab ia telah membudaya dalam masyarakat dan sanak keluarga. Hanya jika kita seorang yang menginsafi, khusyu’ dan ingin kembali, maka kita akan mampu menukar gaya dn rentak raya kita pada diri, keluarga dan sekitar.

Harapkan kerajaan hadhari memperelokkan, hah, tunggulah bulan aduhai pungguk!

‘Allahu Akbar’ ada dua kumpulan yang suka melaungkannya. Pertama, persatuan tok – tok bilallah. Kedua, persatuan orang – orang Pas! Dilema tok bilal ialah siapalah nak mari sembahyang ni?  Dilema orang – orang Pas ialah bilalah Umno nak takutkan Allah?!

Ada orang jadi pekak serta merta bila dengar azan. Bila azan habis, serta merta suara syaitan pun dia boleh dengar. Ada orang jadi semakin keras hatinya bila dengar takbir dilaung beramai – ramai. Bila dengar ‘ hidup Melayu ‘, huh, terlonjak – lonjak riang bagai.. ( hah, bagai apa? Bubuh sendiri. )

Isteri saya, masa hari penamaan calon pilihan raya kecil DUN di Pengkalan Pasir tahun lepas, masa lalu – lalu dekat kumpulan Umno yang tengah berbalas – balas tembakan dengan kumpulan Pas dengan slogan ‘hidup Melayu’nya dan dikir barat, telah terdengar seorang budak puteri Umno bersungut pada kawan sebelahnya, ” Eh, malulah aku, orang Pas dok takbir dan baca zikir ( wahdah ), kita pula dok melalak berdikir!”

Hah, kalau jumpa budak perempuan ni, rasa berkenan di hati nak ambil buat nombor dua aku. He, he. Kesian Puteri Umno. Kecil – kecil lagi dah diajak untuk sesat – sesat bersama bapak – bapak tua.

Jom, pancing puteri Umno! Keh keh ( Lawak hari raya )

Begitulah hati manusia yang keras hatinya. Kalimah ‘ Allahu akbar ‘ yang sinonim dengan kehangatan beriman pada tuhan yang maha agung itu telah menjadi kalimah yang dibenci. Jika terpaksa menyebutnya, seperti pada hari raya, mereka menukarnya pada rentak dak maknanya sekali. Lagukan kalimah itu mendayu – dayu, kenangkanlah keluarga yang jauh di kampung! Laa, itulah makna Allahu akbar di sisi Umno!

Lepas raya haji nanti atau sebelumnya juga ( pendapat semasa ahli nujum politik yang dah semakin pudar ), akan ada pilihan raya umum pula. Kalimah takbir dan laungan membesarkan nama Allah akan beralih dari masjid ke jalan – jalan raya seluruh negara pada hari penamaan calon. Pelaungnya adalah orang – orang Pas. Pembencinya adalah orang – orang Umno.

Jika anda berkata, sama saja orang Pas dan orang Umno, alangkah buruknya penghakiman anda. Antara kelebihan manusia kurniaan Allah selain bebas memilih adalah kebijasanaan membezakan antara yang tak sama. Antara hak dan batil.

Gunalah otak kalau tak nak guna akal!