Salam Kamunting dan salam Ramadhan,

Semoga Allah merahmati kita di bulan Ramadhan. Semoga kita memperolehi bahagian yang besar daripada kelebihan Lailatul Qadar yang dijanjikanNya. Semoga kita diberi kesempatan untuk menikmati kemenangan menyempurnakan ibadah kepadaNya di bulan yang mulia ini bersama orang – orang yang dikurniakan kemenangan olehNya.

Hari Raya Idil Fitri bakal menjelang dengan persiapan sesempurnanya oleh setiap kita. Ia adalah hari kemenangan untuk setiap kita yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan menyempurnakan segala tuntutannya. Kita disyara’kan bertakbir di pagi raya atas hidayah yang dikurnia tuhan, kemudahan dan menjadikan kita daripada kalangan hambanya yang bersyukur ( Maksud Al Baqarah:185).  

Betulkah semua kita telah mencapai kemenangan? Kalau dilihat dan diukur pada persiapan dan kegembiraan semua orang di pagi raya, maka jawabnya ya. Tetapi Allah menetapkan bahawa kemenangan adalah untuk hambanya yang dipilihNya sendiri, bukan daripada gambaran senyum tawa yang terukir di setiap wajah  yang bertakbir pada pagi raya. 

Ertinya kita bergembira menyambut kemenangan yang belum lagi diisytiharkan dan dimaklumkan oleh penganjur sebenar iaitu Allah, tuhan yang menunjuki. Tiada salahnya tindakan kita tersebut kerana begitulah sunnah yang berjalan. Sah dan tidak sah adalah hukum di dunia, tetapi perkiraan sebenar adalah pada kemaqbulan di sisi Allah. Tiada yang tahu kecualiNya. Berkata seorang tokoh sufi, ” Janganlah kamu terhibur dan tertipu dengan banyaknya ketaatan yang kamu lakukan. Sesungguhnya ‘ibrah ( perkiraan ) adalah pada maqbulnya amalan kamu di sisi Allah.”

Maka, dalam ibadah dan doa kita, jelaslah erti kalimah ‘semoga’.  Semoga Allah memaqbulkan.

Yang pasti daripada tujuan bertakbir di pagi raya sebagaimana disebut di dalam ayat di atas adalah bahawa kemenangan adalah kerana mendapat hidayat dan menjadi hambanya yang bersyukur. Mudahnya Allah memberi isyarat kepada hambanya yang beriman. Isyarat apa? Bahawa mereka yang terus terpesong hidupnya daripada hidayat dan terus mengingkari Islam, mereka itulah orang – orang yang menyambut kemenangan yang palsu di pagi raya. Kemenangan yang diumum sendiri! Macam seorang diktator mengumum kemenangannya dalam sebuah pilihan raya kotor.

Di negara kita, yang terus hidup tanpa hidayah dan tanpa syukur sejak berpuluh tahun – walau puasa berpuluh tahun juga – adalah Umno. Maka, bergembiralah jika anda bukan ahli Umno! Takbirlah kuat – kuat di pagi raya! Jika anda ahli Umno, keluar Umno pada pagi raya adalah jawaban.

Itu jika anda mahukan kemenangan sebenar. Keluar Umno adalah hidayat dan syukur. Jika tidak, dulu, kini dan selama – lamalah kalian dalam kesesatan/Umno.

Sebelum kita melangkah kaki pada pagi Syawwal, eloklah kita tafakkur melihat kekalutan yang menafikan erti sebuah kelurusan hidup di dunia ini:

1)  Adik Nurin Jazlin

Negara kita menangis kerananya. Adik kita ini telah kembali kepada penciptanya dan pencintanya jua. Dia gembira di sana di sisi tuhannya dan kita pula akan terus menangis. Kenapa? Kerana adik kita ini bukan yang pertama dan bukan pula yang terakhir. Kenapa? Kerana pembunuh kejam itu bukan seorang. Ia adalah beribu – ribu dan di mana – mana di setiap ceruk. Ia mungkin ada di Kelantan juga!

Negara kita sakit. Sakit yang tenat. Negara kita rosak. Rosak yang teruk. Ia sedang membenihkan benih dan melahirkan kelahiran yang teruk dan tenat sekali jiwanya. Ia akan terus membunuh dan membunuh dengan kejam.

Tanyalah kenapa ia membenih dan melahirkan pembunuh?  Biar saya jawab segirang dan sekuat saya bertakbir pada pagi raya. Kerana ayahnya dan ibunya yang melahirkan adalah Umno. Umno yang sakit dan Umno yang rosak. Umno tanpa hidayat tuhan. Masukkan ini dalam kocek anda dan ganyangkannya di pagi raya dengan kuat – kuat bertakbir di masjid pada pagi raya. Semoga anda faham tanpa diselang syak dan ragu.

2) Tun Ahmad Fairuz dan VK Lingam 

Negara kita bergelap menuju wawasan yang sememangnya dibina di tepi jurang dalam yang menggerunkan. Kita ketakutan nanti terhumban ke dalamnya. Semuanya kerana isu kehakiman yang telah patah tiang dacingnya. Bagaimana kita mahu menimbang, mengukur dan menghukum tanpa tiang mizan yang kukuh?

Bagaimana kita mahu tegak jika telah patah tulang belakang? Bagaimana keluarga mahu bahagia jika si ayah telah terhoyong – hayang kemabukan? Bagaimana bangunan mahu gah tersergam jika asasnya telah terhakis? Bagaimana negara mahu makmur saksama jika badan kehakiman telah runtuh.

Negara, asas binanya pada hukum dan undang – undang. Negara kita, dahlah hukumnya adalah bersumber thaghut dan syaitan tanpa Allah yang menunjuki, para penjaga dan pengawalnya pula adalah penjudi dan kaki broker murahan. 

Tanyalah lagi kenapa jadi begini? Biar saya jawab segirang dan sekuat saya bertakbir pada pagi raya. Kerana Umnolah yang memasang gari dan merogol badan kehakiman. Ia membiarkannya diperkosa oleh siapa – siapa saja yang berminat menodainya. Bayangkan nama Pak Lah dikaitkan dalam pita itu? 

Anak dirogol! CCTV membuktikan perogol adalah bapa sendiri. Mampus.

3) Dr Syeikh Muszaphar Shukor dan Capt Dr Faiz Khaleed

Selamatlah kalian berdua dalam penerokaan dunia yang hebat dan pada puncaknya. Rakyat Malaysia berbangga dengan kamu berdua. Allahlah yang membenarkan dan memberi cabaran kepada penerokaan kamu sebelum kerajaan kita. Lihatlah kebesaranNya di angkasa sana. Tiada sesuatu kecuali Allahlah pencipta dan penekunnya. Maha suci Allah yang membawa hambaNya ke lapis langit ke tujuh dalam satu malam yang penuh kebesaran.

Habis duit kami berpuluh juta untuk kamu berdua!! Tapi, adakah kami marah dan berang? Tidak dan sama sekali tidak! Jika tak cukup, biar kami tambah seringgit demi seringgit dari kocek kami yang dah lusuh dan tembus ini. 

Habis berpuluh juta bukan bererti membazir. Membazir ertinya saudara syaitan. Adakah terbang ke angkasa adalah saudara syaitan? Tidak.

Membazir ertinya Umno. Adakah Umno saudara syaitan jadinya? Ya.

Adakah anda masih ragu – ragu bahawa Umno sedang membazir, menjarah dan merompak wang negara? Allah menunjuki anda di bulan Ramadhan. Pintalah keterangan dan hidayat daripadaNya.

4)  Adik Tee Hui Yee

Negara tersentuh dengan rasa simpati yang mendalam kerananya. Walaupun berlainan bangsa dan ugama, nyawa adalah sama mahal harga dan nilainya. Allah menyebut, menghidup satu nyawa adalah seolah – olah menghidupkan manusia semuanya. Membunuh satu nyawa adalah seolah – olah membunuh semua manusia. Tiada beza dan tiada tinggi dan rendah sesama yang bergelar insan. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah hidayat tuhan akan bertandang dan pergi jua. Setiap kita nilainya adalah pada hembusan nafas kita yang terakhir. Laa ilaaha ilLallaahu.. 

Semoga kebesaran kisah yang terpapar secara live itu memberi kesedaran yang sukar dilupakan. Berkasih sayanglah sesama kita dan berkorbanlah demi kasih sayang.

Malangnya, Umno terus menggunakan peluru hidup untuk memberitahu bahawa kamu rakyat tiada bernilai dan tiada sebarang erti sehinggalah kamu adalah Umno! Barua Yahudi di bumi Malaysia tercinta!

5 ) Politik kampus

Saya sempat ditanya ayahanda pasal keputusan pilihan raya kampus baru – baru ini. Saya menjawab yang saya pasti sedangkan hati saya bagai terusik juga dengan pertanyaanya. Ayahanda yang dah tua pun masih ambil tahu cerita budak – budak U? Hujung perbualan beliau memberi patinya. Katanya, ” Biarkan Umno terus main jahat. Mudah sikit anak – anak mahasiswa faham betapa Umno itu jahat sokmo.”

Maka, selamat berjuanglah kamu wahai adik – adikku di kampus. Belajarlah untuk sebuah perjuangan yang masih panjang dan banyak onak dan durinya. Bergeraklah mencipta kemenangan abadi dengan Islam sebagai tuah kehidupan.

Terima kasih kepada Pas yang perihatin dengan politik kampus.

Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri. Maaf zahir dan batin. JEMPUT KE RUMAH TERBUKA PADA HARI RAYA PERTAMA DI PULAU MELAKA.

ALLAAHU AKBAR WA LILLAAHIL HAMD.