Politik di sisi para hukama’ ( ahli falsafah )

Sebagaimana para ulama Islam – fuqaha’, usuliyyin, mutakallimin – memberi perhatian kepada perihal siasah, begitu juga para ahli falsafah Islam. Mereka seperti Abi Nasr Al Farabi ( 339H ) yang digelar sebagai guru kedua ( al Muallim ath thani ) selepas Aristotle dalam dunia falsafah. Beliau telah menghasilkan beberapa buku yang masyhur, antaranya Risalah as Siasah dan Al Fusul al Madaniyyah. Sesetengah pengkaji menggelar beliau sebagai ‘ bapa falsafah politik Islam ‘ kerana perbincangannya yang meluas dalam hal politik.

Selepas beliau, datang pula Abu Ali Ibnu Sina ( 428H ), ahli falsafah agung yang terkesan dengan pemikiran Al Farabi. Cumanya beliau tidak memberi tumpuan khusus dalam isu politik sebagaimana juga perihalnya dalam tajuk – tajuk lain. Perbincangannya tentang politik banyak merata lewat bukunya yang masyhur, Asy Syifa’. Menurut beliau, politik ialah pentadbiran yang elok dan pembaikian kerosakan ( husnu at tadbir wa islah al fasad ). Beliau berpendapat para pemerintahlah yang lebih patut menekuninya walaupun politik tidak hanya berlegar di kalangan pemegang kekuasaan sahaja, bahkan meliputi semua orang walau apa kedudukannya dalam masyarakat.

Apa pun, ahli falsafah dalam kelompok ini lebih melihat daripada pandangan falsafah aqliyyah yang menerima kesan daripada falsafah Yunani. Kita tidak mendapati mereka memiliki thaqafah Islamiyyah yang mengikat mereka dengan usul dan sumber syariah Islamiyyah.

Itu melainkan seorang ahli falsafah Islam yang terbilang iaitu Abil Walid Ibn Rusd Al Hafid ( 595H ). Beliau ketika mengupas persoalan politik, akan berpegang dan bertolak daripada sumber syariah yang menandakan keistimewaannya menghimpunkan antara syariah dan falsafah.

Politik di sisi ahli falsafah akhlak

Wujud segolongan ahli hikmat ( falsafah ) yang cukup hebat dalam pandangan falsafahnya tetapi bergabung dengan pandangan syariat Islam sekalipun turut terkesan dengan falsafah Yunani. Saya sebutkan dua antara mereka:

Pertama, ahli falsafah akhlak terkenal iaitu Maskawaih atau kadang – kadang digelar Ibnu Maskawaih yang melalui kitab falsafah akhlaknya, Tahzibul Akhlaq wa Tathirul A’raq, kami melihatnya bersumberkan agama Islam seperti katanya mengenai kerajaan:

( Dan orang yang menjalankan tugas sunnah ini dan tugas – tugas syara’ yang lain sehingga tidak hilang daripada kedudukan asalnya adalah al imam. Kerja imam adalah kerja seorang raja. Orang – orang terdahulu tidak menamakan seseorang itu sebagai raja melainkan orang yang menjaga ugama dan bersedia melaksanakan martabat, arahan dan larangannya. Adapun orang yang mengelak daripada menjaganya, dia hanya dinamakan penjarah (mutaghallib ) yang tiada keahlian untuk diberi nama raja/pemerintah ( al malik ). Ini adalah kerana agama merupakan undang – undang ilahi yang mendorong manusia dengan pilihan sendiri ke arah kebahagiaan yang tinggi. Raja adalah penjaga undang – undang ilahi ini yang menjaga manusia. )

Kedua ialah al Imam al Hasan bin Muhammad bin Al Mufaddal yang dikenali sebagai Ar Raghib bin Al Ashfahani, pengarang kitab ‘ mufradaatul Quran ‘ dan diiktiraf kelebihannya di dalam ulum Al Quran. Beliau lebih dekat kepada agama berbanding falsafah sekalipun terpengaruh juga dengan pemikiran falsafah asal. Beliau adalah ahli falsafah ugama.

Beliau telah menyentuh perihal politik di dalam bukunya yang unik, ‘Az zari’ah ila makarim asy syariah’ sebuah kitab mengenai falsafah akhlak. Katanya, ( Dan siasah terbahagi dua. Pertama, siasah individu terhadap dirinya, tubuh badannya dan yang berkaitannya. Kedua, siasahnya terhadap orang lain dan masyarakatnya. Orang yang tidak layak mentadbir ( siasah ) dirinya tidak layak juga mentadbir orang lain. Kerana itu Allah mencela orang mencalonkan dirinya sendiri untuk mentadbir orang lain, lalu dia menyuruh kepada perkara makruf dan mencegah daripada perkara munkar, sedangkan dirinya sendiri tidak terdidik ke arah itu. Maksud firman Allah ” Adakah kamu menyuruh manusia melakukan kebajikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri walhal kamu membaca Al Kitab? Apakah kamu tidak berakal?” Al Baqarah:44 )

( Maka dikatakan ( mauquf daripada Umar ), ” Tuntutlah ilmu/tafaqquhlah sebelum kamu memimpin/dilantik untuk memimpin” sebagai peringatan bahawa kamu tidak layak memimpin sebelum kamu mengetahui ilmu hukum ( fiqh ) dan juga siasah umum. Juga kerana antara pentadbir dan yang ditadbir ( rakyat ) adalah umpama bayang dan empunya bayang. Adalah mustahil bayang lurus sedang empunya bayang adalah bengkok. Bagaimana rakyat memperoleh petunjuk sedang pemerintah sendiri sesat? Maksud firman Allah ” Wahai orang yang beriman, janganlah sesekali kamu mengikuti jejak – jejak syaitan. Barang siapa yang mengikuti jejak – jejak syaitan maka sesungguhnya syaitan menyeru kepada kejahatan dan munkar.” ( An Nur:26 ) Dia menegaskan bahawa adalah mustahil, dalam keadaan mengikut syaitan, seseorang boleh menyeru kecuali kepada kejahatan dan munkar juga. )

Politik di sisi ahli falsafah sosial, Ibni Khaldun

Sayugia di sini kami menengahkan pandangan seorang ahli falsafah sosial, bahkan hakikatnya, beliaulah pengasas ilmu sosial, sebagai mana dinyatakan di dalam buku muqaddimahnya, iaitu Abdul Rahman Ibnu Khaldun (808H). kenyataannya itu adalah mengenai kesan ugama di kalangan orang Arab di dalam membina sebuah kerajaan dan meneguhkannya, sedangkan pandangannya terhadap orang arab agak buruk, juga pandangannya bahawa orang Arab dekat kepada sifat buas berbanding kemajuan dan hadharah. Pun begitu beliau tetap menegaskan bahawa orang Arab tidak memperolehi sebuah kerajaan kecuali atas sifat ugama, iaitu nubuwwah dan wilayah Allah ataupun secara keseluruhannya adalah kerana kesan ugama yang besar.

Katanya, ( Sebabnya adalah kerana mereka dengan sebab sifat liar mereka itu menjadikan mereka satu umat yang cukup payah untuk saling tunduk sesama mereka dengan sebab kebengisan dan kebencian, jauh himmah dan saling merebut kuasa. Maka sukar sekali ditemui penyatuan hati mereka.

Apabila datang ugama dengan nubuwwah (kenabian) dan wilayah Allah, ia mencabut sifat buruk itu dari diri mereka. Hilanglah sifat takabbur dan berebut kuasa. Dengan itu menjadi mudahlah ketundukan dan penyatuan mereka. Semua itu disebabkan ajaran ugama yang menolak sifat bengis dan benci, dengki dan saling berebut… )

Ibnu Khaldun juga menulis satu fasal khas yang menegaskan bahawa dakwah diniyyah telah menambahkan lagi kekuatan negara ke atas kekuatan asabiyyah yangs sedia ada. Katanya, ( Sebabnya – sebagaimana telah disebut – adalah kerana acuan ugama tersebut telah menghilangkan sifat suka berebut dan saling berdengki yang wujud di kalangan ahli asabiyyah, lalu melorongkan tujuan kepada kebenaran. Apabila terjadi pencerahan itu pada diri mereka, maka tiada lagi penghalang kerana arah tuju adalah satu dan tuntutan adalah sama di antara mereka. Golongan kuffar masa itu pula yang turut merebut kerajaan – sekalipun mereka lebih ramai -, tujuan mereka terpecah – pecah dalm kebatilan. Mereka takut mati. Maka mereka tidak terlawan umat Islam sekalipun mereka lebih ramai. Mereka kalah dan dipercepatkan lagi kekalahan itu dengan sebab kemewahan hidup mereka sebagaimana kami telah sebutkan sebelum ini.

Ini sebagaimana terjadi dalam kemenangan – kemenangan ( futuhaat ) yang dicapai di awal Islam. Jumlah tentera Islam di dalam perang Al Qadisiyah dan Yarmuk adalah sekitar 30,000 lebih dalm setiap satunya. Manakala jumlah tentera Parsi di Al qadisiyyah adalah lebih 120,000 orang dan tentera Hercules di Yarmuk pula adalah 400,000 orang ( menurut Al Waqidi ). Umat Arab tidak kalah dengan jumlah besar itu bahkan mereka mengalahkan musuh dalam peperangan tersebut. )

Ibnu Khaldun memberi tumpuan kepada perihal siasah semasa – tidak sebagaimana Plato dan Al Farabi – dan beliau berusaha menyelongkar hukum semulajadi ( sunnah alam ) yang menghukum umat dan masyarakat seluruhnya. Beliau adalah bapa ‘ pemangunan politik’ ataupun disebut ilmu sosio politik. Beliau, dengan pengiktirafan orang barat sendiri adalah oarang pertama yang menulis mengenai ilmu ini.