Salam Kamunting dan salam Ramadhan, 

Mana boleh i’tikaf di hospital! I’tikaf di masjid. RasuluLlah beri’tikaf di hujung Ramadhan ini di masjidnya sampai kewafatannya. Selepasnya para isteri baginda ummahatul mukminin menyambung amalan i’tikaf yang menjadi tanda kebesaran ibadat i’tikaf di bulan Ramadhan. I’tikaf bererti memotong hubungan dengan manusia dan kehidupan duniawi untuk mengarah kepada Allah dan akhirat sepenuhnya. Jika mampu, 24 jam sehari dan afdhalnya sepanjang 10 terakhir Ramadhan. 

Tetapi saya beri’tikaf di hospital. Malam ni saya menulis di tepi isteri saya yang terlantar dah 2 hari di hospital pakar Perdana. Demam dan sakit kepalanya dah dekat seminggu. Alahai, awal Ramadhan saya masuk hospital dan isteri saya sepenuhnya bersama saya meringan kesakitan diri. Ini di akhir Ramadhan dia pula masuk hospital. Agaknya dah terpanah tajuk artikel saya sebelum ini, ‘susah senang beriringan’!  

Kawan saya berseloroh, suami masuk hospital, layaklah isteri teman – temankan. Isteri masuk hospital, takkan suami nak jadi isteri pula? Saya jawab selamba, i’tikaf di hospital lebih afdhal untuk saya tahun ini. Betulkah?

Terima kasih Al Bazrah yang mendoakan untuk kesabaran saya. Kalaulah begitu di sisi Allah, oh alangkah beruntungnya menjadi muslim yang baik. Pahala mengalir dan terus mengalir menyejukkan kehidupan dan dagangnya di dunia. Harapnya saya menumpang tuah isteri saya pula. Tiada balasan ihsan selain ihsan juga. Tetapi betapa kerdilnya rasa diri menghadap jasa seorang wanita bergelar isteri.

Apa malunya saya mengkhabarkan betapa saya sering menangis menatap wajah isteri saat memerhatinya tidur melepas lelah berjasa pada saya, suami yang sering ketinggalan. Allah menyayangi wanita. Merekalah penghias utama syurga tuhan di akhirat. Merekalah huurun ‘iin dan ‘ainul mardiyyah’.

Dewan Pemuda Pas Pusat melalui Lajnah Tarbiyyahnya ( saya pengerusinya ) mengarahkan pemuda Pas kawasan menghidupkan malam 27 Ramadhan secara beramai – ramai dengan ibadat i’tikaf di sebuah masjid terpilih di setiap kawasan. Saya mengimpikan banyak kawasan yang akan melaksanakannya walaupun ada kesukaran kerana asingnya ibadat i’tikaf di kalangan kita di Malaysia.

Untuk menghadapi Umno yang menjadi musuh Islam nombor wahid di negara kita dalm pilihan raya akan datang, setiap pejuang Islam dengan pemuda di saf depan mestilah kukuh ikatannya dengan tali Allah. Allah memberi kemenangan dan pejuang menantinya dalam medan perang yang meruncing dan menggila dengan makar dan tipu daya musuh. ( Am abramuu amran fa inna mubrimuun. Wa makaruu makran wa makarna makra. Wa makaruu wa makaraLlaah waLlaahu khairul maakirinDengan keinsafan bahawa sesetengah ulama melarang sebutan Al Quran dieja dalam tulisan selain bahasanya yang asal, Arabiyyah.)   

Sekurang – kurangnya, i’tikaf mencari Lailatul Qadr menemukan kita dengan keinsafan yang hebat. Tiada i’tikaf untuk pejuang Umno. Usahlah beri’tikaf dalam salah beri’tiqad (berakidah)! 

Dalam kehidupan yang serba mencabar dan mengelirukan ini, semua orang perlukan kekuatan untuk menghadapinya. Layanilah apa – apa yang menguatkan diri dan jangan disepahkan ia di perjalanan ini. Keinsafan adalah antara kekuatan. Ia datang tiba – tiba dan jika kita tidak menyapanya dengan mulia, ia akan berlalu dan kita diharamkan daripada kebaikannya. Alangkah ruginya. Kesakitan mendatangkan keinsafan yang menyejukkan jiwa. Kepanasan yang memberi erti dan memasak sebuah kesejukan dan kedinginan dalam diri.

Mahu sahaja saya menyuruh ayahanda menjenguk Tun Mahathir di IJN membisikkan sesuatu yang mengusik jiwa Tun untuk menginsafi kehidupan duniawinya. Jasanya banyak untuk negara. Janganlah kebaikannya itu direntap keburukan perbuatannya di dunia ini di akhirat nanti. Jikalah Tun bertaubat kepada tuhannya atas kekasarannya terhadap Islam, maka Allahlah sebaik – baik pelindungnya di akhirat kelak. Kezaliman mahal sungguh bayarannya. Hanya Allah menjadi penebus.

Tun, masuklah Pas. Itulah sebaik – baik perisytiharan untuk rakyat yang lemah dan teraniaya! Tun telah menolak Islam Hadhari. Itu perisytiharan yang baik tetapi tanpa kejelasan yang menginsafkan!

Antara kekuatan adalah keazaman. Ia lahir daripada keinsafan yang menyapa. Ia juga lahir daripada pelbagai kejadian yang berlaku ke atas diri dan persekitaran, pengalaman yang terhimpun, sejarah yang kembali bernafas dan pelbagai kesan yang menyentuh diri.

Pada penghujung bulan yang mulia ini, kita dibuka mata dan telinga, minda dan hati untuk melihat daripada dalam kehidupan yang berlalu. Terasa kekesalan atas peluang kehidupan yang terbiar dan terabai sedang diri masih gagah untuk menyambarnya. Mak lahirlah keazaman baru bagai si kecil ceria ke sekolah bila diberi pakai baju putih baru dan kasut yang baru.

Keazaman memancar daripada rasa taqwa yang memuncak di bulan Ramadhan. Tiada antara kita selain memahat azam memukul gendang untuk terus hidup dengan Islam sepanjang hayat. Terasa alangkah segarnya jika Syawalku, Muharramku dan seluruh bulan menjadi seperti Ramadhan. Maka, layanilah keazaman itu dengan sebaik – baiknya. Perbaikilah jadual kehidupan kita dalam upaya dan daya diri yang mampu dan padankan ia dengan arahan dan pengajaran Al Quran.

“Tuhanku, perbaikilah untukku ugamaku yang mengawasi urusan hidupku, perbaikilah jua untukku duniaku yang menjadi medan kehidupanku dan perbaikilah untukku akhiratku yang menjadi tempat kembaliku.” RasuluLlah mengajar kita sebuah doa yang menyeluruh dalam hela nafas sebuah keazaman.

Hari ini biarlah lebih baik dari semalam dan esok biarlah lebih baik daripada hari ini. Hiduplah seolah – olah engkau dijangkau umur 1000 tahun dan bersiaplah untuk kematian seolah – olah ia sedia menjemputmu esok hari.

Ringan – ringankan bebanan hari esok dengan hikmat – hikmat dan santunan yang memancar – mancar daripada kalam nabawi dan para ulama yang menunjuki jalan RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.  

Azam di bulan Ramadhan adalah kekuatan yang benar. Mari bersama meneguhkannya demi pemburuan sebuah kehidupan yang diredhai.