Peranan Ibnul Qayyim ( mazhab Hambali ) di dalam memperjelaskan siasah syar’iyyah

Hakikatnya, saya tidak mendapati daripada kalangan ulama kita sepanjang zaman, tokoh yang bercakap mengenai siasah syar’iyyah dan memperjelaskannya dengan baik serta membezakan politik yang adil yang diterima syariah daripada politik yang zalim yang ditolak syariah seperti mana Al Imam Ibnil Qayyim rahimahuLlah ( 751H ) di dalam dua kitabnya iaitu I’laamul Muwaqqi’iin dan Atturuqul Hukmiyyah.

Eloklah kita nukilkan kata -katanya yang cukup bernas ketika menta’liqkan kata – kata Al Imam Al Hambali Abul Wafa’ Ibnu Aqil ( 513H ) – Ibnu Taimiyyah menyifatkannya sebagai salah seorang cendekiawan dunia – di dalam bukunya Atturuqul Hukmiyyah:

Kata Ibnu Aqil ( di dalam Al Funun ) : Telah diterima keharusan beramal dengan siasah syar’iyyah di dalam pemerintahan. Inilah hukum yang pasti. Tiada seorang imam kecuali akan menyatakannya.

Berkata Syafi’e: Tiada politik kecuali yang menepati syara’.

Kata Ibnu Aqil: Politik ( syar’ie) ialah suatu tindakan yang dengannya manusia akan lebih dekat kepada kebaikan ( as shalah ) dan lebih jauh daripada kerosakan ( al fasad ), sekali pun ia tidak pun dilakukan RasuluLlah dan tiada pun diturunkan wahyu mengenainya.

Jika ‘menepati’ ( dalam qaul Syafi’e tersebut) itu bermaksud tidak bercanggah dengan syara’, maka ia betul. Tapi, jika ia bermaksud tiada politik kecuali apa yang disebut oleh nas syara’, maka ia salah sekali, bahkan kita seolah – olah menyalahkan tindakan para sahabat sendiri.

Para khulafa’ rasyidin telah menjatuhkan hukuman bunuh, bahkan memotong mayat pesalah ( yang tidak pun melakukan kesalahan hudud ), suatu yang tidak dinafikan oleh para pakar hadis. Tindakan Uthman mengarahkan pembakaran Al Quran selain mushafnya adalah cukup sebagai bukti tindakan sahabat adalah berpegang dan berdasarkan maslahat ummah. Begitu juga tindakan Sayyidina Ali membakar golongan zindiq di dalam lubang besar.

Ibnul Qayyim menta’liq: Inilah tempat kegelinciran dan kesesatan. Ia adalah tempat yang sempit dan medan pertempuran yang sukar.

Satu golongan meringan – ringankan: Mereka menafikan hukuman dan melupuskan hak lalu membiarkan golongan fasik dan jahat melakukan kerosakan. Mereka menjadikan syariah itu sempit dan tidak berperanan menjaga maslahat manusia lalu memerlukan hukuman daripada sumber lain.

Mereka sendiri menutup pintu jalan – jalan mengenal kebenaran dan pelaksanaannya sedangkan mereka sendiri mengetahui kebenarannya. Hujah mereka, ianya bertentangan dengan kaedah- kaedah syariat. Demi Allah, ia langsung tidak bertentangan dengan ajaran Rasul sekalipun ia bertentangan dengan kefahaman mereka sendiri terhadap syariah. Faktornya:

1) Kurang memahami syariat.

2) Kurang memahami hal semasa/kenyataan.

3) Saling samar antara keduanya.

Apabila pemerintah melihat keadaan ini, sedang rakyat memerlukan pengarahan, maka mereka melakukan kerosakan yang berleluasa berdasarkan tindakan politik sendiri. Keadaan akhirnya menjadi semakin kronik sehingga menyukarkan tindakan menyelamat.

Golongan kedua pula adalah sebaliknya. Mereka melampau sehingga membenarkan siasah syar’iyyah yang nyata bertentangan dengan hukum Allah dan rasulNya.

Kedua – dua kumpulan ini memahami Islam secara salah. Sesungguhnya Allah mengutus rasulNya dan menurunkan kitabnya agar manusia menegakkan keadilan yang dengannya langit bumi tegak. Jika telah zahir tanda – tanda keadilan maka disitulah syariat Allah dan ugamanya. Tidak mungkin Allah menentukan satu- satu jalan keadilan kemudian menafikan jalan lain yang lebih jelas keadilannya dan jalan pelaksanaannhya.

Allah telah menerangkan maksud syariatnya iaitu menegakkan keadilan di kalangan hambanya. Maka, mana – mana jalan yang menghasilkan keadilan, jadilah ia daripada sebahagian ugama dan tiada pertentangan antaranya.

Benarlah Ibnul Qayyim. Beliau menjelaskan bahawa keaiban itu bukanlah pada syariat, tetapi pada mereka yang menutup setiap jalan yang membawa kebaikan kepada manusia, menyempitkan apa yang diluaskan Allah, lalu menghapuskan kebaikan yang banyak untuk manusia.

Juga keaiban itu adalah pada mereka yang membuka segala – galanya tanpa berhenti di sempadan Allah dan berikat dengan nas – nas Al Quran dan sunnah. Kita melihat ramainya golongan ini di zaman kita ini. Mereka memperindahkan apa yang mereka mahu untuk para pemerintah. Mereka menjadikan syariah itu seolah – olah tepung yang boleh diuli bila – bila masa mengikut kemahuan mereka dan tuan – tuan mereka.

Yang benar ( al haq ) adalah di tengah – tengah antara 2 kumpulan ini.

Ibnul Qayyim menta’liq lagi : Maka tidak harus dikatakan bahawa politik yang adil itu bertentangan dengan syara’. Ia malah menepatinya, bahkan satu juzu’ daripadanya. Kami menamakannya ‘siasah’ berdasarkan istilah kalian, sedangkan ialah sebenarnya keadilan Allah yang terzahir melalui tanda – tanda dan alamat – alamat di dalam siasah itu.

RasuluLlah menolak untuk bertindak ke atas kesalahan tohmahan ( tanpa bukti ). Tetapi baginda juga pernah menghukum kesalahan seumpamanya tatkala tampak tanda – tanda syak pada tertuduh.

Maka sesiapa yang melepaskan setiap tertuduh dengan alasan tiada bukti nyata, sedang dia mengetahui kesohorannya dalam jenayah ( seperti mencuri ) dan berkata, ” Saya tidak akan menghukumnya kecuali dengan kehadiran dua saksi yang adil.”, maka ia sebenarnya menyalahi siasah syar’iyyah.

RasuluLlah, juga khulafa’ selepasnya pernah menahan bahagian harta ghanimah tentera mereka yang menyorokkannya. Baginda turut membakar segala barangannya.

RasuluLlah juga bertekad membakar rumah mereka yang meninggalkan solat jumaat dan solat jamaah.

RasuluLlah juga menggandakan denda ke atas orang yang menyembunyikan binatang yang terlepas daripada tuannya.

Baginda mengarah dipecahkan bekas – bekas arak, juga bekas yang dimasak daging haram di dalamnya. Kemudian baginda memansuhkannya, lalu mengarah agar dibasuh sahaja.

Itulah beberapa contoh siasah baginda yang thabit daripada hadis – hadis yang sahih. Ini diikuti para penggantinya selepasnya. Antaranya:

Sayyidina Abu Bakar membakar golongan homoseks agar mereka merasakan kepanasan di dunia sebelum kepanasan di akhirat.

Umar pula membakar kedai arak dengan segala isinya, bahkan beliau juga membakar perkampungan yang menjual arak.

Beliau membakar istana Saad ibni Waqqas kerana ia menghalangnya daripada mengurus rakyatnya.

Beliau juga mengarahkan para sahabat mengurangkan perbincangan mengenai hadis nabi tatkala melihat ianya menyibukkan mereka daripada Al Quran. Ini siasahnya dan pelbagai lagi tindakan politiknya demi kemaslahatan umat.

Semasa zaman Uthman pula, beliau menghimpunkan umat Islam di atas satu huruf ( qiraat ) sahaja dan melarang mereka daripada tujuh huruf ( qiraat ) yang dibenarkan RasuluLlah. Ini apabila beliau dan para sahabat melihat berlaku perselisihan padanya, lalu melihat kebaikan pada berpegang pada satu huruf sahaja.

Semasa zaman Ali pula, beliau mengarahkan golongan zindiq rafidhah agar dibakar, sedang beliau mengetahui sunnah RasuluLlah hanya membunuh orang kafir. Tetapi apabila beliau melihat kerosakan yang besar, maka dijadikan hukuman itu lebih besar ( membakar ) sebagai pengajaran keras.