Semalam hari ketujuh kelahiran cahaya mata kurniaan Allah yang ketujuh. Saya terpaksa tangguhkan majlis aqiqah kerana saya di Kuala Lumpur menghadiri mesyuarat yang saya tak boleh tak hadir sebab saya sendiri yang letak tarikhnya.

Saya dilantik ketua saya, YB Salahudin Ayub untuk mengepalai Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda Pas Pusat menggantikan Ustaz Nasrudin Tantawi yang diamanahkan mempengerusikan Akademi Kepimpinan Pemuda ( AKP ) yang dipegang Ustaz Idris Ahmad sebelum ini. Ustaz Idris pula dah naik pangkat dalam kepimpinan Pas Pusat. Moga maju jaya dalam perjuangan..

Nampaknya kepimpinan pemuda sungguh laku bila dah tamat tempoh khidmat dalam pemuda. Mereka diberi tempat yang baik dalam Pas Pusat melalui undi yang agak popular. Bilanglah sendiri jumlah mereka. Takkanlah tak kenal.

Saya jumpa ayahanda baru – baru ni dan nyatakan hasrat untuk menarik diri daripada jawatan tertentu dalam pemuda sebab keserabutan yang menimpa. Adalah itu ini punya hal yang buat saya rasa senak kepala. Dia tanya jawatan – jawatan saya. Saya beritahu. Ayahanda memang tak ambil tahu pasal jawatan saya. Saya pun tak beritahu.

Dia larang. Katanya jawatan adalah amanah. Bila dah diberi amanah jangan mudah – mudah dilepaskan. Kepayahan, keserabutan dan fitnah adalah rencah perjuangan. Abaikan, katanya. Dia berikan beberapa petunjuk yang berguna untuk saya jadi panduan dan ingatan.

Sebenarnya saya dah agak jawaban itu. Saya dah fasih pandangan ayahanda. Saja nak dengar sendiri untuk diri saya. Ayahanda sebut beberapa nama pimpinan yang jumpa dia nak berhenti juga. Isunya sama. Serabut. Jawabannya samalah. Rupa – rupanya ramai pimpinan yang nak tarik diri macam saya.

Ramai yang nak berhenti, ramai lagi yang nak bertanding, termasuk saya.. heh, heh. Saya fikir dalam kedua -duanya, pasti ada yang ikhlas dan pasti ada yang tak ikhlas. Ada yang jumpa sebut tak nak jadi wakil rakyat, tapi di luar sana orang memang tahu dia melobi nak jadi wakil rakyat. Jenis ni, ikhlaskah ya? Janganlah tersalah hukum pada ikhlas seseorang.

Tapi, ramainya yang menghukum tanpa ilmu..

Apapun, ikhlas itu ada tandanya. Nifaq itu ada tandanya. Kufur itu ada tandanya. Tanda itu kerjanya mengelak kekeliruan. Orang mukmin dipermudahkan Allah mengenali tanda – tanda dalam kehidupan ini. Tiada yang mengenal Dajjal itu nanti selain mukmin sebenar kepada Allah.

Saya sms isteri saya nama anak kami. Nak confirm nama dan ejaannya sekali di hari ketujuh. Kami pilih nama, Nik Ahmad Saif Mudzaffar bin Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz bin Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Mamat bin Raja Abdullah … sampai ( sebagaimana salasilah yang ada pada saya) kepada Raja Jembal, raja yang pernah memerintah Kelantan semenjak abad 18 dulu. 

Atas pada Raja Jembal itu ada nama – nama keturunan saya yang ngeri juga bunyinya. Macam nama keturunan India lama. Ada kajian lain oleh pengkaji sejarah yang menyambungkan keturunan saya terus kepada RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasalam.

Saya tanya ayahanda. Dia kata, dia tak tahu.

Mereka berkata, apalah ada pada nama? Saya berkata, pada nama ada pedang yang dikurnia kemenangan. Insya Allah, anak saya akan melibas musuh Islam bagai pedang yang ditempa untuk kemenangan. Awaslah keris Umno yang tak berguna itu..

Sebaik – baik nama adalah Abdullah..  ( maksud hadis nabi )

Seburuk – buruk perangai adalah Abdullah bin Ubay..

Di abad 15 hijrah ini, yang mengubah nama Islam kepada Islam Hadhari pun namanya Abdullah.

Apa ada pada nama?

Siapa nak jawab?