Salam Kamunting, 

Pagi tadi saya sempat hadir di majlis perasmian Pusat Rawatan Haemodialisis Keluarga Bahagia di pinggir Kota Bharu dalam DUN Tanjung Mas yang turut dihadiri  wakil rakyatnya, YB Rohani Ibrahim, satu -satunya wakil wanita di DUN Kelantan.

Majlis dirasmikan oleh YB Dato Hj Husam bin Hj Musa yang menggantikan ayahanda Tuan Guru Dato yang masih berehat di rumah selepas keluar HUSM. Dato’ Hj Husam nampaknya berpengetahuan baik soal sains kesihatan. Beliau mengupas mengenai nilai nikmat kesihatan kurniaan Allah yang perlu disyukuri manusia. Kajian – kajian dan terokaan sains kini yang menyerlahkan keajaiban penciptaan tubuh menggambarkan kebesaran, keagungan dan kasihan belas Allah pada manusia.

Saya kata beliau berpengetahuan ( saya lihat dia juga pemimpin ulat buku Pas Kelantan ) kerana itu bukanlah bidangnya. Beliau kelihatan tidak kekok bercakap soal kesihatan dan sains sedang di depannya beberapa doktor pakar yang turut mendengar. Rasanya, tinggi markah beliau kalau diberi.

Saya ni bekas bakal doktor..

Pusat rawatan ini yang diuruskan oleh sahabat baik saya, Dr Rosli Allani  Abdul Kadir adalah dengan usahasama Akademi Keluarga Bahagia dan sebuah syarikat swasta dari Kuala Lumpur yang mengendalikan beberapa cawangan pusat rawatan seumpamanya di seluruh negara.

Kos rawatan yang terlalu tinggi bagi pesakit buah pinggang yang terpaksa menjalani rawatan ini menjadi pendorong kepada pembukaan pusat rawatan ini yang lebih berorientasikan kebajikan. Beberapa pakej kebajikan yang ditawarkan sudah pasti akan menarik ramai pesakit ke sini. Saya diberitahu, seorang guru ugama juga akan ditugaskan di sini untuk memberi nasihat – nasihat ugama yang terlalu berguna untuk semua.

Dr Rosli Allani adalah bekas pakar saraf di HUSM. Beliau berhenti dan kini beliau adalah pengerusi Lajnah Antara bangsa Dewan Pemuda Pas Pusat. Tahniah. Saya tumpang tuah beliau di Lujnah Kebajikan Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan. Terima Kasih.