Salam Kamunting,

Saya sambung lagi taaruf diri saya seperti saya janjikan. Ini kategori borak – borak ( depan hari kita main Tora Bora. Ingat Tora Bora? Tak tahu, tanyalah abang saya, Nik Adli ). Dalam majlis usrah, tak kiralah usrah Pas ke, Jim ke, Abim ke, sesi taaruf cukup menyeronokkan. Naqib yang berjaya pasti menggunakan sesi ini untuk pegang anak buah untuk terus istiqamah dan merasa bangga dengan usrahnya. 

Jadi, saya perkenalkan diri saya dulu sebelum saya terus menulis dan menulis. Saudara akan membaca tulisan – tulisan saya seakan – akan saya tengah berborak – borak dengan saudara atau sedang berceramah serius di depan saudara. Membaca tulisan penulis yang kita kenali adalah lebih tuntas dan lebih cerap berbanding penulis yang kita tidak kenali.

Bila saya tahu sikit – sikit pasal tugas ayahanda yang pelik itu, saya kenalah tukar cita – cita. Sekarang saya mahu jadi doktor pula. Bila saya dapat cemerlang dalam penilaian darjah lima, saya cukup berangan – angan untuk masuk sekolah asrama penuh. MRSM atau sekolah sains. Itulah motivasi guru – guru saya masa tu. Belajar sekolah berasrama dapat makan free. Jadi doktor dapat gaji besar, kereta besar. Masa tu kalimah keramat profesional tak timbul lagi. Rasanya cikgu saya pun tak tahu apa benda profesional nih.

Hari ini, trio ungkapan profesional, ustaz dan protaz dah menjadi ancaman yang mengganggu kesuntukan masa perbahasan ahli di dalam muktamar  Pas.

Tapi angan – angan itu berkubur begitu sahaja. Ayahanda masukkan saya ke madrasah Darul Anuar, sekolah yang diasaskan oleh datuk saya sendiri, Tuan Guru Hj Nik Mat Alim. Buruknya tak boleh nak sebut. Buruk sungguh. Cita – cita nak jadi doktor pun memburuk di situ. 

Semua sekolah ugama rakyat masa tu buruk – buruk. Kalau pondok – pondok pengajian ugama lagilah buruk. Saya tiada motivasi dan arah tuju belajar masa tu. Ayahanda otak lain, guru otak lain. Saya jadi otak – otak. Yang ada hanyalah peperiksaan. Saya hanya berlumba untuk dapat nombor satu dalam kelas dan dari dulu, saya tak pernah dapat kecuali nombor satu.

Sehinggalah saya berpindah ke Maahad Muhammadi di bandar Kota Bharu. Sekolah yang cantik dan hebat. Saya mula di kelilingi suasana persaingan yang hebat. Saya jadi takut bila nombor satu terlepas dari tangan dan saya ketinggalan. Saya tertekan dan menyesal pindah sekolah.

Di Maahad, saya mengenali kawan baik saya, Us Mohd Zahiruddin Mohd ( kini beliau adalah Timbalan Ketua DPPK Pengkalan Chepa. Timbalan saya ). Dengan bantuannya saya mengenal kekuatan diri. Saya kembali bersaing dalam kelompok terbaik. Saya mula seronok bersaing dan belajar. Saya cemerlang lagi dalam SRP ( kini PMR ). Bau hospital sekali lagi menusuk hidung. Aku mahu jadi doktor. Aku mahu ke sekolah asrama penuh.

Sekali lagi ayahanda buat tak tahu. Saya kekal di Maahad Muhammadi. Pintu hospital tertutup sudah. Dumm! Saya melihat diri.. Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz.. Saya selalu bertanya, untuk apa kecemerlangan? Ke mana kecemerlangan mahu membawa saya?

Saya tak pernah tahu masa itu bahawa jawabannya ada di depan saya. Di depan saya sejak kecil lagi. Tiada siapa memberitahu saya bahawa ayahandalah jawabannya. Kecemerlangan adalah untuk membina insan. Insan itu adalah ayahanda sendiri. 

Dalam duka itu, Allah memberi jawaban. Saya dirapati abang – abang kelas atas. Dari tingkatan dua lagi saya mengikuti program badan dakwah sekolah. Qiamullail. Kemudian rehlah. Kemudian usrah. Saat ini, saya mengingati seseorang yang di bahunyalah  tanggung jawab inqaz dan menyelamat.

Ustaz Zulkifli Ismail. Kami memanggilnya Ustaz Zul Melaka. Semasa tiba di Mesir, saya dengar orang memanggilnya Ustaz Zul Akhlaq! Hari ini beliau kecintaan Pas Melaka. Beliau sinar di dalam Dewan Ulama Pusat. Beliau naqib saya sepanjang zaman. Peliknya, beliau selalu menyebut saya sebagai gurunya. Patutlah kawan – kawan memanggilnya Zul Akhlaq. 

Tingkatan empat saya beranjak. Anjakan Paradigma. Cahaya datang berlapis – lapis. Rupa – rupanya, di sebalik rupa buruk wajah bangunan sekolah ugama ada kecantikan yang tiada bandingannya. Tahun itu saya berkata, aku adalah untuk ugamaku. Seperti ayahandaku.

Demikianlah program usrah mengubah hidupku.