You are currently browsing the category archive for the 'Uncategorized' category.
Salam Kamunting,
Saya belum menulis pasal Syiah apa - apa pun. Hanya sekali saya sentuh, iaitu ketika perang Lubnan - Israel yang terakhir dulu. Saya sebut, usah hiraukan Sunni - Syiah. Mereka adalah tentera tauhid seperti kita tengah menentang sebesar - besar tentera kufur di muka bumi. Saya sebut apa yang disebut oleh Al Qaradhawi masa mengulas isu perang tersebut.
Seawal saya menulis di blog, saya terus diminta menulis mengenai Syiah dalam PAS. Saya katakan, nantilah. Saya tak minat dan saya tak suka campur perihal yang panas - panas, sedang ianya tidaklah sebesar tujuan dan matlamat saya menulis di blog ini. Blog saya adalah untuk PAS dan dakwahnya, selain untuk membaham Islam Hadhari sehingga sesatnya itu tidak lagi difahami secara sesat oleh umat Melayu di negara kita sehingga kedua - duanya jadi sesat.
AlhamduliLlah, saya fikir saya telah menyumbang sesuatu di blog ini. Saya memiliki peminat yang menjadikan blog saya sebagai bacaan tetapnya ketika berlayar di internet. Ada 10 orang pun cukup, inikan lebih berganda - ganda daripada itu.
Hari ini saya akan sentuh mengenai Syiah. Sentuhan, bukan tamparan. Bukan tamparan, tetapi sentuhan yang mengubati seperti si ibu mengusai rambut si anak yang kepanasan demam, atau sentuhan yang meredakan seperti pak imam lebai mengusap kepala si budak yatim yang kematian sandaran hidupnya.
Saya jadi semacam bila mendengar cerita sekumpulan peminat ( penganut mungkin? ) mazhab Syiah menggunakan nama PAS untuk mengadakan program yang turut mempromosi Syiah dan ajarannya di Kota Bharu baru - baru ini. Kemudian saya lihat ianya diulas pendek oleh timbalan bos saya, Ustaz Nasrudin Tantawi di dalam blognya yang turut meminta saya jangan tak ambil tahu. Ambil tahu dan bertindak.
Saya fikir sebelum saya bertindak, saya tulis dulu. Itu tanda ambil tahu dan tanda akan bertindak, insya Allah.
Syiah cerita lama. Selama cerita Ahlis Sunnah wal Jamaah lebih kurang. Tetapi di Malaysia, ia cerita baru. Ia tak datang ketika mazhab Ahlus Sunnah datang ke Tanah Melayu bersama penyebaran dakwah Islamiyah pada hari pertamanya dulu.
Maka di sisi masyarakat Melayu, ia tiada kesohoran langsung sehinggalah ianya menjadi tersohor mendadak - dadak dan begitu tiba - tiba sekali sebaik selepas revolusi Khomeini di Iran. Macam mudahnya Islam masuk Tanah Melayu dulu, nampaknya mudah juga mazhab Syiah bertapak di Malaysia. Bezanya, ia meresap mudah kepada segelintir umat Melayu, bukan semuanya.
Cumanya tak mudah sangatlah kali ini. Melayukan bangsa jenis mudah - mudah. Mudah berkira macam cerita Pulau Batu Putih. Kalah pun, kira win winlah. Mudah terima macam WPI. Tergadai tanah pun, terima sajalah demi pembangunan. Mudah lupa macam macam - macam dah yang Melayu telah lupa daripada sengsara dek kerakusan ahli politik mereka. Mudah memaaf dan mudah mengangguk. Paling jelas, mudah meniru. Jadi, apa pelik jika Syiah menjadi tersohor dengan begitu tiba - tiba.
Cumanya, kali ini nampaknya taklah mudah sangat. Syiah hanya meresap dan diterima segelintir yang sedikit sekali. Tetapi saya tak kata ia tak bahaya. Syiah bahaya sekali. Ia merosak dan memunahkan akidah suci yang dibawa oleh nabi kita Muhammad sallallahu alaihi wasallam untuk umatnya yang sederhana dan sempurna.
Justeru ia jadi sukar untuk masuk ke Malaysia. Sebab ia melibatkan akidah yang telah difahami lebih awal oleh para ulama dan tok - tok guru di negara kita. Ia sejarah lama. Maka bukan payah untuk mengenali Syiah dan ajarannya. Berlambak di dalam kitab - kitab turath yang lama - lama.
Ia tidak seperti fahaman - fahaman baru seperti sekularisme dan nasionalisme yang memang tidak dibincang panjang - panjang, malah kadang - kadang tak tersebut pun dalam kitab - kitab dahulu kala yang beratus - ratus tahun dulu. Maka ia mudah diterima masyarakat Melayu walaupun akidahnya, apa bezanya dengan Syiah. Sama - sama sesat dan salah. Semuanya jenis Ayah Pin juga.
Syiah payah masuk dan diterima sebab pertahanan telah lama dibina kitab - kitab dan para ulama. Sekularisme mudah masuk dan diterima sebab pertahanan baru dibina oleh kitab - kitab dan para ulama kita. Maka di negara kita, sesat kerana fahaman sekularisme jauh mendahului sesat kerana Syiah dan ajarannya.
Lebih malang, sesetengah yang melawan Syiah di negara kita hari ini mendukung sekularisme pula atau bersekongkol dengannya pula. Sunnah lawan Syiah tu ya. Sunnah lawan sekularisme pun ya. Sekularis lawan Syi’ie buat apa? Sesat lawan sesat bukan bawa hasil hidayah apa - apa pun.
Syiah menyalahi ajaran Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam perkara - perkara besar yang menyentuh akidah. Ia dimasukkan dalam kelompok ajaran - ajaran sesat yang pernah tumbuh melata dalam sejarah kehidupan umat Islam sepanjang zaman. Kebanyakan ajaran - ajaran sesat ini ghaib ditelan zaman. Setiap masa adalah Allah mengutuskan daripada kalangan hambanya yang beriman para ulama yang bermati -matian menentang kesesatan dan penyelewengan dalam beragama.
Islam agama suci. Ia dijaga tuhannya untuk manusia akhir zaman agar mereka tidak keliru untuk memperolehi hidayat dan petunjuk. Umat ini penuh pancaroba ujian hidupnya di akhir zaman. Justeru ia memerlukan cahaya yang terang bersuluh untuk memudahkannya menggapai petunjuk dalam kegelapan. Maka cahaya itu dijaga sebaiknya. Itulah Islam yang dijanji kesuciannya oleh Allah, tuhan Maha Penyayang.
Justeru apabila lahir ajaran - ajaran yang menyesatkan daripada kalangan umat sendiri, ia segera dilenyapkan. Itulah yang berlaku dalam sejarah. Ada yang datang sekejap dan ada yang lebih lama. Hari ini sekejapnya macam ajaran Ayah Pin. Lama sedikit macam ajaran al Arqam. Lama lagi macam ajaran sekularisme yang dipimpin Pak Lah hari ini. Adakah sekularisme takkan hilang? Tidak, ia akan hilang dilipatan sejarah yang menunggu. Tak sekular tak hilang di dunia. Saudaranya, komunisme dah pun luluh hancur.
Dalam banyak - banyak itu, ajaran Syiah boleh kira paling lama. Ia cukup liat dan sukar dilenyapkan. Ia menjadi nanah yang agak lama untuk disembuhkan daripada umat ini. Macam penyakit dalam tubuh, walau ada ubat, tetapi tak semuanya cepat dan sempat disebutkan, malah kadang - kadang membawa maut.
Mengapa Syiah sukar lenyap? Malah, tapaknya tampak kukuh kembali hari ini?
Jawabnya, kerana ia bersandar pada sandaran yang kukuh sekali dan tumbuh di semaian yang subur sekali.
Sandarannya cinta Ahlul Bait. Cinta ahli keluarga RasuliLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Tapak semaiannya adalah sejarah dan peristiwa penganiayaan terhadap mereka yang begitu menyayatkan hati setiap muslim. Ia tumbuh demi cinta dan pembelaan terhadap keluarga Rasulullah.
Apa anda tahu tentang cinta? Anda tahukan. Cinta itu buta dan cinta itu gila. Cinta itu suci dan cinta itu air mata. Cinta membakar keapian dan cinta menyiram salju kesyahduan.
Samada cinta itu suci atau terlarang, anda ternganga mendengarnya. Hati anda terbakar sekali atau hati anda jadi basah kesyahduan. Tak kiralah cinta nabi Allah Yaakob atau cinta Zulaikha pada nabi Allah Yusuf alaihimassalam. Kedua - dua kisahnya adalah epik kehidupan.
Begitulah Syiah. Daripada rasa cinta dan dendam mereka membina diri dan membakar kesucian. Ia buta dalam cinta. Dalam syiah ada cinta bertompok, kecewa melata, dendam kesumat, benci membara dan tuduh - menuduh. Semua terbakar menjadi akidah yang sia - sia.
Mazhab berdasarkan sentimen dan perasaan. pemujaan dan pentaqdisan. Mazhab yang pernah kerananya dulu pernah menjadikannya satu agama seperti Yahudi dan Nasrani. Tidakkah mereka mentaqdiskan Isa dan Musa juga selain keluarga mereka.
Begitulah bayangan ajaran Syiah. Ayat - ayat cinta terlarang, lalu bersujud mereka pada sejadah yang cemar dan jelek.
Mereka berkembang dalam sejarah menjejerkan rasa dan perasaan ini. Maka ia diterima demi cinta yang didakwa suci dan benar.
Iman boleh kerana sentimen, tetapi ia punah nantinya jika tiada ilmu yang benar dan hakiki.
Di negara kita, anda lihat bagaimana ia masuk. Tidakkah ia bermula dengan hangat revolusi, tetapi kini ia kembali kepada asalnya demi gendang dan paluan yang lebih kuat dan bergelombang. Ia kembali kepada nama - nama Ali, Fatimah, Hasan dan Husain serta nama - nama daripada sebuah keluarga paling suci dalam kehidupan manusia. Pastinya ia menggamit rasa penuh perasaan.
Ia pun tumbuh di negara kita. Hari ini ia adalah mazhab kecil. Mazhab sesat yang kerdil tetapi ia telah bertapak dan apabila ia bertapak ia akan jadi barah yang sukar diubati dan dihilangkan. Rasa cinta dan dendam menarik dengan kuat dan kejap sekali.
Ketika kita kuat, ia tak terhalang. Ketika kita lemah hari ini, bagaimana mudah untuk kita menghalangnya?
Salam Kamunting,
Jarum jam dinding di depan saya menunjukkan waktu pukul 2.10 pagi. Saya ambil keputusan menulis di blog ini selepas mata saya semacam terkena penangan kopi radix HPA yang sungguh terkenal itu. Walau saya diulik isteri sekalipun, saya fikir tidak mudah terulik dan lena. Mata saya nyata lebih segar daripada tubuh sendiri.
Kopi ‘radix’, selepas kopi ‘tok guru’ adalah minuman kegemaran saya sebelah petang. Minuman kegemaran saya sejak kecil adalah tea ‘o’ panas. Sebelah pagi mesti milo panas. Isteri saya kata, dia terpaksa berlatih dan try an error bertahun - tahun untuk mahir membuat tea ‘o’ dan milo panas, kena dengan selera lidah dan mulut saya. Bila kopi segera ( 2 dalam 1 sampai 10 dalam 1) diperkenalkan, dia hanya perlukan sehari sahaja untuk mahir selera saya. Apa taknya, pastikan air panas secawan cukup, selera saya segera datang.
Masa kecil, walaupun kopi itu sedap, tetapi rumah ( ayah ) saya tak buat kopi. Saya lekat kegemaran ayahanda saya, tea ‘o’. Bila selera tiada, tea ‘o’ akan membukanya. Tea ‘o’ nampak mudah, tapi payah untuk ummp dengan selera saya. Akhirnya, tiada yang menjiwai selera saya selain isteri tersayang.
Isteriku, walau ku miliki empat isteri, kaulah di tempat pertama di hatiku.. ( Jawab isteriku, itulah bahasa standard lelaki sejak beribu tahun.. he he )
Apapun saya kini berusaha untuk banyak minum air mineral. Saya terpaksa percaya, air mineral adalah terbaik untuk kesihatan diri.
Tadi saya balik lewat, jam 1 pagi lebih. Saya baru habis menghadiri mesyuarat agung Dewan Pemuda PAS kawasan Pengkalan Chepa kali ke 30 yang bermula selepas solat maghrib tadi. Saya tak tahu ada PAS kawasan lain bermesyuarat agung pada sebelah malam kecuali DPPPC sahaja. Itu amalan kami semenjak beberapa tahun lepas. Kami bertuah sebab dewan tempat kami bermesyuarat agak selesa, bahkan mungkin paling selesa bagi para pendukung PAS di Malaysia.
PUTIK ( Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan ) terletak di Pengkalan Chepa, betul - betul di depan padang Lapangan terbang Sultan Ismail Petra. Orang kata, Datuk Seri Anuar Musa dan anak buahnya akan segera berpaling ke kiri atau ke kanan setiap kali kapal terbang MAS dan Air Asia mendarat demi mengelak pantulan cahala bulan yang memancar cantik dari dinding bangunan PUTIK yang ditekatkan dengan lakaran bulatan hijau putih yang besar dan dicahayai lampu di tengah malam.
Bulan besar itu adalah ucapan salam dan selamat datang rakyat Kelantan ke negeri bertuah Serambi Mekah ini kepada seluruh pelancong luar yang memasuki Kelantan melalui jalan udara ini. Hanya yang berotak biru sahaja yang berat hati menyambut salam PUTIK. Mat saleh bertopi biru nampak senyum saja.
Lokasi PUTIK tampak agak kena untuk tujuan promosi ( termasuk membunuh ego UMNO ). Tetapi ia agak jauh ke utara Kelantan dan ke hujung pesisir pantai Sabak ( tempat tentera Jepun mula mendarat di Tanah Melayu era penaklukannya dulu ). Justeru dewan besar PUTIK yang merupakan dewan besar tercantik dan tercanggih yang pernah dibina oleh PAS jarang digunakan.
Yang acap menggunakannya kamilah. PUTIK seperti jadi milik kami pemuda PAS Pengkalan Chepa. Dewan besarnya kami gunakan untuk program - program besar kami sperti mesyuarat agung, seminar peperiksaan, motivasi dan lain - lain. Masjidnya biasa kami gunakan untuk mengadakan usrah pemuda kawasan dan perjumpaan dengan pemuda - pemuda PAS cawangan. Padang hijaunya yang tak berapa besar itulah tempat riadhah saya dan rakan - rakan di sebelah petang. Kadang - kadang kami membarbeku di sini juga.
Jadi, kami selesa menggunakannya samada di sebelah malam atau siang. Jadilah mesyuarat agung Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa yang saya adalah ketuanya diadakan di sebelah malam tanpa apa - apa yang tidak selesa. Kami boleh menamatkannya lebih awal atau memanjangkanya hingga ke larut malam. Permit Pak Lah tidak kami perlukan kerana ini rumah kediaman kami.
Dua yang tak patut Pak Lah kacau; Kediaman dan blog. Dua yang patut Pak Lah kacau; Khairi dan Najib. Kacau, jangan tidur.
Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa adalah kecintaan saya. Saya mengetuainya selepas 4 tahun saya pulang daripada pengajian di luar negara. Umur saya waktu itu 31 tahun. Sekarang sudah 7 tahun berlalu. Di medan inilah saya belajar mengenal kehidupan dan perjuangannya. Kawan - kawan saya ramai sekali di sini. Saya menikmati sokongan padu mereka. Ketika senang kami saling menikmatinya dan ketika susah merekalah pembantu saya.
Pernah seorang sahabat baik luar kawasan mengingatkan saya dengan kerenah politiking dalaman parti yang mungkin memangsakan saya. Saya spontan menjawab, jika saya jatuh di sana, saya tidak akan jatuh di sini. Itulah tahap keyakinan saya dengan apa yang telah saya semai di tanah yang saya adalah tuannya.
Saya usahakan sedaya upaya apa yang saya pelajari mengenai dakwah dan fiqhnya di sini. Dakwah adalah cinta, kata murabbi saya, Ustaz Yahya Othman yang mengulangi apa yang telah disebut oleh para ulama dan murabbi di medan dakwah. Ukhuwwah atau persaudaraan Islam adalah kekuatan yang meyakinkan. Anda tidak akan tumbang selagi anda bersandar kepadanya.
Pedang adalah kekuatan. Tetapi pedang akan longlai dan terlucut kecuali di tangan pemilik akidah yang sahih dan ukhuwwah yang hangat.
Saya lakukan di DPPPC apa yang bagi saya boleh mengikat dan memperteguhkan ikatan persaudaraan sesama kami. Kami berkenalan, berborak, berjamu, berbelanja, berlarut malam, beriadhah bersama, berbaik dan bertengkar bersama - sama. Kami cari duit dan kami membelanjakannya beramai - ramai. Kami berusrah dan berqiamul lail bersama - sama.
Kemudian, di sinilah saya praktikkan amalan syura. Setiap kami tiada yang malu memberi pandangan walaupun mereka malu untuk berucap. kami pernah berbalah hampr sejam memilih kuih terbaik untuk jamuan program besar kami. Hasilnya, kuih pilihan kami dipuji habis sedapnya!
Saya memilih untuk tidak memilih hak sebagai ketua kecuali sedikit. Setiap Dewan ada jawatan kuasa hariannya yang lebih kecil dan ekslusif. Di DPPPC, saya menidurkannya ( ganti mematikannya ). Setiap urusan saya akan selesaikannya dengan memanggil mesyuarat penuh. Kami bukan berjauhan pun. Dari hujung ke hujung kawasan adalah sekitar setengah jam perjalanan kereta. Dekat dan mudah sahaja untuk bertemu.
Hasilnya lumayan. Kami saling rindu untuk sentiasa bertemu , berbincang dan berprogram. Hasilnya hebat, duit tabungan kami semakin hari semakin meningkat. Saya lantik daripada yang tidak terpilih dalam mesyuarat agung sahabat yang pandai cari duit, wang dan harta apa - apa saja.
Jika anda mahu sesuatu, mahirinya atau berkawan saja dengan yang memahirinya. Anda pasti dapat.
Jadi, DPPPC penuh dengan kemahiran yang saya tiada memilikinya tetapi saya memliki hasilnya. Daripada yang pandai ‘membakar’ sehinggalah yang pandai ‘menggoreng’ dan ‘menyira’. Kalau dah tak boleh jadi nasi, bisa sahaja kami tukarkannya kepada bubur yang sedap sekali.
DPPPC ada kaki ceramah, kaki lawan, kaki kritik, kaki bola, kaki masak, kaki PASTI dan kaki projek.
Saya tidak fikir DPPPC ada loyar buruk atau lidah bercabang atau batu api atau kaki pukul.
Inilah DPPPC yang saya ketuainya sejak 7 tahun lepas. Saya mencintainya kerana saya tenang bersahabat dan berjuang di sini. Saya mencintainya kerana kami saling mencintai sesama kami dan perjuangan ini. Semuanya kami mengharapkan keredhaanNya bahawa kami telah melakukan yang termampu untuk menjadikan PAS betul - betul bagus dan baik untuk menjadi sebuah gerakan Islam yang unggul untuk masa depan umat Islam di Malaysia.
Mesyuarat Agung DPPPC kali ke 30 yang disempurnakan perasmiannya oleh Yang Berhormat Che Abdullah bin Mat Nawi, exco kerajaan Negeri Kelantan dan ADUN Wakaf Baharu tadi telah berlalu dengan suasana yang agak tenang dan penuh ceria. Kami baru lepas berpenat lelah berjuang di dalam pilihan raya umum ke 12 baru - baru ini yang menyaksikan kemenangan besar gerakan Islam dan pembangkang.
Kami menikmati sokongan padu anak - anak muda yang telah mengundi dan melakar majoriti besar untuk Islam di Pengkalan Chepa khususnya. Purata undi saluran muda di seluruh UPU Parlimen Pengkalan Chepa adalah 69.7%. UPU Semut Api di DUN Kijang mengungguli carta dengan 82% anak muda telah mengundi PAS.
Ketika BN berslogan ‘cukuplah 18 tahun pemerintahan PAS’, mereka menterjemahkannya dengan hanya 18 orang undi muda untuk UMNO daripada setiap 100 orang.
Syabas, tahniah dan terima kasih anak muda Pengkalan Chepa! Anda melakar majoriti besar untuk Islam.
Terima kasih juga buat sahabat - sahabat AJK, unit amal dan semua yang telah berpenat lelah menjayakan mesyuarat agung DPPPC kali ini. Semoga Allah melengkapkan keseronokan ini dengan petunjukNya yang terang benderang menerangi kegelapan duniawi.
Sentiasalah jenguk - jenguk ke blog DPPPC.
Salam Kamunting,
Saya kerap musafir seminggu dua ini.
Streamix di rumah pula beronar seminggu dua ini.
Lama sudah saya tak hilang barang berharga.
Minggu ini, laptop saya hilang..
Daripada bersedih, saya fikir lebih baik senyum sendirian.
Kerana saya masih mampu tersenyum dalam rasa teruk ini.
Semoga saya mampu menangani semua keadaan yang lebih teruk.
Sehari dua lagi saya kembali, insya Allah.
He he, senyumlah. Brahim Ali bergaduh dengan Karpal Singh pulak.
Salam Kamunting,
Sudahkah anda membaca buku ‘Dari Beirut ke Jerusalem’, sebuah cerita benar oleh Dr Ang Swee Chai? Jika belum, saya segera menyarankan anda membacanya, samada dalam edisi asalnya, ‘From Beirut to Jerusalem’ atau edisi Bahasa Melayu yag diterbitkan oleh HARAKAH.
Saya menemunya di celah - celah lambakan buku di dalam kereta Toyota Unser Ustaz Riduan Mohd Nor semasa dalam perjalanan bersamanya memberi kuliah ugama di sekitar Lembah Kelang pada awal tahun ini. Ustaz Riduan yang baru sahaja menyiapkan dan menerbitkan buku barunya, ‘Makkal Sakhti’ yang beberapa kali dipunggah masuk ke Pesta Buku Antarabangsa di Kuala Lumpur baru - baru ini dek lakunya adalah rakan seperjuangan saya yang telah banyak meghasilkan buku - buku Islami yang bagus - bagus.
Tak hairanlah semasa menaiki keretanya, saya terpaksa mengalih, membetul dan menyusun buku - buku yang berselerakan di dalam keretanya. Hari itu, pandangan saya hinggap di buku tebal lebih 400 muka surat itu.
Beliau memuji buku itu selepas saya menyatakan pandangan saya, sebaik membelek - belek helaiannya, bahawa buku ini mesti bagus isinya. Beliau yang belum habis membaca buku itu terus menyarankan saya membacanya juga. Saya menyeluk saku dan menghulurnya RM20 rasanya. “Anta beli lain. Tak cukup halalkan.” Beliau menjampuk, “Mampus aku!” Kereta meluncur laju dan saya terus menatap buku itu.
Ia sememangnya sebuah buku yang cukup menarik dan bagus untuk dibaca. HARAKAH menerbitkannya sempena 25 tahun tragedi pembunuhan beramai - ramai rakyat Palestin di kem Sabra dan Shatila yang menyayatkan. Ia menjadi parut yang menghantui umat Islam seluruh dunia dan menjadi lambang kekejaman dan kerakusan Yahudi di bumi Palestin yang terjajah.
Saya bercadang segera menulisnya di sini seusai membacanya. Tetapi Pak Lah memalu gendang perang, Islam vs Islam Hadhari. Saya segera memakai baju perang pilihan raya dan terus lupa menulisnya.
Dr Ang Swee Chai adalah seorang penganut Kristian yang lahir di Pulau Pinang sebelum berhijrah bersama suaminya ke England dari Singapura. Sifat perihatinnya kepada isu - isu kemanusiaan telah berkembang subur di dalam fitrah ciptaan Tuhannya, lalu melorongnya ke medan kebajikan dan kemanusiaan sejagat. Beliau dengan pelbagai anugerah keperwiraan adalah seorang wanita contoh untuk kehidupan hari ini yang penuh kezaliman, penganiayaan dan tanpa belas kasih.
Beliau memuji Islam dan penduduk Palestin, terutama pejuangnya yang berjuang mempertahankan bumi Palestin daripada penjajahan Yahudi terlaknat. Apabila beliau memuji, tiada yang dapat memesongkan rasa ikhlas dan tulusnya. Berani adalah sifatnya yang hilang daripada jiwa umat muslim hari ini. Jika ada, ia adalah untuk pejuang Islam di bumi Palestin hari ini.
Saya beberapa kali menitiskan air mata. Semuanya menghibakan. Malu, rasa bodoh, rasa hina dan rasa bersalah menghantui diri. Saat membacanya adalah saat - saat jiwa menjadi hidup dan basah.
Jika ada rasa terkilan, maka ianya adalah untuk Dr Ang Swee Chai sendiri. Saya hanya berkata, jikalah beliau seorang muslim, pasti Allah tidak mensia -siakan kerja besarnya di dunia ini. Setiap kali terhenti membaca, saya memdoakan hidayah untuknya.
Bacalah. Saya akan membeli beberapa naskhah lagi sebagai hadiah buat teman terdekat.
Salam Kamunting,
1)
Semasa kecilnya, seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan ras, dengan penuh rasa bangga mengiringi pemergiannya dengan doa dan harapan kejayaan untuknya moga dia berjaya pula di masa depannya mengukir nama negara di mata dunia sebagai seorang anak Malaysia yang cemerlang dan terbilang.
Pesan itu pula berkata, jika seluruh manusia berkumpul dan mencipta segala usaha dan doa untuk menyampaikan manfaat apa-apa kepadamu, nescaya mereka pastikan gagal kecuali dengan izinNya jua. Jika pula seluruh manusia berkumpul dan mencipta segala usaha dan doa untuk menyampaikan mudharat apa-apa kepadamu, nescaya mereka pastikan gagal kecuali dengan izinNya jua.
Hari ini dia rebah dan tercampak di lembah hina, di luar kotak usaha, doa, impian dan jangkaan. Doa dan harapan kita tersasar daripada kehendakNya. Siapalah kita?
Adakah kita membalasnya dengan sumpah seranah terhadapnya, atau kedua ibu bapanya, atau persekitarannya pula agar kita pun seiring kehendakNya itu?
Ketahuilah, kehendakNya tiada yang mampu memintas. KehendakNya adalah bebas dan tanpa batas. Kita lemah menekaNya kecuali sering terbabas daripada lurus jalanNya.
Kembalilah kepada doa. Doa adalah ikhtiar jua. Doa adalah penyerahan dan iman. Doa adalah kesukaanNya bahawa hambaNya mengenaliNya dengan sesungguhnya.
Doa bukanlah tali buat menariknya keluar dari lembah hina. Doa hanyalah nyanyian tasbih dan puji-pujian seorang hamba atas segala sarat kehendakNya. Doa hanyalah siulan rasa syahdu seorang hamba di hadapan agung inginNya.
Semoga Allah membuka dan mendepa rahmatNya ke atasnya dan kita jua.
2)
Semasa gagahnya, dialah pahlawan dan dialah jagoan menentang Islam, apatah pejuangnya. Jasanya untuk negara adalah besar sedang balanya untuk negara adalah lebih besar.
Kerananya banyak sekolah ugama ditutup dan ditinggalkan. Kerananya ramai pejuang kebenaran disumbat ISA dan dikerjakan. Kerananya pembaziran wang negara menjadi hidangan mata sang marhaen.
Kini, dia telah tua. Esok dia akan mati. Dia masih juga tunjuk gagah. Dia terus menyerang sebagai mana dulunya. Dulu menyerang rakyat, kini menyerang pemimpin pengganti pilihannya dulu.
Dulu, dunianya dipenuhi kebencian terhadap Islam dan pejuangnya. Dunianya mengikatnya daripada mengukur diri di hadapan tuhannya.
Kini, dia telah tua. Esok dia akan mati. Tetapi duniawinya terus mengikatnya dan membelitnya. Dia terus bercakap untuk membaiki dan merawat UMNOnya.
Kita doakanlah untuknya, bukan untuk UMNO. Jika UMNO segar kembali, kuatlah permusuhannya terhadap Islam. Banyaklah balanya menimpa umat.
Kita doakanlah untuknya agar dia diberi hidayat. Agar dia tahu masanya kini adalah untuk kuburnya yang menanti. Masanya kini adalah anugerah dariNya agar dia kembali kepadaNya menyuci diri daripada segala karut marut perbuatannya menghambat pejuang Islam di bumi ini.
Tuhanku, leraikan belitan duniawi yang memagari dirinya daripada menginsafi hidupnya. Tiada rakyat Malaysia kecuali menginsafi jasanya untuk negara. Sejukkan hatinya yang kepanasan itu dengan simbahan hidayat dan nur Mu di bumi yang gelap tanpa cahaya Mu ini.
3)
Mereka marahkan PAS kerana babi itu. Mereka marahkan PAS kerana mahu membenarkan babi itu hidup lebih selesa sebelum dimakan oleh pemakannya.
Mengapalah UMNO ini? Semua kehidupan menjadi hina di sisi mereka. Membela si marhaen miskin pun dimarahi. Membela babi pun dimarahi. Adakah kemuliaan hidup hanya dengan membongkok diri menyokong UMNO?
Adakah babi menjadi hina hanya kerana kita dilarang memakannya?
Jika begitu, hinalah wanita yang haid hanya kerana kita dilarang mendekatinya?
Begitukah ilmu Islam yang difahami UMNO?
Padanlah. Kehidupan sentiasa hina di sisi UMNO kecuali apabila membongkok diri pada UMNO sahaja.
( Penternakan babi secara tradisional merosakkan kehidupan manusia dan alam sekitar. Kalau pun keselesaan hidup babi itu tidaklah mendesak, tetapi umat Islam lebih terdesak untuk hidup selesa tanpa ancaman penternakan babi yang merosakkan.)
Inilah kepingin saya sejak dahulu. Penternakan babi mestilah dimodenkan demi keselesaan hidup di negara tercinta.
Lebih baik menghina manusia berperangai babi daripada menghina babi yang memang babi.
Salam Kamunting,
Saya menulis dari Kelantan. Sepanjang tempoh kempen pilihan raya berlangsung saya tetap di sini dan tak keluar - keluar lagi, bahkan tumpuan saya adalah di Pengkalan Chepa, pangkalan dan kubu PAS terkuat di negara kita.
AlhamduliLlah, saya telah dapati apa yang saya tulis dan bimbangkan sebelum ini mengenai fasa pertama tempoh pilihan raya yang memeritkan, iaitu saat menentukan dan menamakan calon yang akan bertanding telah berjaya dilepasi oleh PAS. Selepas penamaan calon selesai, jentera nampaknya bersatu sekali walaupun kekemasannya tidaklah sekata kekuatannya di antara Majlis Tindakan DUN (MTD) sejumlah 45 buah itu.
Saya lihat dan fikir masa itu, ayahanda Tuan Guru Pesuruh Jaya PAS Kelantan agak sukar membuat pilihan dan keputusan. Saya menyaksikan kekalutan itu sampai saya terus memendam sampai sekarang hasrat saya untuk turut mencadangkan beberapa tokoh yang menjadi pilihan saya. Biasalah, cadangan dan percaturan bertubi - tubi dari luar ( akar umbi ) dan dalam ( pimpinan ) mengasak ayahanda lalu meletihkannya.
Mujurlah, berkat doa semua pejuang, keadaan menjadi reda sungguh selepas hari penamaan calon tersebut. Saya mendapat khabar ada dua kumpulan yang berselisih panas akhirnya berjaya disatukan dan kedua - dua pemimpin itu saling berpelukan dan bermaafan, lalu mereka turun padang bersama. Begitu juga dengan perselisihan dengan PKR yang tampak sukar di awalnya, akhirnya lerai apabila calon yang bertanding mendapat restu kedua - dua pihak.
UMNO nampaknya tewas di sini. Pak Lah dan Dato Sri Najib nampaknya terpaksa berulang - alik ke Kelantan dengan acap sekali ( tidak sebagaimana zaman Tun Mahathir ) bagi menyatukan jentera BN yang berpecah - belah. Ia nyata sekali sampai siaran televisyen pun menyiarkan ucapan Dato Sri Najib yang mengingatkan ketiga - tiga pemimpin BN Kelantan yang bertelagah agar bersatu. Pak Lah pula sampai dua kali datang dalam minggu terakhir ini.
Musim pilihan raya adalah musim bekerja untuk Islam. Anda tidak dapat melihat bagaimana semua kita mampu berfungsi untuk kemenangan Islam sebagaimana di musim pilihan raya sebegini.
Daripada seorang ketua dan pimpinan yang merancang, mengarah dan memantau, kemudian jentera penerangan yang berceramah, berkempen dan melancar propaganda, kemudian jentera di akar umbi yang bergerak dari rumah ke rumah, mencula, membekal, mengawal selia keselamatan kampung, pos dan markaz, menampal poster, menaikkan bendera, mencipta pelbagai kreativiti yang memukau dan menarik perhatian sehinggalah perang sms dan siber, semuanya membuktikan peranan muslim untuk Islam adalah dalam kemampuan dan benar belaka.
Allah pasti tidak mensia - siakan amalan soleh hamba - hambaNya yang berjuang di jalanNya. Dialah Tuhan di langit dan di bumi.
PAS membentuk jentera jihad pilihan raya yang hebat. Pada setiap kali pilihan raya umum, jentera jihad ini ditambah berganda - ganda dengan fungsi yang pelbagai berbanding keadaan biasa sebelum pilihan raya. Di Parlimen Pengkalan Chepa, jentera di peringkat Unit - unit Peti Undi ( UPU ) sahaja hampir mencecah seribu orang. Jika skala sama dipakai di parlimen lain, maka Kelantan sahaja membariskan barisan pejuang yang tersusun seramai 15 ribu orang. Justeru jentera PAS seluruh negara pasti mencecah 100 ribu orang yang bergerak dengan arahan dan tindakan yang satu dan tersusun.
Sesungguhnya Allah cukup suka melihat hambaNya berjuang di jalanNya dalam satu saf yang tersusun bagai satu binaan yang kukuh. Mereka semua bekerja tanpa upah yang wajib. Upah mereka, mereka tagih di akhirat nanti.
Bagaimana PAS memperolehi kekuatan ini? Pastinya kerana hasil perjuangan yang lama dan konsisten. Jika dulu PAS berada di tepian yang dijanggali, kini PAS sudah di arus besar setanding seteru utamanya, BN yang berpaut penuh pada jentera kerajaan dan jentera parti yang mesti diupah dan disuap wang dan janji manis sebelum dan selepas bekerja.
Menyatukan umat adalah kewajiban ugama yang utama. Melorong mereka ke medan perjuangan Islam adalah kewajiban juga. Menyusun mereka di dalam barisan jentera adalah kewajiban seterusnya. Kemudian gerakkan mereka untuk bertindak demi Islam yang disayangi.
Bila jentera ini bergerak, musuh menjadi kaget, takut dan gerun. Menggerunkan musuh adalah ibadat yang hebat.
Saya yakin rakyat Kelantan akan terus mengundi PAS untuk memberi laluan kepada cara hidup Islam diterapkan dalam kehidupan mereka. Saya yakin rakyat Kelantan akan menolak BN demi menutup laluan kepada usaha - usaha menjahanamkan segala hasil usaha yang dibina oleh PAS selama semenjak 18 tahun yang berlalu. Rakyat Kelantan samada yang berada di negeri Kelantan atau di luar Kelantan cukup prihatin dengan perkembangan politik negara. Mereka ada kekuatan untuk membuat pilihan sendiri dan mereka tidak terdesak untuk dijual beli undi mereka demi habuan yang menghinakan. Satu undi adalah maruah dan amanah agama.
Ini keyakinan saya berdasarkan apa yang saya renungi dan teliti daripada perkongsian saya dengan rakyat Kelantan di mana - mana. Hari ini, beberapa hari menjelang pilihan raya berlangsung, keadaan seperti mahu segera mengesahkan apa yang saya yakini. Laporan yang datang daripada pelbagai sumber mengesahkan PAS akan memperolehi kemenangan besar di Kelantan dalam pilihan raya kali ini. BN akan kalah lagi sebagaimana sebelumnya. Itulah yang saya perolehi daripada dalaman parti, daripada dalaman BN juga dan kajian luar yang lebih berwibawa.
Tetapi Malaysia bukanlah negara yang adil. Ia bukan negara yang menghormati kuasa rakyat. Rakyat hanyalah hamba abdi yang mesti melutut kepada kehendak pemerintah. Rakyat hanyalah patung - patung yang akan diperkudakan sekehendaknya oleh parti yang memerintah.
BN tekad merampas Kelantan. Mereka mesti menang walau apa cara sekali pun. Kemenangan di Kelantan adalah ubat kepada kekalahan BN di negeri - negeri lain yang semakin hilang daripada kawalan BN. Bangsa India telah bangkit memberontak melawan kerajaan BN yang mereka sifatkan menganak - tirikan mereka. Ini kebangkitan penuh bersejarah.
Di Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan lain - lain menyaksikan kebangkitan terbuka rakyat berbangsa India dan Cina yang beraninya mengalahkan keberanian penyokong PAS sendiri. Kawan - kawan saya yang kaki berceramah melaporkan kebangkitan bangsa India dan Cina yang tidak segan - segan lagi menamakan BN sebagai punca kerosakan negara. Malah, lebih mengkagumkan, mereka menerima PAS dan kepimpinan ulama juga!
Ayahanda Tuan Guru memberitahu saya bahawa wakil India di Kuala Lumpur telah meminta kebenaran ayahanda untuk baju mereka dicetak dengan gambar ayahanda bersama dengan Mahatma Gandhi! Inilah pemimpin agung manusia, kata mereka. Ah, apa ini selain keyakinan mereka kepada ISLAM BOLEH!
Saya melihat satu gambar seorang wanita India memakai baju pada hari penamaan calon di Selangor yang tertulis ‘ Saya India, saya Hindu, Saya mahukan kepimpinan ulama ‘. Apabila PAS tidak lagi ditakuti oleh bukan Islam, PAS sebenarnya sudah pun menang selepas puluhan tahun berjuang memecahkan tembok kebal yang dibina UMNO untuk memisahkan bukan Islam daripada PAS.
Adakah UMNO menikmati ini daripada bangsa non muslim selama mereka menjalin kerja sama?
BN akan nekad merampas Kelantan. Dengan pengumuman terbaru pembatalan penggunaan dakwat kekal oleh SPR, maka ia mengesahkan BN dalam kesempitan dan terdesak sekali.
Semasa saya menulis, laporan sampai bahawa bas - bas yang membawa pengundi hantu ( pengundi bukan rakyat Kelantan yang diselinap masuk oleh pendaftaran SPR bagi mengabsahkan undi mereka di Kelantan selain pengundi lebih satu undi ) telah mula memasuki Kelantan. Polis telah bertambah - tambah di Kelantan dengan ribuan SB bergerak di segenap pelusuk negeri. BN tidak berceramah lagi di Kelantan sepanjang tempoh berkempen. Pelik. Mereka hanya melakukan kerja - kerja yang cukup tersembunyi dan menyepi daripada dunia demokrasi.
SPR dan segala jentera kerajaan sedang siap sedia menyerang Kelantan dari atas dan bawah, depan dan belakang.
Kami yakin kami menang, tetapi kami yakin mereka akan merampas kemenangan kami dengan sejahat - jahat cara.
Jika tidak kerana kerana kami diajar lama dengan kuasa Allah dan bantuanNya kepada para pejuangNya, pasti sudah kami keletihan menghadapi Pak Lah, Khairi, Tan Sri Abdul Rasyid dan lain - lain pengganas ini.
Tuhanku, tolong kami pejuangMu.
Salam Kamunting,
Orang kata blog saya teruk. Bukan apa, sebab tak ada gambar langsung. Apa orang kata, sekeping gambar lebih bermakna daripada 1000 kata - kata ( begitukah ayatnya? tolong betulkan )? Blog kena ada gambar, barulah cemerlang, gemilang dan terbilang! Blog saya ni, skema sangat, kata seorang peminat setia dalam komentarnya.
Saya tersengih - sengih mencari jawaban. Jawab auta pun tak apa, tapi tak ketemuan juga. Hakikatnya betullah kata mereka. Kata orang dan manusia itu. Sebab saya pun suka baca blog yang ada gambar - gambar gembo - gembo.
Ada gambar tuan punya blog yang cun melecun dan aktivitinya yang merencam - rencam. Ada gambar keluarga yang bahagia - bahagia sekali sampai nampak macam tak pernah balah laki bininya, tak pernah bengang dan bangang mendidik anak - anak yang buas macam harimau ( Jangan kata kera, nanti jadi macam Khairi J )
Ada juga gambar yang begitu meninggal kesan di hati. Suka, terpesona, teruja, terkesima, marah, benci, kecewa dan rasa bangang. Yang tak reti dosa, taruk gambar serbuk penaik sting..
Begitulah hakikat. Tapi saya tetap tak masukkan gambar dalam blog saya. Bukan tak boleh dan bukan tak mahu, tapi saya tak rajin untuk itu. Suka bergambar tapi tak rajin cuci gambar. Itu saja. Saya fikir ini bukan perangai saya sorang diri.
Jadi ko cerita, sahabat saya dalam pemuda Pengkalan Chepa, saudara Ruzely Abdullah beri kesanggupan untuk buat blog khas bagi pemuda PAS Pengkalan Chepa. Saya sungguh gembiralah sebab ia dapatlah memberi jawaban yang lebih baik buat saya. Tak elokkan saya jawab, malas nak taruk gambar..
Bila orang dan manusia tanya, Mana gambarnya? Saya jawab nii, http://pemudapc.blogspot.com .
Anda bolehlah jenguk dan silau kelih ke sana. Ada cerita perihal dan aktiviti kami di Pengkalan Chepa, kubu PAS terkuat di dunia seantero. Blog ini juga turut memuatkan aktiviti wakil rakyatnya yang hebat - hebat. Pertama ayahanda YAB Tuan Guru ( Chempaka ), YB Ustaz Mohd Amar Abdullah( Panchor ), YB Dato Husam Musa ( Kijang ) dan Dato Hj Abdul Halim Abdul Rahman ( Pengkalan Chepa ). Mereka semua adalah pendekar!
Gambar saya mestilah ada. Jika nampak hensem, pastinya di luar lebih hensem. Tak terkata…
(
)

Komen Terkini