Salam Kamunting,
Mendidik adalah satu tugas yang besar. Ia adalah permulaan pembinaan setiap insan, samada ia terus kekal sebagai manusia yang diciptakan dengan segala kelebihan, atau ia akan beralih dan bertukar menjadi seburuk – buruk kejadian di alam ini dengan terbentuknya sifat – sifat kebinatangan yang melampaui binatang dan haiwan sendiri.
Mendidik adalah satu tugas besar dan langsung setiap al rasul ( Lihat al Jumuah 2 ). Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam diutuskan kepada kaumnya yang buta huruf. Baginda yang buta huruf membacakan untuk kaumnya ayat – ayat al Quran, mendidik dan menyucikan jiwa dan mengajar mereka memahami al kitab dan al hikmah.
Pendidikan adalah ilmu warisan para anbiya’. Ia penuh hikmah dan penuh rahsia yang merungkai kekusutan di dalam memahami manusia.
Ia adalah warisan yang wajib diwarisi. Dengannya setiap insan menjaga dirinya dan diri ahli keluarganya. Dengannya seorang ketua menjaga anak buahnya dan dengannyalah sebuah negara menjaga rakyatnya. Ia adalah kewajiban. Kewajiban mendidik dan kewajiban mengambil pendidikan itu daripada al rasul.
Mendidik diri hendaklah dengan ilmu. Anda akan gagal mendidik diri jika anda tidak merujuk kepada petunjuk dan ilmu agama.
Mendidik anak – anak juga hendaklah dengan ilmu. Anda akan gagal jika anda memandai – mandai mendidik tanpa merujuk kepada panduan agama.
Hari ini, sesetengah kita bukan setakat memandai – mandai mendidik, bahkan tidak pun mendidik diri apatah mendidik anak – anak. Bukankah ini musibah dan dosa?
Mendidik anak – anak adalah kewajiban yang berat. Anak - anak lahir dalam serba tak tahu. Ia jahil tanpa ilmu dan tanpa akal yang sempurna untuk segera berilmu. Ia bertatih mengenal kehidupan sebelum perlu mengorak langkah gagah mengenal kewajiban.
Adakah anda menyangka betapa mudahnya manusia mengenal kehidupan, kemudian kewajiban? Lihat berapa ramai manusia yang lemah dan berputus asa. Mereka tidak mengenal kehidupan. Lihatlah pula betapa ramai lagi yang berseronok dalam noda kehidupan. Mereka gagal mengenali kewajiban dan matlamat kehidupan.
Justeru haruslah setiap kita menginsafi kelekaan kita di dalam mendidik anak – anak.
Pokok pangkal pendidikan anak – anak adalah menetapkan jiwa mereka dalam keadaan bersih sebersih asal kelahirannya. Sebersih alam fitrah kejadian yang memperakui diri sebagai hamba tuhannya dan tunduk persis tunduknya sang hamba pada tuannya. Menetapkan jiwa dan raga untuk terus kekal putih bersih sebagai seorang muslim semenjak di dalam kandungan ibunya dan saat kelahirannya.
Manusia adalah ruh dari sisi tuhannya. Ia mengenal tuhannya sebagaimana malaikat di langit mengenal tuhannya. Kemudian ia dihantar ke bumi yang jauh, lalu dimasukkan ke dalam satu lembaga dan bekas daripada tanah dan daripada air mani di dalam rahim si ibu.
Berlaku pertemuan di antara dua alam yang berbeza. Alam atas yang kudus dan alam bawah yang tandus. Ia terjerat di dalam tubuh daripada tanah duniawi.
Apabila kelahiran berlaku, berlakulah pertembungan secara langsung di antara dua yang berbeza. Ruh meronta – ronta untuk terbang tinggi menuju alamnya yang kudus dan suci menyembah tuhannya, tetapi ia ditarik dan direntap kuat kadang – kadang untuk kekal menggelupur di lumpur duniawi yang kotor dan penuh noda derhaka, enggan dan takabbur.
Kelahiran mewajibkan tarbiyah dan pendidikan. Ia proses menyelamat teragung.
Ruh mesti diselamatkan daripada noda duniawi yang menghimpitnya. Kesemujadiannya dilitupi alam baru yang serba baru. Anak yang lahir ilmunya bermula dengan kosong. Untuk mula menempuh alam yang baru ini, tubuh yang lemah itu bergantung sepenuhnya kepada kesemulajadiannya yang asal.
Ia secara fitrah mencari makanannya dari tetek ibunya. Ia menangis kuat melarikan diri daripada kedagangan dan kesunyiannya di alam baru ini. Ia diam dan segera nyeyak di dalam dakapan hangat ibunya. Apabila ia celik melihat dunia, ia dibekalkan rasa kasih dan sayang kepada orang yang sentiasa mendodoi dan menjaganya. Ibu dan ayah. Atau penjaganya.
Daripada ibu dan ayahnya ia mula berilmu dan terdidik. Dengan ilmunya itu ia mula mengesot, merangkak, bertatih dan kemudian berjalan. Ia membesar dengan ilmu dan pendidikan awalnya itu.
Bagaimana jika ia mendapat ilmu yang salah? Kemudian pendidikannya juga salah?
Ya, apabila ia salah ilmu dan salah didikannya, ia bertukar daripada kesemulajadiannya. Ruhnya menjadi liar dan sumbang. Ia bertukar wajah kerana ia dijamu makanan yang meracuninya. Makanan ruh seasalnya adalah zikruLlah. Ia melonjakkan nilai keinsanannya. Kini ia dijauhkan daripada zikrullah dan diganti makanan duniawi daripada isi perut yang membuncit, alunan bunyian syaitani, pinar pandangan panahan iblisi dan pelbagai rencam habuan nafsu.
Daripada fitrahnya yang muslim dan mukmin, ia bertukar menjadi Yahudi, Nasrani, Majusi dan bermacam – macam kefasiqan, kemunafikan dan kederhakaan terhadap tuhannya sendiri.
Inilah nilai pendidikan. Inilah harga sebuah kelekaan dan kecuaian.
Allah melepaskan anak – anak kita yang kecil itu daripada bebanan dan taklif. Ia tiada hak dan kekuatan untuk memikulnya kerana akalnya masih muda remaja untuk mula memikirkan tanggung jawab kehidupannya.
Bagaimana manusia boleh dilepaskan di dunia yang serba menipu dan penuh makar ini? Bukankah ia pasti menjerat dan membunuh?
Ya, si anak dilepaskan tetapi Allah mengembalikan hak pengawalannya ke atas pundak kita, ayah dan ibu. Kita diwajibkan membina pagar dan kawalan agar si anak membesar bebas dalam pagarNya ( kalaiLlah ). Ia jinak dalam bebasnya. Ia kembali selepas pergi. Ia enggan bebas daripada tuhannya walau pun ia dibebaskan sebebasnya.
Mendidik anak – anak adalah proses menjinakkannya untuk kekal hidup bertuankan tuhannya yang telah menciptakannya dan melepaskannya ke dunia dari langitNya yang kudus.
Anda jangan memarahi saya atau memperlekehkan saya jika saya bermati – matian mengingatkan anda tentang bahaya sistem pendidikan nasional hari ini. anda seharusnya kembali berfikir untuk menilai kembali hukuman anda ke atas saya.
Anda buktikan kepada saya bahawa majoriti anak – anak yang mencecah usia akil baligh ( 15 tahun hijriyah atau 14 tahun lebih masihiyyah ) telah berjaya kekal dalam iman dan ketundukan kepada Allah. Mereka telah bersedia menjadi muslim yang patuh dengan kewajiban solat 5 waktu.
Buktikan! Buktikanlah!! Atau anda akan malu dan tersipu – sipu jika anda memiliki iman, atau wajah anda akan merah padam dengan kemarahan dan kedegilan jika anda seorang yang sombong dan takabbur apabila melihat statistik daripada analisa dan kaji selidik yang sahih daripada pelbagai pihak dan sumber yang beriman yang membuktikan bahawa anak – anak Melayu seusia itu masih kekal tak solat dan tak tahu pun untuk solat dalam peratus tinggi mencecah 80%!!
Dari umur 7 tahun ( umur galakan ugama untuk anak – anak diajar untuk solat ) sehingga umur 10 tahun ( umur galakan ugama agar anak – anak dipukul jika lalai daripada solat ), kemudian memasuki umur 15 tahun ( umur taklif ), anak – anak dibentuk diri dan syakhsiyahnya oleh sistem pendidikan negara. 9 tahun dididik dan mereka keluar tanpa solat!!
Sistem apa ini?
Berat sangatkah solat 5 waktu?
Bodoh sangatkah anak kita?
Degil sangatkah anak kita?
Jahil sangatkah guru kita?
Atau,
Ianya adalah kerana sistemnya yang bersifat jahiliyah?!
Solat pada hari pertama adalah berat, pada hari kedua adalah ringan dan pada hari ketiga adalah manis.
Siapakah di antara kita mahu menghukum bahawa anak – anak kita akan kekal bodoh dan degil sehinggalah umurnya sampai 30 tahun??
Siapakah mahu menghina guru dengan menghukum bahawa anak – anak tak solat adalah kerana guru yang jahil dan malas?
Saya tegaskan bahawa sistem negara adalah sistem sekular yang syirik dan jahiliyah. Sistem pendidikan negara adalah anak yang patuh dan tunduk pada sistem induknya. Justeru ia adalah sistem yang syirik, jahiliyah dan korup.
Ia dicipta oleh otak – otak yang sekular, derhaka dan syirik yang berlegar di serambi kuasa negara.
Apabila kami orang yang terlibat dalam dunia politik secra langsung bercakap pasal ahli – ahli Parlimen UMNO dan ahli – ahli mereka di Dewan Negara, kami akan membahagikan mereka kepada dua kumpulan. Kumpulan yang lekat solat 5 waktunya dan kumpulan yang songlap 5 waktunya. Anda pasti terkejut seperti kami untuk mendapati bahawa natijahnya seumpama natijah kaji selidik ke atas anak – anak 15 tahun tahun di atas!!
Kita menyalahkan kerajaan. Mereka memaksa kita menerima sistem yang buruk dan jahat ini. Tidak semua kita mampu menghantar anak – anak ke sekolah ugama swasta yang tawaran sistemnya lebih Islamik dan benar yang lebih menyelamat dan menjamin agama anak – anak kita.
Kita pasti beruntung dalam keterpaksaan itu jika anak – anak kita memperolehi guru – guru yang benar – benar berperanan menampal segala kebobrokan sistem yang zalim ini dengan usaha gigih mereka.
Tetapi itu adalah kewajiban orang lain. Ia langsung tidak mengangkat kewajiban kita sendiri.
Anak – anak adalah amanah dan tanggung jawab. Selepas anak – anak pulang dari sekolah, andalah sekolahnya yang pertama. Jangan anda sekularis sebagaimana sistem sekular negara.
Jika tidak, andalah penyebab sebelum sistem itu! Semoga Allah memelihara kita.
” Tuhanku, jadikanku pendiri solat, juga zuriatku. Tuhan kami, terimalah doa kami.” – al Ayat.


14 comments
Comments feed for this article
April 22, 2009 pada 4:53 am
mamat.com
saya sebagai guru sekolah kerajaan sangat menyetujui pandangan ustaz. Dunia ini memang betul-betul akhir zaman.
chegu ridhwan
April 22, 2009 pada 11:50 pm
zahrah
salam ustaz….
cantik dan indah sekali penulisan ustaz pada entry kali ini….bertepatan sekali dengan keadaan yang meruncing tika ini dalam proses dan hala tuju ibu bapa yang mengaku muslim untuk mendidik anak2….kebanyakkan ibu-bapa amat risau anak2 tak pandai english…tak pandai matematik….tak pandai sains…tapi amat sedih sekali bilamana terlalu ramai ibu bapa yg AMAT TIDAK RISAU biler anak2 tak pandai mengaji dan solat….Ya Allah peliharalah keluarga2 kami dari pendidikan sekular yaAllah….
minta izin utk ‘link’ kan entry ustaz ni yer….
April 23, 2009 pada 2:13 pm
abu razeen
memang umno tegakkan ” sistem yg syirik, jahiliyyah dan korup” spt Ustaz tulis.
Tiada siapa boleh tuduh statement ini ibarat suka mencerca tapi tak tahu apa, sekalipun agen rangkaian yahudi glocal atau global.
Hanya saya rasa ustaz harus kupas lebih lanjut kaitan sistem ini sbg sebahagian rangkaian global perang fikr musuh Islam.
Sistem ini bukan kesilapan pembuat dasarnya, tetapi ia adalah
“by design”…………dan bukan “by chance”……………………….
malah disengajakan spy fikrah sekularisma dan anti-Islam dpt diteruskan dari generasi ke generasi.
April 23, 2009 pada 10:13 pm
Rizal Md Radzi
Salam buat semua pembaca dan bloggers. saya ingin mencadangkan website hizbut tahrir Malaysia yg aktif membongkarkan kebobrokan dan kelicikan perkaitan sistem sekular demokrasi kapitalis dgn perang pemikiran utk merosakkan umat Islam. sila layari : http://www.mykhilafah.com
April 24, 2009 pada 5:26 pm
Zulfadhli Idris
salam. Wbt
Jazakallah tas penerangan, moga peringatan ini dipanjangkang.
Dalam diri manusia, ada elemen ruh, ‘aqal, nafsu dan fizkal. Janganlah kita gopoh dengan hanya mendidik salah satu darinya sahaja. Dek kerana Islam itu adalah Cara Hidup, pendidikan dalam Islam tidak mengabaikan salah satunya, walaunpun nampak kecil.
Ruh perlu diisi dengan ‘ilmu wahyu dari Al Quran sendiri, hendaklah diisi dengan akidah yang paling sahih, kerana akidah yang mengakibatkan sah batal iman, nilai ‘amal kebajikan dan seluruh perjalanan hidup.
‘Aqal pula diisi dengan ‘ilmu mengurus tadbir dunia, kerana ilmu seperti ekonomi, pertanian, kejuruteraan, politik dan lainnya bukanlah juzuk lain daripada Islam. Dunia itu ladang akhirat.
Nafsu dididik dengan rasa payah; dengan berpuasa, zikir, memberi makan anak yatim, melawat orang sakit, ziarah kubur. Barulah nafsu tunduk dan nafsu itu pergi pada tempat sepatutnya.
Fizikal perlukan makanan dan kesihatan, keranya ianya wasilah agar berhasilnya apa yang diatas tadi. wallahua’lam.
April 24, 2009 pada 5:49 pm
nasikerabupetro
MasyaAllah, MasyaAllah, MasyaAllah.
Ustaz, ana sangkakan golongan tersebut mungkin segelintir. Dah banyak ana dengar mengenainya tapi ana berdoa agar kenyataan ini tidak benar.
Nampaknya, sungguh pahit untuk ditelan kebenarannya. Orang yang berjuang bersama tapi masih diselitkan agenda di sebaliknya!
Mengapa perlu ada kepentingan diri dalam perjuangan?
Terima kasih atas tulisan ini Ustaz.
Sedih sungguh…
April 24, 2009 pada 10:42 pm
Ngah n Ngeh
mungkin tuan boleh perincikan mengapa rasullullah menyeru umatnya menuntut ilmu sehingga ke negeri China… mungkin tuan boleh berbicara dengan lebih terbuka… tidak hanya jumud kepada satu bahagian pendidikan sahaja… sekadar cadangan
April 25, 2009 pada 3:20 am
Rizq
salam…hermm asal ckp kebenaran tentang hukum sikit d kate jumud…ape mksd mksd jumud yg kite faham?! asal tegah kmungkaran sikit d kate sempit,xopen minded la,xbebas la… well kite 4 sure bebas tuk buat tu buat nie…tp ingat jgn sesekali mngenepikan HAK Allah…&btolla ilmu pdidikan salah 1 cara tuk kite terapkan tuk anak2 kite tuk bekalan akhirat yg lg abadi kelak~ selagi ape yg kite tegakkan tu adalah yg AGAMA ISLAM nak ..so keep on moving!:)
April 30, 2009 pada 12:15 pm
jamal
wahai peminat pas ….
sedarilah bahawa anda, kamu dan rakan rakan yg kamu kata dalam saf, walaupun jarang jarang sembahyang berjemaah kat masjid di dalam saf,
adalah bergantung sepenuhnya dengan rakan rakan dalam pkr. tanpa pkr siapalah pas… tanpa pkr anda semua pasti mele pas. Jangan berlagak sombong dengan hujah hujah yang membelakangkan fungsi orang lain. Anda peminat Bola.. kalau gol tak kira itam, putih, cokolat pasti berpelukan semua ada fungsi. Hentikan kesombongan belajar dari kemusnahan anda di trg, jangan hentam bn yg sombong tapi anda mewarasinya.
Mei 1, 2009 pada 10:26 am
mohd azman
Salam,
Terlebih dulu saya mengucapkan tahniah di atas hujah-hujah Ustaz yang mampu menjanakan fikiran secara total dan menggeluarkan diri dari belenggu fikiran kolot atau pun “Think Out Of Box”.
Saya pohon untuk petik sebahagian daripada artikal dan kalam ustaz untuk tujuan perkongsian ilmiah antara saudara kita yang lain serta untuk tujuan pendidikan anak-anak serta keluarga saya.
Terima kasih jika diberi keizinan dan saya juga hormati pendirian Ustaz jika tidak diberikan keizinan.
Wassalallam
Mei 3, 2009 pada 11:15 am
RadioAtok
Didiklah dengan nilai agama Islam semoga hidup lebih sempurna
Mei 4, 2009 pada 7:13 pm
HambaAllah
Alhamdulillah,
Ust..tulisan mcmnilah yg sebaiknya sesuai dgn peribadi ust.
Jgn lagi ujudkan polemik antara kita sesama dlm berjamaah ya ust muda!
Aliran berfikir itu sememangnya ujud dan banyak..tapi tak semestinya tak boleh bertolak ansur tolong menolong antara ahli jamaah.
Jgn lagi keji ulama mi celupla..sbb kalau nak ikut ilmu kita semua sikiiit sangat jika nak dibandingkan dgn lautan ilmu milik Allah belaka..ilmu ustpun kepunyaan Allah juga..kalau di tariknya ilmu..kosong pulak minda ust..jadi kita tak maula ust ada ego kunun banyak ilmu sampai cap org lain ulama mi celup.
Ya Allah, biadikal khair innaka ‘ala kulli syai ing qadiir
Mei 5, 2009 pada 11:49 am
ululazmi limbang
assalamualaikum ustaz. saya ni ustaz bertugas di srwk bergiat dlm jamaah tabligh, jadi apa pandangan ustaz dg pergerakan ini.? bolehke saya berintima’ kepada jamaah yang ada kekurangan ini.
Julai 12, 2009 pada 5:38 am
دليل
اسلوب
منتديات اسلوب
مدونة اسلوب
دليل اسلوب
عالم حواء
صور
فوتوشوب