You are currently browsing the daily archive for Disember 28th, 2008.

Salam Kamunting,

AlhamduliLlah, saya, isteri dan kakak sulung serta rombongan selamat tiba di tanah air daripada mengerjakan ibadah haji di kota suci Makkah beberapa hari yang lepas. Hati ini terasa sungguh gembira tak tergambar. Kami mengecapi sesuatu yang cukup bebeza sepanjang berada  di bumi penuh barakah itu.

Semoga Allah mengurniakan kami dan seluruh para hujjah baitiLlah al haram tahun ini dengan haji yang mabrur dan diterimaNya sebagai bekal besar menemuiNya nanti.

Terima kasihlah kepada semua sahabat, terutama para penjenguk di blog saya ini yang turut menghulur doa untuk kami semua agar dipermudahkan Allah segala urusan semasa di sana. Hari – hari indah dan sejuk dengan belaian rahmat tuhan itu masih segar terasa di hati ini.

Alangkah hebatnya hadiah tuhan kepada hambaNya dengan kefardhuan mengerjakan haji di Makkah al Mukarramah.

Haji adalah rukun Islam. Ia adalah binaan teras kepada sebuah istana di dada kita yang mesti disempurnakan binaannya sebaik – baiknya. Tak kiralah di masa muda atau tua, apabila masanya tiba, kefardhuan itu telah tertulis, kita mestilah melangkah ke arah menyempurnakannya. Sempurna istana di dada ini, sempurnalah istana kita di syurgaNya nanti.

Haji berbeza daripada rukun – rukunIslam yang lain dalam banyak hal dan segi. Yang besarnya adalah ia memerlukan kos dan persiapan paling banyak. Kemudian ia adalah kefardhuan yang paling sukar dan memenatkan. Ia juga paling menagih pengorbanan dan kesabaran. 

Itu cukup meresahkan rasa kikir di jiwa untuk melaksanakannya. Tetapi, dalam hanya beberapa hari kita melaluinya yang bermula dari hari tarwiyyah pada 8 Zulhijjah sehingga hari tasyriq terakhir pada 13 Zulhijjah, atau kemuncaknya ( pelaksanaan rukun haji ) pada 9 dan 10 Zulhijjah, iaitu pada hari wuquf di Arafah dan hari Haji Akbar keesokannya, segala rasa kikir dengan hijab duniawi itu bertukar menjadi keindahan yang sukar digambarkan. Tirai hijab diangkat sehingga jiwa ini terasa dekat dengan tuhan, terasa dekat dengan hari di mana kita pasti dikerah dan dihambat untuk menemuiNya di hari pembalasan agung tuhan nanti.

Haji adalah hari manusia dihidangkan dengan pelbagai manfaat duniawi dan ukhrawi, kemudian ia memuncak dengan zikir mengingati Allah di setiap detik di tanah haram itu. Jika kita memerhatikan segala bentuk pelaksanaan manasik haji itu, kita hampir pasti meyakini bahawa diam dan berfikir adalah ibadah yang hebat!

Samada anda memilih untuk diam sahaja ketika bertawaf mengelilingi kaabah, atau bersa’ie antara bukit Safa dan Marwah, atau duduk berteleku sendirian melihat kaabah tuhan dan maqam Ibrahim di sisinya, atau kita sekadar berlopongan memerhati ‘manusia’ dan ragamnya, semua itu meluluhkan hati anda bagai dipancur dengan semburan basah rahmahNya, lalu anda tak tertahan menahan air mata daripada mengalir membasahi kulit yang kering kontang dengan dosa dan noda kehidupan. Apabila lidah anda tergerak melantunkan kalimat ‘Allah’ dalam kedalaman makna memahami erti kehambaan dan ketuhanan, hilanglah hiruk pikiuk manusia di sekeliling. Anda memilih untuk tidak malu lagi menangis di hadapan tuhan seolah – olah anda di saat itu adalah anda dan tuhan anda. 

Saya menikmati sekelumit saat – saat seperti itu. Saya yakin ia dinikmati oleh semua para hujjah yang dipilihNya. Kalaulah persediaan iman saya adalah lebih baik, pastinya saya akan lebih menikmatinya sebagaimana orang – orang besar Allah yang dipilih dan dikhususkanNya didunia ini.

Allahu akbar wa liLlahil hamd.

Tuhanku, dengan kayanya Engkau daripadaku dan dengan faqirnya diriku kepadaMu, ampunilah dosaku..

Setiap kefardhuan adalah penuh hikmah. Ia tersendiri dengan pelbagai hikmah. Setiap kita dibuka tirai menikmatinya mengikut kesiapan kita sendiri.

Kayakanlah diri anda dengan kekuatan dan kemampuan sehingga seruan nabi Ibrahim itu menusuk ke telinga dan jantung anda. Saat itu, anda akan berkata benar, labbaikaLlahumma labbaik..

Saya ingin lagi menulis.. Tetapi jari ini sudah penat dek lama berehat. Ia berkata, orang pun tak nak baca yang panjang – panjang. Betul juga auta jari ini.. 

****

Soalan: Tahukah anda amalan terbaik di Malaysia hari ini?

Jawaban: Bergerak ke Kuala Terengganu. ALLAHU AKBAR!

email

nmabduh@hotmail.com

taqwim hijri

 

Disember 2008
I S R K J S A
« Nov   Jan »
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
293031  

a

pengunjung semasa