You are currently browsing the daily archive for Julai 11th, 2008.
Salam Kamunting,
Saya suka sesuatu yang jelas. Jelas adalah jalan dakwah kepada Allah. Berlapik – lapik sampai orang jadi tak faham, keliru dan rasa tertipu pula bukan jenis dakwah yang bil hikmah namanya. Dalam Al Quran, Allah namakannya ‘ala bashirah ( dengan keinsafan bahawa firmanNya tak dibenar dieja dengan rumi ) yang membawa maksud jelas. Di atas kejelasan yang nyata. Begitulah dakwah paling berhikmah.
Bila saya menulis, tiba – tiba ada yang tak faham, saya pun jadi keliru. Aku tak jelas ke atau pembaca tak jelas. Bila saya baca balik apa yang saya tulis, sah saya jelas dan memang sesetengah pembaca tak jelas. Bukan kerana mereka juga, tapi kerana saya memang menulis dalam menggigil. Hati saya menggigil, bukan tubuh saya. Menggigil kerana takut tak hormat pimpinan. Akhirnya saya menulis penuh hati – hati. Akhirnya tak pelik ada yang kurang faham dan tak jelas.
Berhikmah memang susah. Cuma kebanyakan kita perasan berhikmah dan suka kritik itu ini sebagai tak berhikmah. Belum pun menyatakan hikmahnya, caranya mengkritik pun dah tak berhikmah. Allah berfirman, ” Barang siapa dikurniai HIKMAH, maka sesungguhnya dia telah dikurniai kebaikan yang banyak.”
Jadi, perhati dulu sebelum kritik. Memerhati itu hikmah.
Anda tak boleh baca maksud saya? Ah, tiba – tiba tuan presiden boleh baca maksud saya.
Oh, tidak. Saya telah membaca maksud tuan presiden. Tahniah tuan presiden! Maksud presiden adalah maksud saya. Jika anda tak faham dan keliru apa yang saya tulis, fahami sahaja komentar tuan presiden. Apa yang Tok Guru Hj hadi sebut dalam temuramahnya dengan wartawan Harakah, itulah yang menerangkan apa yang saya maksudkan dalam tulisan saya, ‘ apa alternatif PAS? ‘.
Indahnya jelas. Jelas adalah hikmah. Jelas menyapu dan mencuci kekaburan dan sarap sampah.
Tulisan saya bermaksud buka dan jangan tutup. Buka semua yang boleh dibuka dan jangan tutup tanpa sebab.
Tapi bila saya kata perbincangan dengan UMNO hendaklah dibuka, sesetengah anda memahami lewat komentar anda bahawa saya menyeru ditutup perbincangan dengan PR. Laa, buat apa buka bilah pintu kiri dengan menutup bilah pintu kanan? Cerahnya jadi samalah. Saya mahu yang lebih cerah. Buka dua – dua. Udara jadi lebih segar untuk PAS. Tidakkah kata – kata Dato presiden begitu menyegarkan? Macam menghirup udara bersih nyaman di tanah tinggi Lojing!
Saya tulis, kita mengharapkan kerajaan baru yang lebih adil dan lebih baik terbentuk. Itu harapan semua kita. Kerajaan UMNO-BN adalah sudah tua dan korup sudah. Tetapi, saya mengharapkan kekuatan PAS dijelmakan melalui jaminan Islam difahami dalam PR secara jelas.
Islam adalah mentaliti dan otak orang PAS. Orang PAS ni, sikit – sikit Islam, sikit – sikit Islam. Biar orang kata begitu kerana itulah kita dan itulah yang nabi kita mahu daripada kita umatnya sallaLlahu alaihi wasallam.
Langsung ke tak langsung, wujud usaha meminggirkan PAS dari tempatnya yang layak. Saya mengingatkan kerana saya tahu dan mendenyuti rasa itu. Seperti kata tuan pesiden, ” Orang PAS bukan bodoh!”
Saya harap pemimpin PAS sedar bahawa ulama membaca dalam hati – hati. Ulama alim dan tahu politik akhirat. Sesiapa yang alim politik akhirat dia akan lebih alim politik duniawi daripada ahli politik duniawi. Dunia ini penuh syaitan iblis yang menipu daya. Tiada yang lebih mengenali syaitan iblis selain ulama akhirat. Bukan ulama jenis Masyitah dan sapa lagi?
PAS adalah untuk akhirat manusia. Tiada kehidupan selain akhirat. Kuasa adalah racun berbisa. Jangan pegang kuasa kecuali anda adalah seorang lelaki akhirat! Pencinta akhirat, bukan pencinta wanita! No Altantuya no rosmah rosmah..
Teruskan usaha mewujudkan persefahaman antara komponen dalam PR. Oleh kerana PKR mendahului, saya ingatkan bahawa PAS jangan leka kerana PAS adalah harapan lebih baik umat Islam, bahkan harapan bukan Islam juga. PAS mesti bersedia dengan alternatif sendiri dan mencadangkannya demi kebaikan Islam dan negara.
UMNO adalah parti umat Islam. Mereka Ahlus Sunnah. UMNO pula bukan jenis Ahlus Sunnah. Ahlus Sunnah apa menolak al Quran dan Hadis yang menjadi syarat utama mazhab Ahlus Sunnah. Jadi, tugas PAS menyeru ahli UMNO keluar UMNO masuk PAS. Buat apa Ahlus Sunnah duduk dalam kerangka ‘Ahlus Sesat’?
Ahli UMNO adalah sasaran dakwah yang utama selepas diri sendiri dalam PAS. Jika ditutup perbincangan, bagaimana mendekati mereka? Nak berceramah dari PUTIK? Itu menjauhi namanya, bukan mendekati. Suara kita memanggil jauh dari PUTIK sebab UMNO tak izin kita mendekati mereka sebelum ini.
Hari ini, saat mereka terdesak dan ketakutan, mereka menjemput kita berbincang pasal macam – macam. Pasal Melayu, pasal Islam dan pasal apa lagi? Tiba – tiba kita tutup. Ah UMNO, bila terhantuk baru tengadah. Ya, begitulah manusia. Dihantuk tuhan supaya mereka sedar diri. Anda kata, UMNO penuh tipu daya. Saya kata, ambil firmanNya, “ Dan jika kiranya mereka condong ke arah perdamaian, maka condonglah kamu juga ke arah itu dan bertawakkallah kepada Allah..”.
Allah lebih tahu musuh tak datang menuntut perdamaian kecuali ketika susah. Saat itu mereka datang dengan segala kemungkinan strategi menyusun kekuatan. Allah mahu kita buka! Buka untuk perdamaian jika mereka mahu. Kamu takut? Allah kata, bertawakkallah kepadaKu.
Ah, orang PAS bukan bodoh untuk bergabung lagi dalam BN. NO for dipatuk kali kedua. Perjanjian Hudaibiyah, adakah RasuluLlah masuk BN Mekah untuk berdamai?
Berbincang, berdamai dan berkerja sama itu luas. Ia jalan Allah. Allah sukakan perdamaian antara manusia. Pimpinan PAS lebih cerdik daripada UMNO. Kerana itu mereka pilih PAS, bukan UMNO. Memilih UMNO itulah bodoh dan kebodohan. Jahil dan kejahilan.
Perjanjian damai agung pertama dalam sirah nabawiyyah itu membuka jalan yang lebih luas untuk ar Rasul mengembangkan dakwahnya ke serata alam.
Dengarlah, jika hubungan PAS-UMNO tidak lagi tegang, ia pasti membuahkan hasil lebih baik. Saya yakin umat Islam di Malaysia dalam semua sektor kehidupan akan gembira dan tabik kepada keterbukaan PAS.
PAS tak rugi dan UMNO tak rugi. Dengan demikian, umat Islam beroleh keuntungan.
Adakah perbincangan ini akan meminggirkan PR? Bagaimana dengan PKR dan DAP sebagai kawan semasa susah dulu?
Saya kata, buka perbincangan. Di sana pasti ada temuan yang belum ditemui. Jika dunia politik menjadi lebih sihat, siapa yang akan rugi? Tiada dalam PR komponen yang mahu berjuang dalam sistem demokrasi kotor sebagai mana hari ini.
Politik adalah kehidupan. Kehidupan dipenuhi tipu daya dan kezaliman. Apa pelik dunia politik penuh tipu daya dan kezaliman. Kita terpaksa mendepaninya kerana kita adalah sama. YANG ADA HANYALAH KEHIDUPAN. Biar kita hidup suci. Suci dalm debu.
Mengingati Isra Mikraj di bulan Rajab, RasuluLlah dibelah dadanya, lalu dibuang debu – bebu duniawi demi dilancarkan perjalanan agung baginda merentas alam duniawi menuju alam malakut yang suci tanpa debu.
Demikian, politik ar Rasul adalah kesucian. PAS memandu kepada politik ISlam yang suci, dengan izinNya.


Komen terbaru