Salam Kamunting,
Saya diminta mengulas perihal apa yang teman – teman dalam Dewan Pemuda PAS Selangor telah lakukan sehingga berkocak juga ‘ketenangan’ yang tengah dinikmati dan diimpikan selalu dalam Pakatan Rakyat.
Soalan mereka kepada saya bukan banyak pun. Soalan biasa kepada seorang yang bergelar ustaz macam saya. Berhikmahkah cara itu? Ya, ada satu lagi soalan lain yang mungkin sekadar membayangkan keresahan bahawa ketenangan dalam Pakatan Rakyat itu mungkin tak akan bertahan lama. Bunyi soalan, bagaimana nak layan dan memahamkan mereka ( regu dalam PR )?
Saya jawab begini, hikmah itu cara melaksanakan hukum. Bincang dan fahami hukum dulu.
Tuhan berkata, ” Serulah ( berdakwahlah ) kepada jalan tuhanMu dengan hikmah dan peringatan yang baik.”
Allah menyuruh kita berdakwah. Wajib berdakwah. Dakwah itu adalah seruan kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan melarang daripada yang mungkar. Tuhan berkata, ” Dan hendaklah ada ( wajib ) daripada kalangan kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan melarang daripada yang mungkar.”
Kemudian Dia menyuruh lagi. Laksanakan hukum tersebut dengan cara berhikmah dan peringatan yang baik. Oleh kerana ia juga suruhan, maka cara itu pun jadi wajib. Wajib berdakwah secara berhikmah.
Justeru tak berdakwah adalah salah dan berdakwah secara tidak berhikmah adalah salah juga.
Bila Dia menyuruh, maka suruhanNya adalah dengan al haq dan berhikmat. Bila Dia melarang, maka laranganNya adalah dengan al haq dan berhikmah juga. Dua – dua itu adalah demi maslahat hambaNya.
Apa itu kebaikan, makruf dan mungkar yang wajib didakwah kepada dan daripadanya itu? Mudah sahaja. Ada tersebut di dalam al Quran dan al Hadis. Jika tidak dinyata secara khusus dan jelas, cukuplah fitrah yang suci ( dengan iman ) mengenalinya.
Makruf ertinya dikenali kebaikannya oleh fitrah yang suci. Mungkar ertinya tidak dikenali dan diingkari kebaikannya oleh fitrah yang suci.
Justeru kewajiban setiap muslim adalah memilih, menyeru dan menyuruh manusia kepada yang baik serta menolak dan melarang daripada yang yang tidak baik.
Kemudian, apa itu secara hikmah dan peringatan yang baik?
Ia soal kebijaksanaan. Ia soal menggunakan akal dan petunjuk akal.
Sebijak – bijak akal ialah akal Nabi sallaLlahu alaihi wasallam. Sebab utamanya adalah kerana ia adalah akal yang ditunjuki wahyu dan dimaksumi daripada kesalahan.
Maka hikmah yang pertama adalah dengan meniru dakwah cara Baginda. Susahkah diperolehi? Mudah sahaja. Tiada perihal yang dihikayatkan di dunia ini melebihi hikayat Baginda dan sirah kehidupannya.
Justeru jangan anda memahami hikmah itu bermaksud otak aku atau otak engkau! Cara aku dan cara engkau! Jikalah begitu, hancur luluhlah dakwah di jalan Allah.
Hikmah bermaksud cara dakwah seperti dakwah nabi kita sallaLlahu alaihi wasallam. Cedok daripada sirah dan petunjuknya menggunakan akal anda yang diberi petunjuk.
Jikalah cara berdakwah itu diserahkan kepada akal semata – mata, pasti akan saling bercakaranlah sesama kita, akan saling tuduh – menuduhlah sesama kita, akan saling lebih – melebihlah antara kita dan akan saling label – melabellah sesama kita tanpa petunjuk yang menunjuki. Kita sudah ada nabi, keluarganya, para sahabatnya dan para ulama yang penuh bijaksana.
Sekarang, saya bertanya anda, adakah jenis hiburan yang ditentang oleh Dewan Pemuda PAS Selangor itu samar – samar hukumnya?
Saya yakin hukumnya jelas di sisi setiap muslim yang berpetunjuk dengan al Quran dan al Hadis dan yang fitrahnya suci juga. Ia adalah perkara mungkar. Hukumnya wajib ditegah.
Kemudian bagaimanakah cara menegahnya? Adakah cara menghantar memorandum bantahan itu berhikmah atau tidak? Kenakah ia dalam suasana semasa yang memerlukan pertimbangan paling baik?
Saya tinggalkan anda di sini. Bukan kerana tak berjawaban atau tak mahu memberikan anda jawaban. Saya hanya mahu tegaskan bahawa hikmah itu kesucian dalam petunjuk nabawy dan akal yang rasyid. Allah memberkati akal yang beriman kepadaNya.
Tetapi saya tidak mungkin meninggalkan mereka yang menolak, membangkang, meremehkan dan ‘menghukum’ tindakan DPP Selangor itu sebagai tidak berhikmah. Bagaimana mungkin saya membiarkan mereka begitu sahaja sehinggalah saya memperolehi jawaban yang saya perlukan demi cara dakwah yang yang ‘lebih betul’ daripada mereka.
Saya ingin bertanya mereka, dimanakah dalil yang digali daripada petunjuk ar Rasul bahawa cara DPP Selangor itu tidak berhikmah? Atau jika tiada, bagaimanakah hujahan akal yang rasyid yang begitu diberkati untuk menafikan dan menolak lilitan hikmah pada menghantar memorandum bantahan itu?
Anda hanya ada tiga, iaitu tangan, lidah dan hati dalam menentang kemungkaran. Pancarkan hikmah di tangan atau lidah anda melebihi hikmah di tangan dan lidah DPP Selangor.
Jika anda berhikmah sekadar dengan hati, nyahlah anda daripada persada perjuangan. Perjuangan cukup memeritkan jika bersandar pada iman yang lemah. Ia bukan sekadar melemahkan, bahkan menyesatkan.
Sekadar berkongsi pengalaman, saya pernah menyertai demontrasi membantah majlis makan malam di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu anjuran pegawai PTN Kelantan yang diseliti majlis nyanyian oleh seorang artis wanita popular kurang 10 tahun yang lepas. Ia dihadiri ratusan orang yang kebanyakannya adalah pemuda – pemuda Islam yang penuh semangat anti kemungkaran. Berlaku penangkapan dan saya sempat menyelit dicelah keramaian melarikan diri ( takut le ) selepas memberikan selibas ucapan ‘ganas’. Kejadian disiarkan sebagai tajuk utama sebuah akhbar perdana keesokannya.
Ayahanda adalah MB. Kami berdemontrasi menentang tindakan pegawai kerajaan yang ayahanda adalah ketuanya. Selepas pulang daripada ‘persembunyian’ beberapa hari kemudian, ayahanda menyapa, “Inilah kerja anak muda yang ayah suka.” Wow, aku dapat markah!
AlhamduliLlah, Pegawai PTN belajar banyak daripada tindakan berani kami dan kami belajar pula erti berhikmah dalam dakwah.
Hikmah bukan bererti lembut. Hikmah itu lembut dan keras.
PAS adalah sebuah gerakan Islam. Kerjanya bergerak dan menggerakkan ke arah keagungan Islam. Ia bergerak menyatukan umat Islam di dalam Islam. Keagungan adalah dengan bersatu di dalam Islam. Kerja PAS adalah dakwah dan geraknya adalah gerak dakwah. Hikmah terbesar di dalam PAS adalah istiqamah. Ia tidak layu ketika rakan – rakannya layu. Ia bertahan ketika diasak dan ia bergerak ketika ruang diberi.
Yakini, selagi istiqamah pakaian PAS, hikmah adalah jahitannya.
Dari blog penarik beca, saya klik ke blog FT. Saya dapati beliau menyudahkan komennya terhadap DPP Selangor dengan tulisnya, PAS, kad persembahan markah kalian masih sifar.
Faisal, saya yakin Allah tidak sekedekut anda untuk memberi markah kepada teman – teman saya di Selangor dan saya yakin Allah tidak sepemurah anda untuk memberi markah kepada abang Roslan Aziz.
Saya temui hikmah itu dalam al Quran. Dan jikalah anda membaca al Quran sebagaimana anda membaca Hizbullah, itu pun mencukupi..


19 comments
Comments feed for this article
Jun 19, 2008 pada 10:01 am
albazrah
Alhamdulillah. Saya bersetuju. Prinsip jemaah Islam jelas, perjuangan Islam jelas. Jemaah Islam, memperjuangkan keamanan universal. Keamanan zahir dan batin. Keamanan hubungan dengan Allah, dengan manusia dan dengan alam.
Jemaah Islam faham sekiranya hubungan dengan Allah tidak aman, ertinya perjuangan masih tempang. Jemaah Islam faham tanpa Islam “Khasiral’alam”. Islam sama dengan fitrah. Sebab itu pejuang Islam sentiasa istiqamah ingin berkongsi kebaikan fitrah ini dengan semua orang. Teman-teman di Selangor, baarakallahhu fikum.
Jun 19, 2008 pada 1:54 pm
krasi
susahnya utk berdakwah pada masa sekarang ni, diharap pejuang2 Islam terutamanya yg berada di dalam PAS selalu bermohon mengharapkan pertolongan Allah, ya Allah tidak akan memberi markah sifar kepada perjuang Islam, hanya yg buta mata hati memberi markah kpd golongan yg sesat
Jun 19, 2008 pada 4:15 pm
cikli
Salam Ustaz..
saya tengok bila ada isu mcm ni dan dikomen pula oleh orang yang ada nama dan mempunyai bahasa yang cantik dan bombastik, ramai ambik peluang untuk tibai dan pukul para ustaz. Kalau ada isu cikgu, semua pakat tibai dan pukul cikgu, kalau isu babitkan kakitangan awam, sama juga etc etc.
Yang peliknya depa ni semua yang byk anjur ceramah, buat cerpen atau novel Islamik dll. Kalau forum bicara Addin, depa duduk paling depan. tapi bila kes amar makruf nahi mungkar, depa jadi bengong! Padahal depa takkan pergi tengok pun. Upah pun tak pergi!
Depa ni tak masuk samada kategori Abu Bakar, Abu Sufian, Abu Jahal atau Abu Talib….. Abu apa da….??
Jun 19, 2008 pada 7:02 pm
abu wafi
Salam Ustaz,
Saya setuju bahawa secara prinsipnya bahawa sebarang kemungkaran perlu ditegah.Saya setuju bahawa semua tindakan mencegah kemungkaran perlulah berhemah. Cuma pada pandangan saya, kita perlu melihat kepada realiti Kerajaan Selangor pada masa ini.Saya tekankan pada masa ini. Kerajaan Selangor adalah sebuah Kerajaan Campuran di mana PAS adalah salah satu parti kecil yang menjadi komponen kepada Kerajaan Negeri. Justeru, saya merasakan bahawa adalah lebih sesuai sekiranya DPPSelangor mengambil tindakan berjumpa atau mengadakan rundingan dengan Kerajaan Negeri terlebih dahulu sebelum menghantar memorandum.
Ini memandangkan kemelut ini sekarang melibatkan Sultan. Justeru, sebarang tindakan seperti melakukan demonstrasi atau menghantar petisyen dilihat kurang bijaksana pada masa ini. Seharusnya DPPSelangor mengambil langkah pertama dengan menyuarakan rasa tidak puas hati kepada Kerajaan Negeri Selangor terlebih dahulu. Bukankah PAS mempunyai Exco Agama iaitu Dato’ Dr Hassan Ali. Kenapa tidak kita gunakan saluran ini dahulu. Tindakan menghantar memo seolah-olah seperti membelakangkan Exco Agama yang juga dari PAS. Biar Exco berkenaan membawa perkara ini ke dalam mesyuarat mingguan Exco yang dipengerusikan oleh YB MB. Biar mereka berdebat dan berhujah dalam forum tersebut. DPPSelangor boleh memberi input seperti menggariskan panduan hiburan untuk dibentangkan dalam mesyuarat berkenaan atau mencadangkan acara alternatif bagi menggantikan konsert berkenaan yang dikira sesuai dan boleh diterima umum.
Next step, kita boleh meminta Dr Hassan Ali selaku exco agama agar menghadap Sultan untuk berbincang dan menyatakan pandangan tentang perkara ini.
Inilah maksud saya, bahawa kaedah atau saluran atau mekanisme perlu betul.
Saya tidak mempersoalkan soal hukum hakam.semua saya setuju dengan ustaz.Cuma saya kurang setuju dengan mekanisme yang digunapakai. Di mana pula kita nak meletakkan kedudukan Sultan dalam hal ini dan apakah pula kaedah untuk menyelesaikan masalah dengan sultan sekiranya baginda bersetuju dengan konsert tersebut. Tentu ada jalan yang lebih afdal diikuti sebelum jalan kedua dan ketiga.
Saya lihat soal utama di sini ialah kefahaman kita tentang perjalanan prosedur sesebuah organisasi perlu betul.
Mohon maaf sekiranya pandangan saya ini kurang menyenangkan. PENEKANAN SAYA DI SINI ADALAH KAEDAH AWAL DIAMBIL SEBELUM MENGHANTAR MEMO. SEBAB DI DALAM AKHBAR TIDAK DINYATAKAN SAMADA DPPSELANGOR ADA MEMBUAT PERJUMPAAN DGN MB ATAU EXCO AGAMA MEMBINCANGKAN PERKARA INI.DAN TIDAK ADA KERTAS CADANGAN DIBAWA OLEH EXCO AGAMA DI DALAM MESYUARAT EXCO BAGI MEBINCANGKAN PERKARA INI.
Abu Wafi,Putrajaya
Jun 19, 2008 pada 7:11 pm
dhuat79
Hehe ada juga artikel yang boleh saya cilok(baca:pinjam) untuk memberitahu kepada ‘mereka itu’
yang mengatakan PAS tidak berhikmah, perlu masa yang panjang, perlu penelitian mendalam….
Ya, amal maaruf nahi mungkar adalah satu!
Jun 19, 2008 pada 11:43 pm
zainulfaqar
Assalamualaikum Ustaz.
Saya Zainulfaqar. Saya nak minta izin masukkan artikel bermakna ini dalam portal rasmi mahasiswa [http://kampusnegara.net].
Semoga penulisan ini dapat membuka perbincangan yg lebih mahabah dlm kalangan mahasiswa dan KN sendiri.
Salam ukhwah!
http://zainulfaqar.wordpress.com
Jun 20, 2008 pada 5:12 pm
morazdi
Salam.
Alhamdullillah.telah diberikan ruang utk kita meneruskan dakwah dinegeri Selangor ini yg pada saya memerlukan byk usrah antara PAS S’SOR sebagai pengerak,PAS KELANTAN & PAS PUSAT sebagai pemangkin utk terus memperkasa gerakan ISLAM.Di era moden ini semuanya duit,nak berdakwah dikedai kopi pun perlukan modal.Bolehkah kita bergerak kehadapan tanpa RM?Saya merasakan perlunya PEMUDA PAS memikirkan bagaimana cara utk menjana ekonomi utk terus bergerak tanpa menunggu DANA drpd org lain.Saya amat berharap kalau ustaz dpt menghubungi saya,mungkin saya ada pendapat utk ini.Bila lagi Ustaz akan turun ke Ampang,KL?Mungkin kita boleh berjumpa di Ampang.
Insyaallah.ALLAHUAKHBAR
Jun 21, 2008 pada 10:32 am
jauh di utara
Saya salah seorang yang turut serta buat demontrasi itu bersama allahyarham Abg Din yang kena tahan… masa tu umur dalam 20 tahun esoknya gambar masuk utusan siap muka depan lagi.. takut hati ini Allah saja yang tahu..siap haribulan esok masuk lokap… habis anak beranak pakat talipon dan tanya khabar.. tapi saya tak lari ada kat rumah je.. Dr KP masa tu dan ustaz 2-3 hari menyusupkan diri, dengar cerita lari ke dalam ‘gua’ betul ke?
Teringat masa tu kita rasa kita cukup hebat walaupun baru memerintah macam-macam hal dengan pegawai kerajaan ni, sama macam Perak, Kedah dan Selangor sekarang ni… kita dulu tak ada buat memorandom bantahan , pakai terus demo aje Pemuda Selangor ni masih berlapik juga dan boleh dikira berhikmah juga sebab bagi memo dulu ni….
Dan yang penting ustaz telah mengimbau kembali peristiwa itu dikotak fikiran saya… semoga kita terus istiqomah…
Jun 21, 2008 pada 10:36 am
jauh di utara
Sebelum terlupa masa dulu Sultan pun kita sanggah kerana bercanggah dengan tuntutan agama
Jun 21, 2008 pada 10:59 pm
Salman faris
Salam,
sayatak pernah masuk kemunting,
kalu DPP selangor tak atar memo, satu malaysia tak tahu kerja nahi mungkar nie…
nie first step…
ahli PAS ingat lepas kito(PR) memerintah selangor
ARAK, JUDI ,DISCO tutup…tapi tak dok tindakan konkrit lagi dari PR!! kes babi ada laaa..
saya sokong tindakan DPP selangor, isu nie wajar ditangani pada level DPP jah… tak perlu Yb hassan ali, even bincang dalam exco meeting..banyak lagi benda lain nak bincang …
satu lagi isu konsert nie rakan DAP tak kisah, bersempena nak main bola jah…artis melayu lagi ….ELLA & MAS IDAYI TAK RELEVEN DGN BOLA…
Jun 22, 2008 pada 5:02 am
zainulfaqar
Assalamualaikum alfadhil Ustaz Nik Abduh yang saya hormati!
Saya ada pandangan lain tentang isu ini. LIhat http://zainulfaqar.wordpress.com/2008/06/22/respon-saya-kepada-forumer-kampusnegaranet-berhubung-inisiatif-dpp-selangor/#more-643
Tolong tegur jika saya salah. Sebab saya memang meminati pandangan lunak Ustaz! Salam ukhwah fiLlah abadan abada.
http://zainulfaqar.wordpress.com
Jun 23, 2008 pada 10:39 am
fawan
mintak kerajaan selangor tukar daripada nyanyian perempuan kepada persembahan perkusi, xpun wat pertandingan pertandingan antara pasukan gendang selangor dan singapura..
pasukan gendang yang dibenarkan pula mestila mengikut peraturan yang kita tetapkan,
yang tu pun menarik, sekadar hiburan..
ni jemput penyanyi, last sekali pemain bola semua main bola dalam keadaan gelek
Jun 24, 2008 pada 1:40 pm
Hamizul AH (U-HAH)
Salam Sdr-sdr,
Saya melihat isu ini adalah ujian. Nak uji sejauh mana bijaknya PAS. nak uji kekuatan hubungan PAS dalam PR. nak uji sokongan ahli-ahli PAS lepas ni. nak uji orang-orang bukan PAS. banyaklah yang akan kena uji.
Ana diam di negeri Selangor. Lama sebelum PR dapat ambil alih S’gor, ana peranh terfikir. Misalnya: apa PAS nak buat dengan kilang arak di Shah Alam. Tu baru perintah negeri selangor. bayangkan kalau Allah bagi PR dapat ambil alih Malaysia…
Hm…bagaimana nak kontrol TV, radio dan akhbar? Nak letak siapa jadi Menteri Penerangan? Siapa menteri Kekkwa? Siapa dan siapa pengarah Finas?
Ana tak tahu, apa akan jadi dengan Astro? APa akan jadi dengan radio Era, Sinar, Muzik dan banyak lagi. Apa nak jadi dengan pusat-pusat hiburan seluruh negara. Apa kan jadi dengan Bukit Bintang…Bangsar…
Ha…itu sebab ana pernah mention, adakah PAS benar-benar sudah ready memerintah negara ini? Kita bukan perintah ahli PAS, tapi perintah rakyat Malaysia yang caca marba dan serba berkecamuk (dekat-dekat dengan istilah majmuk…).
Umno sudah meracuni pemikiran rakyat lebih 50 tahun! Takkan kita fikir 50 hari sudah mampu menyediakan penawarnya…
Jun 24, 2008 pada 6:23 pm
nikabduh
Salam Kamunting,
albazrah,
Teruskan amar makruf nahi munkar di mana-mana. Orang lebih tahu, lebihlah hikmahnya dalam berdakwah. Ya, dakwah itu fitrah suci.
krasi,
Bukan hari ini, dakwah dari dulu mmg susah. Bersama kita menjadi pendakwah dan pejuang.
cikli,
Antara sifat pejuang ‘ ..dan mereka tidak takut celaan pencela. ‘ – (ayat )
abu wafi,
Terima kasih atas saranan anda yang tertib sekali. Ya, betul bahawa prosedur digariskan agar tindakan itu menjadi lebih tepat dan menjadi.
1) Saya tidak bermaksud menafikan hak sesiapa untuk menegur tindakan DPP Selangor. Saya hanya kecewa dengan celaan ke atas mereka.
2) Saya tekankan bahawa hikmah itu luas sekali. Setiap yang mengambil ar Rasul sebagai petunjuk, dia berhak untuk memiliki secangkir atau segunung hikmah. Maka mengapa mencela?
Tidakkah DPP Selangor itu sebuah gerakan dakwah yang konsisten sejak lama. Ada syura. Ada ketua yang dikenal sumbangannya di medan sejak lama dan ada jentera yang tersusun. Sandaran dakwahnya kuat sekali untuk dicela ‘caranya’. Hikmah mungkin terbabas daripada mereka yang baru di medan tetapi DPP bukan baru di medan dakwah.
Saya yakin mereka ada jawaban dan ada pengalaman. DPP Pusat termasuk kenyataan KPnya menyokong. Mereka pasti sudah ada penjelasan daripada DPP Selangor.
Saya nyatakan ini untuk membayangkan bahawa DPP Selangor tidak harus menerima celaan kecuali daripada mahaguru yang lebih hebat. Saya meletakkan FT sebagai contoh mudahnya kita menyelar kiri dan kanan. Di medan dakwah, setiap kita harus memahami erti adab kecuali perihal pasti dan qat’ie.
Hikmah itu luas dan kepastiannya gagal dimuktamadkan kecuali dari ar rasul yang maksum. Nabi pun belajar hikmah dakwah daripada teguran Tuhannya.
Kerana itu, saya boleh setuju dengan komen anda dan hikmah ‘prosedur’ yang anda kemukakan. Ya, ia nampak lebih lunak. Cuma, saya rasa mereka ada jawaban. WaLlahu a’lam.
Cuma saya mungkin berbeza dengan ‘keresahan’ anda perihal apabila ia mula melibatkan Tuanku Sultan. Bagi saya DPP Selangor hampir sampai ke puncak apabila sultan mula ‘perihatin’. Bila pendirian kita mahu didengar oleh Tuanku Sultan, tidakkah amar makruf nahi munkar itu menjadi hebat.
Soal tuanku Sultan berkenan atau tidak, itu natijah yang biasa dalam dunia dakwah. Jika dakwah menjadi semakin negatif kerananya, bolehkah dijamin positifnya tanpa tindakan DPP itu?
Yang jelas, semua dah tahu kini, konsert seperti itu adalah haram hukumnya dan perlu ditiadakan lagi. Sultan tahu, MB tahu, artis tahu, UMNO tahu dan Cina India tahu. Saya dan anda dah lama tahu.
Konsert artis terbuka yang tidak senonoh perlu dibuang terus. Hari ini dan bukan esok lagi. Selepas konsert, pasti lahir bayi luar nikah yang baru. Mereka anak muda seagama kita. Tiada siapa mahu menanggungkeperitannya lagi. Yang tinggal hanyalah kedegilan lama. Tiada siapa mampu menghalang kecuali KUASA DAKWAH yang berani!
Dalam PR, PASlah harapan dakwah.
Itu tuntutan kita kepada kerajaan yang diberi kuasa. Bagi saya, memo adalah langkah daripada langkah – langkah yang entah ke berapa lagi sehinggalah matlamat dekat dan jauh tercapai.
Dhuat79,
Apa pun, kritikan yang baik, kita dengar. Kalaulah anda ganti ella kat stadium tu, agak – agak berapa ribu datang..?
Zainulfaqar,
Saya telah baca komentar anda. Menarik sekali walaupun pendalilan anda kelihatan umum dan kurang menepati maksud yang anda natijahkan. Saya nampak upaya anda.
Cuma, untuk perkongsian, anda mungkin boleh merujuk balik kepada kaedah yang dipakai ramai bahawa setiap larangan mesti dikemukakan alternatifnya bolehnya. Zina diganti nikah. Riba diganti jual beli yang macam – macam..
Pertama, adakah dengan tanpa alternatif dikemukakan, maka larangan kita menjadi tak berhikmah?
Kedua, lihat PAS sebagai sebuah organisasi yang besar. DPP Selangor adalah daripadanya. Mengapa menafikan alternatif PAS daripada DPP Selangor? Bukankah PAS dah ada hiburan alternatif?
DPP Selangor membawa semuanya. Jangan dan ini gantinya! Lihat kenyataan terbaru KP DPP Selangor. Dia menawarkan sebagaimana PAS tawarkan.
Jadi, semua alternatif anda semacam sama saja. Bezanya, anda tak selesa cara dpp ayng mungkin ‘keras; dilihat.
Nasihat keras dan lembut berguna apabila kena sasarannya.
Akuilah, hikmah itu sukar dijinakkan. Lihat firmanNya, ” Barang siapa dikurniai hikmah, sesungguhnya ia telah dikurniakan kebaikan yang banyak sekali.” Nah, ia pasti milik hambaNya yang terpilih.
Kita memiliki sedikit daripadanya. Kerana itu, pendirian saya, hormati setiap pendakwah dan pejuang yang telah benar dan konsisten jalannya.
morazdi,
Terima kasih atas tawaran. Kadang – kadang saya sampai ke Ampang. Sapalah jika bertemu..
Jauh di utara,
Bukan dalam gua, tapi atas gua musang. Ia pengalaman yang baik.
Salman faris,
Anda nampak robust.. mungkin acap demo lawan Amerika?
fawan,
Hiburan Islam amat luas. Macam – macam boleh dicadang. Hanya UMNO yang bengal.
Hamizul,
Ya, saya doakan PAS lebih bersedia. Rakan – rakan JIM, ABIM dan lain – lain pasti menjadi pembantu setia.
Jun 24, 2008 pada 8:34 pm
suealeen
assalamualaikum
saya sependapat dengan ustaz.
Jun 25, 2008 pada 2:56 am
zainulfaqar
Terima kasih atas tunjuk ajar Ustaz. InsyaAllah, tidak lama lagi kita akan sama2 melihat apakah natijah hikmah dr fenomena dakwah ‘amar ma’ruf nahi mungkar ini. InsyaAllah.
Selagi PAS komited dengan Islam, selagi itu rahmat Allah akan mengejar jejak langkah perjuangan PAS. InsyaAllah.
“…(skeptiktisme) Keraguan adalah tahap pertama keyakinan…” rumusan falsafah Islam Imam alGhazali.
http://zainulfaqar.wordpress.com
Jun 28, 2008 pada 6:13 am
nasaie
ok..kalau apa dpp selangor buat tak berhikmah, mana dia usaha dan suara ngo2 Islam lain yg lebih berhikmah????. knapa syap dan membiarkan shj dpp selangor di belasah..yg di marah bukan kerana maksiatnya, cuma tak berhikmahnya, tapi yg jelas maksiat, tak dak pula dimarah..
Julai 8, 2008 pada 11:58 pm
abdulhadimuhamad
Kini dah 4 bulan terdirinya kerajaan2 negeri PR. Sabar dan tawakkallah di samping istiqamah. Pro-kontra adalah asam garam.Ikhtilaf tak dapat dielakkan. Kena guna hikmah dan gesaan Allah supaya kita kembali kepada Nas sambil memohon doa agar selalu mendapat petunjuk Allah. DPP Selangor ada benarnya, jika mereka tidak beraksi begitu, nanti kata pula golongan (???), kita tidak buat apa2. Serba tak kena.Rahmatnya lain kali mesti sama berhati2. Guna hukum, akal dan hati.
http://abdulhadimuhamad.blogspot.com
Ogos 21, 2008 pada 11:11 pm
hilmi_unitamal
Islam mesti dizahirkan…Walau apapun tentangan…rakan2 dalam PR pun bukan faham tentang Islam….Kita yang berada dalam Pas mempunyai tggungjawab menyedarkan mereka…Jadilah seperti abu zar yang berani menegur khalifah walaupun khalifah2 tu adalah shbt rasul SAW sendiri…sehingga Abu zar dibuang negeri….Allahuakbar!!! Bukan nak kata ader shbt wat salah,…tapi maknenyer kerja tegur sesama manusia ni kena ader…