Salam Kamunting,
Saya menulis dari Kelantan. Sepanjang tempoh kempen pilihan raya berlangsung saya tetap di sini dan tak keluar – keluar lagi, bahkan tumpuan saya adalah di Pengkalan Chepa, pangkalan dan kubu PAS terkuat di negara kita.
AlhamduliLlah, saya telah dapati apa yang saya tulis dan bimbangkan sebelum ini mengenai fasa pertama tempoh pilihan raya yang memeritkan, iaitu saat menentukan dan menamakan calon yang akan bertanding telah berjaya dilepasi oleh PAS. Selepas penamaan calon selesai, jentera nampaknya bersatu sekali walaupun kekemasannya tidaklah sekata kekuatannya di antara Majlis Tindakan DUN (MTD) sejumlah 45 buah itu.
Saya lihat dan fikir masa itu, ayahanda Tuan Guru Pesuruh Jaya PAS Kelantan agak sukar membuat pilihan dan keputusan. Saya menyaksikan kekalutan itu sampai saya terus memendam sampai sekarang hasrat saya untuk turut mencadangkan beberapa tokoh yang menjadi pilihan saya. Biasalah, cadangan dan percaturan bertubi – tubi dari luar ( akar umbi ) dan dalam ( pimpinan ) mengasak ayahanda lalu meletihkannya.
Mujurlah, berkat doa semua pejuang, keadaan menjadi reda sungguh selepas hari penamaan calon tersebut. Saya mendapat khabar ada dua kumpulan yang berselisih panas akhirnya berjaya disatukan dan kedua – dua pemimpin itu saling berpelukan dan bermaafan, lalu mereka turun padang bersama. Begitu juga dengan perselisihan dengan PKR yang tampak sukar di awalnya, akhirnya lerai apabila calon yang bertanding mendapat restu kedua – dua pihak.
UMNO nampaknya tewas di sini. Pak Lah dan Dato Sri Najib nampaknya terpaksa berulang – alik ke Kelantan dengan acap sekali ( tidak sebagaimana zaman Tun Mahathir ) bagi menyatukan jentera BN yang berpecah – belah. Ia nyata sekali sampai siaran televisyen pun menyiarkan ucapan Dato Sri Najib yang mengingatkan ketiga – tiga pemimpin BN Kelantan yang bertelagah agar bersatu. Pak Lah pula sampai dua kali datang dalam minggu terakhir ini.
Musim pilihan raya adalah musim bekerja untuk Islam. Anda tidak dapat melihat bagaimana semua kita mampu berfungsi untuk kemenangan Islam sebagaimana di musim pilihan raya sebegini.
Daripada seorang ketua dan pimpinan yang merancang, mengarah dan memantau, kemudian jentera penerangan yang berceramah, berkempen dan melancar propaganda, kemudian jentera di akar umbi yang bergerak dari rumah ke rumah, mencula, membekal, mengawal selia keselamatan kampung, pos dan markaz, menampal poster, menaikkan bendera, mencipta pelbagai kreativiti yang memukau dan menarik perhatian sehinggalah perang sms dan siber, semuanya membuktikan peranan muslim untuk Islam adalah dalam kemampuan dan benar belaka.
Allah pasti tidak mensia – siakan amalan soleh hamba – hambaNya yang berjuang di jalanNya. Dialah Tuhan di langit dan di bumi.
PAS membentuk jentera jihad pilihan raya yang hebat. Pada setiap kali pilihan raya umum, jentera jihad ini ditambah berganda – ganda dengan fungsi yang pelbagai berbanding keadaan biasa sebelum pilihan raya. Di Parlimen Pengkalan Chepa, jentera di peringkat Unit – unit Peti Undi ( UPU ) sahaja hampir mencecah seribu orang. Jika skala sama dipakai di parlimen lain, maka Kelantan sahaja membariskan barisan pejuang yang tersusun seramai 15 ribu orang. Justeru jentera PAS seluruh negara pasti mencecah 100 ribu orang yang bergerak dengan arahan dan tindakan yang satu dan tersusun.
Sesungguhnya Allah cukup suka melihat hambaNya berjuang di jalanNya dalam satu saf yang tersusun bagai satu binaan yang kukuh. Mereka semua bekerja tanpa upah yang wajib. Upah mereka, mereka tagih di akhirat nanti.
Bagaimana PAS memperolehi kekuatan ini? Pastinya kerana hasil perjuangan yang lama dan konsisten. Jika dulu PAS berada di tepian yang dijanggali, kini PAS sudah di arus besar setanding seteru utamanya, BN yang berpaut penuh pada jentera kerajaan dan jentera parti yang mesti diupah dan disuap wang dan janji manis sebelum dan selepas bekerja.
Menyatukan umat adalah kewajiban ugama yang utama. Melorong mereka ke medan perjuangan Islam adalah kewajiban juga. Menyusun mereka di dalam barisan jentera adalah kewajiban seterusnya. Kemudian gerakkan mereka untuk bertindak demi Islam yang disayangi.
Bila jentera ini bergerak, musuh menjadi kaget, takut dan gerun. Menggerunkan musuh adalah ibadat yang hebat.
Saya yakin rakyat Kelantan akan terus mengundi PAS untuk memberi laluan kepada cara hidup Islam diterapkan dalam kehidupan mereka. Saya yakin rakyat Kelantan akan menolak BN demi menutup laluan kepada usaha – usaha menjahanamkan segala hasil usaha yang dibina oleh PAS selama semenjak 18 tahun yang berlalu. Rakyat Kelantan samada yang berada di negeri Kelantan atau di luar Kelantan cukup prihatin dengan perkembangan politik negara. Mereka ada kekuatan untuk membuat pilihan sendiri dan mereka tidak terdesak untuk dijual beli undi mereka demi habuan yang menghinakan. Satu undi adalah maruah dan amanah agama.
Ini keyakinan saya berdasarkan apa yang saya renungi dan teliti daripada perkongsian saya dengan rakyat Kelantan di mana – mana. Hari ini, beberapa hari menjelang pilihan raya berlangsung, keadaan seperti mahu segera mengesahkan apa yang saya yakini. Laporan yang datang daripada pelbagai sumber mengesahkan PAS akan memperolehi kemenangan besar di Kelantan dalam pilihan raya kali ini. BN akan kalah lagi sebagaimana sebelumnya. Itulah yang saya perolehi daripada dalaman parti, daripada dalaman BN juga dan kajian luar yang lebih berwibawa.
Tetapi Malaysia bukanlah negara yang adil. Ia bukan negara yang menghormati kuasa rakyat. Rakyat hanyalah hamba abdi yang mesti melutut kepada kehendak pemerintah. Rakyat hanyalah patung – patung yang akan diperkudakan sekehendaknya oleh parti yang memerintah.
BN tekad merampas Kelantan. Mereka mesti menang walau apa cara sekali pun. Kemenangan di Kelantan adalah ubat kepada kekalahan BN di negeri – negeri lain yang semakin hilang daripada kawalan BN. Bangsa India telah bangkit memberontak melawan kerajaan BN yang mereka sifatkan menganak – tirikan mereka. Ini kebangkitan penuh bersejarah.
Di Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan lain – lain menyaksikan kebangkitan terbuka rakyat berbangsa India dan Cina yang beraninya mengalahkan keberanian penyokong PAS sendiri. Kawan – kawan saya yang kaki berceramah melaporkan kebangkitan bangsa India dan Cina yang tidak segan – segan lagi menamakan BN sebagai punca kerosakan negara. Malah, lebih mengkagumkan, mereka menerima PAS dan kepimpinan ulama juga!
Ayahanda Tuan Guru memberitahu saya bahawa wakil India di Kuala Lumpur telah meminta kebenaran ayahanda untuk baju mereka dicetak dengan gambar ayahanda bersama dengan Mahatma Gandhi! Inilah pemimpin agung manusia, kata mereka. Ah, apa ini selain keyakinan mereka kepada ISLAM BOLEH!
Saya melihat satu gambar seorang wanita India memakai baju pada hari penamaan calon di Selangor yang tertulis ‘ Saya India, saya Hindu, Saya mahukan kepimpinan ulama ‘. Apabila PAS tidak lagi ditakuti oleh bukan Islam, PAS sebenarnya sudah pun menang selepas puluhan tahun berjuang memecahkan tembok kebal yang dibina UMNO untuk memisahkan bukan Islam daripada PAS.
Adakah UMNO menikmati ini daripada bangsa non muslim selama mereka menjalin kerja sama?
BN akan nekad merampas Kelantan. Dengan pengumuman terbaru pembatalan penggunaan dakwat kekal oleh SPR, maka ia mengesahkan BN dalam kesempitan dan terdesak sekali.
Semasa saya menulis, laporan sampai bahawa bas – bas yang membawa pengundi hantu ( pengundi bukan rakyat Kelantan yang diselinap masuk oleh pendaftaran SPR bagi mengabsahkan undi mereka di Kelantan selain pengundi lebih satu undi ) telah mula memasuki Kelantan. Polis telah bertambah – tambah di Kelantan dengan ribuan SB bergerak di segenap pelusuk negeri. BN tidak berceramah lagi di Kelantan sepanjang tempoh berkempen. Pelik. Mereka hanya melakukan kerja – kerja yang cukup tersembunyi dan menyepi daripada dunia demokrasi.
SPR dan segala jentera kerajaan sedang siap sedia menyerang Kelantan dari atas dan bawah, depan dan belakang.
Kami yakin kami menang, tetapi kami yakin mereka akan merampas kemenangan kami dengan sejahat – jahat cara.
Jika tidak kerana kerana kami diajar lama dengan kuasa Allah dan bantuanNya kepada para pejuangNya, pasti sudah kami keletihan menghadapi Pak Lah, Khairi, Tan Sri Abdul Rasyid dan lain – lain pengganas ini.
Tuhanku, tolong kami pejuangMu.


12 comments
Comments feed for this article
Mac 7, 2008 pada 4:05 pm
singa_Allah
Assalamualaikum.
Alhamdulillah, saya tertarik dengan akhlak pejuang2 dalam PAS yang masih boleh melupakan sengketa sebelumnya, mengenepikan pendapat dan kepentingan peribadi, saling bermaafan dan sanggup bersatu kembali demi bekerja bersama2 dan berusaha ke arah kemenangan Islam di Kelantan. Saya percaya, ini yang membezakan jemaah Islam dan gerakan mereka. Kita bekerja demi agama, dan mereka bekerja kerana harta dan dunia. Semoga Allah mencurahkan rahmat dan kasih sayangNya kerana akhlak yang baik dan keikhlasan pejuang2Nya, dan mengurniakan kemenangan untuk Islam di Kelantan dan negeri2 lain, insyaAllah. Saya juga berharap PRU12 menjadi satu titik perubahan untuk pemerintahan di negeri2 lain juga kerana ikhlasnya, kami rakyat di negeri lain kekadang ‘cemburu’ dengan nikmat yang dirasai rakyat Kelantan; pemerintahan berteraskan Islam yang adil. Saya banyak mendengar kisah2 mereka yang mengunjungi Kelantan dan tidak berhasrat untuk kembali ke negerinya dan lebih mengujakan saya, terdapat juga mereka yang bukan Muslim. Keadaan yang membuktikan PAS bukanlah untuk Muslim semata2 tetapi PAS untuk semua.
Terus berdoa mohon kekuatan buat pejuang2 agama Allah.
Mac 7, 2008 pada 6:05 pm
penamaya
Biarkan Kelantan terus berada di bawah PAS.
Baru akan terus sejahtera Malaysia ini.
Saya doakan yang terbaik buat Kelantan.
http://penamaya.wordpress.com
Mac 7, 2008 pada 6:07 pm
Lloyd
cool
Mac 7, 2008 pada 9:21 pm
blogie
good post !
Mac 8, 2008 pada 3:47 am
zahrah
salam….
sangat menyentuh hati entry ustaz kali ni…membuatkan air mata berlinangan…Ya Allah diri ini sentiasa bermohon kepadamu…walau diri ini tahu betapa kerdil dan telah banyak dosa yang dilakukan justeru tidak layak diri ini meratap kepada-Mu TETAPI ya Alllah diri ini memohon TERIMALAH PERMOHONAN PEJUANG2-MU YANG BERMATI-MATIAN MEMPERTAHANKAN KALIMAH TAUHID DI BUMI MALAYSIA TERUTAMA DI KELANTAN YA ALLAH!!Jika diri ini tidak layak dan sememangnya tidak layak untuk meminta dan meminta kepada-Mu ENGKAU terimalah permintaan hamba-Mu itu ya Allah iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz b Nik Mat serta pengikut2-nya di atas kemenangan Islam di kelantan. Walau bagaimana hebat dan dahsyat perancangan mereka yang ingin menghancurkan Islam dibumi kelantan ya Allah tetapi PERANCANGAN-MU adalah sebaik-baik perancangan…ya Allah bumi kelantan sedang dizalimi ya Allah….Selamatkan negeri serambi Mekah itu ya Allah…kami yakin dan percaya ya Allah ENGKAU TUHAN yang amat PEMURAH…kami juga ingin merasai bahang kehebatan pemerintahan Islam dinegeri2 lain jua yaAllah…maka jika ini adalah baik buat-Mu ya Allah KAU kurniakanlah jua kemenangan ISLAM di MALAYSIA SELURUHNYA!!supaya saudara2 seislam kami dan sahabat2 kami yg cintakan kebenaran itu dapat merasai keamanan dan kesejahteraan yang telah dialami oleh rakyat2 Kelantan…TETAPI jika ENGKAU ingin menangguhkan KEMENANGAN ISLAM DI MALAYSIA AMNYA….ENGKAU lebih mengetahui ya Allah…kami tidak mengetahui malah jauh sekali kami mengatur ketentuan-Mu!!Ya Allah kami lemah kami dhaif tika ini ya Allah…hanya PERTOLONGAN DAN NUSRAH DARIMU kami harapkan!!hancurkan pakatan jahat puak2 yang menzalimi parti kami ya Allah…Aameen
“wahai Tuhan Yang Maha Pemurah”
Ampunilah segala dosaku”
SELAMAT MENGUNDI WAHAI SAHABAT2!!
ALLAHUAKBARR!!
Mac 9, 2008 pada 2:53 am
albazrah
Tahniah untuk rakyat kelantan. Kalian tunduk, khusyu’, khudu’ kepada Allah. Mengadu merintih dan merayu akan kelemahan diri. Maka Allah angkat kalian setinggi-tingginya. Sehingga kami di negeri lain menumpang tempiasannya. Tahniah ustaz untuk kita semua. Tahniah untuk rakyat kelantan. Alhamdulillah wa syukru lillah. Allahu Allah. Allahu Akbar wa lillahhilhamd.
Tahniah atas kemenangan besar ini. Saya rasakan seolah-olah Perang Badar. Syukur yang tak terhingga.
Mac 9, 2008 pada 12:24 pm
nuriman
ALLAH HU AKBAR ALHAMDULILLAH…..saya di Klate ya Allah, Allah mendengar doa orang2 yg beriman……….
Mac 9, 2008 pada 5:23 pm
Hamba-Allah
peace be upon you………
tahniah pd pas kerna kelantan di bwh pas………
tp saya ingin mengemukakan soalan kpd pihak tuan mengenai DAP……
Adakah orang Cina yang bakal memerintah Selangor? Adakah dengan
bertambah dan majunya DAP akan menggugat ketuanan Melayu? Contohnya
Apabila DAP apply:
1. UITM mesti bagi non-bumis / Chinese masuk…
2. Matrikulasi, SBP dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mesti dibiar
open kepada non-bumiputra, dan bukannya 90% Malay dan 10% non-Malay
seperti sekarang.
3. Menarik balik pengisytiharan negara Islam.
4. Hak istimewa orang Melayu ditarik balik.
5. Kontrak2 kerajaan pun tiada kuota bumiputra.
6. Mewujudkan Timbalan Perdana Menteri Kedua — yang bukan Islam
dan dilantik dari orang Cina atau India
DAN MACAM-MACAM LAGILAH…
Macam mana? Adakah ketuanan Melayu tergugat? Adakah bangsa kita
boleh maju kiranya hak istimewa orang Melayu dibubarkan?
Adakah Islam boleh bertapak dengan kuat apabila suara DAP semakin
kuat dan bertambah kuat dalam Parlimen? Bagaimana
apabila terdapat pertambahan sehingga mencecah 50% orang
Cina dalam Sekolah Berasrama Penuh (SBP), matrikulasi,
Maktab Rendah Sains MARA(MRSM), UITM, UIA dan sebagainya
yang akan mengehadkan peluang anak-anak orang Melayu,
yang diketahui majoritinya memang tidak mampu menampung
pembiayaan belajar di Sunway College, Taylor College,
LimKokWing, INTI College dan sebagainya..?
soalan sya adakah ini akn menggugat islam dimalaysia kerna dap x menyokong islam dan apa tindakan pas utk isu dap ini…….
Mac 11, 2008 pada 4:01 pm
Tajunm
Wahai Hamba Allah, kebimbangan anda memang ada asasnya. Sejak sekian lama, kita semua disogokkan dengan kesan-kesan negetif apabila orang bukan Melayu, bukan Islam memerentah. Apa yang kelihatan, mereka akan menindas orang Melayu dan dan mungkin juga akan terjadi seperti Singapura atau di Palestin. Semuga Allah jauhkan daripada kita semua, kerana perkara seperti itu bukannya tidak mungkin akan terjadi.
Sekian lama, UMNO membina tembok antara Islam dan bukan Islam di Malaysia. Mereka tidak diberikan penerangan yang jelas tentang Islam. Apa yang mereka tahu, Islam akan membunuh mereka semua jika mereka tidak mahu menerima Islam. Betul kah seperti itu?
Sebagaimana mereka, kita juga jahil tentang Islam. Kita juga menanam prasangka terhadap mereka. Semuanya kerana kita juga tidak diberikan penerangan yang jelas tentang hubungan orang Islam dengan bukan Islam. Buku teks di sekolah tidak mengupas perkara ini dengan sejelas-jelasnya. Tambahan pula orang bukan Islam sendiri tidak diberi kebenaran untuk mengambil matapelajaran PAI di peringkat SPM, tidak seperti tahun 80an dahulu.
Harapan saya, dengan kemenangan parti-parti pembangkang di seluruh negara, terutamanya dengan bertambahnya kerusi DUN dan Parlimen yang dimenangi PAS, kuasa yang ada akan bertambah, bermakna akan bertambahlah ruang bagi orang Islam untuk menyampaikan Islam kepada orang bukan Islam. Juga diharapkan, orang-orang bukan Islam akan bersedia untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam, agar segala prasangkan dapat kita hapuskan.
Islam datang untuk membela, bukan untuk menindas. Islam untuk membawa kesejahteraan, bukannya untuk menambah penderitaan.
Mac 12, 2008 pada 9:42 am
globalmalau
Salam dari globalmalau
Bila hati sanubari tergerak untuk memehak kepada yang benar semua orang terkejut…lihatlah…keegoaan memerangkap diri sendiri hingga tiada hentinya mereka menyesal diri…tidak ada noktah…tahniah kelantan sesama kiter di kedah ni…
Saya kabarkan kegembiraan ini untuk semua…rezekki Allah kurniakan untuk malaysia…Hijau bumi dihamparan dunia…tinggi langit biru perkasa…Sayang muslim muslimat semua…semua yang ekses nih…
Mac 12, 2008 pada 9:54 am
globalmalau
baik saya katakan minda yang dibekalkan untuk orang melayu adalah bila bangsa lain memerentah orang melayu akan terpinggir…Tak per saya akui semua itu…Tetapi tidak ada kabar positif untuk berkawan…semua kabar kabar negativ spt jadi 13 mei dan macam macam…negara kacau…Yaaa saya akui negara kacau…Pemerentahan islam telah lama menafikan ini…untuk semua bangsa…India ker Cina ker Siam ker melayu ker kadazan ker semua itu adalah bangsa…Kita jangan bimbang melayu hilang …kita kena bimbang ugama islam hilang…salam untuk penggerak kemenangan ini
globalmalau
Mac 25, 2008 pada 5:27 pm
ibnmumtaz
the good article.Amin.