You are currently browsing the daily archive for Mac 6th, 2008.
Salam Kamunting,
Saya menulis dari Kelantan. Sepanjang tempoh kempen pilihan raya berlangsung saya tetap di sini dan tak keluar – keluar lagi, bahkan tumpuan saya adalah di Pengkalan Chepa, pangkalan dan kubu PAS terkuat di negara kita.
AlhamduliLlah, saya telah dapati apa yang saya tulis dan bimbangkan sebelum ini mengenai fasa pertama tempoh pilihan raya yang memeritkan, iaitu saat menentukan dan menamakan calon yang akan bertanding telah berjaya dilepasi oleh PAS. Selepas penamaan calon selesai, jentera nampaknya bersatu sekali walaupun kekemasannya tidaklah sekata kekuatannya di antara Majlis Tindakan DUN (MTD) sejumlah 45 buah itu.
Saya lihat dan fikir masa itu, ayahanda Tuan Guru Pesuruh Jaya PAS Kelantan agak sukar membuat pilihan dan keputusan. Saya menyaksikan kekalutan itu sampai saya terus memendam sampai sekarang hasrat saya untuk turut mencadangkan beberapa tokoh yang menjadi pilihan saya. Biasalah, cadangan dan percaturan bertubi – tubi dari luar ( akar umbi ) dan dalam ( pimpinan ) mengasak ayahanda lalu meletihkannya.
Mujurlah, berkat doa semua pejuang, keadaan menjadi reda sungguh selepas hari penamaan calon tersebut. Saya mendapat khabar ada dua kumpulan yang berselisih panas akhirnya berjaya disatukan dan kedua – dua pemimpin itu saling berpelukan dan bermaafan, lalu mereka turun padang bersama. Begitu juga dengan perselisihan dengan PKR yang tampak sukar di awalnya, akhirnya lerai apabila calon yang bertanding mendapat restu kedua – dua pihak.
UMNO nampaknya tewas di sini. Pak Lah dan Dato Sri Najib nampaknya terpaksa berulang – alik ke Kelantan dengan acap sekali ( tidak sebagaimana zaman Tun Mahathir ) bagi menyatukan jentera BN yang berpecah – belah. Ia nyata sekali sampai siaran televisyen pun menyiarkan ucapan Dato Sri Najib yang mengingatkan ketiga – tiga pemimpin BN Kelantan yang bertelagah agar bersatu. Pak Lah pula sampai dua kali datang dalam minggu terakhir ini.
Musim pilihan raya adalah musim bekerja untuk Islam. Anda tidak dapat melihat bagaimana semua kita mampu berfungsi untuk kemenangan Islam sebagaimana di musim pilihan raya sebegini.
Daripada seorang ketua dan pimpinan yang merancang, mengarah dan memantau, kemudian jentera penerangan yang berceramah, berkempen dan melancar propaganda, kemudian jentera di akar umbi yang bergerak dari rumah ke rumah, mencula, membekal, mengawal selia keselamatan kampung, pos dan markaz, menampal poster, menaikkan bendera, mencipta pelbagai kreativiti yang memukau dan menarik perhatian sehinggalah perang sms dan siber, semuanya membuktikan peranan muslim untuk Islam adalah dalam kemampuan dan benar belaka.
Allah pasti tidak mensia – siakan amalan soleh hamba – hambaNya yang berjuang di jalanNya. Dialah Tuhan di langit dan di bumi.
PAS membentuk jentera jihad pilihan raya yang hebat. Pada setiap kali pilihan raya umum, jentera jihad ini ditambah berganda – ganda dengan fungsi yang pelbagai berbanding keadaan biasa sebelum pilihan raya. Di Parlimen Pengkalan Chepa, jentera di peringkat Unit – unit Peti Undi ( UPU ) sahaja hampir mencecah seribu orang. Jika skala sama dipakai di parlimen lain, maka Kelantan sahaja membariskan barisan pejuang yang tersusun seramai 15 ribu orang. Justeru jentera PAS seluruh negara pasti mencecah 100 ribu orang yang bergerak dengan arahan dan tindakan yang satu dan tersusun.
Sesungguhnya Allah cukup suka melihat hambaNya berjuang di jalanNya dalam satu saf yang tersusun bagai satu binaan yang kukuh. Mereka semua bekerja tanpa upah yang wajib. Upah mereka, mereka tagih di akhirat nanti.
Bagaimana PAS memperolehi kekuatan ini? Pastinya kerana hasil perjuangan yang lama dan konsisten. Jika dulu PAS berada di tepian yang dijanggali, kini PAS sudah di arus besar setanding seteru utamanya, BN yang berpaut penuh pada jentera kerajaan dan jentera parti yang mesti diupah dan disuap wang dan janji manis sebelum dan selepas bekerja.
Menyatukan umat adalah kewajiban ugama yang utama. Melorong mereka ke medan perjuangan Islam adalah kewajiban juga. Menyusun mereka di dalam barisan jentera adalah kewajiban seterusnya. Kemudian gerakkan mereka untuk bertindak demi Islam yang disayangi.
Bila jentera ini bergerak, musuh menjadi kaget, takut dan gerun. Menggerunkan musuh adalah ibadat yang hebat.
Saya yakin rakyat Kelantan akan terus mengundi PAS untuk memberi laluan kepada cara hidup Islam diterapkan dalam kehidupan mereka. Saya yakin rakyat Kelantan akan menolak BN demi menutup laluan kepada usaha – usaha menjahanamkan segala hasil usaha yang dibina oleh PAS selama semenjak 18 tahun yang berlalu. Rakyat Kelantan samada yang berada di negeri Kelantan atau di luar Kelantan cukup prihatin dengan perkembangan politik negara. Mereka ada kekuatan untuk membuat pilihan sendiri dan mereka tidak terdesak untuk dijual beli undi mereka demi habuan yang menghinakan. Satu undi adalah maruah dan amanah agama.
Ini keyakinan saya berdasarkan apa yang saya renungi dan teliti daripada perkongsian saya dengan rakyat Kelantan di mana – mana. Hari ini, beberapa hari menjelang pilihan raya berlangsung, keadaan seperti mahu segera mengesahkan apa yang saya yakini. Laporan yang datang daripada pelbagai sumber mengesahkan PAS akan memperolehi kemenangan besar di Kelantan dalam pilihan raya kali ini. BN akan kalah lagi sebagaimana sebelumnya. Itulah yang saya perolehi daripada dalaman parti, daripada dalaman BN juga dan kajian luar yang lebih berwibawa.
Tetapi Malaysia bukanlah negara yang adil. Ia bukan negara yang menghormati kuasa rakyat. Rakyat hanyalah hamba abdi yang mesti melutut kepada kehendak pemerintah. Rakyat hanyalah patung – patung yang akan diperkudakan sekehendaknya oleh parti yang memerintah.
BN tekad merampas Kelantan. Mereka mesti menang walau apa cara sekali pun. Kemenangan di Kelantan adalah ubat kepada kekalahan BN di negeri – negeri lain yang semakin hilang daripada kawalan BN. Bangsa India telah bangkit memberontak melawan kerajaan BN yang mereka sifatkan menganak – tirikan mereka. Ini kebangkitan penuh bersejarah.
Di Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan lain – lain menyaksikan kebangkitan terbuka rakyat berbangsa India dan Cina yang beraninya mengalahkan keberanian penyokong PAS sendiri. Kawan – kawan saya yang kaki berceramah melaporkan kebangkitan bangsa India dan Cina yang tidak segan – segan lagi menamakan BN sebagai punca kerosakan negara. Malah, lebih mengkagumkan, mereka menerima PAS dan kepimpinan ulama juga!
Ayahanda Tuan Guru memberitahu saya bahawa wakil India di Kuala Lumpur telah meminta kebenaran ayahanda untuk baju mereka dicetak dengan gambar ayahanda bersama dengan Mahatma Gandhi! Inilah pemimpin agung manusia, kata mereka. Ah, apa ini selain keyakinan mereka kepada ISLAM BOLEH!
Saya melihat satu gambar seorang wanita India memakai baju pada hari penamaan calon di Selangor yang tertulis ‘ Saya India, saya Hindu, Saya mahukan kepimpinan ulama ‘. Apabila PAS tidak lagi ditakuti oleh bukan Islam, PAS sebenarnya sudah pun menang selepas puluhan tahun berjuang memecahkan tembok kebal yang dibina UMNO untuk memisahkan bukan Islam daripada PAS.
Adakah UMNO menikmati ini daripada bangsa non muslim selama mereka menjalin kerja sama?
BN akan nekad merampas Kelantan. Dengan pengumuman terbaru pembatalan penggunaan dakwat kekal oleh SPR, maka ia mengesahkan BN dalam kesempitan dan terdesak sekali.
Semasa saya menulis, laporan sampai bahawa bas – bas yang membawa pengundi hantu ( pengundi bukan rakyat Kelantan yang diselinap masuk oleh pendaftaran SPR bagi mengabsahkan undi mereka di Kelantan selain pengundi lebih satu undi ) telah mula memasuki Kelantan. Polis telah bertambah – tambah di Kelantan dengan ribuan SB bergerak di segenap pelusuk negeri. BN tidak berceramah lagi di Kelantan sepanjang tempoh berkempen. Pelik. Mereka hanya melakukan kerja – kerja yang cukup tersembunyi dan menyepi daripada dunia demokrasi.
SPR dan segala jentera kerajaan sedang siap sedia menyerang Kelantan dari atas dan bawah, depan dan belakang.
Kami yakin kami menang, tetapi kami yakin mereka akan merampas kemenangan kami dengan sejahat – jahat cara.
Jika tidak kerana kerana kami diajar lama dengan kuasa Allah dan bantuanNya kepada para pejuangNya, pasti sudah kami keletihan menghadapi Pak Lah, Khairi, Tan Sri Abdul Rasyid dan lain – lain pengganas ini.
Tuhanku, tolong kami pejuangMu.


Komen terbaru