Salam Kamunting,

Ceramah memperkenalkan calon semalam bertukar kepada ceramah memperkenalkan wakil rakyat baru bagi DUN Kijang. Saya merasa teruja kerana diberi peluang untuk turut bersama YB Wan Ubaidah binti Omar, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan dan calon Parlimen Pengkalan Chepa, Dato Hj Abdul Halim bin Abdul Rahman berceramah dan menyatakan rasa syukur kepada Tuhan yang memberi kemenangan mudah kepada pejuangNya di dalam pilihan raya kali ini.

YB Kak Ubai yang mewakili parti Islam PAS telah menang tanpa bertanding setelah ‘kad merah’ dilayangkan ke atas calon daripada BN sebelum pertarungan berlangsung lagi semasa hari penamaan calon semalam. ( Untuk keterangan lanjut dan gambar – gambar, sila ke blog rakan saya, peguam Nik Bahrom Nik Abdullah ( di sini  ) yang terlibat secara langsung mengemukakan bantahan semalam dan blog pemuda Pengkalan Chepa kendalian Saudara Ruzely Abdullah ( di sini ) yang turut bersama pada hari bersejarah itu.

Selepas menyatakan rasa syukur kepada Allah, saya memilih untuk berkongsi rasa gembira bersama hadirin yang di dominasi golongan muslimat dengan menyatakan bagaimana Allah dengan hikmat dan kasih sayangNya telah menukar angin rahmatNya kembali bertiup ke DUN Kijang, DUN paling hijau di Malaysia ( DUN Chempaka yang diwakili ayahanda Dato Tuan Guru terganggu kekuatannya dengan undi pos kem tentera ) dengan sokongan padu masyarakatnya terhadap PAS selepas menghiburkan pejuang Islam di Johor, negeri paling biru di Malaysia dengan sokongan padu rakyatny kepada UMNO dengan kemenangan tanpa bertanding calon PAS di DUN Senggaram pada pilihan raya umum tahun 2004. 

Menurut Dato Hj Abdul Halim Abdul Rahman, kemenangan tanpa bertanding kali ini adalah rekod kepada PAS Kelantan. Sebelum ini PAS Kelantan pernah mencatat rekod hebat dengan kemenangan PAS di DUN Meranti ( kini diwakili YB Ustaz Hj Nassurudin Hj Daud ) yang mengalahkan UMNO dengan hilang wang pertaruhan ( deposit ).

Jikalah tidak kerana peranan SPR yang ‘berakhlak tinggi’ menggunakan budi bicara menatang UMNO pada hari penamaan calon semalam, takbir penyokong PAS di perkarangan pusat penamaan calon semalam pasti bergema lebih gagah dan tuntas lagi dengan kemenangan tanpa bertanding oleh ayahanda YAB Tuan Guru di DUN Chempaka. SPR semalam bagai malaikat yang menyambut selamat bayi kecil yang terjatuh dari buaiannya.

Nampaknya, jika kaedah SPR dipakai guna, tanda tangan tidaklah penting dan muktamad lagi dalam segala urusan di Malaysia. Jika urusan memerintah negara pun tak perlukannya, apatahlah lagi urusan lain yang lebih kecil.  

Ia seperti kata Presiden PKR, Datin Sri Hajjah Wan Azizah bahawa beliau tidak takutkan Ustaz Firdaus, tetapi beliau lebih takutkan SPR! 

Saya kemudian memanjangkan ucapan dengan turut melahirkan keyakinan bahawa kemenangan mudah ini akan memberi nafas dan kekuatan kepada PAS untuk mematikan serangan jahat UMNO yang terus menerus mendakwa PAS meminggirkan wanita  serta sumbangan dan peranannya di dalam politik dan pembangunan negara. Saya cuba meringkaskan jawaban bagaimana wanita Islam turut berperanan besar sebagaimana begitulah pengajaran yang dianjurkan Islam bahawa kebangunan umat Islam hendaklah dengan kerja sama antara lelaki dan perempuan.  

Hari ini serangan oleh UMNO menggunakan isu wanita tidak lagi setajam dan sehebat serangan mereka 10 tahun yang lampau. Kejayaan PAS diharap membuka lembaran ke arah meyakinkan umat dengan kekuatan Islam untuk menerajui Malaysia. UMNO terus memburuk dengan kejahatannya terhadap Islam dan Tuhan mereka sendiri.

Di akhir ucapan, saya menyeru para hadirin yang merupakan para pengundi di DUN Kijang agar menjadikan kemenangan ini sebagai inspirasi untuk terus berjuang dan berkempen sepanjang tempoh pilihan raya ini demi kemenangan Islam di Kelantan. Ia sama sekali tidak boleh menjadi sebab untuk rehat dan alpa di tengah – tengah medan yang tengah memuncak. 24 jam hidup adalah untuk menumbangkan UMNO dan pemikiran jahatnya yang meracuni akidah umat Islam di negara tercinta.

Kemenangan ini adalah kemenangan moral yang menaikkan semangat pejuang Islam seluruh negara, khususnya Kelantan sendiri. BN Kelantan, seperti kata Cikgu Azmi Mohd Nor, Ketua Penerangan PAS Pengkalan Chepa telah mengalami kelukaan akibat kekalahan memalukan ini. BN mungkin bangkit bagai harimau luka. Ia boleh mengganas dan apabila UMNO mengganas, jangan diharap neraka, bala dan dosa boleh menyekat mereka.

Selamat berjuang di medan jihad pilihan raya. Mengundi PAS adalah wajib. Tidak mengundi adalah dosa. Mengundi UMNO lagi – lagilah.

Semoga Allah membuka hati seluruh umat Islam untuk memahami PAS dan perjuangannya. PAS adalah untuk Islam dan umatnya selama mana ia berjuang untuk Islam.