Salam Kamunting,

PAS menguasai Kelantan untuk kali kedua sejak tahun 1990 lalu. Tahun depan ( seminggu lagi ), umurnya akan sama dengan umur pemerintahan PAS di Kelantan kali pertama dulu. Oleh kerana pemerintahannya untuk kali kedua adalah lebih terkini, lebih bertenaga, lebih sensasi dan lebih mudah dan dekat dicapai, maka perbandingan pencapaiannya dengan UMNO lebih diguna pakai. Ada betulnya juga. Yang baru boleh memansuhkan yang lama jika ianya dilihat bertentangan. Kesalahan lepas mungkin telah dibaiki. Maka, UMNO pun tidak banyak merujuk kepada pemerintahan PAS di Kelantan kali pertama dulu kecuali sedikit. Kami dah baiki, kata PAS. Yang buruk pergi bak buih – buih yang menghilang. Yang baik bermanfaat kekal bertahan di bumi tuhan.

Justeru serangan daripada UMNO dan unsur – unsur yang tak sehaluan dengan PAS adalah terhadap pelaksanaan Islam oleh PAS di Kelantan hari ini. Ia samada dengan tujuan mengatakan UMNO lebih baik, atau UMNO-PAS sama sahaja, atau PAS gagal. Hujungnya adalah untuk menghukum PAS sebagai pembohong dan mempermainkan Islam untuk kepentingan kelompok atau peribadi pemimpinnya sahaja. Maka PAS perlu ditolak demi kepentingan ugama, nusa dan bangsa tercinta. 

Sudah pasti PAS terpaksa mempertahankan diri. PAS berusaha membuktikan mereka jauh berbeza daripada UMNO, lebih baik, benar dan berjaya melaksanakan Islam di Kelantan melalui kuasa yang diamanahkan oleh rakyat itu. PAS mempertahan, menerang dan menyerang juga.

Inilah suasana berterusan yang mewarnai kancah politik negara pasca 90. Kelantan terus hidup dalam ‘perang hujah’ yang tak pernah dijemukan. Terang, gelap dan gerhana adalah silih berganti. Sehingga kini, PAS dilihat terus berjaya mempertahankan diri walaupun kekadang serangan bertali arus ke atasnya cukup untuk mampu menewaskannya. Walaupun menang kalah bukan ukuran pembuktian benar atau salah, tetapi di situlah suka dan di situlah duka perjuangan bertapa, hinggap dan terbang lalu.

Berhujah adalah sebahagian dakwah. Islam berhujah dan dihujah. Begitulah Islam hidup di dunia ini dan begitulah para rasulnya hidup berkelana di bumi tuhan. Akidah adalah bahawa Islam benar selama – lamanya. Jika penghujah Islam itu gagah, maka Islam yang benar itu akan menang dan mudah memenangi hati manusia. Jika sebaliknya, Islam yang benar itu akan kalah dan sukar sekali memenangi hati manusia. Tetapi jika penghujahan di medan yang tidak sama rata, unsur luar itu mungkin tidak memihak kepada hujah yang menang. Menang tetapi tetap ditolak manusia.

Penghujah Islam yang tak pernah kalah ialah para nabi. Mereka berhujah dengan talian wahyu dari langit. Mereka tidak boleh kalah kerana mereka adalah hujjah mutlak Allah ke atas manusia. Allah memaksumkan mereka daripada kesalahan demi tujuan inilah. Tetapi kebanyakan hujah mereka yang benar dan menang itu ditolak jua oleh manusia. Manusia memilih untuk terus hidup sesat atas sebab – sebab dan unsur – unsur luar yang mencampuri dunia penghujahan yang sepatutnya adil dan saksama.

Kuasa yang memeras, ketakutan yang menghantui, tipu daya yang menjerat, kebodohan sendiri yang mengongkong dan kepentingan diri dan kelompok yang memagari adalah antara unsur – unsur luar yang memperleceh hujah yang benar, lalu menolak manusia ke lembah yang penuh hina yang membunuh martabat diri sebagai insan yang dimuliakan Allah ke atas segala makhluk.

Selepas para nabi, maka medan terbuka luas antara menang dan kalah untuk Islam. Ia benar dalam menang dan ia tetap benar walau kalah. Menang kerana ianya benar dan benar itu menang secara fitrahnya. Kalah pula kerana penghujahnya kalah walaupun Islam tetap benar. Jika penghujah Islam berilmu, mereka akan menang semudahnya. Islam teman ilmu dan musuh kejahilan. Jika penghujah Islam itu jahil, ia mungkin kalah lalu Islam pun jadi kalah juga walalupun ia sememangnya benar.

Inilah akidah yang benar. Umat yang menolak Islam kerana kalah berhujah adalah salah dan terkutuk sekali. Mereka menjadi ragu – ragu  terhadap Islam semata – mata kerana kecetekan sendiri. Tidakkah mereka telah diajar Tuhan untuk terus dan tetap bertanya kepada ahli ilmu jika mereka tidak mengetahui?

Justeru Islam hidup dalam dunia penghujahan memartabat kebenaran dan al haq. Ia bergantung pada hujah para nabi di awalnya dan ia terus bergantung kepada hujah penganutnya dalam perkelanaannya di dunia ini. Kemenangan berhujah adalah kekuatan terbaik untuk memikat manusia kepada Islam walaupun mereka dikelilingi halangan penuh ranjau berduri daripada musuh – musuh Islam. Maka penganut Islam diwajibkan berilmu demi kemenangan Islam. Jika tidak, Islam boleh rebah dalam kealpaan umat sendiri.

Negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS mestilah menjadi kekuatan dan isi penghujahan untuk Islam. Ia menang atas nama Islam. Undi diberi kerana rakyat dijanjikan dengan pelaksanaan Islam yang benar. Islam hari ini karam kerana faktor utamanya, iaitu qudwah dan contoh sudah hilang. Islam di awangan tanpa berpijak di bumi nyata. Maka ia senang sekali dihujah sebagai omongan, angan – angan, janji manis di bibir dan macam – macam lagi yang menjadikan Islam sukar membuktikan kekuasaan hujahnya ke atas manusia. 

Kelantan adalah amanah Islam. Islam mesti dilaksanakan semampunya dengan amanah kuasa yang diperolehi. Di Kelantan, Islam mesti dilihat mampu mentadbir, menyelesai, memakmur dan memartabatkan kebenaran. Inilah amanah yang jika dipikul sebaiknya, besar menggununglah pahala dan ganjaran Allah ke atas pemegang amanah itu. Jika sebaliknya, maka sebaliknyalah balasannya. Wal ‘iyazu biLlah.

Saya berusaha menekuni usaha penghujahan oleh PAS umumnya dan pemimpin PAS Kelantan secara khususnya. Sudah pasti penghujahan perihal Kelantan memerlukan ‘pelaksanaan dan praktikal Islam’ sebagai isinya. Semakin Islam dilaksanakan, semakin kuatlah PAS berhujah, lalu menang, lalu diterima.

Jika ditolak juga, maka ia adalah bukan kerana Islam atau penghujahnya, tetapi faktor luar yang memburu seperti paksaan, tekanan, tipu daya, kebodohan, dungu, degil  dan macam – macam lagi. Allah tidak membebankan PAS dengan faktor di luar kemampuannya.

Saya yakin kemenangan berterusan PAS semenjak 17 tahun lalu di Kelantan banyak difaktorkan oleh keyakinan rakyat Kelantan terhadap hujah dan bukti hidup dan praktikal yang membenarkan tawaran PAS untuk melaksanakan Islam di Kelantan. Ia mungkin bermula dengan contoh dan qudwah peribadi ketua penghujahnya iaitu ayahanda Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat, diikuti pemimpin – pemimpin PAS yang lain. Kemudian diikuti dengan pelaksanaan Islam dalam dasar, polisi, dakwah dan amal kebajikan yang ditawarkan kepada rakyat yang terangkum dalam konsep amal makruf nahi munkar.

Jika pun ada sekumpulan yang melihat PAS belum menunaikan amanat Islam sepenuhnya, mereka tetap memilih PAS kerana PAS jauh lebih baik dan lebih benar daripada UMNO yang menjadi lawan tetapnya kini. Mungkin kumpulan inilah menjadi penentu kemenangan PAS dalam PRU 2004 lalu yang sengit sekali pertembungannya.

Penghujahan memang memenatkan. Jika ianya secara ilmiah ia penat tetapi menyeronokkan. Jika ianya berbentuk serangan yang sembrono dek kebencian, dendam, kedegilan dan bermuka – muka, maka ianya menyerabutkan dan terasa tidak berguna. Tetapi begitulah Islam apabila diserang. Tiada undang – undang digunakan. Matlamatnya Islam mesti dinyahkan. Matlamatnya PAS mesti dikalahkan. UMNO cukup suka cara ini. PAS terpaksa menghadapinya.

Bayangkan betapa sabarnya RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam berhujah dengan sebodoh – bodoh, sedegil – degil dan sekeras – keras umatnya, Abu Jahal dan labu labinya di Mekah.

Saya menulis entry ini selepas menjawab komen – komen ‘leceh’ oleh saudara xx-dervish-xx ( klik di sini) perihal pelaksanaan Islam di Kelantan. Seorang kawan blogger menasihatkan agar tidak melayan semua komen daripada pembaca yang kurang bermutu. Meletihkan dan tiada untungnya, katanya. Betul jugalah, tetapi saya tidak lagi mahu mengguna pakai nasihat itu.

Apa pun, berhujah untuk Islam sentiasa bermanfaat. Ku dambakan rahmat dan kekuatanMu, Tuhanku..