Salam Kamunting,

Beberapa kali hati saya tergerak untuk menulis sedikit mengenai kedatangan bulan Zulhijjah yang mulia ini, tetapi keadaan tidak mengizinkan untuk saya segera menulis. Mungkin keadaan musim tengkujuh yang cuacanya agak meresahkan dengan andaian kejadian banjir yang pastinya menggamit kesusahan dan kekalutan yang bakal dialami oleh mangsa banjir di Kelantan dan di Pengkalan Chepa khususnya, telah memalingkan saya daripada melaksanakan hajat di hati ini. Tetapi akhirnya, Perdana Menteri Malaysia, Pak Lah telah ‘berjaya’ memalingkan wajah saya untuk kembali melaksanakan apa yang saya hajatkan itu.

Pak Lah melakukan kerja terkutuk di bulan Zulhijjah yang mulia. Akta rimba ISA mengaum dan mencakar lagi. Mangsanya kali ini adalah penganjur utama perhimpunan HINDRAF yang terdiri daripada masyarakat India rakyat Malaysia yang sedang menuntut keadilan di atas apa yang mereka sifatkan sebagai peminggiran secara halus rakyat berbangsa India di negara ini oleh kerajaan yang memerintah.

Bulan Zulhijjah adalah termasuk bulan – bulan mulia yang empat yang disebut oleh Allah taala di dalam Al Quran. Ia adalah bulan haram sebagaimana adanya tanah haram di bumi ini. Haram bererti kemuliaan dan kehormatan. Bulan – bulan haram adalah Muharram, Rajab, Zulqaedah dan Zulhijjah. Bulan Zulhijjah adalah kemuncaknya dengan kefardhuan ibadah haji di tanah haram Mekah.

Allah mengharamkan bulan – bulan yang empat ini seawal penciptaan langit dan bumi lagi ( lihat  At Taubah ayat 36 ). Ertinya tiada seorang nabi pun yang diutuskan kecuali mereka akan mengajarkan umat mereka tentang kemuliaan dan kehormatan bulan – bulan yang agung ini. Kerana itulah, di sebalik selaput kejahilan dan kelalaian yang panjang yang menyelubungi masyarakat jahiliyyah di Mekah di saat RasuluLlah sallaLlahu alaih wasallam diutuskan, bangsa Arab memuliakannya sungguh – sungguh dengan saling menghalang daripada melakukan kerosakan dan kezaliman.

Peristiwa bersejarah perjanjian Hudaibiyah yang mengubah landskap politik Islam di zaman kenabian di antara kerajaan Islam Madinah dan kerajaan musyrikin Mekah misalnya, termeterai adalah banyak diakibatkan oleh kesedaran mendalam kedua – dua pihak terhadap kesalahan dan kejelikan peperangan di bulan mulia itu, walaupun kaum musyrikin hampir – hampir sahaja melanggar peraturan zaman – berzaman itu kerana kebencian dan kemarahan yang meluap terhadap Islam. Jika tidak kerana ketakutan terhadap baiah agung para sahabat terhadap nabi mereka, sudah pasti mereka melanggarnya.

Begitulah kemuliaan bulan Zulhijjah yang mulia itu terus dihidupkan dengan kefardhuan ibadat Haji ke atas umat Islam. Ia sebagaimana jugalah dihidupkan kemuliaan bulan Ramadhan dengan kefardhuan ibadat puasa ke atas mereka. Ia adalah antara syiar – syiar besar ajaran Islam yang mesti diagungkan. Barang siapa mengagungkan syiar – syiar Allah, sesungguhnya itu adalah menjadi ketandaan sifat taqwa di dalam diri ( Lihat Al Haj ayat 32 ). Kerana itu, umat Islam disunatkan melakukan ibadat puasa di bulan ini sebagai tanda kemuliaan dan kesyukuran.

Jika kita mentelaah secara lebih mendalam akan hikmat pensyariatan hari raya Eidul Adha dan amalan – amalan ibadah haji di Mekah, ternyata ia dipenuhi dengan tuntutan ke arah pengorbanan, kesabaran dan cinta terhdap Allah tuhan yang mencipta, selain tuntutan ke arah kesatuan, muafakat dan kehormatan sesama umat manusia. Ia adalah nostalgia daripada cerita Nabi Ibrahim dan keluarganya alaihimus salam. Maka bulan Zulhijjah adalah terlalu tinggi kemuliaannya di sisi Allah.

Bulan Zulhijjah menggamit ingatan terhadap penghijrahan Nabi Ibrahim dan isterinya ke Mekah, kelahiran Nabi Ismail yang penuh tragis bersama ibunya Siti Hajar, kisah pembenaran cinta seorang nabi terpilih terhadap kekasihnya sang pencipta dengan penyembelihan anaknya sendiri yang masih kecil, pembinaan kaabah dan seruan agung untuk manusia mengimarahkan bumi tanah haram ini. Ia turut menggamit cerita kedatangan tentera Abrahah untuk meruntuhkan kaabah dan pertolongan Allah yang mengalahkan tipu daya musuh.

Tambahlah lagi dengan suasana kehadiran jutaan umat Islam yang berbondongan ke bumi haram di bulan yang haram ini yang pastinya mengingatkan mereka dengan sirah Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam yang penuh pengajaran dan panduan. Nostalgia ini pastinya menjadi hidup sekali dengan menghayati perjalanan perlaksaaan ibadat haji yang bagai memberi nafas yang menyegarkan untuk umat Islam mengingati sejarah agung tersebut. Amalan Tawaf, sa’ie, wukuf, melontar, mengorban binatang ternakan, bercukur dan menziarahi masjid Madinah cukup menyentuh hati setiap tetamu Allah di musim haji itu.  

Kita dituntut sekali memuliakan bulan ini. Kita umat yang sentiasa dituntut menjadi saksi kebenaran, keadilan dan kesederhanaan di bumi ini. Jika kita melakukan dengan penuh kesedaran dan ketaqwaan, sudah pasti orang – orang bukan Islam akan turut terkesan dengan suasana aman dan makmur di bulan ini.

Tetapi kita gagal melaksanakannya dalam kehidupan kita hari ini. Ibadat haji dan Hari Raya Korban tidak dimanfaatkan kesannya yang besar itu melalui pendedahan dan penghayatannya.

Apabila Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi bersuara dalam kenyataannya di dada akhbar bahawa beliau sama sekali tidak akan menyesal dan rasa bersalah jika beliau menanda tangani surat penahanan melalui akta rimba ISA, lalu dilaksanakan dan dikotakan janjinya itu selang beberapa hari, maka inilah perlanggaran terbuka terhadap kesucian dan kehormatan bulan yang mulia ini. Ia dilakukan dengan begitu hodoh sekali oleh orang pertama Malaysia ini yang pastinya begitu diharapkan sekali kebaikan dan kesungguhannya memelihara kesucian ugama Islam ini.

Inilah kemalangan dan tragedi yang merosakkan Islam di sisi masyarakat bukan Islam sementelahan pula penggunaan akta ini dilaksanakan ke atas penganut ugama Hindu yang sedang mengapikan kemarahan yang sepatutnya diredakan dengan penuh hikmah.

Islam dan PAS yang mendukungnya menolak ISA sepenuhnya. Ia lambang kezaliman dan wajah huduh undang – undang yang kering daripada keadilan dan keberkatan. Sejahat mana perbuatan manusia, Islam menuntut pembuktian sebelum penghakiman dibuat. Menteri adalah menteri, bukan turut menjadi hakim juga.

Pak Lah menghina lambang dan syiar Islam yang mesti diagungkan. Pak Lah adalah Perdana Menteri yang direntap sifat taqwa di dalam dirinya. Apa peliknya, nama Islam yang didatangkan dari langit lapis tujuh itu pun telah diubahnya. Apa peliknya? Apa peliknya?

( Selamat Hari Raya Korban untuk semua umat Islam. Semoga Allah mengampuni kita semua. Dan jangan lupa untuk turut melaksanakan ibadat korban. Besar sungguh pahalanya.)