Salam Kamunting,

Ayahanda saya adalah seorang wakil rakyat. Sejak dulu lagi iaitu semenjak sebelum saya dilahirkan ke dunia. Seingat saya, ayahanda sentiasa menang kecuali sekali. Itu, sekarang dah jadi menteri besar pula di negeri Kelantan Darul Naim.

Daripada ramai orang yang tak yakin dengan tok guru berserban ni mampu dan boleh kekal lama di kerusi itu, ayahanda terus duduk dan tak tahu bilalah nak bangun dari kerusi itu sebab ramai pula dah yang tak mahu beliau bangun dari kerusi tu hari ini. Rasanya baru – baru ni heboh pasal cadangan nak suruh tok guru ini tolong jadi menteri besar negeri Johor sebab hanya beliau boleh selesaikan masalah jenayah di sana. Kelakar betul.. Nampak sangat Umno ni hampas tak berguna di mata Melayu dan Cina juga.

Begitu, maka tak tahulah saya bila ayahanda akan turun dari kerusi itu, sedang dia selalu ulang nak berhenti sebab tahap kesihatannya dah tak seperti dulu. Hanya yang menguatkan cekalnya adalah Umno yang ditentangnya itu bermula dari denyut nadi dan hela nafasnya. Lawan Umno sampai akhir.. sampai Umno taubat.

Dulu saya sokong beliau berhenti. Sekarang pun. Begitu pandangan saya bila berbincang dengannya. Beliau setuju sajalah. Tapi bila orang tahu saya sokong, ada pula yang kata saya mahu ayahanda berhenti sebab saya mahu lekas jadi wakil rakyat pula! Kelakar betul.. Nampak sangat kelakar politik saya ni.

Hah, apa? Aku nak jadi wakil rakyat?

Ya, ramai juga kawan – kawan saya yang mahu begitu. Saya pula langsung tiada nak ucap terima kasih buat mereka. Terima kasih saya adalah buat mereka yang tak suka saya jadi wakil rakyat. Sebabnya, kehendak mereka kena dengan kehendak saya. Tanpa prejudis dan tanpa syak. Makanya, saya tak boleh sebutlah saya sokong ayahanda berhenti. Nanti saya dikata nak cepat jadi wakil rakyat ganti ayahanda pula. Tak terima kasih saya. Maka kenalah saya sembunyikan itu dalam hati saya ni.

Ini kira tulisan hatilah, bukan tulisan tangan.

Mengapa saya mahu ayahanda berhenti dan mengapa pula saya tak bernafsu nak jadi tok wakil seumur hidup saya kalau boleh, itu biarlah tidak ditanya eloknya. Saya pernah beberapa bulan lepas meminta kebenaran ayahanda untuk menulis dalam akhbar Harakah atas tajuk ‘ siapa pengganti menteri besar Kelantan’. Beliau setuju sangat dan nampak ceria sekali. Ayahanda suka mendorong saya menulis. Tapi saya pula setiap kali bismiLlah nak tulis, setiap kali itulah saya terus shadaqaLlah. Takut pula saya rupa – rupanya..

Ha, anda tahu susahnya anak menteri besar ni nak bersuara pasal politik – politik nih, apatah nak hentam hantam lebih – lebih. Bagi saya daripada jadi wakil rakyat, baik jadi kaya. Kaya, kaya, kaya. Kaya hati, kaya harta dan kaya budi. Semua tu tak perlu jadi tok wakil.

Ayahanda Menteri Besar. Saya yang jadi anakandanya ini pula adalah ahli majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam ( MPKB-BRI ). Dah 6 tahun. Tahun ni disuruh pula jadi Ketua Ahli Majlis. Dengan jawatan saya ni, Umno selalu juga berhujah bahawa Nik Aziz juga main kroni macam Umno.  Lantik anaknya sendiri. Ha, kata dulang paku serpih..

Sapa nak jawab? Belajarlah jawab. Biar semakin tajam pedang dan semakin tepat bidikan anda.

Habis masa dah.. saya sambung lagi.

(sambung..)

Sebagai ahli majlis yang peranannya seakan wakil rakyat juga bagi sebuah kerajaan tempatan, saya belajar banyak perkara. Daripada mengasuh, mengasah, mengasak dan mengasih diri dengan sifat – sifat terpuji apabila diberi seberkas kuasa sehinggalah saya mengenal dan mendepani gelagat lapisan manusia yang rencam sekali ragamnya, saya seperti disapa dan kadang – kadang diseret kuat ke dunia politik secara praktikal. Saya bagai dipaksa mengenal musuh sebaik mengenal kawan.

Betul sekali nasihat agung utusan langit itu.. Sayangi temanmu seadanya, kelak mungkin akan jadi musuhmu. Benci musuhmu seadanya, kelak mungkin akan jadi temanmu.

Orang politik yang pintar saya fikir cukup mengenal kelebihan dan kelemahan manusia. Mereka menguasainya dan melaksanakan agenda politik dengan baik sekali. Habuannya besar sekali. Mereka menguasai manusia dengan hati jantung mereka sekali hatta ke atas mereka yang hebat ilmu pengetahuannya. Semuanya dengan kuasa

Kuasa itu Allah empunyanya. Dia Maha Kuasa. Kerana kuasa, Dialah tuhan yang disembah. Mana boleh jadi tuhan kalau tak ada kuasa. Ayah Pin pun kena dakwa ada kuasa, barulah orang sembah dia. Muka macam orang tak mandi pun orang sembah juga. Sebabnya, kuasa. Bezanya, Allah juga memiliki segala maha yang lain yang menyempurnakan ketuhananNya. Maha suci Allah.

Manusia dikurniakan kuasa demi memudahkannya mentadbir dunia. Dengan kuasa mereka menjadi mudah melaksanakan perintah Allah dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.  Tetapi manusia memahami sebaliknya. Mereka menggunakan kuasa sebagai alat menjamu nafsu serakah terhadap keduniaan. Lihatlah akhirnya, dunia ini panas dan sentiasa dalam kegawatan kerana perebutan kuasa antara manusia. Berebut kerana melayani kehendak nafsu yang sentiasa membuak mengejar keseronokan duniawi tanpa batas. 

Kuasa adalah amanah. Ia bukan peluang dan ia bukan habuan yang digilai.

Inilah politik. Politik adalah cara mengurus kuasa yang dikurnia ke atas orang yang dikuasai. RasuluLlah diutus untuk mengurus kuasa di dunia selaras dengan kehendak Allah dan baginda mengajarkan manusia untuk mengurus kuasa. Tetapi siapakah yang mengambil pengajaran utusan langit ini? Politik hanya dua. Pertama, politik RasuluLlah dan kedua, politik selainnya. Politik selainnya adalah duniawi dan tertolak. Sebabnya ialah kerana ia diurus tanpa petunjuk Allah yang mengurniakan manusia dengan kuasa yang hebat.

Maksud saya di sini, kita samada orang Umno atau Pas atau siapa pun,  apabila diberi kuasa, tiadalah berguna kuasa kita selain bala yang akan menimpa. Ini kecualilah kita benar – benar memahami politik Islam yang diajar oleh RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Jika tidak, kita mungkin bercakap apa yang kita tak buat atau memang tak terbuat pun.

Maka, kita mesti terus belajar dan menguasai politik Islam. Jika tidak, tiadalah tertunai tugas kita mengurus dunia sebagai seorang khalifah.