Salam Kamunting,
Enam tahun lepas, ketika saya masih menjawat sebagai mudir/pengetua Madrasah Darul Anuar ( kini Maahad Darul Anuar ) di Pulau Melaka, pusat pengajian ugama yang diasaskan arwah datuk saya, Tokku Nik Mat Alim, Nik Adli, kekanda saya adalah guru yang turut sama mendidik anak - anak murid yang kini kebanyakannya dah pun keluar universiti atau masih menuntut.
Beliau ditangkap dan ditahan di bawah Akta ISA pada tahun itulah. Samalah Seperti seluruh keluarga mangsa ISA yang lain, kami sekeluarga merasa cukup tertekan. Tetapi, Allah menukarnya secepat yang Dia mahu. Nik Adli segera menjadi idola kebanggaan kami.
Jika anda menziarahinya di neraka binaan Umno itu ( sebelum Allah tunjukkan neraka buat mereka ), anda pasti disergap rasa kagum dengan kekentalannya, ketenangannya dan kepahlawanannya hidup mengabdi diri pada tuhannya selama lima tahun di situ. Kami melihatnya dan merasainya secar live sesudah kami membaca cerita - cerita para pejuang yang diuji dengan ujian yang sepertinya.
Ayahanda kami sudah tua. Apabila anaknya yang banyak mewarisi keperibadiannya itu ditahan, dia banyak sekali menangis membiar air matanya mengalir, lagi - lagilah di mihrab tempat bersujud mengabdi diri pada tuhannya di malam hari itu. Dia cukup tahu, anaknya adalah mangsa percaturan politik kotor musuh untuk melemahkannya dan memburukkan reputasinya sebagai seorang ketua pejuang Islam di negara ini. Tubuhnya gagal dicalar, lalu anaknya yang ini menjadi mangsa. Pasti ayahanda cukup tahu ini.
Bonda kami, oh, bayangkan bagaimana terhirisnya hati seorang ibu yang dipaksa mengutip kembali saat - saat indah masa melahirkan dan membesarkan anaknya daripada kecilnya.
( Kalaulah Tun Mahathir dan Pak Lah sempat merasai kehangatan air mata itu di dunia ini sebelum merasai bahananya di akhirat, itulah yang terbaik buat mereka. Jikalah ada Jeanne yang memberitahu.. )
Selepas penahanannya beberapa hari, saya menulis mengenainya dengan hati yang gundah. Saya membelanya sepertilah saya mahu membela para mujahidin di Afghanistan yang hidup di medan perjuangan yang cercaan dan fitnah umat sendiri mengatasi hujanan peluru musuh. Saya hanya mengedarkannya kepada ahli jamaah di masjid kami. Beberapa orang teman menangis membaca tulisan itu.
Kini saya berusaha mencarinya, tetapi gagal. Saya acap menyimpan di tempat yang akhirnya tersimpan dari capaian saya sendiri!
Tahun lepas, ketika Israel mula menyerang Lubnan, saat Nik Adli hampir genap lima tahun penahanannya, saya menulis lagi. Saya hantar kepada Harakah dan Harakah segera menerbitkannya.
Kekanda saya akhirnya dibebaskan dari kem tahanan Kamunting selepas lima tahun merengkok. Beliau dan sahabat - sahabatnya juga. Kini beliau di tahan tahanan terhad di rumah. Alhamdulillah, Allah memakbulkan doa semua.
Sempena hampir genap enam tahun ditahan, dengan harapan semoga beliau dan sahabat - sahabatnya bebas sepenuhnya ( minta dengan Allah, bukan Pak Lah ), saya lampirkan kembali tulisan itu di blog ini. Ini yang ori, berbanding yang disiarkan Harakah yang telah digunting - gunting. Semoga bermanfaat untuk bacaan semua. Ya, salam Kamunting…
( Terima kasih untuk dhuat79 yang menghadiahkan untuk saya sebuah lagunya yang cukup bagus melalui email dua malam lepas. Semuanya luahan kebencian terhadap kezaliman ISA. ‘ Di manakah Abi?’ Nak? Mintalah dengannya.. Rasanya, free.. )
Nik Adli, keluarga dan ISA
Sudikah saudara pembaca budiman meluang sedikit masa untuk bersama Nik Adli, kekanda saya yang masih terperangkap di Kamunting sana. Maaflah, tumpuan dan diri kita hari ini memang patut dihulurkan ke Lubnan, atau lebih jelas lagi, ke bumi Palestin.
Saya pun keliru juga untuk menulis pasal dan perihal kami sekeluarga pada saat ummat Islam sedunia berada pada tahap segenting ini. Maha guru Dr Yusuf Al Qardhawi berkata, jihad di Lubnan, apatah di bumi Palestin adalah sesuci - suci jihad di muka bumi hari ini. Nilainya tinggi disisi agama, di sisi Allah. Usah berkira pasal Hizbullah itu Syiah. Mereka adalah ahli Kalimah Syahadah, seperti kita, berdepan dengan sebesar - besar jentera kalimah kufur di muka bumi.
Tsunami dulu telah mengubah peta muka bumi. Peperangan di Lubnan hari ini akan mengubah peta wajah kehidupan manusia di bumi. Khabaran awalan daripada Nabi agung, sallallahu alaihi wasallam perihal ummatnya hari ini sentiasa diikat dengan peristiwa - peristiwa pertembungan di bumi Syam di antara tentera muslimin yang memikul kebenaran dan keadilan dengan bangsa Yahudi yang memikul panji kerosakan di muka bumi. Apalah sangat cerita Kamunting saat ini.
Kalaulah tidak kerana masa rakyat Malaysia masih ada untuk dikosongkan buat mendengar penjelasan Siti pasal bakal suaminya, atau Khairi pasal bukan Mayanya, atau Pak Lah pasal menantunya, atau Tun Mahathir pasal duka nestapanya, atau macam - macam pasal lagi, sudah pasti saya tidak suka untuk bercakap juga pasal Nik Adli dan rakan - rakannya yang terkurung sejak sekian lama di Kamunting itu.
September ini genap lima tahun abang saya itu menghuni kediaman yang dibina pemerintah Melayu Malaysia buat menahan rakyatnya yang jahat - jahat yang ditakuti menular kejahatannya di dalam masyarakat. Nik Adli atau sesiapa sahaja yang berada di kediaman ini yang dihukum sebagai jahat tadi akan menikmati dua nyawa. Satu nyawa kurniaan Penciptanya untuk hidup di dunia ini. Kedua, nyawa kurniaan Menteri Dalam Negeri untuk dia meneruskan kehidupan di Kem Kamunting.
Bezanya, bila nyawa kurniaan tuhan ditambah disambung, tiada insan yang tak gembira menyambutnya. Ada yang buat majlis baca doa panjang umur, ada upacara tiup meniup lilin. Raya puja umur pun ada juga. Adapun bila nyawa kurniaan menteri tadi disambung, ia disusuli dengan titisan air mata kesedihan yang teramat sangat oleh seluruh yang menanti nyawa itu tak disambung.
Tapi, seperti halnya Raja Namrud dan Firaun di zaman dulu - dulu, menteri ini jadi seronok dapat jadi seperti Tuhan, kalau pun tak jadi Tuhan, untuk memberi dan menarik nyawa rakyatnya yang jahat - jahat ini.
Nik Adli dan rakan - rakannya ditahan di bawah ISA atas tuduhan menjadi pengganas di bumi Malaysia. Dalam ISA, tuduhan adalah bukti yang kukuh. Mahkamah tidak diperlukan. Cukup dengan siasatan SB. SB adalah malaikat yang tak pernah dibolosi kekurangan fakta. Menteri Dalam Negeri yang bertakhta di arasynya hanya menunggu para SBnya berterbangan ke puncak membentang bukti - bukti yang takkan silap, lalu disahkannya. 2 tahun kau ke neraka Kamunting!
Tuduhan juga menyebut bahawa sekolah - sekolah agama, pondok - pondok pengajian Islam yang dibina dan dibajai ilmu para tok guru di kampung telah menjadi sarang merekrut bakal pengganas dan militan agama. Penglibatan mereka di dalam jihad Afghanistan menentang kuasa Rusia yang kufur juga ibarat menyimbah minyak ke api yang sedang marak. Kerana bahaya ini, Nik Adli dan lebih 20 rakan - rakannya ditahan bersama kumpulan pengganas ugama yang lain di bawah ISA.
Tak lama selepas itu, peperangan dilancar ke atas seluruh sekolah ugama rakyat. Tun Dr Mahathir, lagak Yahudi mengebom Lubnan, akhirnya berjaya memaksa kebanyakan sekolah - sekolah ugama tunduk kepada tuntutan pemerintah. Yang berkeras kehabisan bekalan makanan lalu rebah tersadai tanpa guru dan murid. Kalaulah beliau mampu, pasti dipikul usung sekolah - sekolah ugama ini ke Kamunting sama. Kalaulah kuasa nabi Sulaiman alaihis salam dicalit sedikit kepada mereka, itulah jadinya!
Hebatnya kuasa! Kuasa mencipta bukti dan kuasa jua menolak bukti. Kuasa adalah kebenaran. Kebenaran yang menentang kuasa adalah kezaliman. Bila semua tunduk pada kuasa, itulah keadilan!
Inilah manifestasi ISA. Pemerintah memeliharanya seperti sang bomoh memelihara dan menjamu jin iblisnya. Mimiknya, pemerintah ibarat si ‘syarifah’ itulah, bersandar pada kuasa jin iblis itu untuk memakan mangsanya.
ISA menghukum dan memangsa dalam kesamaran. Pertuduhan tanpa pembuktian. Mana dacing/mahkamah? Persaksian tanpa kelayakan. Mana jejeknya pembohongan dan akhlak yang buruk? Penghukuman tanpa keahlian. Mana hakim? Menterikah?? Undang - undang tanpa peri kemanusiaan. Mana hak membela diri? Mana segala hak pemberian Allah??
Allah menurunkan segala bukti dan keterangan, bersamanya al kitab dan al mizan ( kaedah - kaedah yang mengukur kebenaran dan kebatilan ), bahkan diturunkan jua besi yang tumpat lagi keras itu agar manusia berdiri tegak dengan keadilan. Besi bukan buat merajakan kuasa seperti perbuatan Yahudi ke atas Palestin dan Lubnan, bahkan besi adalah kuasa yang memaksa Yahudi tunduk pada keadilan. Keadilan adalah raja. Keadilan adalah Allah.
Saya adinda Nik Adli. Entah apa, saya selalu disapa sebagai kekandanya. Kalangan adik beradik beliau layak untuk tidak dikenali. Seorang yang pendiam. Tak petah untuk berkuliah di masjid walaupun beliau berilmu. Hobinya hobi kampungan, macam ayahanda. Berkebun, berternak. Hobi hebat masa kecilnya membuat bedil peluru bebola basikal atau panah besi ciptaan sendiri? Tak silap kami namakannya bedil teracak?? Hah, ini boleh jadi bukti militan ni! Saya selalu ikutnya menembak ikan di sawah.
Masa kecil dia agak susah untuk lancar membaca Al Quran. Balik dari Pakistan, bacaannya menjadi. Seronok jika beliau menjadi imam mengganti ayahanda di masjid. Entah askar Taliban mana menjadikannya lancar dan merdu membaca al Quran. Mungkin ada dalam maklumat SB, malaikat Islam Hadhari.
Masa di Pakistan, beliau terlibat dalam jihad Afghanistan bersama ratusan pelajar Malaysia yang lain. Mereka ke medan semasa cuti semester pengajian. Jihad suci membebaskan Negara Afghanistan dari kuasa komunis masa itu telah mendekatkannya kepada Tuhannya. Beliau mengimpikan mati syahid di jalan Allah. Bonda di Malaysia asyik menangis pasal anakandanya yang ini.
Beliau mengutusi saya di India memohon saya mendoakan agar beliau syahid di medan. Saya yang turut mengikuti perkembangan jihad melalui majalah - majalah jihad yang terbatas turut teruja dengan impiannya. Saya mendoakan beliau Mati!! Berkali - kali tapi tak mati - mati jua. Saya tahu apa untung saya dan kami sekeluarga di akhirat kelak kalau kekanda saya yang ini pergi dulu bersama para syuhada’ perjuangan. Syafaat di padang mahsyar.. Ingat Ibrahim Libya!
Rupanya, di sisi Allah ada skrip yang berbeza untuk beliau. Bahawa musuh Islam itu satu walau apa ugama dan ideologi mereka, Nik Adli yang mengacu senapang ke arah komunis akhirnya ditangkap atas kehendak dan telunjuk Amerika oleh kerajaan negaranya sendiri atas nama memerangi keganasan global.
Selepas 5 tahun pulang belajar dari Pakistan untuk sepenuh masa menabur bakti menjadi guru ugama di sekolah ugama di Pulau Melaka, beliau bersama rakan - rakannya ditangkap dalam operasi gila - gila kerajaan Malaysia dan diISAkan. Kini beliau cukup 5 tahun dalam tahanan. Anak - anaknya yang dipisahkan daripadanya oleh kerakusan nafsu pemerintah kini telah memasuki alam persekolahan.
Kesedihan adalah ujian Allah. Ia bertandang selepas kegembiraan berundur. Ia berundur apabila kegembiraan kembali lagi. Mungkin Ayahanda bonda berpaut pada degup sabar Nabi Allah Yaacob menanti pelepasan Allah dalam mengalun rindu terhadap anaknya Yusuf alaihimassalam. Mungkin isterinya pula bersandar pada kenangan silam rindu Hawa terpisah sementara daripada hilai ketawa Adam alaihimassalam semasa diturunkan ke muka bumi.
Anak - anaknya, siapakah yang dapat meneka jiwa anak - anak kecil apabila melihat sepupu sepupu mereka bergelak ketawa dengan ayah - ayah masing - masing, sedang mereka hanya mampu melihat ayah mereka di jaringan besi yang memisahkan kasih daripada belaian, hilai tawa daripada pelukan?
Saya, juga adik beradik yang lain memilih untuk berkata, kekandaku, kau adalah pahlawan dalam keluarga. Mengingatimu adalah ibarat mengasah tajam senjata memerangi kezaliman yang pasti lebur. Mereka telah salah dan menzalimimu sedangkan kau belum pernah dibuktikan bersalah. Mereka berdosa sebelum dan selepas. Sabarlah, kesabaran itu adalah kunci yang membuka. Apabila tali semakin tegang, ia berakhir dengan putus! Kau pun bebas. Bukankah sinar fajar itu sentiasa dekat?
Memerangi ISA adalah jihad yang tiada taranya di bumi kita. Memeranginya adalah seperti memerangi kerakusan Yahudi di bumi Palestin juga. Kerana ISA Islam ditekan sehingga melukut di kaki pemerintah. Pejuangnya dan seluruh pejuang keadilan dianiayai. Rakyat menjadi takut dan bacul. Ruh jihad Islami dipadamkan. Yang tinggal hanyalah ummat yang hanya tahu merintih dan hidup berangan - angan.
Tuhanku, bebaskan Nik Adli dan rakan - rakannya sebagaimana Engkau melepaskan beburung terbang bebas diruangMu. Tuhanku, sematkan kesabaran didadanya sebagaimana Engkau permudahkannya untuk para kekasihMu. Tuhanku, hancurkan ISA dan pendukungnya sebagaimana engkau hancurkan musuh - musuhmu sehancurnya.

19 comments
Comments feed for this article
Ogos 2, 2007 pada 11:26 am
al_jabali7
Salam…
saya terkesan dengan tulisan2 ustaz di ruangan ini..
ada beberapa tulisan ustaz yang menarik di harakah…kalau berkesempatan bolehlah dumasukkan di ruangan ini…sebab ada satu tulisan di harakah itu benar2 terkena dan menyentap jiwa saya…tapi bila sy cari2 semula akhbar itu tidak berjumpa.
tq
Ogos 2, 2007 pada 11:45 am
al_jabali7
Untuk pengetahuan…sy pernah jadi anak murid ust di maahad dulu n join usrah BALKIS…mgkn ust x berapa ingat saya
Naqib saya Nik Abd Rahman Nik Mustapha (ABEMAN) lani tak tahu apa cerita….lepas kena ISA dulu senyap terus..tak mcm ust saari…harap2 keluar doh….Lani sy mengajar di swak..
Ogos 2, 2007 pada 11:23 pm
albazrah
Assalamu’alaikum Ustaz,
Terima kasih posting ni. Terharu betul. Kesabaran seluruh keluarga ustaz dalam tempoh yang lama itu, tak pernah disia-siakan Allah. Semuanya tersimpan kukuh di sisi Allah.
Ogos 3, 2007 pada 8:30 am
Zaharah
Salam.
Ustaz,
Kesabaran yang beginilah yang menjadi sumbu buat menerangi keadilan di bumi Allah ini. Dan air mata dari bibir yang berdoa, adalah ibarat hujan yang menyuburkan tanam-tanaman. Bahawa setiap pengorbanan dari perjuangan itu, ada nilai yang tinggi di sisi Tuhan.
Alhamdulillah,
Saya sebagai anak kelantan amat bersyukur kerana memiliki pemimpin yang menunjukkan kami jalan kebenaran yang hakiki. Dan mereka menunjukkan kebenaran itu melalui sebuah pengorbanan!
Allahu Akbar!!!!
Ogos 3, 2007 pada 1:55 pm
Tazkirah Jumaat: Jihad memerangi ISA « Kecek-kecek Tok Mudin
[...] mahu halakan kalian kepada tulisan ini. Itulah yang sepatutnya kalian baca pada hari Jumaat ini. Jangan buang masa lagi. Baca, baca! [...]
Ogos 4, 2007 pada 11:22 am
Tumbi Umbi
ISA adalah undang-undang bacul UMNO untuk menahan pejuang-pejuang Islam. Oleh kerana rasa tergugat, maka mereka menggunakan kekerasan. Terbukti, UMNO pengecut, jika berhujah mereka kalah, lalu mereka menggunakan ISA untuk menakutkan pejuang Islam. Ini adalah undang-undang rimba jahiliah.
Sekarang tiba masanya kita menolak kepimpinan UMNO melalui apa cara sekalipun. Memandangkan di Malaysia cara terbaik ialah melalui piliharaya, mahu tidak mahu UMNO dan konco-konconya (MCA, MIC lain-lain) perlu ditolak jauh dari sanubari rakyat Malaysia. Tetapi yang peliknya setiap kali pilihanraya rakyat terutamanya yang tidak mempunyai ilmu agama yang kukuh mudah tertipu. Media massa, television, radio termasuklah Radio Kelantan, surat khabar harian dan lain-lain lah alat diguna pakai untuk mengula-gulakan rakyat. Projek material dijanjikan, duit diberikan penuh dengan janji manis. Maka rakyat yang tidak melihat jauh terus tertipu.
Politik kotor UMNO tidak mampu melenyapkan perjuangan yang sebenarnya, perjuangan Islam yang diwarisi oleh para ulamak. Merekalah memainkan peranan yang utama kearah kehidupan yang sebenarnya. Jelas hari ini Malaysia boleh dikatakan maju dari segi materialnya (walaupun tidak semaju Korea Selatan mahu pun Jepun) tetapi masalah-masalah sosial terus meningkat. Setiap hari ragut, rogol, curi, rompak samun terlaku. Itu jenayah peringkat bawahan, di peringkat atasan rasuah terus bermaharaja lela. Sipemberi rasuah dan penerima rasuah tidak nampak bahawa di akhirat kelak mereka akan dibakar di dalam api neraka yang mana apinya marak menjulang-julang. Duit yang mereka dapat akan membakar diri mereka sendiri. Sekarang ketua mereka menjanjikan projek dalam RM9, juak mereka termasuk kontraktor-kontraktor senyum besar…membayangkan habuan projek tersebut. Tander tidak di keluarkan, siapa yang kuat melobi akan memperolehinya. Kekayaan duit menyebab hati mereka berpenyakit dan ditambah penyakit oleh Allah oleh kerana busuknya hati mereka.
Jelas jika pemimpin yang dipilih tidak memilih islam secara total, tidak akan kemana-manalah Malaysia. Dengan erti kata lain, akan hanya mengikuti jejak langkah negara-negara yang dikatakan maju dari segi materialnya tetapi hakikatnya runtuh dari segi akhlaknya. Sebagai contohnya di sini (Australia) adalah menjadi sesuatu lazim pasangan-pasangan tinggal serumah seperti suami-isteri tetapi tidak berdasarkan ikatan perkahwinan. Sosialnya telah runtuh, punah ranah oleh kerana manusia membuat keputusan berdasarkan akal semata-mata bukannya berdasarkan ajaran Allah dan rasul. Jika Malaysia, meninggalkan agama tidak mustahil kita akan menuju ke arah ini.
Malang sekali tanah air ku, turut mengikuti barat secara membabi buta. Apa yang barat buat diikuti. Tujuannya jelas untuk menjadi negara maju. Malangnya rakyat menuju kegelapan. Maju bukannya meterial tetapi kemajuan seharusnya seiring dengan fikiran dan peradaban. Peradapan yang paling baik ialah peradaban Islam. Kita semestinya mengikut secara aspek cara hidup Rasulullah SAW. Inilah cara terbaik untuk hidup di dunia dan juga membawa keberkatan hidup. Pelik sungguh manusia ini, terutamanya pemimpin UMNO yang menjadi pemerintah, mereka lebih bertuhankan “Capitalism” yang mana bercanggah dari ajaran Islam. Di mana mengikut perinsip asasnya ialah untuk keuntungan semata-mata. Masalah-masalah sosial akan selesai jika negara semakin maju. Kayu pengukur kemajuan adalah kadar pendapatan negara dan per kapita penduduk. Dengan erti kata lain jika negara maju rakyat dengan sendirinya tidak akan bermasalah lagi. Kecurian, jenayah, rasuah akan ditangani jika rakyat mencapai kemajuan material. Hakikatnya kemajuan yang kosong dari segi rohaninya tidak akan kemana-mana.
Pemimpin UMNO yang sesat semestinya ditolak.
Ogos 8, 2007 pada 12:51 pm
nikabduh
Albazrah, zaharah..
terima kasih.
aljabali, tumbi umbi, ziad fahmi, t m sani, ibnasmuni..
terima kasih.
Suka sekali saya dikunjungi saudara saudari dengan pandangan dan sentuhan rasa yang baik. saya juga membaca di laman kalian. sempat, saya akan tulis di sana.
selamat menulis dan saling menunjuki
Ogos 11, 2007 pada 8:30 am
syed
assalamualaikum ustaz…………smoga allah makbulkan doa ustaz skluarga…….kami d sini akan turut brdoa………moga kezaliman hancur d bumi allah ini….allahuakbar
September 30, 2007 pada 6:23 pm
Dari Sayu Matamu.. Dari Paling Wajahmu… « Muhtar Suhaili As-Sarawaki
[...] “Jangan terkeliru dengan kekejaman ISA” dan artikel Ustaz Nik Abduh bertajuk ”Keluarga kami ada Nik Adli..” untuk lebih pencerahan. Mudah-mudahan ada khair dan manfaatnya dalam memahami ’silat [...]
Oktober 2, 2007 pada 3:51 pm
Muhtar Suhaili
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh;
Mohon maaf, link untuk entri “Dari Sayu Matamu.. Dari Paling Wajahmu…” di atas telah berpindah ke: http://muhtarsuhaili.wordpress.com/2007/10/01/dari-sayu-matamu-dari-paling-wajahmu/
Jazakumullahu khairan kathira.
Oktober 9, 2007 pada 7:18 am
nuriman
Assalamualaikum salam adilfitri..saya berasal dai Pasri Puteh dan merantau ke Kuala Lumpur..alhamdulillah kerana saya telah menemui blog Ustaz. Masih saya ingat lagi beberapa tahun lepas sebelum kembalinya Allahyarham bapa mertua saya ke Rahmatullah dia dan keluarga akan ke Pulau Melaka untuk mendengar kuliah atau ceramah yang akan di sampaikan oleh ayahanda Ustaz Tuan Guru Nik Aziz…walaupun mereka datang jauh dari Kedah.
Mac 29, 2008 pada 7:08 pm
asranlap
assalamualaikum………….
salam perjuangan untuk pejuang2 agama allah
saya mungkin baru dalam blog ustaz tapi saya merupakan orang yang sudah lama mengenali ustaz nik adli.
saya mula mengenali ustaz nik adli semasa saya sedang belajar di SMUDA. saya masih ingat beliau seorang yang tegas dan berilmu dengan segala tindakan yang dibuat olehnya.
senyumannya adalah begitu payah sekali tetapi sekali dia senyum akan membuatkan hati muda yang nakal terus tunduk.
saya masih ingat lagi apabila kelas pertama iaitu kelas hadis tingkatan 4 merupakan ilmu pertama yang saya ambil daripada ustaz nik adli.
saya berpendapat: penahanan nik adli dibawah tahanan ISA adalah tidak wajar dan tindakan ini amat biadap sekali memandangkan lebih ramai lagi pengganas yang ada di Malaysia
Setelah ustaz dibebaskan, saya telah bertemu dengan beliau pada hari kedua pembebesan di Rumah beliau. Keadaan beliau amat tenang dan beliau menceritakan pengalaman beliau semasa dalam tahanan.
saya amat terharu dan menitis airmata mendengar cerita beliau.
Bangga pun ada malah perasaan geram bercampur marah pun ada di atas hukuman ke atas beliau.
SELAMAT MENYAMBUNG PERJUANGAN AYAHANDA………..
April 11, 2008 pada 3:39 pm
khalati69
Assalamualaikum, salam perjuangan , tahniah di atas nukilan yang menyentuh kalbu setiap yang membacanya, secara tidak sengaja saya men’ziarahi’ blog ini ketika menyelidik dan mencari sumber-sumber yang terkini . Sebagai seorang yang terlibat dengan Institusi pendidikan Tinggi saya cuba mencari Islamic info yang boleh dimanafaat. Sebenarnya saya pernah berkerjasama dengan ustaz pada satu ketika dulu dalam menjayakan program pentarbiyyah pelajar Maahad di Al Nur sekitar penghjung 80an. Manisnya detik-detik itu belajar dan membina jati diri sebagai pelajar muslim musleh.Alhamdulluih.
Saya amat tertarik dengan gaya santai Ustaz menceritakan sedikit sebanyak maklumat dan tajribah sebagai seorang mujahid yang aktif dan istiqamah dalam perjuangan. Kagumnya saya kerana masih ramai ustaz-ustaz lulusan Timur Tengah amnya tidak terpanggil untuk infa’kan diri,masa dan harta mereka untuk Islam dan perjuangannya. Sebahagian mereka berpuasa hati sekadar menjadi supporters kepada PAS dan Islam. Kita yakin ,walau apapun ujian yang mendatang, perjuangan adalah nadi Umat Islam Akhir zaman.
April 23, 2008 pada 1:41 pm
hmla
salam perjuangan dr pulau melaka ( babong )
ana adalah yg terbaru dr kalangan pelayar blog ini,,, rasa terharu dgn perjuangan keluarga ustaz..sblm ni sudah mengetahui cuma secara detail shj tidak..syabas dan semoga menjadi teladan n idola kpd yg ingin infa` dlm fi sabilillah.
Mei 19, 2008 pada 10:50 pm
zulaifah
assalamualaikum wbt ustaz
saya sebenarnya dah tak terkata dengan tulisan ini,cukup untuk menitiskan air mata,cukup untuk merasa secebis dari keperitan yang dialami oleh seluruh keluarga ustaz.
sebagai rakyat kelantan,saya amat berbahagia kerana dipimpin oleh saff pimpinan ayahanda ustaz.
saya terlalu ingin nak berkunjung ke pulau melaka,berjumpa tok guru dan keluarga.
ustaz,saya ingin mengutus surat @ emel untuk tuan guru nik abdul aziz.bolehkah saya dapatkan alamatnya?
sampaikan salam kasih sayang saya,sebagai rakyat buat tuan guru,isteri dan seluruh keluarga.
semoga keluarga ustaz sentiasa dirahmati dan dilindungi oleh Allah Taala.
Mei 22, 2008 pada 2:59 pm
keluarga kami ada nik adli.. « TarBiyyaTuL QaLbI
[...] Ogos 2, 2007 in zikrayaat Penulis: Nik Abduh Nik Azis [...]
Mei 22, 2008 pada 7:27 pm
Cikgu
salam perjuangan,
saya tidaklah pandai berkata2 untuk menyatakan rasa terharu yang mencengkam ketenangan membaca pengalaman ustadz. Ia amat menyentuh hati dan perasaan sehingga saya tak mungkin tidak mahu berkongsi pengalaman ini bersama anak2 saya makanya saya telah meletakkan artikel ini di blog saya yang telah saya pautkan semula ke sini siang tadi dan saya mohon untuk linkkan juga ke sini.
Jazakaullahukhairan kathira atas perkongsian ilmu.
Ummu Faisal
Mei 22, 2008 pada 7:31 pm
Cikgu
Artikel ustaz itu tidak saya letakkan di blog utama saya yang bertujuan untuk pengajaran dan pembelajaran tetapi di blog peribadi saya di http://pembangunaninsan.wordpress.com yang dilinkkan ke blog keluarga saya di http://tarbiyyatulaulad.com. Maaf dah ambil tadi
dan jzzk sekali lagi.
Jun 16, 2008 pada 12:53 pm
nsrung
hapuskan ISA yang kejam dan keji